Thursday 15 November 2012

Himpunan Wanita Muda Negara 2012 Sasar 10,000 Peserta



KUALA LUMPUR, (Bernama) — Kira-kira 10,000 wanita berusia 40 tahun ke bawah dijangka membanjiri Himpunan Wanita Muda Negara 2012 (HWMN2012) di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra itu pada 25 Nov ini.

Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata himpunan yang julung kali diadakan itu bertujuan membina semangat dan keberdayaan wanita muda dalam memimpin perubahan melalui inspirasi, dedikasi, ekspresi dan aspirasi yang berterusan.

Bercakap pada sidang media di sini, Rosnah berkata HWMN2012 akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada jam 2 petang manakala penaung himpunan itu Datin Seri Rosmah Mansor pula dijadual menyampaikan ucaptama pada sebelah pagi.

Himpunan yang dianjurkan Puteri Umno dengan kerjasama parti-parti komponen Barisan Nasional seperti MIC, MCA, PPP dan Gerakan itu turut disertai beberapa badan bukan kerajaan yang lain itu akan dipecahkan kepada tiga segmen utama iaitu himpunan itu sendiri, pameran dan demonstrasi 80 agensi dan syarikat; serta bengkel dan seminar berkaitan wanita muda.

– BERNAMA

No comments:

Post a Comment