Tuesday 18 September 2012

Sokong Haramkan 'Innocence of Muslims'

 Tiada lagi akses untuk filem hina Rasulullah di internet
 
KUALA LUMPUR: Filem anti-Islam 'Innocence Of Muslims' yang menghina Nabi Muhammad S.A.W dan agama Islam, didapati tidak lagi boleh diakses melalui saluran YouTube selepas kerajaan bertindak menyekat penyiarannya.

Cubaan Bernama hari ini untuk mengakses kandungan filem itu gagal, menjurus kepada pengamatan bahawa pengguna Internet di negara ini telah dihalang daripada mengakses filem kontroversi itu. Hanya maklumat pemberitahuan meminta maaf tertera pada skrin yang berbunyi: 

"This content is not available in your country due to a legal complaint. Sorry about that" (Kandungan ini tidak boleh ditonton di negara anda berikutan aduan secara perundangan. Maaf mengenai perkara itu).
 
Filem arahan Sam Bacile, 52, dari California, yang disiar dalam laman YouTube mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Dua hari lepas, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, Malaysia akan menyekat penyiaran filem itu yang jelas menghina agama Islam.

Rais dipetik sebagai berkata, beliau meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk berunding terus dengan pihak berkuasa lain supaya tidak membenarkan akses kepada paparan itu sama ada melalui YouTube atau saluran lain. - BERNAMA 

Sumber : Berita Harian

Isu filem hina Islam : Umat Islam diminta solat hajat


Umat Islam di negara ini disaran menunaikan solat hajat, membaca Yasin dan berzikir pada Khamis ini di semua masjid dan surau bagi memohon kesejahteraan umat Islam di seluruh dunia berikutan penerbitan filem ‘Innocence of Muslims’

Sehubungan itu, Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) dan Majlis Gerakan Badan Bukan Kerajaan Islam Asean meminta Masjid Negara supaya dapat mengetuai bacaan Yasin, Zikir dan solat hajat disusuli khutbah khas mengenai isu serangan dan propanganda jahat pihak tidak bertangungjawab terhadap Islam.

“Sebagai umat Islam, kita seharusnya menunjukan kekuatan dan perpaduan kita dalam menghadapi isu ini bersama iaitu melalui doa yang disifatkan sebagai ‘senjata mukmin’,” kata IKIAM dalam kenyataan di sini, hari ini

Filem itu yang disiar dalam laman Youtube pada 11 Sept lepas mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia kerana ia menghina Islam khususnya Nabi Muhammad SAW

Filem itu turut dikutuk Gereja Kristian Ortodoks Koptik sebagai “sebuah filem yang bersifat menghasut” manakala Majlis Gereja-gereja Sedunia berkata filem itu “satu penghinaan kepada agama Islam” – Bernama

Google Malaysia sekat filem hina Islam

Google Malaysia menyekat akses laman YouTube klip video kontroversi ‘Innocence of Muslims’ sebagai respons kepada aduan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)

Sesiapa yang cuba melayari video itu dari alamat penyedia Internet Malaysia (IP) akan menerima mesej yang berbunyi:’Kandungan video ini tidak didapati di negara anda kerana aduan undang-undang. Maaf mengenai perkara ini’

Pegawai Komunikasi dan Perhubungan Awam Google Malaysia, Zeffri Yusof mengesahkan video tersebut telah disekat di Malaysia.

“Di mana kami telah melancarkan laman Youtube tempatan dan kami diberitahu bahawa sebuah video adalah haram di negara ini, kami akan menyekat akses kepada video tersebut selepas pemeriksaan teliti,” katanya pada Isnin.

Video tersebut turut disekat di beberapa negara termasuk Indonesia, India dan Mesir

MCMC telah menfailkan aduan rasmi kepada Google pada Sabtu berhubung video tersebut

Sumber : Encik Nakal


Pelakon filem hina Islam (Anna Gurji) diperdayakan oleh pengarah


Pelakon wanita,filem yang mencetuskan amarah masyarakat Islam dunia,merasa dikecam dan tidak selamat selepas protes dan pembunuhan berlaku berikutan tersiarnya klip video Innocence of Muslims di YouTube sejak seminggu lalu

Anna Gurji, 21, mendakwa melakonkan watak isteri muda kepada seorang lelaki bernama George, tetapi pengarahnya Nakoula Basseley atau dikenali sebagai Sam Bacile, bertindak menukarnya kepada Muhammad

“Saya tidak tahu George ditukar kepada Muhammad. Kini saya hanya berkurung di rumah. Saya bimbang masyarakat dunia memusuhi saya kerana filem itu

“Saya penganut Kristian Katolik, jadi mereka terfikir saya juga menentang Islam.Saya berasa dikhianati Bacile. Saya telah dikenali seluruh dunia dan jujur saya akui berasa malu apabila menonton watak itu,” katanya kepadaThe Mail Online

Gurji berkata, selain beliau barisan pelakon filem itu turut diperbodohkan Bacile yang kononnya tajuk filem berkenaan adalah Desert Warrior atau Innocence of Bin Laden selain langsung tidak berkaitan dengan isu keagamaan

Gurji bersama Bacile semasa proses rakaman filem itu-Foto DM

“Saya diberi watak sebagai Hilary. Menurut Bacile, filem itu mengisahkan sebuah komet jatuh di kawasan Timur Tengah, dan perebutan komet berlaku sehingga cetus peperangan untuk merebutnya

“Filem itu sepatutnya mempunyai banyak kesan khas kerana kami berlakon di hadapan layar hijau. Kos penggambaran rendah, saya hanya dibayar $75 (RM227.73) sehari

“Saya tidak tahu bagaimana Bacile boleh menukar jalan cerita itu. Mungkin saya bodoh tetapi tiada sesiapa menceritakan hal sebenar

Tiada seorang pun daripada barisan pelakon terfikir filem ini mempunyai agenda rahsia,” katanya mengakui filem itu dirakamkan di California

Sumber : Encik Nakal




Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaludin berkata, pergerakan itu yang kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menerbitkan filem antiIslam ‘Innocence Of Muslims’, bercadang mengadakan bantahan besar-besaran Jumaat depan.

Beliau berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab yang menghina Nabi Muhammad S.A.W dan agama Islam tidak boleh dipandang remeh dan perlu ditentang demi mempertahankan maruah agama Islam sejagat.

Pemuda UMNO akan mengadakan bantahan secara besar-besaran pada Jumaat ini bagi menzahirkan rasa kesal terhadap penerbitan filem antiIslam itu, katanya dan menurutnya lokasi dan cara bantahan itu sedang dibincangkan dan dimaklumkan dalam waktu terdekat.

“Bantahan ini dibuat tanpa mengira fahaman politik dan diharap ia akan menjadi platform kepada umat Islam menyuarakan kepada dunia bahawa perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan tindakan menghina Islam dan Nabi Muhammad S.A.W tidak boleh dipandang remeh.

“Sehubungan dengan itu Pergerakan Pemuda juga mengalu-alukan Dewan Pemuda PAS untuk turut serta mengadakan bantahan, ini adalah masalah sejagat yang perlu ditangani segera,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Permatang Pauh di Dewan Mutiara, Politeknik Permatang Pauh.

Beliau mengulas mengenai filem antiIslam ‘Innocence Of Muslims’ yang menghina Nabi Muhammad S.A.W dan agama Islam, arahan Sam Bacile, 52, dari California yang disiarkan dalam laman YouTube, yang mencetuskan kemarahan orang Islam di seluruh dunia. – BERNAMA

Sumber : Politik N9


Penerbit filem menghina Islam yang mencetuskan bantahan di seluruh dunia Arab dan beberapa negara Islam lain berkata, beliau tidak menyesal menghasilkan filem itu


Bantahan terhadap filem hina Islam di Indonesia

“Tidak, saya tidak menyesal. Saya sedih dengan pembunuhan duta tetapi saya tidak menyesal menghasilkannya,” kata Nakoula Basseley Nakoula, penganut Kristian Koptik Mesir, berusia 55 tahun yang menetap di California, memberitahu Radio Sawa yang berbahasa Arab

Beliau merujuk kepada pembunuhan duta Amerika Syarikat ke Libya, Chris Stevens dan tiga lagi pegawai lain dalam serangan ke atas konsulat Amerika di Benghazi yang dilaporkan dilancarkan penduduk tempatan yang marah dengan penghasilan filem Innocence of Muslims

“Saya yang membocorkan selingan selama 14 minit dan menyiarkannya di internet dan saya memikirkan untuk menerbitkan filem penuh. Tiada siapa dapat memanipulasi filem saya,” katanya

Ditanya jika beliau berasa bersalah dengan keganasan yang disasarkan ke atas warga Amerika, Nakoula berkata: “Ya! saya rasa bersalah. Amerika tiada kena mengena dengan subjek ini dan berdepan akibat filem yang tiada kena mengena dengan mereka”

Sumber : Encik Nakal


KL sekat filem hina Rasulullah

Malaysia menyekat penyiaran filem Innocence of Muslims yang menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia kerana menghina Nabi Muhammad SAW.


PENGHINA NABI DITAHAN…Penerbit filem Innocence of Muslims, Nakoula Basseley Nakoula, menyerah diri kepada pihak berkuasa di Los Angeles, semalam.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata beliau sudah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berunding dengan semua pihak berkuasa supaya tidak membenarkan akses kepada paparan itu sama ada melalui YouTube atau saluran lain.

YouTube tak peduli bantahan

Google menyekat klip video filem itu dalam YouTube di India, Libya dan Mesir, manakala Kerajaan Afghanistan menyekat sepenuhnya seluruh laman YouTube.

Rais berkata, adalah menjadi tanggungjawab YouTube untuk mengeluarkan filem itu daripada arkibnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, YouTube dilihat seolah-olah tidak peduli dengan kekecohan dan bantahan yang berlaku di negara-negara Islam ketika ini.

Video itu yang dimuat naik ke YouTube baru-baru ini, mencetuskan bantahan besar-besaran di negara Islam kerana memberikan gambaran negatif mengenai Islam.

Menyatakan langkah mengeluarkan video itu daripada YouTube tidak termasuk dalam keupayaan teknikal kami, Rais berkata SKMM bertanggungjawab daripada segi undang-undang mengambil langkah sesuai dan pencegahan untuk menyekat kandungan video itu daripada diakses di Malaysia.

Rais berkata, sekatan terhadap filem itu bertujuan memberi amaran kepada mana-mana pihak, sama ada di dalam atau luar negara bahawa kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana elemen negatif yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum.

Impak negatif

Kerajaan tidak mahu penyiaran filem itu mendatangkan impak negatif jangka panjang, katanya kepada pemberita di Bintulu, Sarawak, semalam.

SKMM pula memaklumkan sudah meminta kerjasama pihak luar negara agar kandungan filem itu tidak dapat diakses di Malaysia.

Pengerusinya, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi, berkata pihaknya sudah mengambil tindakan segera apabila filem itu mendapat kecaman dari seluruh umat Islam di dunia.

Kandungan filem itu di luar negara, jadi pihak luar sedang membantu kita… dari segi teknikal ia memerlukan masa, katanya kepada BERNAMA, malam tadi.

Dalam pada itu, penerbit filem Innocence of Muslims, Nakoula Basseley Nakoula, menyerah diri secara sukarela kepada pihak berkuasa di Los Angeles, semalam.

Ketika dibawa keluar dari rumahnya, Nakoula, 55, kelihatan menutup mukanya, selain memakai topi.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pembikinan filem berkenaan jelas berniat jahat untuk menimbulkan provokasi terhadap umat Islam supaya melakukan sesuatu tindak balas untuk memburukkan agama Islam.

Kita di KDN belum menerima permintaan untuk (kelulusan) menayangkan filem ini tetapi jelas kemarahan umat Islam membuak-buak, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Hulu Terengganu, semalam.

Di MEMBAKUT (Sabah), Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata pihak yang bertanggungjawab menghasilkan filem menghina Islam itu perlu melakukan sesuatu bagi membetulkan keadaan demi keamanan sejagat.

Dalam hal ini, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sudah mengeluarkan kenyataan mengutuk sekeras-kerasnya penerbitan filem itu.

Anifah yang juga Ahli Parlimen Kimanis, berkata penerbitan filem itu adalah antara contoh kebebasan bersuara yang kadang kala tidak membawa manfaat kepada rakyat.


Sumber : N9Kini.com