Sunday, 25 March 2012

PM : DI PORT DICKSON, N.SEMBILAN

Penduduk teruja terima rumah mampu milik daripada Najib


Penduduk Taman Intan Duyung, Port Dickson di sini teruja apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudi menyaksikan penyerahan rumah mampu milik berkualiti daripada pemaju kepada kerajaan negeri untuk diserahkan kepada penduduk yang layak.

Walaupun majlis berkenaan simbolik kepada penyerahan sebenar rumah kepada penduduk yang akan dibuat melalui undian tidak lama lagi, penduduk optimis, ia satu pemberian yang ikhlas dalam memastikan rakyat mendapat kehidupan yang lebih sejahtera dan selesa.

 

Keyakinan rakyat bertambah, PRU semakin dekat - PM

 


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rasa keyakinan rakyat terhadap kerajaan semakin bertambah dan itu tandanya pilihan raya umum semakin dekat.

Barisan Nasional (BN) diyakini dapat memenangi tampuk pemerintahan sekali gus memenangi pilihan raya umum akan datang dengan mengambil kira calon yang dipilih itu hendaklah berkriteria calon yang boleh memenangkan parti.

Saya rasa-rasalah dan bila sudah dekatlah tu (pilihan raya umum),” katanya dalam ucapan pada majlis penyerahan 70 Rumah mampu milik berkualiti tinggi di Taman Intan Duyung, Port Dickson, dekat sini hari ini

PS mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri Malaysia dan juga YAB Menteri Besar Negeri Sembilan yang begitu perihatin tentang permasalahan rakyat tanpa mengira bangsa khususnya di Negeri Sembilan dan amnya diseluruh tanah air.


Salam Perjuangan


"Suara Belia/Anak Muda Bersatu, Tidak Dapat Dikalahkan"

Wan Salwati Hj.Abdullah
Ketua Puteri UMNO Bah.Seremban / Exco Puteri UMNO Malaysia
MKT Gerakan 4B Malaysia / Presiden Majlis Belia Negeri N.Sembilan
Ahli Lembaga Penasihat IKRAR Malaysia.




Saturday, 24 March 2012

AYUH KITA GEGARKAN

Majlis sambutan ulang tahun UMNO ke-66 pada 1 hingga 13 Mei.


Kepada pembaca yang budiman, PS memohon agar kita dapat mewar-warkan kepada sahabat/kenalan semua untuk bersama-sama ke Majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-66, pada 1 hingga 13 Mei dengan acara kemuncak berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11hb Mei 2012.

Difahamkan juga, pelbagai pengisian sambutan akan diadakan termasuk :-

  • Majlis Bacaan Tahlil dan Yasin
  • Anugerah Melayu Terbilang 
  • Larian Melayu UMNO
  • Karnival Hari UMNO
  • Pertandingan futsal
  • Konvoi Motosikal
  • Forum Media.
Oleh itu, janganlah kita melepaskan peluang yang disediakan ini untuk bersama-sama dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-66 ini. Kepada Belia/Anak Muda di Malaysia ini, ayuh kita gegarkan Stadium Bukit Jalil.

Salam Perjuangan

"Suara Belia/Anak Muda Bersatu, Tidak Dapat Dikalahkan"
Wan Salwati Hj.Abdullah
Ketua Puteri UMNO Bah.Seremban / Exco Puteri UMNO Malaysia
MKT Gerakan 4B Malaysia / Presiden Majlis Belia Negeri N.Sembilan
Ahli Lembaga Penasihat IKRAR Malaysia.


TERIMA KASIH JPAM

MAJLIS ANUGERAH PENTAULIAHAN JPAM

Majlis Pentauliahan Pangkat JPAM oleh YB.Dato' Seri Hishammuddin Tun.Hussein di Padang Awam Paloh, Kluang, Johor Darul Takzim. Turut menerima pangkat Penolong Pesuruhjaya Kehormat YB.Dato' Razali Ibrahim dan Mejar Bersekutu Tuan Syahrin Jamlauddin. ( Sabtu 24hb.Mac 2012 )


Bersatu Demi Parti

Shahrizat kekal Ketua Wanita UMNO Malaysia

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kekal sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO walaupun Naib Ketuanya, Datuk Kamilia Ibrahim mendesak beliau melepaskan jawatannya.

Ini kerana jawatan Ketua Wanita UMNO dipilih oleh ahli dan mengikut prinsip, selagi tiada kesalahan dibuktikan tidak ada sebab untuk Shahrizat melepaskan jawatannya.

Semalam telah berlangsung Perhimpunan Wanita UMNO bersama Presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur dan Presiden UMNO turut mengumumkan perakuan daripada Shahrizat dan Kamilia akan bekerjasama sepenuhnya sebagai satu pasukan.

Manakala, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tidak berkecil hati dengan tindakan Naib Ketuanya, Datuk Kamilia Ibrahim yang mendesak beliau meletakkan jawatan dalam parti. Desakan Kamilia itu tidak akan menjejaskan hubungan baik mereka yang telah terjalin sejak sama-sama belajar di Kolej Tunku Kurshiah (TKC), Seremban suatu ketika dahulu.

"Saya amat memahami cara Kamilia yang dianggap sebagai kakak dan tindakan beliau itu bukan satu perkara yang besar. Sebagai satu keluarga dalam Wanita UMNO, kita semua ada cara masing-masing. Sebagai Ketua Wanita UMNO, saya mesti terima segala cubaan sebab saya adalah payung kepada semua termasuk Kamilia," katanya.

Perpaduan dan mengutamakan parti adalah jalan terbaik dalam mencari jalan penyelesaian lebih-lebih lagi saat getir untuk menghadapi piliharaya yang akan datang tidak berapa lama lagi. Sikap yang ditunjukkan oleh kedua pemimpin wanita ini harus dipuji dan diteladani oleh kita generasi muda agar kita dapat menilai dan meletakkan keutamaan parti daripada menjadi mangsa mainan politik semata-mata.

Oleh itu, PS menyarankan agar kita dapat merapatkan barisan dan jurang antara kita sama ada perselisihan faham atau pun persengketaan yang berpuak-puak serta mencari titik pertemuan agar kepentingan parti keramat kita iaitu UMNO dan Barisan Nasioanl memperolehi kejayaan dalam PRU-13 yang akan datang.

Salam Perjuangan



"Suara Belia/Anak Muda Bersatu, Tidak Dapat Dikalahkan"

Wan Salwati Hj.Abdullah
Ketua Puteri UMNO Bah.Seremban / Exco Puteri UMNO Malaysia
MKT Gerakan 4B Malaysia / Presiden Majlis Belia Negeri N.Sembilan
Ahli Lembaga Penasihat IKRAR Malaysia.



Nurkilan Pembaca PS

Pemimpin Curang/Tamak/Tidak Bermoral Larut Dalam Godaan yang akhirnya membawa bencana.


Eustace Chester, dalam bukunya Love Without Fear menggunakan istilah "kongres curang" bagi menggantikan perbuatan hubungan seks. Hubungan seks yang dilihat sebagai curang ialah hubungan yang berlaku dalam keadaan bertentangan dengan peraturan, moral dan susila. Ia mungkin hubungan antara kekasih yang masih belum diikatkan dengan perkahwinan. Atau hubungan sulit dalam istilah sekarang. 

Tentunya hubungan itu berlaku secara sorok-sorok, atau sembunyi-sembunyi. Ia tidak akan berlaku secara terang-terangan. Ia akan mengakibatkan lebih banyak tafsiran negatif sehingga boleh menyebabkan kedudukan serta kepimpinan seseorang akan berubah, jatuh dan rebah.

Dalam sejarah manusia, sudah banyak pemimpin handal dan bijaksana menjadi "korban kongres" curang. Masyarakat Amerika Syarikat yang terkenal dengan seks bebas tetap tidak boleh menerima pemimpin mereka terbabit dengan "kongres curang". 

Kes Bill Clinton dan Monica Lewinsky telah menggugat pengaruh seorang Presiden dan Pemimpin No.1 Dunia sehingga dilihat sebagai seorang yang tidak lagi boleh dipercayai. Akhirnya siasatan dilakukan, dan sepanjang tempoh itu jugalah timbulnya pelbagai istilah dalam "kongres curang" itu, antaranya “Monicagate”, “Lewinskygate”, “Tailgate”, “Sexgate”, dan “Zippergate”.

Pada tahun 1963, berlaku skandal yang menyebabkan Setiausaha Negara Britain, John Profuno menghadapi tekanan apabila "kongres curangnya" dengan seorang wanita pengintip KGB, Christine Keeler terdedah dan tersebar. John Profuno pada mulanya cuba menafikan penglibatannya dalam skandal ini, sepertimana Bill Clinton membuat pengakuan bersumpah.  Akhirnya mereka rebah juga ke bumi akibat daripada "kongres curangnya".

Selain daripada itu, penglibatan Silvio Berlusconi, Perdana Menteri Itali yang dikatakan gemar mengadakan parti seks, melanggan pelacur dan mendampingi wanita seksi walaupun ada di antaranya masih di bawah umur. Beliau sanggup melakukan apa sahaja demi memuaskan "kongres curang" sehingga sanggup menipu tarikh lahir dan memberikan wang yang banyak. Kedudukannya semakin terancam. Masa depan politiknya juga menjadi semakin suram.

Dari perspektif sejarah, krisis politik atau kepimpinan yang melibatkan "kongres curang" adalah satu bentuk krisis moral. Krisis moral berlaku dalam semua masyarakat, termasuk masyarakat beragama. Menurut seorang ahli sosiologi Islam terkemuka pada abad ke-15, Ibnu Khaldun, kedudukan seseorang yang berkuasa amat mudah terpengaruh dengan pelbagai godaan, kemegahan, harta (wang) dan wanita. Makin tinggi kedudukan kuasa seseorang itu maka makin bertambah kuat godaan yang mengasak naluri dan minda.  
Maka, sejarah banyak mencatatkan bahawa sebab utama kejatuhan seseorang pemimpin ialah kerana larut dalam godaan sehingga tidak lagi mampu memenuhi kehendak rakyat.

Kebangkitan kuasa rakyat di Tunisia, Mesir, Yaman dan kini sedang hebat berlaku di Libya mempunyai kaitan rapat dengan larutnya pemimpin dengan godaan kemewahan tanpa mempedulikan rakyat. Semakin lama berkuasa, pemimpin-pemimpin terbabit telah membina kekayaan peribadi dan menjadi lebih autokratik sehingga tidak lagi memberikan perhatian kepada rakyat kebanyakan. 

Akhirnya rakyat sedar, mereka telah diperlakukan sebagai alat untuk mendapatkan kuasa, tetapi apabila berkuasa dilupakan. Lama kelamaan membangkitkan kemarahan, konflik, pemberontakan dan desakan menyingkirkan pemimpin.

Meskipun pendapat Ibn Khaldun itu mewakili analisis sejarah yang berlaku sehingga abad ke-15, realitinya masih berlaku hingga kini. Bagi menghindarkan diri dari terperangkap dengan godaan, Ibnu Khaldun menasihatkan para pemimpin agar  berhati-hati, kerana adakalanya musuh sengaja melakukan usaha untuk menjatuhkan seseorang. Hukum moral semakin menipis, yang menebal ialah aset, harta benda dan kuasa.

Menurut Ibnu Khaldun godaan juga datangnya dalam bentuk yang lain. Ia datang dalam bentuk tarikan yang boleh mencairkan iman seseorang. Bagi seorang lelaki, tarikan yang paling memukau ialah wanita cantik, seksi, mulus dan manja. Wanita tersebut bukan sahaja menjadi daya penarik bagi kepentingan dirinya sendiri, malah ada ketikanya membawa muslihat mengkhianati negara. Kisah Samson dan Delilah dalam zaman kuno boleh dijadikan contoh. Samson merupakan seorang wira muda, gagah dan perkasa. Samson tertarik dengan keayuaan Delilah. Hubungan antara kedua negara adalah saling bermusuh. Delilah dijadikan umpan untuk mengetahui rahsia kekuatan Samson yang amat sukar untuk ditundukkan. Dalam kelembuat Delilah, akhirnya Samson mendedahkan faktor utama kekuatan dirinya, iaitu rambutnya yang tidak pernah dipotong. Akhirnya, semasa terlena di atas pangkuan Delilah, rambut Samson dipotong. Samson dapat dikalahkan dan negaranya tergadai.

Bagi menghindari godaan, Ibnu Khaldun meletakkan agama sebagai pendinding kebal. Agama diberikan nilai yang tinggi dalam membentuk sesuatu peradaban. Baginya, agama adalah faktor asas terpenting bagi membentuk sebuah peradaban besar dan hebat. Agama dijadikan acuan falsafah moral yang dapat meneguhkan sesebuah peradaban.


Nurkilan Pembaca Paradigma Srikandi



Friday, 23 March 2012

Najib Pilih Calon 
Ikut Kehendak Rakyat


Temubual Y.A.B Datuk Seri Najib 
bersama Stesen Radio 988 FM

Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengikut kehendak rakyat dalam memilih calon bagi pilihan raya yang akan datang ini..

Sebagai seorang pemimpin, adalah wajar saya mendengar apa yang rakyat mahu. Maka, saya akan membuat keputusan sama ada tempoh bagi seseorang itu sudah sampai dan dia tidak lagi harus bertanding," kata Perdana Menteri dalam satu temubual oleh stesen radio 988 FM selaam 1 jam.

Sebagai contoh, jika orang ramai di sesuatu kawasan itu mendapati wakil rakyat mereka gagal menjalankan tugas dengan baik dan mereka tidak lagi mahu orang ini mewakili mereka, maka beliau perlu membuat keputusan.

Persoalan yang akan timbul akhirnya ialah sama ada beliau selaku Perdana Menteri dapat memenuhi kepentingan rakyat atau tidak, katanya.

Najib berkata beliau akan dipersalahkan kerana menggugurkan mereka.

"Kita tidak boleh salahkan pemimpin kerana pemimpin melakukan apa yang terbaik untuk rakyat. Itulah prinsip yang saya pegang," katanya.

Ketika ditanya sama ada pilihan raya umum kali ini akan diadakan pada Mei atau Jun, Perdana Menteri berkata apa saja boleh berlaku tetapi memilih tarikh pilihan raya bergantung kepada banyak faktor.

Katanya apa yang penting ialah untuk meyakinkan rakyat bahawa masanya adalah sesuai dan terdapat keyakinan yang tinggi terhadap kerajaan.

"Saya masih menilai keadaan semasa lawatan saya ke seluruh negara. Saya ingin lihat sejauh mana sokongan rakyat terhadap saya dan terhadap kemampuan kita menyelesaikan isu-isu semasa.

"Mudah-mudahan terdapat faktor-faktor keyakinan yang baik malah yang kukuh, maka itulah masanya saya rasa kita akan adakan," katanya.

Mengenai serangan peribadi dalam laman Facebook beliau, Najib berkata itu sudah dijangka kerana dalam alam siber, semuanya boleh belaka.

"Tapi, jika ada teguran positif dan membina, saya rasa ianya baik untuk negara melibatkan rakyat.

"Rakyat harus menyatakan pendapat. Sebagai pemimpin, terpulang kepada kita untuk melibatkan mereka. Proses penglibatan rakyat ini baik untuk kita. Saya menyambut baik proses ini dan berharap rakyat akan melihatnya secara positif," katannya.

Ketika ditanya sama ada beliau menganggap dirinya seorang ahli politik atau seorang negarawan, Perdana Menteri berkata beliau berpendapat kombinasi kedua-duanya perlu ada pada seorang pemimpin sebuah negara demokrasi yang segar seperti Malaysia dan negara-negara lain.

Katanya kerajaan mempunyai perancangan jangka panjang dan visi yang amat jelas untuk Malaysia.

"Namun, pada masa yang sama, saya harus berpijak di bumi nyata. Saya sedar bahawa untuk mencapai visi jangka panjang ini, kita perlu menang dalam pilihan raya akan datang.

PS amat bersetuju dengan apa yang disampaikan oleh Perdana Menteri kita berkaitan siapakah calon yang dikatakan sesuai dalam ertikata sebenar "winnable candidates". PS juga tidak mahu mengulas panjang berkaitan isu calon kerana ianya adalah hak Presiden parti. Apa yang penting dan perlu diberi penekanan adalah untuk terus berusaha bagi meraih sokongan serta undi daripada rakyat agar calon yang terpilih dalam piliharaya ini menang dan memihak kepada Barisan Nasional.

Salam Perjuangan

"Suara Belia/Anak Muda Bersatu. Tidak Dapat Dikalahkan"

Wan Salwati Hj.Abdullah
Ketua Puteri UMNO Bah.Seremban / Exco Puteri UMNO Malaysia
MKT Gerakan 4B Malaysia / Presiden Majlis Belia Negeri N.Sembilan
Ahli Lembaga Penasihat IKRAR Malaysia.

Untuk Renungan Bersama.


BACAAN
KHUTBAH JUMAAT

daripada

BENTENG KEAMANAN
(23 Mac 2012 / 30 Rabiul Akhir 1433H)


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga ketaqwaan yang ditambah nilai itu, membentuk kita menjadi insan soleh dan mulia di dunia dan di akhirat. Oleh itu, sempena  Hari Ulang Tahun Polis di Raja Malaysia (PDRM) yang ke 205 pada 25 Mac ini, mimbar akan membincangkan khutbah bertajuk: BENTENG KEAMANAN .

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Perubahan suasana politik dunia global masa kini dan tekanan serta penghinaan yang dihadapi oleh sebahagian umat manusia menuntut kita menguasai kekuatan ketenteraan, kepolisan, dan keupayaan mempertahankan negara. Oleh itu sebagai sebuah negara yang berdaulat perlulah diperlengkapkan dengan rancangan serta program jangka panjang untuk menyemai rasa hak dan tanggungjawab  membela kemuliaan maruah diri, bangsa dan negara. Alhamdulillah, sejak tahun 1807 hingga sekarang kita mempunyai pasukan polis yang berkemampuan menjaga keselamatan agama, rakyat, dan negara daripada segala ancaman dan pencerobohan musuh yang boleh menggugat keamanan dan kedaulatan negara.

Sebagai orang Islam, kita berbangga kerana mengetahui bahawa institusi sepenting itu telah pun wujud sejak zaman Khulafa’ ar-Rashidin lagi. Saidina Umar al-Khattab umpamanya, telah menjalankan penyusunan pentadbiran bagi memastikan kelicinan jentera pemerintahannya dan antara perkara yang dilakukannya ialah mewujudkan sebuah pasukan bagi menjaga keamanan orang awam. Saidina Umar sendiri telah turut serta menjalankan tugas tersebut apabila menjalankan rondaan pada waktu malam untuk melihat keadaan rakyatnya dan menjaga keselamatan dan kebajikan mereka.

Pada zaman Kerajaan Umayyah dan Kerajaan Abbasiah, wujud jawatan ketua polis iaitu Sahib al-Shurtah. Di Andalusia pula digelar Sahib-al-Madinah, dengan pasukan polisnya Shurtah al-Kubra dan Shurtah al-Sughra. Ketika Zaman Kerajaan Melayu Melaka, Temenggung menjalankan tugas-tugas sebagai ketua polis dengan dibantu oleh para hulubalang. Mimbar ingin menegaskan bahawa tugas dan tanggungjawab mempertahankan agama dan negara amat besar ganjarannya di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa ayat 95:

Maksudnya:  Tidaklah sama keadaan orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang yang beriman selain daripada orang yang keuzuran dengan orang yang berjihad (berjuang) di jalan Allah dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang yang tinggal duduk dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan dilebihkan Allah akan orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar.


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Betapa pentingnya fungsi pasukan keselamatan di dalam Islam tidak dapat dinafikan, terutamanya apabila kita melihat kepada Maqassid syariah, iaitu memelihara agama, akal, keturunan, nyawa dan harta benda. Anggota keselamatan kita pada waktu ini sedikit sebanyak membantu umat Islam untuk mencapai kelima-lima matlamat tersebut. Dalam masa yang sama, haruslah diingatkan bahawa kita perlu sentiasa memelihara hubungan kita dengan Allah SWT, iaitu مِنَ الله حَبْلٌ (Hablun min Allah), dan hubungan kita dengan manusia, iaitu مِنَ النَّاسِ حَبْلٌ (Hablun min al-nas). Maka, bagi memastikan kedua-dua bentuk hubungan itu terpelihara dan dapat dilaksanakan dengan baik, keamanan dan kedamaian adalah diperlukan. Di sinilah peranan yang dimainkan oleh mereka.Sabda Rasulullah SAW:

Bermaksud: Apabila orang ramai melihat seorang zalim, tetapi tidak merubah kemungkaran yang dilakukanya, hampir-hampir Allah SWT menimpakan mereka dengan balasan dari sisinya. (Riwayat al-Tirmizi)

Sebagai umat Islam yang beriman, kita telah disaran oleh Rasulullah SAW agar tidak berdiam diri apabila kemungkaran berlaku. Sesuatu perlu dilakukan untuk mencegah kemungkaran tersebut daripada terus merebak dan mengganggu ketenteraman kita, keluarga dan masyarakat. Dengan kuasa yang diberikan oleh undang-undang negara melalui Akta Polis 1967, pastinya masyarakat melalui pasukan polis yang bertugas sepanjang masa, akan dapat mencegah dan menghentikan kemungkaran dengan lebih berkesan.

Namun demikian, itu tidak bermaksud kita boleh menyerahkan tugas tersebut secara bulat-bulat kepada pasukan keselamatan semata-mata. Tanggungjawab mencegah kemungkaran tersebut masih berada di bahu kita dan kita perlu memberikan kerjasama dan bantuan yang sewajarnya, berdasarkan Firman Allah SWT di dalam Surah al-Maidah, ayat 2:

Bermaksud: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa Yang melanggar perintahNya).


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,    

Bangsa yang maju memerlukan umat yang dapat mempertahankan diri dan negara daripada dicerobohi. Justeru, kekuatan menjaga negara, bukan hanya terletak kepada ramainya anggota polis atau tentera dan kecanggihan peralatan. Yang lebih penting daripada itu ialah semangat juang, kekuatan mental, jiwa, dan rohani. Jika sifat ini dimiliki, maka insya Allah akan melahirkan anggota keselamatan yang berkualiti, berdisplin dan berintergriti.

Pahatan sejarah Islam membuktikan, kekuatan tentera Islam adalah berpunca dari kekuatan iman dan ikhlas berjuang kerana Allah SWT serta ketaatan kepada kepimpinan mereka. Dengan itu, mereka mampu bertahan dalam apa juga keadaan, tidak mudah mengaku kalah walau ditawarkan pelbagai habuan sebagai balasan mempertaruhkan tanah air kepada kuasa luar. Justeru , sifat taat dapat membentuk seseorang itu bertanggungjawab dan rela berkorban. Hal ini amat penting kerana tanpanya ia boleh memecah belahkan perpaduan, persefahaman, dan imej anggota keselamatan. Jika dibiarkan, organisasi dan sistem keselamatan menjadi lemah.

Mimbar ingin mengingatkan kepada para jemaah sekalian bahawa peristiwa keingkaran tentera pemanah Islam di peperangan Uhud mestilah menjadi iktibar buat kita semua sebagai umat Islam. Akibat melanggar perintah Rasulullah SAW agar bertahan di lereng Bukit Uhud walaupun apa yang terjadi, menyebabkan pertahanan tentera Islam kucar-kacir sehingga mengorbankan ramai jiwa.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Keselamatan negara boleh tergugat melalui berbagai ancaman, sama ada berbentuk dalaman mahupun luaran. Di antara ancaman dalaman itu ialah gerakan golongan pelampau agama, sensitiviti perkauman, taasub politik kepartian, gejala sosial yang menggugat kestabilan masyarakat  dan  ajaran pemikiran sesat yang menimbulkan permusuhan sesama Islam. Manakala ancaman yang berbentuk luaran pula ialah isu persempadanan antara negara, bersekongkol dengan  kuasa asing, persepsi negatif terhadap negara-negara Islam, dan perang saraf daripada musuh-musuh Islam. Berdasarkan ancaman ini, maka pertahanan negara perlu diperkukuhkan agar dapat menjamin keselamatan dan keamanan negara.

Mengakhiri khutbah, mimbar ingin berpesan kepada semua anggota keselamatan dan umat Islam sekalian,  sempena sambutan Hari Ulang Tahun PDRM ini, agar berusaha mempertingkatkan keimanan dan memperbanyakkan tawakal kepada Allah SWT serta berkhidmat dengan amanah mengikut ajaran Islam. Insya-Allah, agama, kedaulatan bangsa dan negara akan terpelihara serta mendapat perlindungan Allah SWT. 

Ingatlah  kekuatan pasukan keselamatan dan rakyat merupakan pemangkin kepada benteng keselamatan dan keamanan negara. Tanpa sokongan padu semua pihak, kesejahteraan dan kemakmuran negara tidak akan tercapai. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah al-Anfaal ayat 45:

Maksudnya:Wahai orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan satu pasukan maka teguhkanlah hatimu, dan ingatilah Allah banyak-banyak, supaya kamu berjaya .


KHUTBAH JUMAAT - 23HB.MAC.2012
Sumbangan daripada :
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)