Monday 22 October 2012

Najib Seru Komponen BN Buat Persediaan Sebelum ‘Berperang’




Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu semua jentera Barisan Nasional (BN) menentukan mereka sudah mempunyai kesiapsiagaan yang tinggi sebelum menuju ke medan peperangan pada pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata sebelum menuju ke medan ‘perang’, seluruh jentera BN perlu membuat persiapan rapi, termasuk mengkaji pelbagai kemungkinan yang akan berlaku bagi memastikan setiap gerakan dilaksanakan tanpa rasa ragu.

“Kita mesti membuat persiapan dan terus bersiap sedia sehingga tiada lagi perasaan sangsi terhadap keputusan perang itu kelak. Saya menganggap persediaan ini amat penting, perancangan amat penting,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung MCA ke-59 di sini, hari ini.

Dalam menegaskan perkara itu, Najib memetik seorang ahli falsafah Islam bahawa pihak yang mempunyai perancangan yang teliti boleh mengalahkan pihak yang kurang buat kurang perancangan walaupun pihak yang kurang membuat perancangan itu adalah di pihak yang benar.

Mengulas perhimpunan MCA tahun ini, Najib mengakui terdapat perbezaan dan tanda-tanda perubahan pada parti terbesar masyarakat Cina itu yang dilihat lebih bersemangat dan bersedia berhadapan dengan pembangkang pada pilihan raya akan datang.

“MCA kali ini ada kelainan… ada keistimewaannya. Saya melihat bahawa ahli-ahli MCA yang hadir dalam dewan ini begitu bersemangat sekali, seperti kata presiden MCA, MCA sedia untuk berperang.

“Barangkali kalau kita sudah bersedia untuk berperang, memakai baju yang sama, adalah cerminan hati yang satu… tetapi mesti juga ada hati dan pemikiran yang sama, ” katanya.

Kata Najib agenda penting apabila ke medan perang adalah untuk memastikan kemenangan dan pada pilihan raya umum ke-13 ini, BN mahu mendapatkan kemenangan yang lebih besar.

“Siapa hendak pergi perang, kalah. Siapa yang mahu kalah? Kita mahu menang dan kali ini, kita mahu menang besar, sudahkan anda bersedia? Sentiasa bersedia. Bateri kuat tak?,” tanya beliau yang mendapat sorakan padu daripada anggota perwakilan yang hadir.

Seramai 1,698 anggota perwakilan menghadiri persidangan kali ini yang berlangsung selama dua hari bermula semalam dengan Persidangan Pergerakan Pemuda dan Wanita.

Najib berkata MCA kini dilihat lebih tegas dan tidak takut untuk berhadapan dengan pakatan pembangkang bukan sahaja dalam mempertahankan BN tetapi juga menangkis dakyah liar pembangkang.

“Sebab pembangkang ini banyak pembohongannya. Banyak yang ditipu kita, banyak yang dikelentong kita. Mereka cuba menggambarkan sesuatu yang kononnya indah tapi kalau kita belek dan kalau kita tolak di belakang, kita lihat sebenarnya, rosak dan banyak yang mereka lakukan, bertentangan dengan imej yang mereka cuba tonjolkan kepada umum,” katanya.

Pembangkang juga, menurut Najib tidak mempunyai kelayakan yang cukup untuk melaksanakan sistem kerajaan berparlimen walaupun sering mengadu-domba kesediaan untuk mengambil alih pemerintahan kerajaan dan Putrajaya.

“Mereka tidak mematuhi piawaian antarabangsa. Sebab antara pra syaratnya, mereka mesti ada simbol yang sama, dan mereka mesti ada manifesto yang sama. Tapi setakat ini, tiada… ‘ilek’…”.

“Sekejap-sekejap bulan, kejap-kejap roket, kejap-kejap mata. Mana boleh kita beri keyakinan pada rakyat, bagi tahu pada rakyat parti yang bertanding atas simbol yang berlainan tanpa satu manifesto adalah parti yang tidak ada dasar yang sama, bagaimana untuk mentadbir negara ini,” katanya.

Tegas Najib, rakyat tidak boleh mengambil risiko untuk menukar kerajaan kepada kepimpinan yang tidak mempunyai rekod pencapaian yang baik kerana ia seperti memperjudikan masa depan negara.

“Ada orang kata tak apa, kalau mereka tak betul, boleh tukar balik lepas lima tahun. Tetapi jangan cakap lima tahun, dalam setahun pun negara boleh  rosak, merudum, hancur, tertiarap (jika tidak ditadbir dengan baik).

“Dalam dunia yang berdasarkan kepada unsur ataupun dimensi globalisasi, ekonomi boleh lumpuh, saham boleh jatuh. Orang Cina, bekerja kuat, membina perniagaan masing-masing, ada banyak syarikat, kalaulah saham jatuh, ingat apa berlaku pada krisis Asia tahun 1997 dulu, apa yang berlaku?”.

Mengimbas kembali dilema krisis kewangan, Najib turut mengingatkan peranan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan yang mencadangkan beberapa perkara termasuk membuat pinjaman dengan Tabungan Kewangan Antarabangsa (IMF), menaikkan kadar faedah 24 peratus, melaksanakan belanjawanbajet menguncup.

“Siapa yang selamatkan kita? BN… dengan Tun Dr Mahathir…kita tolak IMF, kita katakan kita mahu menanganinya cara kita. Kalau kita benarkan perkara itu berlaku, hari ini ‘taiko-taiko’ di dalam dewan ini mungkin sudah pakai selipar jepun sahaja,” katanya yang disambut tepukan gemuruh warga MCA.

Sehubungan itu, perdana menteri mengingatkan rakyat supaya mengamalkan sikap berhati-hati dalam memilih kerajaan dengan melihat kepada rekod pencapaian danpengalamannya dalam mentadbir negara untuk menjamin kelangsungan negara pada masa akan datang.

“Jangan main api. Kita hendak masa depan kita kita corakkan bersama supaya di bawah kepimpinan BN kita boleh mencapai menjadi negara maju menjelang 2020,” katanya.
 

Sumber : UMNO Online

Bukan sahaja Melayu, Cina juga Sudah Muak Dengan DAP – Najib






Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata orang Melayu sudah muak dengan DAP, mencabar parti pembangkang itu yang mendakwa sebagai parti pelbagai kaum untuk bertanding di kawasan Melayu.

“Jika DAP sebuah parti pelbagai kaum, saya cabar mereka bertanding di kawasan Melayu. Anda tahu orang Melayu sudah muak dengan DAP…semuanya karut,” katanya semasa merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-59.

Antara yang hadir ialah Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Timbalan Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai, dua Naib Presiden Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, Senator Datuk Donald Lim Siang Chai dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Najib juga bersetuju dengan Presiden MCA bahawa pemimpin-pemimpin DAP kononnya mengutamakan pelbagai kaum tetapi pada hakikatnya tidak begitu.

“Bersikap demokratik…adakah mereka lebih demokratik daripada kami (BN). Jika anda mahu tahu, tanya Tunku Aziz (bekasl naib pengerusi DAP kebangsaan Tunku Abdul Aziz Ibrahim), beliau akan beritahu anda,” kata Najib sambil menegaskan mesej BN ialah perubahan sebenar dan kemajuan pesat sedang berlaku di Malaysia.

“Reformasi hanya sekadar satu slogan,” katanya.

Najib berkata orang boleh mempersoalkan dasar-dasar dan keadilan kerajaan tetapi tidak harus mempersoalkan asas negara ini yang telah dibina berasaskan Perlembagaan.

Perdana Menteri berkata kerajaan telah membuat banyak keputusan yang berisiko politik hanya untuk memastikan ianya adil kepada semua rakyat di Negara ini.

Atas asas itu, beliau berkata kerajaan tahu mengenai empat keperluan asas yang menjadi teras perjuangan masyarakat Cina di negara ini dan oleh yang demikian kerajaan sentiasa berusaha untuk memenuhi keperluan kumpulan itu, seboleh yang mungkin.

Keperluan itu termasuk mempunyai ekonomi yang stabil dan berdaya maju, negara yang adil dan saksama, tadbir urus baik dan pendidikan.

“Saya percaya orang Cina ada empat perkara yang dia hendak sangat…orang Cina hendak ekonomi, negara maju. Ekonomi negara kita antara yang terbaik di dunia pada masa ini. Ada pelawat luar negara kagum dengan Malaysia. Dia kata banyak kren di Malaysia dan semuanya sedang buat kerja.

“Ekonomi kita berjalan baik dan dan bajet kita yang mesra rakyat dan bertanggungjawab daripada segi fiskal. (Sebaliknya) Bajet PR, populis dan tidak bertanggungjawab daripada segi fiskal…banyak beza,” katanya.

Najib berkata apa yang paling menyedihkan beliau mengenai pembangkang ialah ketamakan mereka untuk berkuasa mungkin akan menjejaskan masa depan negara.

“Kenapa saya begitu marah dengan mereka, bukan kerana mereka mahukan jawatan saya, dalam sistem berParlimen, ok, nak tawan Putrajaya, lepas itu nak lelong, tak apa. Tetapi dia (pembangkang) tidak ada sesuatu yang lebih tinggi daripada (menawan) Putrajaya, menjadi perdana menteri, menjadi menteri besar…tidak ada perancangan lebih dari itu.

“Kami tidak boleh memperjudikan masa depan Malaysia. Kami telah bersusah payah membina negara ini…kami tidak akan mengorbankan apa yang telah kami lakukan,” Katanya sambil mempersoalkan kredibiliti pakatan pembangkang untuk menerajui negara sedangkan mereka tidak mampu memutuskan kabinet bayangan mereka.

Najib berkata untuk itu konsep 1Malaysia dilaksanakan sebagai bukti komitmen kerajaan dan parti untuk menjadi inklusif dan menghulurkan bantuan sebanyak yang boleh kepada semua kaum dan masyarakat di negara ini.

“Ini termasuk 5,000 suku kaum Kelabit di Sarawak dan Iban di Hulu Lacau, mereka juga rakyat Malaysia dan mesti dibantu,” katanya.

Mengenai pembinaan negara bangsa yang adil dan saksama, Najib berkata kerajaan perlu mengambil kira keperluan dan kebimbangan setiap kaum bagi membolehkan kerajaan membina sebuah negara yang aman, makmur dan mempunyai masa depan cerah.

“Kami mahu masa depan yang lebih baik, masa depan lebih terjamin dan sebab itu kenapa saya faham (mengenai keperluan masyarakat Cina)… Saya berjanji kepada anda bagi sebuah kerajaan yang adil dan saksama,” katanya.

Perdana Menteri berkata keperluan bagi  tadbir urus baik dibuktikan oleh kerajaan menerusi pelaksanaan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang antara lain termasuk agenda pencegahan jenayah, pengangkutan awam baik dan memerangi rasuah.

“Kita semua mahukan tadbir urus baik, bukan hanya orang Cina…sebagai sebuah kerajaan, kami perlu sediakan itu,” katanya.

Mengenai pendidikan Cina, Najib mengulangi keputusan kerajaan untuk memastikan sekolah Cina kekal sebagai sebahagian sistem pendidikan negara.

“Bapa-bapa pengasas kita telah memutuskan integrasi adalah cara terbaik. Mereka tidak memutuskan bagi asimilasi. Kita berbeza daripada Indonesia, Thailand, malah kita berbeza daripada Singapura.

“Anda boleh cakap apa yang anda suka, tetapi anda tidak boleh lupa yang negara kita adalah satu-satunya yang mempunyai sistem pendidikan Cina sebagai sebahagian daripada sistem kita,” katanya sambil berharap orang Melayu belajar bahasa Mandarin dan orang Cina lebih fasih berbahasa Melayu.

Najib juga menegaskan bahawa pendidikan Cina tidak sepatutnya dipolitikkan sebaliknya ia perlu dilihat sebagai satu daripada aspek pembinaan negara bangsa.

Sumber - UMNO Online

Jawatankuasa Khas Ditubuh Untuk Tangani Ahli Sabotaj dan Khianat Parti


Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO telah mengambil resolusi untuk mewujudkan satu Jawatankuasa Khas bagi memantau dan mengambil tindakan segera terhadap mana-mana anggota parti yang mengkhiant atau mensabotaj terhadap UMNO dan calon Barisan Nasional (BN).

Presidennya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memaklumkan bahawa Jawatankuasa Khas tersebut akan dianggotai oleh wakil-wakil yang tidak berkepentingan daripada Majlis Tertinggi, Jawatankuasa Pengurusan dan Lembaga Disiplin UMNO.

“MT setuju untuk mewujudkan jawatankuasa ini sebagai cerminan hasrat parti agar tindakan tegas dapat diambil dengan segera terhadap sesiapa yang mengambil sebarang tindakan yang boleh merosakkan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO di Menara Dato’ Onn petang ini.

“Kita juga setuju untuk lantik seorang anggota di tiap-tiap bahagian yang akan memberi laporan kepada jawatankuasa pemantau untuk disalurkan kepada jawatankuasa tersebut, di samping laporan secara terus kepada ibu pejabat dan secara online boleh dihantar.

“Kita juga bersetuju supaya definasi sabotaj dan khianati itu dihuraikan supaya semua orang jelas dan tahu apakah tindakan-tindakan yang boleh disabitkan dengan kesalahan yang boleh dikaitkan dengan fasal tersebut,” katanya lagi.

Jelasnya, keputusan tersebut dibuat selaras dengan Fasal 10.15 dibaca bersama Fasal 20.3 Perlembagaan UMNO, maka majlis tertinggi setuju untuk mewujudkan jawatankuasa khas ini.

Fasal 10.15 menyebut; Mengambil sebarang langkah selain daripada perkara-perkara yang tersebut di atas bagi kesempurnaan perjalanan parti sementara Fasal 20.3 ialah Majlis Tertinggi boleh menurunkan kuasa disiplin kepada mana-mana Jawatankuasa di peringkat Perhubungan Negeri atau Bahagian.

Tambah beliau, Jawatankuasa Khas ini akan dipengerusikan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail.

Dalam masa yang sama, Najib turut memaklumkan berkaitan persiapan Perhimpunan Agung UMNO yang berjalan lancar dengan tiga usul diluluskan iaitu, ucapan dasar Presiden, ekonomi dan ususl agama dan pendidikan.

Perhimpunan Agung UMNO 2012 akan berlangsung selama lima hari bermula 27 November hingga 1 Disember ini.

Menjawab soalan berkaitan termetrainya perjanjian damai Bangsamoro di Selatan Filipina, beliau memberitahu bahawa perjanjian ini adalah hasil sumbangan Malaysia yang secara konsisten telah kita dilakukan sejak 2001dan pasukan fasilitator ditempatkan pada 2004.

“Banyak lagi yang kita telah lakukan untuk membawa kepada rundingan yang telah menghasilkan perjanjian dan ditandatangani di Manila baru-baru ini.” - MediaUMNO


1 undi 1 kemenangan, 1 undi 1 kemenangan, 1 undi 1 kemenangan, banyak undi boleh menang








Assalamualaikum wth,

Saya mulakan dengan Man Jadda Wajadda.. Semoga apa yang diusahakan mendapat keberkatan daripada Allah Taala.

Sejurus selepas program bersama Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Rasah yang diketuai oleh saudari Norasyikin Abdul Rahman, di Hospital Tuanku Jaafar Seremban  pagi tadi, kami ke Bilik Gerakan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Seremban bagi mengemaskini data dan maklumat yang ada.

Saya tidak boleh melakukan dan melaksanakan ini seorang diri.. dan memerlukan bantuan.. bantuan sebagai gerak kerja berpasukan.. kerja berpasukan itu penting bagi memburu kemenangan.

Pilihanraya Umum ke-12, kami kalah bukan bermakna kami lemah.. kami kalah kerana mereka mahu melihat kami kuat. Mereka mahu kami memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan.

Senario yang dapat kita lihat pada hari, sokongan masyarakat telah pulih dan mereka telah nampak apa yang dilakukan oleh pihak pembangkang.

Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab kami untuk memburu kemenangan walaupun dengan 1 undi.. 1 undi 1 kemenangan, 1 undi 1 kemenangan, 1 undi 1 kemenangan.. banyak undi boleh menang.

Itulah usaha dan daya kami perjuangkan demi agama, bangsa dan negara. Mudah-mudahan gerak kerja dan usaha kami memburu kemenangan tercapai akhirnya, amin.


Berjuang atas nama keikhlasan,



Wan Salwati Hj Abdullah
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Seremban
 

Delegasi Puteri Prihatin.. Kami di Sikamat ketika itu..

Bakti Rakyat Bersama MIC DUN Sikamat

Di DUN Sikamat... Bersama Pengerusi MIC Sikamat Mr.RRM Krishnan dan rakan-rakan. 

 Lawatan kali kedua bertemu A.Pubalan A/L Armugam... Pemberian kerusi roda untuk Pubalan.

 Mr.Arumugam A/L Raju..Mantan Pengerusi MIC Taman Jujur kini mengidap lumpuh sebelah badan.

Steady Eijat.. Kuat.. :)

 Uncle ini berusia 76tahun... mengidap athma yg sirius, penglihatan tidak jelas tiada pendapatan tetap. Dia begitu sedih dan terharu menerima kunjungan Puteri yangg membawa sedikit bantuan untuk keluarganya. Dia menunjukkan gambar bagaimana dulu semasa sihat dia seorang pelukis dan pengukir patung2 untuk Kuil yang membuat tempahan.

Di Taman Desa Rhu

Keluarga ini tiada pendapatan tetap..suaminya telah hilang sebelah kaki akibat kemalangan..

Selepas bersama-sama Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Rasah, petangnya kami menyambung aktiviti kami di DUN Sikamat dan bertemu dengan masyarakat India di sana.

Aktiviti masyarakat ini, kami mendapat kerjasama yang amat baik di kalangan MIC DUN Sikamat yang banyak membantu mengenalpasti keluarga-keluarga yang memerlukan keprihatinan dan sentuhan kasih sayang dari kami.

Walaupun ia merupakan satu bentuk bantuan yang amat kecil, dari sudut hati kami, agar ianya memberi sinar dan semangat buat mereka.

Terima kasih kepada semua yang terlibat, jasamu di kenang sepanjang hayat.


Salam dan ikhlas berkhidmat,


Wan Salwati Hj Abdullah
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Seremban