Wednesday 29 February 2012

Perangi gejala judi siber haram | N9 Kini - Portal Berita Negeri Sembilan

Perangi gejala judi siber haram.....

RASUAH WAJIB DIHAPUSKAN

BELIA DAN ANAK MUDA MEMBENCI GEJALA RASUAH.






 PS amat tertarik dengan kesungguhan pucuk pimpinan negara yang diterajui oleh YAB.Datuk Seri Mohd Najib Bin Abd.Razak untuk membenteras musuh no 1 negara ketika ini adalah Rasuah. Iltizam dan pendekatan yang diambil oleh pemerintah negara perlukan sokongan dan dokongan semua agar gejala rasuah ini dapat dihapuskan terus bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan negara.

PS juga menyeru kepada golongan Belia dan Anak Muda yang terdiri pelbagai Bangsa dan Agama agar memandang serius gejala ini.Tidak keterlaluan budaya ini adalah budaya sejak dari dulu lagi dan sudah tiba masanya, semua generasi belia dan anak muda menolak budaya ini. Kita akan bersama-sama melakukan transformasi total yang berbudaya baru.
Kepada golongan belia, anak muda dan masyarakat sekalian, marilah kita membaca dan selami intipati ucapan YAB Perdana Menteri berkaitan gejala rasuah dan peranan kerajaan untuk mengatasinya.
 
Intipati Ucapan YAB.Perdana Menteri Malaysia....Sempena Perasmian Program Pegawai Intergriti Bertauliah.
1.            Alhamdulillah, saya memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan kurnia-Nya maka saya dapat berada di Majlis Perasmian Program Pegawai Integriti Bertauliah pada petang yang amat bermakna ini.
2.            Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana sudi menjemput saya untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan Program Pegawai Integriti Bertauliah ini.
3.            Sesungguhnya kehadiran tuan-tuan dan puan-puan di majlis ini menggambarkan kesungguhan dan keazaman kita semua untuk bersama-sama Kerajaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam memerangi gejala rasuah ini. Ada kalanya, kesungguhan dan keazaman ini tidak hanya berputik daripada kata-kata tetapi memerlukan suatu tindakan untuk memastikan ianya benar-benar berjaya dikekang dan diperangi secara serius. Syukur alhamdulillah, usaha-usaha kita sejak sekian lama jelas telah membuahkan hasil, walaupun kita akui masih ada ruang untuk peningkatan dan penambahbaikan.
4.            Walau apa pun, yang perlu ditegaskan ialah komitment bahawa memerangi jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan merupakan agenda utama kerajaan. Saya sedar bahawa memerangi rasuah ini merupakan cabaran yang besar dan ranjau yang berliku, yang memungkinkan tindak balas oleh pihak-pihak tertentu yang selama ini begitu selesa dalam aktiviti tidak beretika lagi bersifat jenayah yang mereka fikirkan tersembunyi dari mata penguatkuasa undang-undang. Tapi kata orang sepandai-pandai tupai melompat akhirnya pasti jatuh ke tanah. Kepada golongan-golongan ini, saya ingin berpesan bahawa saat penentuan semakin hampir, kerana pihak berkuasa tidak akan berhenti dari usaha-usaha mereka membenteras jenayah dan salah laku, dan akhirnya yang melakukan kesalahan pastinya akan dibawa ke muka pengadilan.
5.            Kerajaan terus memandang rasuah sebagai musuh nombor 1 Negara dan kita akan bersama-sama akan memeranginya habis-habisan. Rasuah memusnahkan niat murni kerajaan membantu rakyat dan menggagalkan perlaksanaan dasar yang telah dirancang rapi. Justeru, demi rakyat dan masa depan negara, kita tidak boleh kompromi dalam membasmi rasuah. Ini menjadi kewajiban setiap dari kita yang berada di dalam kerajaan dan perkhidmatan awam, dan inilah sebenarnya jua kehendak rakyat. Rakyat menginginkan sebuah Kerajaan yang amanah, bersih dan berintegriti. Jauh sekali sekadar ungkapan kosong, bersih, beramanah dan berintegriti perlu diterjemahkan dan terserlah dalam segenap ruang perlaksanaan tugas dan tanggungjawab. Kita sedar bahawa rakyat pada hari ini mempunyai tahap pemikiran yang kritis dan tajam untuk menilai prestasi kerajaan dan pihak berkuasa. Dan tututan utama mereka ialah perubahan yang ketara dalam urus tadbir negara, termasuklah proses yang lebih telus dalam perlaksanaan dasar-dasar yang jelas meletakkan kesenangan dan kebajikan rakyat sebagai prioriti. Bertolak dari kesedaran tentang kehendak rakyat itulah, Kerajaan telah pun melaksanakan proses perubahan atau”transformasi” dalam dua bidang utama iaitu ekonomi menerusi Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) dan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP).
6.            Proses transformasi ini amat penting dan signifikan memandangkan perubahan-perubahan dari segi dasar dan program-program yang diperkenalkan akan membawa negara ini mencapai status negara maju mengikut acuan kita sendiri iaitu rakyatnya hidup dalam penuh kemakmuran, keharmonian, bersatu padu dan berpegang kepada ajaran agama serta moral yang tinggi.
7.            Bagi mencapai matlamat itu, di bawah Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) sebanyak 6 Bidang Keberhasilan Negara atau (NKRA) telah diperkenalkan meliputi bidang-bidang kritikal yang perlu dititikberatkan kerana membabitkan banyak pihak terutama rakyat selain mengukuhkan jentera kerajaan menuju status berpendapatan tinggi, maju dan dinamik.
INISIATIF DI BAWAH NKRA RASUAH
8.            NKRA Membanteras Rasuah telah dikenal pasti sebagai salah satu bidang kritikal dan penting untuk diperhalus dan ditambah baik. Sebanyak 27 inisiatif telah pun diperkenalkan oleh Kerajaan bagi memperkukuhkan aspek pencegahan jenayah rasuah
9.            Pelbagai pencapaian inisiatif dapat dilihat sejak tahun 2010, antaranya Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dikuatkuasakan sejak 15 Disember 2010, 14 buah Mahkamah Sesyen Rasuah telah ditubuhkan dan mula beroperasi pada 16 Februari 2011, akses rakyat kepada perwujudan pangkalan Data Pesalah Rasuah di laman web SPRM dan setakat ini telah memaparkan lebih 793 nama pesalah rasuah dan inisiatif-inisiatif lain yang masih dalam pelaksanaan. Ini termasuk proses pusingan kerja bagi individu dan jawatan-jawatan yang dianggap sebagai "hot spot" dilaksanakan untuk mengurangkan perhubungan dan mengelakkan wujudnya ruang dan peluang untuk melakukan perlakuan rasuah.
10.          Seterusnya, bagi memastikan setiap undang-undang di Malaysia telus dan mengambil kira pandangan setiap pihak sebelum ia di kuatkuasakan, Kerajaan menerusi Kementerian-Kementerian bercadang memaparkan setiap draf rang undang-undang di laman web Kementerian masing-masing bagi mendapatkan pandangan umum dan pihak yang terlibat bagi suatu tempoh yang ditetapkan kelak sebelum ia dimuktamadkan. Ini akan menangkis persepsi umum dan antarabangsa bahawa kononnya terdapat undang-undang yang hanya mengambil kira kepentingan sesetengah pihak sahaja.
Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin yang saya hormati sekalian,
11.          Asas kepada semua tindakan membenteras rasuah ini ialah kebebasan SPRM sebagai sebuah agensi penguat kuasa yang diberi kuasa penuh oleh undang-undang bagi membanteras rasuah di Malaysia.
12.          SPRM bergerak ‘without fear or favour’, tanpa gangguan dari mana-mana pihak sekali pun. Tidak ada sesiapa pun yang boleh mengarahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk menyiasat atau menghentikan siasatan ke atas mana-mana individu. SPRM bebas menjalankan siasatan tanpa sebarang bentuk campur tangan atau halangan daripada mana-mana pihak. Justeru itu, tohmahan yang mengatakan SPRM mengikut telunjuk dan tunduk kepada Kerajaan adalah tidak benar sama sekali.
13.          Ini dibuktikan menerusi proses transformasi yang dilalui oleh SPRM. Perubahan dari Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada Suruhanjaya pada tahun 2009 sebenarnya merupakan proses perubahan yang amat radikal. Kenapa saya katakan radikal? Ini kerana menerusi kewujudan SPRM, struktur dan budaya kerjanya telah sama sekali berubah. Kewujudan lima entiti bebas yang dianggotai oleh seramai 42 orang tokoh daripada pelbagai latar belakang bidang termasuk ahli-ahli politik daripada pelbagai parti (termasuk Parti Kerajaan mahupun Pembangkang), bekas-bekas Hakim, ahli-ahli akademik, ahli-ahli NGO, peguam, tokoh-tokoh korporat dan bekas-bekas pegawai tinggi kerajaan seperti bekas Ketua Audit Negara dan bekas Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam memperlihatkan bahawa SPRM pada hari ini sebenar-benarnya adalah sebuah Suruhanjaya yang benar-benar bebas. Sehubungan itu Kerajaan menerima teguran, nasihat dan pandangan-pandangan ini secara serius dengan hati terbuka kerana kita yakin bahawa yang dicadangkan oleh SPRM adalah untuk kebaikan masyarakat dan negara.
14.          Sepanjang tempoh penubuhan Suruhanjaya ini, saya telah pun menerima dua laporan tahunan daripada Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah yang mengandungi pelbagai cadangan, pandangan dan perakuan yang melibatkan isu-isu berkaitan rasuah, keperluan dan proses penambahbaikan SPRM secara keseluruhannya. Kesemua pandangan, cadangan dan perakuan ini telah dibentangkan dalam Parlimen serta dibincangkan secara telus dan serius dalam mesyuarat-mesyuarat Jemaah Menteri.
15.          Saya amat menghargai sumbangan yang telah diberikan oleh ahli-ahli dalam kelima-lima entiti pemantau ini dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan Kerajaan di atas sumbangan dan kesungguhan yang ditunjukkan.
16.          Tanggungjawab memerangi rasuah bukan tanggungjawab SPRM semata-mata. Untuk memastikan rasuah berjaya dihapuskan, sokongan dan penglibatan segenap lapisan masyarakat baik dari segi pimpinan politik, tokoh-tokoh korporat, NGO, ketua-ketua kampung, para Pendakwah, guru-guru, pelajar-pelajar dan seluruh masyarakat harus bersama-sama berganding bahu. Rasuah adalah jenayah dan rasuah hukumnya haram dan salah di sisi undang-undang dan agama. Justeru itu, usaha memerangi rasuah adalah jihad menentang kebatilan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
17.          Rasuah tiada kaitan dengan fahaman politik, kepartian, status, kedudukan mahupun bangsa seseorang. Ia merupakan suatu kesalahan yang amat serius, melanggar undang-undang negara dan hukum agama. Sesiapa yang terlibat dengan rasuah dan terbukti bersalah, wajar menerima hukuman. It’s as simple as that. Sebaliknya jika seseorang itu dituduh rasuah tanpa sebarang asas, malah tuduhan liar itu digunakan untuk character assassination tanpa sebarang bukti, itu juga kesalahan besar. Justeru itu, janganlah kita menggunakan rasuah sebagai senjata untuk menjatuhkan seseorang. Jika rasuah dipolitikkan, jika tindakan SPRM dipolitikkan ia akan membawa kepada natijah yang amat besar dan buruk. Agensi penguatkuasaan akan menjadi lemah kesan dek tekanan yang diberikan oleh pihak yang mempolitikkan isu rasuah. Janganlah kita babitkan SPRM ke dalam kancah politik. Agensi ini bukan parti politik. Mereka bertindak berlandaskan undang-undang dan bebas dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab. Apa yang penting kita harus memerangi perasuah dan bukannya agensi yang membanteras rasuah.
18.          Pada petang yang bersejarah ini, kita bersama-sama meraikan perasmian satu lagi inisiatif penting pencegahan rasuah di mana satu program yang dinamakan Program Pegawai Berintegriti Bertauliah atau Certified Integriti Officer (CeIO) telah diperkenalkan hasil usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Syabas dan tahniah kepada SPRM di atas inisiatif ini.
19.          Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) melalui Pusat Pembangunan Integriti Korporat pada tahun 2008 telah berjaya membangunkan satu program khas untuk melahirkan pegawai integriti bertauliah yang berperanan merancang, melaksana dan memantau keberkesanan program integriti dan pencegahan rasuah di sektor awam dan swasta. Ia amat penting bagi meningkatkan kecekapan dan integriti agensi kerajaan termasuk pihak swasta. Pegawai CeIO ini mampu menangani isu membabitkan integriti di sesebuah organisasi sehingga ke peringkat akar umbi.
20.          Saya difahamkan setakat hari ini, sebanyak lima buah agensi penguatkuasaan telah pun menubuhkan Unit Pematuhan yang diketuai oleh Pegawai Integriti Bertauliah ini iaitu Polis Di Raja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan SPRM. Saya yakin dan percaya, bahawa semua agensi Kerajaan termasuk GLC akan membentuk dan mewujudkan unit pematuhan ini di agensi masing-masing dan kesemua Ketua Jabatan harus memandang serius akan program ini.
21.          Bagi Syarikat-Syarikat Kepentingan Kerajaan (GLCs), Pihak Khazanah telah pun menjalinkan persefahaman dan kerjasama erat dengan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia untuk membangunkan Program CEiO ini bagi melatih dan membentuk pegawai-pegawai CEiO di semua GLCs dan KLCs.
Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin yang saya hormati sekalian,
22.          Salah satu daripada pandangan dan saranan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Mencegah Rasuah dan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM adalah berkaitan isu Dana Politik.
23.          Bagi pihak Kerajaan, saya menganggap isu ini amat penting kerana jika tiada suatu dasar yang tepat, telus dan jelas mengenainya maka ia boleh membuka ruang dan peluang kepada perlakuan rasuah.
24.          Sebagai langkah proaktif, demi meningkatkan ketelusan dan keyakinan rakyat terhadap pertubuhan-pertubuhan politik di negara ini, Kerajaan akan memperkenalkan satu lagi inisiatif di bawah GTP yang bagi tujuan mengawal “Political Financing”. Inisiatif ini akan memberi penekanan bahawa setiap sumbangan yang ingin diberikan kepada mana-mana parti politik sama ada di peringkat pusat mahupun negeri hendaklah disalurkan melalui akuan rasmi parti. Ini bagi mengelakkan ahli-ahli politik menyalahgunakan nama parti untuk meminta atau menerima apa-apa sumbangan yang kemudiannya diselewengkan untuk kepentingan persendirian.
25.          Setiap sumbangan yang dihulurkan perlulah dikemukakan resit penerimaan dan dimasukkan ke dalam akaun parti. Menerusi rekod penerimaan yang teratur ia boleh diaudit pada tiap-tiap akhir tahun kewangan. Kerajaan percaya inisiatif seumpama ini akan mengelakkan sebarang bentuk perbuatan rasuah dan penyelewengan di peringkat akar umbi dan manfaat kepada sumbangan dapat disampaikan kepada segenap peringkat parti dan seterusnya rakyat.  
Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin yang saya hormati sekalian,
26.          Kerajaan juga memandang serius kekangan dan kekurangan yang dihadapi oleh SPRM, khususnya dalam aspek keanggotaan dan bajet. Perkara ini sebenarnya telah dibangkitkan oleh Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah dan Lembaga Penasihat SPRM dalam pertemuan dengan saya.
27.          Saya difahamkan bahawa pada tahun 2008, jumlah keanggotaan pegawai BPR adalah seramai 1,840. Bagaimanapun apabila SPRM ditubuhkan keanggotaan pegawai SPRM tidak banyak berubah, malah mencatatkan penurunan dengan rekod keanggotaan pada Julai 2011 yang menunjukkan hanya 1,805 pegawai yang berkhidmat. Perkara ini amat membimbangkan dan menimbulkan persoalan. Bagaimana mungkin dengan jumlah keanggotaan yang terhad, SPRM boleh menjalankan tugas secara berkesan, tambahan pula bidang kuasa yang diperuntukkan mengikut Akta SPRM 2009 adalah lebih luas berbanding Akta sebelumnya iaitu Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang digunapakai sebelum penubuhan SPRM.
28.          Atas justifikasi inilah, saya bersetuju supaya pertambahan sebanyak 150 perjawatan diwujudkan setiap tahun sehingga jumlahnya mencecah kepada seramai 5,000 orang. Jumlah 150 orang setahun ini dibuat memandangkan proses pelantikan pegawai-pegawai SPRM bukan sebagaimana pegawai-pegawai kerajaan yang lain. Mereka memerlukan latihan dan kepakaran tertentu. Justeru itu, mereka perlu dilatih selama tempoh beberapa bulan untuk memastikan pengetahuan berhubung undang-undang dapat diperlengkap. 
29.          Selain itu, pola jenayah rasuah kini sudah semakin kompleks dan semakin global dan merentasi sempadan. Justeru itu, SPRM sangat memerlukan kakitangan profesional dan pakar pelbagai bidang bagi membanteras rasuah sebegini. Antara bidang yang dikenal pasti memerlukan kepakaran profesional seperti forensik akaun, kejuruteraan, komunikasi, teknologi maklumat, undang-undang dan sebagainya.
30.          Saya bersetuju dengan pandangan Lembaga Penasihat SPRM bahawa bagi memperlihatkan kebebasan SPRM, maka satu Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah wajar diwujudkan. Suruhanjaya ini kelak akan diberikan kuasa untuk melantik dan memecat anggota SPRM. Buat masa ini, semua proses pelantikan dan pemecatan pegawai-pegawai SPRM dibuat menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam atau SPA. Sekiranya Suruhanjaya Perkhidmatannya terbentuk sebagaimana Suruhanjaya Polis dan Suruhanjaya Pendidikan maka SPRM boleh menapis, memilih, menemu duga, melantik dan memecat anggota-anggotanya sendiri. SPRM amat memerlukan badan khusus dalam pemilihan berdasarkan kualiti dan kredibiliti calon bagi melaksanakan tugas yang memerlukan kepakaran tertentu.
31.          Tetapi perkara ini memerlukan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan. InshaAllah sekiranya Barisan Nasional diberikan mandat 2/3 dalam PRU 13 akan datang, pindaan Perlembagaan sewajarnya akan dibuat dan Suruhanjaya Perkhidmatan ini akan dibentuk. Jika ia dapat dilaksanakan, maka ramai golongan profesional negara yang ingin berkhidmat dengan SPRM akan dapat berbuat demikian secara lebih mudah dan efisyen.
32.          Ini adalah antara perkara-perkara yang sedang kita kaji, dan ini juga termasuk status jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang mungkin dicadangkan sebagai sebuah jawatan berdasarkan Perlembagaan Malaysia sebagaimana pelantikan jawatan Peguam Negara, Ketua Audit Negara dan Hakim-Hakim, bagi memastikan kebebasan dan ketelusan.
Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin yang saya hormati sekalian,
33.          Berhubung langkah pengisytiharan harta yang dicadangkan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, ingin saya perjelaskan bahawa Kerajaan Barisan Nasional telah mengamalkan proses pengisytiharan harta tersebut jauh lebih awal berbanding yang lain. Setiap Anggota Pentadbiran diwajibkan mengisytiharkan harta diri dan keluarga terdekat kepada Perdana Menteri. Setiap tambahan atau pelupusan harta wajib diisytiharkan. Tambahan lagi kesemua pengisytiharan harta yang berkenaan dibuat secara berkanun (statutory declaration). Pada hari ini, saya menyahut seruan Lembaga Penasihat SPRM, dan bersetuju agar Ketua Pesuruhjaya SPRM mempunyai akses penuh kepada dokumen-dokumen pengisytiharan harta mana-mana anggota pentadbiran.
Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin yang saya hormati sekalian,
34.          Saya menaruh harapan yang tinggi kepada Pegawai –pegawai Integriti Bertauliah ini untuk memberikan komitmen yang tidak berbelah dan bertindak sebagai Rangkaian Pegawai Integriti Bertauliah, yang pakar dalam bidang pencegahan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa; pembangunan integriti; dan menjadi pemangkin dalam organisasi-organisasi berkaitan bagi memupuk budaya kerja berintegriti dalam sektor awam dan swasta.
35         Di sini, saya ingin mengucapkan tahniah sekali lagi kepada SPRM dan seterusnya mengiktiraf Pusat Pembangunan Integriti Korporat [CIDC] di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia sebagaibadan tunggal yang melaksanakan program Pegawai Integriti Bertauliah
36          Dengan itu , dan dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya dengan ini secara rasminya melancarkan Program Pegawai Integriti Bertauliah 2012 dan dengan sukacitanya juga saya mengumumkan bahawa CeIO merupakan program tunggal yang diiktiraf bagi melahirkan Pegawai Integriti Bertauliah di Malaysia.
Sekian,Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Bingkisan Untuk Belia & Anak Muda....

.
Teruskan Perjuangan Untuk Agama, Bangsa dan Tanah Air Bersama Belia / Anak Muda

Imbasan 2011, apa yang dikatakan, apa yang diwar-warkan serta apa yang diperjuangkan tentang Suara Hati Rakyat dan Suara Hati Golongan Belia Generasi Muda.....

“hanya anak muda sahaja yang dapat mengubah dunia kerana dunia akhirnya kepunyaan anak-anak muda.”


TEKS UCAPAN
WAKIL PERGERAKAN PUTERI
UMNO MALAYSIA
MEMBAHASKAN UCAPAN DASAR PRESIDEN 2011


OLEH :
WAN SALWATI BT.HJ ABDULLAH
Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia


Assalamualaikum w.b.t .... dan Salam Perjuangan,
YBhg Dato’ Seri Pengerusi Tetap,
-          YAB. Dato’ Seri Presiden UMNO Malaysia,
-          YAB. Tan Seri Timbalan Presiden,
-          YB Dato’ Seri Naib-Naib Presiden,
-          YB Lagi Dikasihi Datuk Rosnah Rashid Shirlin –Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia,
-          YB Ketua Pergerakan Wanita,
-          YB Ketua Pergerakan Pemuda,
-          YB Ahli-Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO,
-          Para Perwakilan Persidangan UMNO,
-          Pemerhati yang dirahmati Allah sekalian.

Saya Wan Salwati Hj.Abdullah, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Seremban mewakili Pergerakan Puteri Umno Malaysia mohon untuk membahaskan usul ucapan Dasar Presiden.

Dato’ Pengerusi Tetap....


Berkilau Sungguh Batu Permata
            Permata Bersinar Semangat Membara
Permata Bukan Sebarang Permata
            Permata Parti Srikandi Negara

Winnable Candidate jadi taruhan
PRU 13 bukan mainan
Puteri bukan sekadar tempelan
Hujahan Puteri jangan dipelekehkan...
UMNO yang telah ditubuhkan pada tahun 1946 kini telah berusia 65 tahun, suatu tempoh yang panjang dan pernah melalui saat gemilang kejayaan, suka-duka dan suramnya.

Rententan dari perjuangan yang ikhlas serta murni demi untuk kepentingan Agama, Bangsa dan Tanah Air, maka UMNO dapat bertahan dan memiliki kuasa mentadbir Negara dibawah Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional sehingga ke hari ini. Syabas dan Tahniah.

Di atas kejayaan tersebut jua, di dalam UMNO dengan kebijaksanaan pemimpin, maka telah dilihat bahawa satu lagi kelompok generasi muda yang dipandang penting yakni Generasi Wanita Melayu Muda yang perlu diberi ruang bersama-sama dalam arena politik hari ini, kini telah jelas hampir lebih 10 tahun Pergerakan Puteri telah dibawa di alam arus gelombang merasai pahit getir perjuangan yang harus dikekalkan ini. Pusaka perjuangan yang terlalu berharga ini merupakan kuasa yang tiada jual belinya.


Add caption
Tahniah Dato’ Seri Presiden dari Pergerakan Puteri UMNO di atas olahan ucapan dasar yang begitu bernas bagi mempastikan agar kuasa UMNO ini terus gah berkuasa di bumi Malaysia. Pergerakan Puteri menyambut baik segala saranan, ingatan apatah lagi teguran yang diberi bagi mempastikan semua pihak memahami segala apa yang perlu dilaksanakan saat ini bagi menghadapi pilihanraya yang akan datang, bukan sahaja memikirkan siapakah yang dikatakan “Winnable Candidates” tetapi yang paling utama “apakah segala tugas telah disusun dengan rapi, tiada lagi adu domba sesama sendiri, kekuatan semuanya telah disatukan dan tidak lagi berbalah sesama ahli dan pastinya telah ditanam semangat yang ingin melihat UMNO/BN cemerlang dengan ‘Winnable Candidates’ apabila semboyan dibunyikan.”

PRU 13 Bukan Mainan,
Winnable Candidate jadi sebutan,
Puteri sedia menerima arahan,
Bukan hanya mengejar jawatan. 

Dato’ Pengerusi Tetap/Dato’ Seri Presiden.....

Puteri yang menjadi generasi tunggak ke abad 21 menyokong proses transformasi sama ada didalam parti atau kerajaan yang dibawah kepimpinan Dato Seri Presiden bagi memastikan kesinambungan kepimpinan dan pemerintahan BN di Negara ini. Namun apabila bercakap mengenai perkara tersebut, maka kita tidak boleh lari dari memberi focus kepada kumpulan sasaran yang dikatakan kumpulan penerima faedah atau ‘beneficiary’ (dengan izin) kepada proses transformasi iaitu generasi muda.

Oleh yang demikian, didalam merencana salasilah politik yang berbudaya baru ini, UMNO perlu mengambil peluang serta mencipta ruang tersendiri terhadap 2 kunci utama tersebut Perpaduan dan Generasi Muda.  

Add caption
Perpaduan.

Keutuhan perpaduan sememangnya amat penting dalam perjuangan. Hari ini siapa pun tidak boleh memperlekehkan erti kata perpaduan. Perpaduan yang diolah serta diacu sendiri oleh kita tanpa mengenepikan kepentingan Agama,Bangsa dan Negara walaupun di Malaysia ini mempunyai pelbagai Bangsa, Agama serta Adat Budaya. Perpaduan juga sememangnya merupakan intiti utama kepada perjuangan generasi muda namun hari ini.....

Persoalan yang timbul, yang bermain difikiran sayap Pergerakan Puteri adalah kepada satu golongan pengubah yang amat berkuasa, berilmu tidak lain dan tidak bukan mereka yang terdiri daripada Golongan Generasi Muda. Persoalannya :-
Add caption

a)     Adakah kejayaan / kuasa pemerintahan ini akan berkekalan untuk 50 tahun lagi?
b)     Adakah UMNO merupakan wadah perjuangan politik bagi generasi muda?

Untuk mencari jawapan kepada persoalan ini, kita perlu menjawab dengan TINDAKAN bukannya menjawab secara politik tetapi ianya lebih kearah realistik yang sebenar.

Sedarlah ahli parti, pemimpin disemua peringkat ( Cawangan/ Bahagian/ Negeri/ Pusat ) bahawasanya sejarah dunia telah membuktikan generasi muda hari ini adalah antara kuasa sebenar dalam mengubah lanskap sosio-politik sesebuah Negara,Tamadun dan Peradapan Dunia. Janganlah golongan generasi muda ini diperlekehkan dan dinafikan hak suara serta pandangan mereka. Kita seharusnya terus dan terus mendampingi generasi muda ini tanpa henti. Adakah kita melakukannya?

Mari kita bertanya dan ajukan soalan kepada rakan seperjuangan disebelah kita :-
  1. Adakah kita semua mengetahui dengan jelas berapa peratus generasi muda di kawasan kita yang bakal mengundi dan menentukan keputusan pilihanraya ke 13 ini ?
  2. Adakah kita mengenali mereka ? 
  3. Adakah kita mendampingi mereka sehingga mereka merasakan kehadiran kita (UMNO) dapat membantu kelangsungan kehidupan dan seterusnya membantu mereka dalam memahami serta menangani perkembangan semasa.
  4. Adakah kita diterima oleh mereka?
  5. Apakah persepsi generasi muda terhadap sikap dan tingkahlaku kita (Umno)?
  6. Adakah bentuk pendekatan yang kita pilih untuk mendampingi dan memahami generasi muda ini berkesan?
  7. Dan bilakah kali terakhir kita bersalam,mengucapkan selamat harijadi kepada mereka serta mengucapkan syabas diatas kejayaan mereka?

Setiap persoalan yang dinyatakan tadi janganlah diambil mudah, tetapi proses pendekatan serta penghayataan untuk generasi muda adalah penting seperti oksigen bagi setiap benda yang hidup. Jika kita alpa dan leka, Gelombang Transformasi dari generasi muda akan berlaku. Ini terbukti, generasi muda melalui media baru dengan kalimah “change” (dengan izin Dato’Pengerusi Tetap) telah meletakkan Barack Obama Hussien sebagai Presiden Amerika dan yang paling penting peranan generasi muda juga telah menukar pola dan lanskap politik di Timur Tengah seperti Mesir, Libya dan kini Syria. Terfikirkah oleh kita United Stated Of Amerika sebuah Negara yang berpengaruh didunia akan ditadbir oleh seorang Presiden dari golongan Berkulit Hitam. Sudah pasti jawapannya tidak, tetapi inilah yang telah dilakukan oleh golongan pengubah dikalangan generasi muda.


Dato’ Pengerusi Tetap ....

Isu terkini yang perlu kita depani adalah golongan muda mahasiswa IPTA/IPTS diseluruh Negara yang telah mencapai umur balighnya 21 tahun untuk berpolitik kepartian selepas AUKU dihapuskan oleh Kerajaan, maka tugas dan tanggungjawab ini perlu dimainkan oleh semua pihak disetiap peringkat.

Pada hakikatnya satu fenomena yang cukup berat kerana ianya melibatkan proses pembelajaran yang dilalui bagi golongan tersebut. Jika dihitungkan, jumlah golongan ini amat besar dan adakah kita sebagai sebuah organisasi benar-benar mampu mendampingi serta menarik minat mereka untuk bersama-sama UMNO.

Kegusaran di sayap Pergerakan Puteri ada asasnya, dengan jumlah hampir 956,000 orang pelajar yang dikenalpasti melepasi had umur 21 tahun bagi tahun ini dan jumlah ini pasti akan meningkat saban tahun yang dianggarkan hampir mencecah 100,000 orang pelajar IPTA /IPTS setiap tahun.

Oleh yang demikian, puteri ingin mengunjurkan didalam perhimpunan kali ini supaya diadakan program khas untuk golongan mahasiswa/mahasiswi dan mengenal pasti mereka dari tempat masing-masing. Ini kerana, UMNO amat memerlukan sokongan serta dokongan dari golongan ini untuk bersama-sama dalam menghadapi senario politik yang akan datang.

Peluang dan ruang untuk mendampingi mereka perlu diperhebatkan dan dilakukan. Jangan kita biarkan penyamun , penyangak pembangkang mendekati apatah lagi merosakkan pemikiran golongan mahasiswa ini Mereka milik kita .


Bersangkutan apa yang dinyatakan tadi, Puteri melihat dari analisa yang dibuat berpandukan daripada SPR (Suruhanjaya Pilihanraya) sehingga suku tahun ke-2 2011 yang telah diwartakan pada 16hb.Ogos yang lalu, Jumlah Keseluruhan Pengundi Di Malaysia adalah 12,497,877 orang, manakala dari jumlah tersebut seramai 5,011,797 orang adalah pengundi muda / belia yang telah berdaftar.

Namun begitu, jumlah keseluruhan generasi muda / belia yang layak mendaftar dan mengundi yakni yang berusia 21-40 tahun sebenarnya adalah seramai 8,152,400. Ini masih terdapat seramai 3,140,603 orang dari kelompok generasi muda yang masih tidak mendaftar sebagai pengundi.

Seandainya semua generasi muda yang berusia 21 tahun keatas melaksanakan hak dan tanggungjawab sebagai warganegara ataupun kerajaan melaksanakan dasar pendaftaran pengundi secara automatik bagi setiap warganegara yang berusia 21 tahun ke atas, maka pada hari ini Malaysia akan mempunyai 8,152,400 pengundi belia yakni golongan generasi muda daripada jumlah keseluruhan pengundi di Malaysia iaitu seramai 15,638,480 orang setelah ditambah dengan pengundi generasi muda seramai 3,140,603 yang dinyatakan tadi. Oleh yang demikian, 52% dari jumlah tersebut adalah pengundi generasi muda.

Peratusan ini membawa makna yang AMAT JELAS dan NYATA,  tidak keterlaluan untuk Puteri menyatakan GENERASI MUDA yang dikenali sebagai BELIA adalah penentu pola pembentukan pemerintahan Negara bukan sahaja untuk masa akan datang tetapi didalam Piliharaya ke-13 yang bakal diadakan nanti. (dalam kata lain...bukan kecil anak untuk golongan muda ini)

  
Dato’ Pengerusi Tetap.....

Dalam konteks senario poltik Malaysia, Puteri ingin mengupas dan membawa perhatian serta minda kita semua ke belakang iaitu 20 tahun dahulu. Sejarah telah membuktikan UMNO didalam pilihanraya umum mahupun pilihanraya kecil amat cemerlang.

Faktor siapa calon ketika itu bukan menjadi perkara asas tetapi atas lambang parti yang menjadi faktornya. Sebagai contoh, Jika parti Umno ini diwakili ‘Tunggul Kayu’ sekali pun, bertanding dalam pilihanraya pasti Umno/Barisan Nasional akan menang jua....itulah senario 20 tahun dahulu, tetapi sekarang lanskap itu telah berubah.

Oleh yang demikian, Peremajaan dan Penjenamaan semula UMNO amat penting dan perlu dibuat dari semua peringkat serta dipromosikan  kepada golongan generasi muda kerana generasi muda adalah antara oksigen bagi UMNO meneruskan kehidupan yang penuh mencabar ini. Idea dan pandangan dari generasi muda perlu diambil kira dan diketengahkan.

Untuk memenangi  hati generasi muda, UMNO perlu menyusun langkah yang lebih tersusun dan berkesan. Setiap program hendaklah berdasarkan citarasa generasi muda agar mereka bersama dan menyertai kita.

Dalam hal ini Puteri UMNO mencadangkan agar UMNO menggunakan pakai prinsip pengurusan BLUE OCEAN STRATEGY (dengan izin) yang menekankan tindakan secara berkesan dan melaksanakan proses REDUCE, CREATE, RAISE and ELEMINATE (dengan izin)....

Blue Ocean Strategy ini bukan sahaja terpakai kepada pembangunan kporporat, tetapi ianya boleh diterima pakai oleh UMNO. Penggunaan prinsip ini akan membolehkan UMNO menilai apakah perkara-perkara atau program-program yang wajib diperkenalkan. Apakah program yang harus di pergiatkan, ditambah dan dimurnikan.  Apakah perkara-perkara atau program atau amalan UMNO yang mesti kurangkan dan Apakah perkara-perkara atau program atau amalan mesti dihapuskan terus dari UMNO.

Dato’ Pengerusi Tetap..... 

Zaman menghimpun puluhan ribu hadirin di padang untuk menyambut ketibaan pemimpin sudah berakhir. Zaman sekarang adalah zaman menilai pemimpin dari dekat. Zaman sekarang adalah zaman menghargai pemimpin yang boleh berjabat salam dan berbincang. Zaman sekarang adalah zaman menerima pemimpin yang menjawab tweeter dan facebook. Tapi ingat, kalau bersalam pakai hujung jari dan tak tengok muka macam mana nak rasa denyut nadi RAKYAT!!!!

Zaman sekarang adalah zaman pemimpin yang boleh ditemui di laman-laman blog dan bertukar pandangan serta memberi komen  personel. Zaman sekarang adalah zaman menyanjung pemimpin yang dilebelkan “COOL” apabila dapat meluangkan masa bermain futsal dengan generasi muda dan zaman sekarang adalah zaman menerima pemimpin yang dilihat membela generasi muda. Zaman sekarang bukannya zaman terus mengherdik, mencaci apatah lagi menghina apabila generasi muda tidak bersama atau tidak bersetuju dengan tindakan yang dibuat oleh pemimpin, jangan hanya dilihat kesilapan pada golongan muda ini. Inilah luahan hati orang muda.

Jika Dato’ Seri Presiden yang juga merangkap Perdana Menteri boleh meluangkan masa biar pun letih dengan tugasannya tapi masih tersenyum bersama generasi muda menonton perlawanan bola sepak bersama – (walaupun team favourite Dato’ Seri Presiden MU kalah 6-1) apakah kaedah ini direalisasikan bersama oleh semua pemimpin di peringkat negeri, bahagian mahupun cawangan. Janganlah bila Puteri berkata demikian ataupun bersuara, puteri pula dilabelkan sebagai anak kecil yang ingin mengajar orang yang lebih dewasa, namun inilah realiti kenyataan yang harus diterima sekarang.

Pemikiran yang kalut, kuno atau cepat melatah perlulah dihapuskan. Sikap berpuak-puak, cantas mencantas perlu dihentikan. Manakala sikap keterbukaan yang bukan dibuat-buat perlu wujud dan ditonjolkan ini kerana jika ditanya kepada generasi muda yang ada didalam dewan ini sudah pasti akan bersetuju dengan kenyataan saya tadi, bahawasanya kami dari golongan muda kadang kala tidak diberi ruang atau diberi kepercayaan dan jika terlebih langkahnya sudahpasti kami dipancung awal-awal.

Apakah kepimpinan itu hanya untuk pemimpin yang ada sekarang dan tidak perlu penggantinya dan adakah pelapis hanya akan menjadi pelapis sahaja dan yang paling penting apabila insan terpilih yakni ‘Winnable Candidate’ telah diumumkan jangan pula ada yang sabotaj sesama sendiri, ingat pesan Dato’ Seri Presiden sayangkan Parti melebihi kepentingan diri sendiri. Ingatlah Qada’ dan Qadar Allah...

Sesungguhnya UMNO adalah sebuah rumah yang besar. Mempunyai ibu, ayah dan anak-anaknya yang pasti suatu hari nanti anak-anak itu akan membesar dan mewarisi rumah peninggalan dari orang tuanya tetapi  bagaimana anak-anak ini dapat mewarisi rumah yang besar ini jika diluarnya nampak cantik dan berseri tetapi kayu kayannya, dindingnya, tiang serinya reput dan rapuh dimakan dek anai-anai.


Oleh demikian, kita sebagai ahli parti janganlah membiarkan UMNO menjadi seperti rumah yang reput dan rapuh itu. Peremajaan, Penjenamaan dan jangan lupa Mempromosi UMNO semula perlulah dibuat secara total. Inilah teori Puteri 2P 1M.(Peremajaan, Penjenamaan & Mempromosi)

Dato’ Pengerusi Tetap / Dato’ Seri Presiden dan seluruh perwakilan...

Hari ini kita didalam UMNO seharusnya bertindak dengan berpandukan maklumbalas yang kini banyak diterima oleh UMNO serta wajib sensitif dan peka kepada maklumbalas dari reaksi generasi muda terhadap sesuatu isu.

Dengan menerima dan mempraktikkan secara menyeluruh apa yang dinyatakan tadi dalam urusan harian kita, dalam merangka program yang hendak kita laksanakan, maka Puteri percaya UMNO akan lebih mudah mendapat tempat di hati generasi muda yang akhirnya menjadikan UMNO dan BN “The ONLY PARTY” yang diterima semua.

Sudah pasti saat itu usah kita gusar kecemerlangan pilihanraya pasti memihak kepada Barisan Nasional. Biarlah pembangkang dengan kacau bilaunya, biarlah pembangkang dengan pemikiran bodohnya, biarlah pembangkang dengan janji yang tak tertunainya namun hari ini kita UMNO harus peka dan cepat mengambil segala ruang dan peluang yang ada bagi mempastikan kuasa kita tidak terjejas kerana UMNO lah satu-satu parti membela bangsa . Saat ini juga puteri telah bersiap siaga untuk menerima arahan perang . Puteri tak gentar hadapi pembangkang .

Puteri tidak akan gerun walau diancam disegenap penjuru. Semalam Puteri pernah sakit dilontar batu. Hari ini Puteri yang ramai menjadi kuat menjadi satu. Kerana itulah hari esok, Puteri tidak takut berhujan peluru. Puteri tidak lut dengan sebarang ancaman. Puteri sudah kebal dengan sebarang serangan. Puteri sudah diasap dengan semangat dan diseru dengan azimat. Tuhan bersama kita. Walau siapa pun musuh didepan. Walau apapun halangan yang datang, kita takkan bacul dan lari dari medan perjuangan. Mari kita gempur , kita perang , kita tempur , kita serangi ...... Perang ini perang kita , perang ini kitalah pemenangnya .


PRU 12 Bagai Tsunami,
PRU 13 Sedia dinanti,
Rampas kembali matlamat kami,
Itulah Perjuangan Puteri sejati.

Takkan berundur terus mara,
Itulah tekad kami semua,
Demi agama, bangsa dan Negara,
Pada Allah dipohon jua...

Akhirnya dengan tekad dan iltizam kita semua, ayuh Para Perwakilan sekalian sama-sama kita laungkan BN THE ONLY PARTY...(3x)

Sekian, saya Wan Salwati Haji Abdullah mewakili Pergerakan Puteri UMNO Malaysia mohon menyokong.

Belia N.Sembilan MeNgGeGaRkAn!!!!


Ayuh...Belia dan Anak Muda Bersama MBN.NS

PS dimaklumkan : Majlis Belia Negeri, Negeri Sembilan (MBNNS) telah menjayakan suatu Karnival Belia Negeri Sembilan 2012 di Padang MPS pada 17hb-19hb Februari 2012. Pelbagai acara yang menepati citarasa belia diadakan dengan sambutan yang sungguh menggalakkan. Difahamkan juga, Karnival ini adalah yang pertama diadakan di Malaysia selepas Himpunan Sejuta Belia di Putrajaya.

Tahniah PS ucapkan kepada MBNNS di bawah kepimpinan Wan Salwati Hj Abdulah serta barisan kepimpinannya.

Oleh itu, kepada Belia dan Anak Muda diluar sana, marilah bersama-sama MBNNS berganding bahu untuk memperjuangkan suara dan hak belia.(suara keramat/suara pengubah) agar didengari dan diberi perhatian.

Transformasi untuk belia kian bermula....letakkan diri anda sebagai Pelakar dan Pencipta Sejarah. Paluan Transformasi Paradigma Belia Alaf Baru telah dibunyikan, jadi ayuh belia/anak muda Negeri Sembilan untuk bersama-sama mencipta sejarah ini. 

Syabas dan Tahniah MBN.NS.


 





Pradigma Srikandi

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia kepada semua pembaca Pradigma Srikandi. Terlebih dahulu, PS (Pradigma Srikandi) ingin menyatakan penubuhan blog ini bukan bertujuan untuk bersaing atau mencari publisiti, tetapi ianya lebih menjurus kepada :-
  • Pembentukkan Minda Berilmiah
  • Menjadi Forum Ilmuan kepada Masyarakat 
  • Menjadi Pemudah Cara bagi setiap Aduan Masyarakat untuk diketengahkan
  • Menjadi Platform untuk melontarkan Pandangan dan Idea yang bernas dan berfakta
  • Menjadi madah untuk golongan Belia dan Anak Muda untuk berdiskusi
Oleh yang demikian, PS menyeru dan menyarankan agar para pembaca dapat bersama-sama memberikan yang terbaik demi kepentingan Masyarakat terutama di Ampangan, Sikamat, Paroi dan Lenggeng.

Manakala kepada golongan Belia dan Anak Muda, diharap PS menjadi madah atau saluran sumber maklumat untuk kepentingan belia itu sendiri.

Insyallah, segala pandangan, aduan serta komen akan PS berikan perhatian khusus.

Salam Perkenalan dan Salam Perjuangan dari Pradigma Srikandi.