Thursday 19 July 2012

Peranan DUN Belia makin tercapai


Mengilham sesuatu entiti baru dan platform bersuara, bukan sekadar menyuarakan tanpa bertindak apa-apa. Segala cadangan baik dan membangun perlu diberi tindakan sewajarnya serta untuk mendapatkan pelaksanaan yang baik, berkumpul, berbincang, berfikir, membuat resolusi dan akhirnya melakukan mengikut perbincangan yang diputuskan secara bersama.

Jika untuk syok sendiri, perkara ini tidak perlu di bawa ke pelbagai peringkat. Maka, inilah medium baru bagi anak muda dan generasi belia meluahkan hasrat, membentangkan idea dan cadangan pembangunan serta menjadi benteng pertahanan negara yang paling bongsu.

Waimma bongsu, cetusan idea yang dibentangkan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Utama  Hj Mohamad Hj Hasan perlu direalisasikan menjadi kenyataan.

Semalam, saya turut berada di Makmal Kajian Dewan Undangan Negeri Belia (DUN Belia) Negeri Sembilan yang di adakan Allson Klana Resort, Port Dickson bagi mendengar kertas kerja-kertas kerja yang dibentangkan. Insya Allah, akan memberi manfaat kepada negeri ini dari kami belia Negeri Sembilan. 

Petikan ucapan beliau ketika merasmikan Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sembilan Mei lalu,

Pencetus idea DUN Belia
Menteri Besar Negeri Sembilan

“Kita mahu berhentikan stigma masyarakat mengatakan bahawa belia merupakan golongan bermasalah, sedangkan kenyataan ini tidak benar sama sekali. Belia apabila di dekati, mereka mampu memberikan buah fikiran, kreatif dan inovatif. Malah belia juga mempunyai semangat dan jati diri yang tinggi dan turut sayangkan Negara.” - www.n9kini.com 

Minum Pagi bersama YB.Dato' Kamil Aziz sempena Bengkel Makmal DUN Belia NS di Klana Resort PD...

Peserta Makmal Kajian DUN Belia NS bersama YB.Dato' Saifuddin Abdullah..

Bersama YB.Dato' Saifuddin Abdullah... Tq atas kelapangan Dato bersama berkongsi idea dlm Makmal Kajian DUN Belia NS...


PETIKAN AKHBAR 1 : Dun Belia ditubuhkan

SEREMBAN – Pelaksanaan Dewan Undangan Negeri (Dun) Belia Negeri Sembilan tidak lama lagi memberi peluang dan platform kepada belia untuk mengutarakan pelbagai isu berkaitan.

Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan (MBNS), Wan Salwati Abdullah berkata, setelah berbincang dengan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Majlis Belia Malaysia dan Jabatan Belia Dan Sukan Negeri, MBNS mendapat lampu hijau untuk melaksanakan Dun Belia dalam jangka masa terdekat ini.

Dengan adanya Dun Belia ini, katanya, ia membolehkan belia daripada pelbagai sektor mengutarakan pelbagai isu berkaitan belia serta masa depan belia dalam satu platform formal.

"Dengan penubuhan ini, Negeri Sembilan menjadi negeri pertama melaksanakannya. Penubuhannya juga melalui mekanisme tersendiri apabila sektor yang berimpak tinggi akan diwakili setiap pimpinan belia seperti dihasratkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Cadangan kewujudan Dun Belia itu sebelum ini disuarakan Menteri Besar pada tahun lalau semasa Majlis Sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri.

Tujuannya bagi mengumpulkan ahli-ahli belia seluruh negeri untuk berhimpun dan berdiskusi sekurang-kurangnya dua kali setahun dalam memberikan resolusi dan cadangan membina untuk di bawa ke peringkat negeri.

Sumber : Sinar Harian (21 Mei 2012)

PETIKAN AKHBAR 2 : DUN Belia, sekretariat tangkis fitnah


SEREMBAN  – Pengwujudan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi belia serta sekretariat menangkis fitnah merupakan salah satu usaha kerajaan negeri dalam memastikan suara belia di negeri ini dapat didengari.


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penubuhan dua entiti itu dilihat sebagai salah satu kaedah terbaik kerajaan dalam mendekati golongan berkenaan supaya segala permasalahan itu dapat dirungkai.


Justeru, katanya, bagi penubuhan DUN belia, semua belia pelbagai lapisan akan dilibatkan dalam membangkitkan apa juga isu yang dihadapi oleh mereka supaya kelonggaran yang dihadapi oleh kerajaan serta golongan itu dapat diberikan perhatian.


‘‘Kita mahu melihat pemikiran matang, kritis dan praktikal lahir dari minda belia untuk dilontarkan secara terus kepada kerajaan supaya jurang kerajaan dan golongan ini dapat dirapatkan.


‘‘Mengenai soal sekretariat menangkis fitnah ini, kita mahu supaya belia diberikan penerangan melalui media baru yang akan berperanan untuk menjelaskan isu secara berkesan,” katanya.


Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Belia Negara peringkat negeri di Kompleks Belia dan Sukan Paroi di sini, hari ini.


Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abd. Samad Ibrahim dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Baharudin Jali.


Dalam pada itu, Mohamad juga mahu supaya gerak kerja belia tidak seharusnya bercorak konvensional, sebaliknya perlu mendepani apa juga isu, penyelesaian krisis dan paling utama menyuarakan pendapat untuk membangunkan masyarakat.


Jelasnya lapan ‘sentuhan’ digariskan buat generasi belia di negeri ini supaya ia dijadikan sebagai petunjuk dalam menggerakkan agenda belia demi kecemerlangan agama, bangsa dan negara.


Katanya, garis panduan itu meliputi penekanan aspek pemikiran baru, kedaulatan diri untuk bergerak secara bebas tanpa pengaruh, menjadi seorang pemimpin ukuran kepada masyarakat selain fikirkan belia untuk diperkasakan kegiatannya.


Sumber : Utusan Malaysia (16 Mei 2012)


Salam perjuangan..


"Suara Belia / Anak Muda Bersatu. Tidak dapat dikalahkan."




Ikhlas,

Wan Salwati Hj Abdullah
Pegawai Khas YB Menteri Belia & Sukan Malaysia
EXCO Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Seremban
Ahli Majlis Tertinggi Belia 4B Malaysia
Ahli Lembaga Penasihat IKRAR Malaysia
Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan