Saturday 7 July 2012

Khawlah al-Azwar, lembutmu bukan halangan


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang...

Sebentar tadi, saya berkesempatan hadir merasmikan Persidangan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Ampang. Tahniah kerana berjaya bersidang untuk kesekilan kalinya. 

Bersama Dato' Ismail Kijo, Ketua UMNO Bahagian Ampangsebelum persidangan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Ampang

Buat sahabat perjuangan puteri, belia dan seantero dunia, saya kongsikan sirah srikandi Islam bernama Khawlah al-Azwar. 

Persoalannya di sini, mahukah kita menjadi srikandi yang ditatang lemah oleh kawan dan lawan? Mengundur tidak semestinya kalah. Mengalah bermakna menang. Bertindak sudah tentu dengan langkah iman.

Siapa??? Sudah pasti kita.. Baca kisah ini untuk motivasi perjuangan kita di Pergerakan Puteri UMNO serata tanahair. 

Kilatan demi kilatan pedang tangkas menghunus. Perang semakin sengit. Tentera muslim berdepan dengan tentera Rom yang ramai. Perindu-perindu syahid keletihan. Saat melamar bidadari syurga terasa kian hampir. Biar syahid, mengalah tidak sekali.

Seekor kuda perang meluncur gagah. Penunggangnya, wajah berlitup kain. Berani. Debu-debu berterbangan. Mata-mata terbeliak kagum, Teruja. Amuk si pewira mengayun tombak dengan garang. Musuh-musuh Allah jatuh dibuatnya. Allahukbar. Semangat tentera muslim menggelegar di udara. Musuh berasa gerun. "Adakah itu Khalid bin al-Walid?" Musuh tertanya-tertanya. Sememangnya nama besar Khalid al-Walid cukup menggetarkan mereka.

Salah seorang ketua skuad Islam, Raafe bin Umaira berbisik kagum, "beliau bertempur seperti Khalid al-Walid". Tersingkap tabir wajah, nyatalah si pewira bukan seorang lelaki berhati waja sebaliknya seorang srikandi yang perkasa. Tatkala mengetahui tentera yang sedang mengucar-kacirkan musuh itu adalah Khawlah al-Azwar, Khalid al-Walid hampir terjatuh dari kudanya.Takjub!

Misi membebaskan abang tersayang.
Khawlah al-Azwar terdorong menggempur musuh, mencari syahid dalam peperangan itu sebaik sahaja telinganya menangkap berita, abangnya Zirar al-Azwar telah ditawan. Sangkar besi milik tentera Rom yang penuh dengan penyeksaan membuatkan Khawlah al-Azwar tidak mampu lagi berdiam diri, lantas membuat pembelaan. Beliau asyik membayangkan betapa deritanya si abang melalui saat-saat ngeri disebalik jeriji-jeriji besi.

Peperangan beransur reda apabila pertahanan pihak musuh berjaya dipecahkan. Khawlah tidak sabar-sabar menanti operasi seterusnya. Abangnya mesti dibebaskan. Tentera muslimin mengatur operasi serangan seterusnya di Beit Lahiya, Gaza Palestin. Di situ Zirar al-Azwar dipercayai terpenjara. Khawlah al-Azwar menghunus pedang,menyertai perang. Akhirnya di situ abangnya yang tersayang di bebaskan.

Mahir berkuda dan bersenjata.
Khawlah al-Azwar, nama seindah identiti. Dibesarkan pada zaman Islam sering diancam peperangan. Ayahnya memperlengkapkan dirinya dengan ilmu mempertahankan diri. Sejak kecil, dia diasuh menunggang kuda dan bermain pedang. Segala teknik dan kemahiran diperturunkan. Maka mekarlah mawar agama itu sebagai seorang srikandi dengan perkasa.

Dalam perang Yarmouk, beliau cukup berwibawa memimpin dan memelihara kaum wanita yang ikut serta dalam peperangan itu.Tidak lengkap pasukan tentera islam tanpa kaum wanita sebagai sayap kiri perjuangan. Keberanian Khawlah terserlah sehingga kepalanya cedera mengalirkan darah. Pengorbanannya tidak sia-sia. Panji kemenangan muslim berkibar-kibar dalam peperangan itu hingga membawa kepada pembukaan syam. Bandar Damsyik bercahaya dengan sinar baru.

Membuka kurungan.
Dalam peperangan Sahura, Khawlah dan beberapa orang mujahadah muslimah tertawan. Ah, tiada episod kekalahan. Lawan tetap lawan. Mungkin begitu jeritan batin Khawlah. Beliau tidak mahu hanya menanti bantuan tanpa berusaha melakukan tindakan. Tertendang-tendang hatinya menyuruh berlawan. Pengawal-pengawal yang mengurung mereka nampak gagah perkasa. Sekali pandang, untuk menemui kebebasan memang mustahil. Dia mungkin tidak berupaya melawan secara berseorangan.Lalu dia berpidato untuk meniup semangat teman-teman seperjuangan.

"Wahai sahabat-sahabatku yang berjuang di jalan Allah, apakah saudari-saudari semua sanggup menjadi tukang-tukang picit orang Rom? Apakah saudari-saudari sanggup menjadi hamba-hamba orang kafir yang dilaknati? Adakah saudari rela dihina dan dicaci maki oleh bangsa rom yang durjana? Di manakah letaknya kehormatan saudari sebagai seorang muslimah yang bertaqwa? Sesungguhnya mati itu lebih baik bagi kita dari menjadi hamba orang-orang Rom."

Sebelum memulakan misi serangan ke atas pengawal-pengawal Rom itu, mereka berdoa, bertaubat dan bermunajat sesungguh dan seikhlas hati kerana selepas ini mereka mungkin dibantu Allah ataupun dibawa kembali selamanya kepada Allah. Menang atau mati syahid, mengalah tidak sekali.

Khawlah al-Azwar berpidato sekali lagi."Jangan sekali-sekali saudari gentar dan takut. Kita semua harus bersatu dalam perjuangan dan jangan ada yang terkecuali. Patahkan tombak mereka, hancurkan pedang mereka perbanyakkan takbir serta kuatkan hati. InsyaAllah pertolongan Allah sudah dekat

Allahuakbar! Pejuang-pejuang muslimah bertempur dengan pengawal-pengawal durjana itu dan akhirnya berjaya menumpaskan mereka. Lantas mereka lari membebaskan diri dari kurungan untuk terus berjihad bergabung dengan tentera muslimin.

Begitulah kentalnya episod hidup Khawlah al-Azwar yang terakam unggul. Adakah akan lahir seorang lagi srikandi seperti beliau? Beliau juga seorang wanita yang punyai 1 akal dan 9 nafsu.

Beginilah kita berjuang di zaman serba mencabar kian hari. Agar sirah diatas mempertingkatkan semangat dan jati diri, buat kita. Amin.

Salam hebat!!!!

Salam Perjuangan,

"Suara Belia/Anak Muda Bersatu. Tidak Dapat dikalahkan."



Ikhlas
Wan Salwati Hj Abdullah
Pegawai Khas YB Menteri Belia dan Sukan Malysia
EXCO Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Seremban
Ahli Majlis Kerja Tertinggi 4B Malaysia
Ahli Lembaga Penasihat IKRAR Malaysia
Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan