Thursday 15 November 2012

Negeri Sembilan tuan rumah Pesta Sukan Kebudayaan Belia Malaysia (PSKBM)





Salam semua..

November Rain.. Ada yang pernah mendengar lagu nih?? Nyanyian Kumpulan Guns n Roses. Sedap lagu tu.. Memang sesuailah untuk memberi semangat kerja di bulan November yang sibuk ini. (sekadar hiburan halwa telinga.. selebihnya fokus untuk segala amanah dan tanggungjawab)

Dua bulan untuk menutup taqwim 2012 dengan penuh semangat dan keceriaan. Selepas bertungkus lumus menghadapi dan berhadapan dengan pelbagai rintangan dan kerjaya. Sangat hebat dunia saya..

Tidak mahu berceloteh panjang, sekadar bicara ringan, kesempatan ini sekali lagi.. Majlis Belia Negeri Negeri Sembilan (MBNNS) berhadapan dengan tugas dan amanah yang amat ceria dan gembira sekali.

Untuk makluman kita semua, MBNNS akan menjadi  tuan rumah  bagi Pesta Sukan Kebudayaan Belia Malaysia (PSKBM)

Ia merupakan program Dwi Tahunan Majlis Belia Malaysia yang akan berlangsung pada 22 -25 November 2012.

Untuk makluman semua juga, Negeri Sembilan merupakan negeri ketiga selepas negeri Perak dan Penang.

Terdapat tujuh (7) acara sepanjang PSKBM ini berlangsung antaranya,

a. Perlawanan Futsal
b. Perlawanan Sepak Takraw
c. Perlawanan Ping Pong
d. Perlawanan Badminton
e. Perlawanan Bola Jaring
f.  Perlawanan Bola Keranjang 3 on 3
g. Paintball

Sementara bagi kategori kebudayaan pula, acara yang dipertandingkan ialah,

a. Pertandingan Nyanyian
b. Pertandingan Tarian
c. Pertandingan Deklamasi Sajak

Dijangka seramai 2450 orang atlet yang akan terlibat dan menyertainya, di mana mereka akan mewakili 40 badan gabungan di bawah Majlis Belia Malaysia (MBM).

Program yang berlangsung selama empat hari ini akan disempurnakan oleh Dato' Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan.

Butiran adalah seperti berikut,

Tarikh : 24 November 2012 (Sabtu)
Masa : 8:30 malam
Tempat : Kompleks Sukan Negeri Sembilan, Paroi (Centre Court)

Para belia dan orang ramai dijemput hadir bagi menyaksikan perlawanan-perlawanan yang berlangsung di venue sukan berhampiran.

Moh ramai-ramai datang.. kito sokong belio kito.. Belio kito rakan kito..



Salam Perjuangan,


Wan Salwati Hj Abdullah
Presiden MBNNS



‘HWMN2012’ Platform Wanita Muda Pamer Keupayaan



KUALA LUMPUR - Himpunan Wanita Muda Negara 2012 (HWMN2012) bakal menjadi platform kepada  golongan wanita muda di negara ini untuk mensinergikan lagi upaya golongan tersebut ke tahap yang lebih baik.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirleen berkata himpunan itu yang menggunakan moto Inspirasi, Dedikasi, Ekspresi dan Aspirasi  selari dengan keperluan wanita muda untuk mengetengahkan bakat dan potensi sebenar mereka.

Menurut beliau pihaknya merasakan perlu ada platform untuk wanita muda dan setelah berbincang dengan rakan-rakan Puteri komponen BN serta NGO, maka pada kali ini ianya dapat direalisasikan.

“Himpunan itu bukan sekadar perhimpunan sebaliknya akan padat dengan pelbagai aktiviti untuk golongan muda meningkat maju ke hadapan. Himpunan ini mensasarkan kehadiran 10,000 wanita muda dari pelbagai latar belakang.

“Dan kita juga akan turut mengiktiraf pencapain wanita muda yang cemerlang melalui penganugerahan Anugerah Kesatria Puteri kepada 12 individu yang telah berjaya menerusi bidang perniagaan, pendidikan, kerjaya, pribumi, sukan, perubatan dan pelbagai bidang lain.

“Anugerah tertinggi iaitu Anugerah Nusa Mahsuri akan diberikan kepada YTM Tunku Puteri Intan Shafinaz Ibni Sultan Abdul Halim Muadzam Shah di atas sumbangan Tunku Puteri dalam bidang kemanusiaan dan kemasyarakatan hingga ke peringkat antarabangsa,” katanya pada sidang media Himpunan Wanita Muda Negara 2012, di Seri Pacific, di sini, hari ini.

Rosnah seterusnya menambah program berkenaan akan dipecahkan kepada tiga segmen utama iaitu himpunan, pameran dan demonstrasi serta seminar berkaitan wanita muda.

“Antara aktiviti menarik pada program ini ialah bual bicara perniagaan yang akna menampilkan ikon pernioagaan terkemuka negara, segmen khas yang akan membincangkan topik ‘ Di sebalik kejayaan seorang lelaki, berdirinya seorang wanita, serta persembahan artis, cabaran pidato wanita muda, cabaran penyelidikan gender dan sebagainya lagi.

“Satu lagi yang menarik pada program ini ialah himpunan sejuta nota kecil yang tertulis impian dan harapan wanita muda yang akan dipamerkan pada hari perhimpunan pada ruangan Sejuta Impian dan pihak penganjur akan merealisasikan salah satu impian yang dipilih pada hari berkenaan.

“Marilah bersama-sama kita mengorak langkah dengan kesatuan ini untuk sama-sama memeriahkannya dan himpunan ini adalah sebagai permulaan ke arah membina semangat dan keberdayaan wanita muda dalam memimpin perubahan melalui inspirasi, ekspresi, dedikasi dan aspirasi berterusan,” katanya.

Himpunan Wanita Muda Negara 2012 akan berlangsung pada 25 November 2012 di Dewan Tun Razak 1, PWTC dan majlis pembukaan akan dihadiri Penaung HWMN2012, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikannya pada pukul 2.00 petang. Himpunan tersebut akan berlangsung dari 8 pagi hingga 7 malam. -MediaUMNO

Himpunan Wanita Muda Negara 2012 Sasar 10,000 Peserta



KUALA LUMPUR, (Bernama) — Kira-kira 10,000 wanita berusia 40 tahun ke bawah dijangka membanjiri Himpunan Wanita Muda Negara 2012 (HWMN2012) di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra itu pada 25 Nov ini.

Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata himpunan yang julung kali diadakan itu bertujuan membina semangat dan keberdayaan wanita muda dalam memimpin perubahan melalui inspirasi, dedikasi, ekspresi dan aspirasi yang berterusan.

Bercakap pada sidang media di sini, Rosnah berkata HWMN2012 akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada jam 2 petang manakala penaung himpunan itu Datin Seri Rosmah Mansor pula dijadual menyampaikan ucaptama pada sebelah pagi.

Himpunan yang dianjurkan Puteri Umno dengan kerjasama parti-parti komponen Barisan Nasional seperti MIC, MCA, PPP dan Gerakan itu turut disertai beberapa badan bukan kerajaan yang lain itu akan dipecahkan kepada tiga segmen utama iaitu himpunan itu sendiri, pameran dan demonstrasi 80 agensi dan syarikat; serta bengkel dan seminar berkaitan wanita muda.

– BERNAMA