Thursday 18 October 2012

Kedudukan Kewangan NS baik



SEREMBAN  - Kedudukan kewangan kerajaan negeri adalah baik dengan Kumpulan Wang Disatukan pada tahun lalu berjumlah RM350.77 juta dan mengalami peningkatan sejumlah RM30.79 juta iaitu 9.6 peratus berbanding tahun 2010.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2011 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam juga menunjukkan Akaun Hasil Disatukan kerajaan negeri telah mencatatkan surplus sejumlah RM69.17 juta pada tahun lalu berbanding sejumlah RM62.36 juta pada tahun 2010.

Turut dinyatakan dalam laporan berkenaan ialah baki pinjaman kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan termasuk bagi projek bekalan air, menurun dari RM1.56 bilion pada tahun 2010 kepada RM1.44 bilion.

''Pada akhir tahun 2011, baki hutang kerajaan negeri telah berkurangan sejumlah RM120.83 juta atau 7.7 peratus kepada RM1.44 bilion berbanding RM1.56 bilion pada tahun 2010.

''Baki berjumlah RM1.44 bilion tersebut merupakan baki pinjaman pokok projek bekalan air yang belum diambil alih oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan baki pinjaman yang belum dijelaskan oleh kerajaan negeri bagi Rumah Awam Kos Rendah, Projek Perbadanan Kemajuan Negeri dan Projek Pelbagai," menurut laporan itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika dihubungi Utusan Malaysia melahirkan rasa syukur dengan laporan berkenaan dan mengucapkan syabas kepada seluruh kakitangan jabatan dan agensi kerajaan di negeri ini yang dapat melaksanakan tugas menyelenggara kewangan dengan baik.

''Alhamdullilah pengurusan kewangan kerajaan negeri adalah baik dan berasaskan Indeks Akauntabiliti yang dijalankan di 12 jabatan dan agensi, juga menunjukkan enam agensi mencapai tahap sangat baik dalam pengurusan kewangan," katanya.

Jabatan dan agensi itu ialah Pejabat Kewangan Negeri Sembilan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Pejabat Daerah Dan Tanah Kuala Pilah, Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan, Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

''Prestasi baik ini boleh terus dipertingkatkan dan saya percaya, laporan Ketua Audit Negara 2011 yang dibentangkan hari ini memberikan semangat bekerja yang lebih kepada kakitangan awam," ujarnya.

Dalam laporan Ketua Audit Negara 2011 dibawah Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Kewangan Jabatan serta Agensi bagi tahun lalu, turut menunjukkan keseluruhan prestasi perbelanjaan dan pelaksanaan projek pembangunan oleh kerajaan negeri dibawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) adalah baik.

Laporan itu menyebut, sejumlah 213 projek atau 97.3 peratus daripada 219 projek yang diluluskan pada tahun 2011 telah dapat disiapkan.

Sumber : Utusan Malaysia