Tuesday 27 November 2012

Pendeta Za’ba Alaf ini



“I am…. no politician, leads no party and follow no leader” – Pendeta Za’ba.


Seorang pejuang tidak akan berkata bahawa mereka adalah pejuang dan seorang pejuang tidak akan berkata atau meminta, bahawa hargailah segala pengorbanan dan keresahan ini.

Pendeta Za’ba pemilik nama Tan Sri Zainal Abidin bin Ahmad, tidak pernah meninggalkan pesan dan wasiat kepada pemimpin yang hidup agar tiuplah semangat dan pengorbanannya selama ini. Apatah lagi untuk diingati dan ditauladani.

Namun syukur Alhamdulillah, ada dikalangan sahabat beliau, mengangkat dan mengabdikan jasa dan pengorbanan ini dalam bentuk memorial yang sangat meninggalkan kesan dan bermakna.

Tan Sri Samad Idris, pejuang politik yang berasal dari Negeri Sembilan juga. Beliau merencanakan agar memorial ini dibuat. Memorial yang di panggil Teratak Za’ba untuk anak-anak Negeri Sembilan khususnya, Negara amnya, mengkaji dan meneliti siapa sebenarnya Pendeta Za’ba.

Perjuangan  tidak akan selesai selagi kita tidak mencapai titik yang kita kehendaki. Malah titik pemikiran itu menjangkaui zaman ianya disuarakan  bagi mendapatkan keselesaan hari ini.

Di Negeri Sembilan, nama Pendeta Za’ba tidak begitu  asing. Mereka kenal Pendeta Za’ba.. tetapi mereka tidak kenal  siapa Tan Sri Zainal Abidin bin Ahmad. Bukan ADUN Sungai Lui tu.. :)

Saya tidak pasti.. tetapi kemungkinan itu tentunya ada. Keberangkalian mungkin. Di mana datangnya semangat Pendeta Za’ba yang sedang ditiup pada generasi muda hari ini?

Beliau bekas pelajar Universiti Malaya pada tahun 1977 sehingga 1979. Bekas Pengerusi Majlis Perwakilan Pelajar. Turut lantang bersuara dan mengemukakan pendapat mengenai halatuju pelajar Melayu ketika itu.

Membesar sebagai anak yatim dan dibesarkan oleh ibu tunggal, suri rumah tangga. Pernah melalui kesukaran kelangsungan hidup dan hampir berputus asa untuk tidak melanjutkan pelajaran akibat desakan hidup, boleh jadi cemuhan dari rakan-rakan yang lebih bernasib baik darinya selain dari dokongan guru yang melihat potensi bahawa beliau mampu mengubah nasib susah menjadi senang.

Allah tidak akan menguji seseorang itu jika mereka tidak tahan diuji. Allah turut tidak memberi seseorang itu  rezeki jika seseorang itu tidak pernah ada rasa syukur di atas pemberianNya. Allah juga melarang untuk kita meminta kepada manusia lain kerana selayaknya manusia perlu meminta kepada Allah dan tahan kepada ujian dariNya. 

Alhamdulillah, saya yakin beliau seorang yang mensyukuri nikmat Allah Taala.

Beliau yang dimaksudkan, Dato’ Seri Utama Dr. Hj Mohamad  Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan, bekas ahli korporat yang kini menjawat jawatan penting dalam politik Negeri Sembilan.  Masih tidak terlewat untuk saya mengucapkan tahniah kepada beliau kerana telah dikurniakan Ijazah Doktor Falsafah (Kehormat) Ekonomi dan Pentadbiran Muamalat dari Universiti Islam Sains Malaysia (USIM), Nilai baru-baru ini.

Menjawat jawatan Menteri Besar selepas pilihanraya umum 2004, beliau tidak menoleh ke belakang lagi apabila banyak perubahan yang diusahakan dan dilakukan untuk memajukan Negeri Sembilan ini dengan formula meniup semangat Pendeta Za’ba diusia seawal tujuh tahun sehingga mereka bergelar mahasiswa.

PENDIDIKAN dan SYIAR ISLAM

 Petikan Gambar : Facebook MBNS

Seperti mana Pendeta Za’ba memperjuangkan pendidikan bangsa Melayu mesti diperkasakan, begitu lah ianya dilaksanakan diperingkat awalnya. Apabila mendapati pelajaran Bahasa Inggeris lemah dikalangan pelajar Melayu, beliau telah membawa tenaga pengajar dari luar mengajar guru-guru di sini secara insentif.

Segalanya bermula di tahun 2005, Negeri Sembilan tidak menoleh ke belakang lagi. Dasar Pelajaran diperkasa. Keputusan pelajaran anak-anak tidak lagi terpinggir seperti tahun sebelumnya di mana kita berlumba-lumba dengan negeri jiran kepada kedudukan tercorot dan terakhir.

Anak-anak Negeri Sembilan di universiti di pelosok tanahair, menjadi mahasiswa yang cemerlang di dalam pelajaran. Ketika beliau memperkenalkan insentif penghargaan kepada Mahasiswa yang mendapat keputusan Ijazah Kelas Pertama, daripada beribu mahasiswa, hanya tiga orang sahaja mendapat insensif tersebut.

Beliau berpendapat mustahil tidak ramai yang boleh dapat keputusan yang cemerlang. Akhirnya, insentif tersebut dilaksanakan setiap tahun dan ini telah menjadikan mahasiswa anak negeri berlumba-lumba memperbaiki kehidupan keluarga dengan ilmu.

Tidak cukup itu, Dato’ Seri Utama Dr. Hj Mohamad Hj Hasan, turut mengtranformasikan pendidikan agama anak-anak di awal usia tujuh tahun dengan mengilhamkan Kelas agama petang. Di mana beliau mahu anak-anak ini mendapat bekalan yang cukup apabila dewasa kelak. Beliau mahu anak-anak di negeri ini mempunyai asas agama yang baik. Pendapat beliau, seandainya mereka terpilih jalan yang salah, mereka mampu dan segera kembali ke pangkal jalan.

Bukan itu sahaja, pemikiran Menteri Besar menjangkaui apa yang rakyat biasa tidak fikirkan. Di kala dunia sedang berhadapan dengan dunia tanpa sempadan atau ‘free globalization’, manusia akan terdorong dengan pemikiran terkini tanpa rasa bersalah.

Anak-anak negeri ini di hantar melanjutkan pelajaran di Universiti Timur Tengah  dan mempelajari ilmu Fiqh,  Perubatan,  Hadis dan sebagainya. Ujar beliau, dengan adanya bijak pandai, kita sudah ada sumber yang tepat untuk dirujuk.

Menteri Besar turut memberi peluang kepada Universiti tempatan dan luar Negara membuka  cawangannya di sini. Contohnya seperti Universiti Manipal, UCSI, Universiti As-Sofa yang akan menyediakan Kulliyah Al-Azhar, iaitu salah satu fakulti yang ada di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Kerajaan Negeri turut membangunkan sebuah menara Islam yang sedang di dalam pembinaan dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun. Apabila ianya siap kelak, menara ini akan menjadi mercu tanda bahawa agama Islam  merupakan agama rasmi penduduk di negeri ini.

Sepanjang Menteri Besar mentadbir Negeri Sembilan, sebanyak 16 buah masjid telah di bina dan tiga buah lagi dalam proses pembinaan. Tidak cukup itu, terdapat beberapa kawasan lagi turut dikenalpasti untuk didirikan masjid.

Menurut Menteri Besar, fungsi masjid bukan sahaja untuk solat, tetapi ianya boleh dijadikan pusat melaksanakan aktiviti masyarakat. Cuba kita fikirkan, jika masjid  ini diinstitusikan dengan aktiviti bermanfaat, sudah pastinya Islam semakin kukuh dan kuat.

PEMBANGUNAN NEGERI
  
Apabila Menteri Besar menyediakan pembentukan pembangunan modal insan diusia muda, beliau turut memandang  pembangunan negeri di majukan dengan terbaik mungkin tanpa negeri ini teringgal dari arus perdana.

Kerajaan Pusat telah meluluskan bahawa Seremban boleh diiktiraf sebagai sebuah bandaraya menjelang 2013.

Bukan itu sahaja, jaringan jalan raya turut dibuka untuk meluaskan pasaran pelaburan masuk ke negeri ini.

Menyediakan perumahan mampu milik atau PR1MA di sekitar Seremban dan hampir dengannya.

Selain daripada itu, kemudahan jaringan pengangkutan keretapi elektrik turut di panjangkan sehingga ke Rembau. Ini memudahkan anak-anak negeri ini bekerja di luar Negeri Sembilan menginap bersama ibu bapa yang sudah uzur di kampong halaman.

DASAR JARINGAN KESELAMATAN SOSIAL

Tidak pernah terlintas di fikiran kita, bahawa masih ramai lagi insan dan masyarakat yang perlu di bantu di negeri ini. Ketegasan Menteri Besar agar Jabatan terlibat, pemimpin kampong dan cawangan mengenalpasti berapa ramai lagi yang perlu dan mesti dibantu.

Beliau tidak percaya apabila JKM, MAINS menyenaraikan nama yang tidak sampai 10,000 orang. Akhirnya, dengan kerjasama semua pihak, Kerajaan Negeri hari ini melalui JKM membantu mereka yang memerlukan berjumlah RM6.3 juta setiap bulan yang melibatkan 26,000 orang dari bangsa Melayu, Cina dan India.

DASAR MENYAYANGI WARGA EMAS

Sifat kasih sayang begitu menebal di hati Menteri Besar. Pentadbirannya selaku Menteri Besar prihatin di atas nasib yang melanda warga emas.

Di kala anak muda mengejar untuk mengukuhkan karier masing-masing di samping menjalani kehidupan yang baru di dalam apa juga bidang dan menjalani kehidupan berumah tangga, ada dikalangan mereka seperti kacang lupakan kulit. Ibu bapa yang sudah tua dan uzur dibiarkan merana di kampong.

Adakalanya, anak-anak jarang pulang ke rumah ibu bapa dengan alasan kesibukan membina kerjaya.

Dasar menyayangi warga emas ini dilancarkan agar generasi muda prihatin dengan kasih sayang ibu bapa mereka mendidik tanpa jemu.

Inilah sifat kemanusiaan yang perlu dicontohi dan dijadikan pedoman. Yang muda akan merasi tua.

KESENIAAN DAN KEBUDAYAAN

Menurut Menteri Besar, aktiviti keseniaan dan kebudayaan jika kita pandai menilai dan tidak menjadikan ianya satu kelekaan, ia akan menghasilkan satu perasaan dan suasana yang harmoni dan hidup  penuh keceriaan.

Hiburan dan kebudayaan penting untuk kita meringankan beban fikiran malah ia turut merangsang pemikiran yang kreatif dan inovatif. Dengan kerjasama Yayasan Negeri, Beliau merancang menubuhkan Okestra Simfoni Muda YNS.

Generasi muda yang berminat dengan kegiatan seni boleh terlibat secara langsung dan kegiatan seni turut mampu memberikan kehidupan yang baik.

Beliau turut membudayakan adat perpatih melalui Persukuan Adat yang berlangsung setiap tahun.

Saya yakin dan percaya, sahabat Pradigma Srikandi turut bersetuju dan menyokong bahawa,  tidak berlebih-lebihan sekiranya kita mengiktiraf jasa dan bakti Dato’ Seri Utama Dr. Hj Mohamad Hj Hasan, sebagai Pendeta Za’ba Alaf Baru. Jika tidak pendeta pun.. beliau berusaha mencapai dan hasrat sama apa yang di suarakan dan ditulis Za'ba.

Dari segi pemikirannya, tindak tanduk pentadbirannya, membangunkan ekonomi negeri ini, membina sahsiah jati diri generasi muda melalui ilmu agama, ilmu teknologi dan sebagainya.

Pendeta Za’ba hanya satu di Negara ini. Orang mendengar Pendeta Za’ba. Tetapi mereka tidak kenal siapa Pendeta Za’ba. Siapa Pendeta Za’ba??

Za’ba hanya nama pena bagi seorang yang berjuang dengan caranya sendiri. Menulis, mengkritis, mengilham dengan mata pena.

Pemilik nama Za’ba.. lahir di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir. Selain daripada Za’ba.. nama pena lain yang sering kali digunakan ialah Patriot, Anak Melayu Jati, M. Zai dan Zai Penjelmaan. Namun Za’ba lebih singkat, lebih padat, lebih tepat dan lebih tajam.

Pemilik nama pena Za’ba ialah Tan Sri Dr. Zainal Abidin bin Ahmad (ZA’BA). Beliau lahir pada tanggal 30 Jun 1895. Kembali ke Rahmatullah ketika berusia 78 tahun pada hari Selasa bersamaan 23 Oktober 1973 disebabkan sakit tua.

Penderitaan beliau bermula dengan penglihatan yang kurang jelas dan sakit buah pinggang.

Semoga beliau tergolong dengan para sahabat serta alim ulamak dan tergolong dengan golongan mukmin sejati. Al-Fatihah Amin.

PERJUANGAN Za’ba

PENDIDIKAN

Za’ba berpendapat faktor utama menyebabkan berlakunya kemunduran dalam kalangan orang Melayu adalah kelemahan mereka dalam pendidikan.

Za’ba amat menyedari bahawa pendidikan adalah agen perubahan social yang sangat penting. Pada pendapatnya, ilmu dan pengetahuan ialah punca sekelian jalan yang diatasnya diterbitkan pensejataan dan kelengkapan untuk membantu jalan-jalan yang lain. Hal ini menyebabakan Za’ba cuba menjelaskan erti ilmu dan pengetahuan.

Dalam mencari ilmu, orang Melayu haruslah bermula daripada tahap serendah-rendahnya sehingga ke tahap yang paling tinggi ilmu yang ada di dunia. Ilmu yang dituntut oleh orang Melayu adalah berdasarkan kemahiran dan juga berdasarkan kerohanian. Justeru Za’ba menyarankan orang Melayu agar menggunakan ilmu yang dituntut untuk kemajuan dunia dan kebahagiaan akhirat.

Za’ba juga memberi penekanan kepada penguasaan bahasa asing selain bahasa sendiri. Kepentingannya sebagai satu sumber atau perantaraan untuk membolehkan sesuatu masyarakat itu bukan sahaja sekadar memahami masyarakat sendiri, tetapi juga masyarakat lain. Za’ba menyarankan orang-orang Melayu berpengetahuan dalam bahasa Arab demi kesempurnaan beragama dan berbahasa Inggeris untuk mendapat ilmu sesuai dengan kehendak zaman.

Jika diteliti daripada hasil penlisan Za’ba, apa yang tersirat ialah Za’ba mahu mewujudkan university berasaskan konsep Melayu dan Islam. Pada pendapat beliau, penubuhan Universiti itu harus bermula dengan wujudnya sekolah-sekolah yang sempurna, secular dan agama, kolej-kolej seperti kolej Islam dan akhir sekali mewujudkan sebuah university yang member penekanan kepada secular dan agama.

Tegasnya, kehendak Za’ba adalah supaya Inggeris mewujudkan university di Tanah Melayu untuk orang Melayu dan muslim dan mahukan pelajaran dunia dan pelajaran akhirat tergabung dalam konsep tersebut.

Cita-cita dan harapan Za’aba ini akhirnya terbenih dalam tahun 1983 iaitu lahirnya Universiti Islam Antarabangsa tetapi bahasa pengantarnya bahasa Inggeris bukan bahasa Melayu sepertu yang diperjuangkan oleh Za’ba sepanjang hajatnya. Hal ini berlaku sedekad selepas Za’ba kembali ke Rahmatullah.

EKONOMI

Dasar pemikiran Za’ba tentang ekonomi ialah kemunduran orang Melayu daripada segi kebendaan dan rohani. Jika ditinjau keterlibatan Za’ba dalam memperkatakan masalah ekonomi Melayu, di sepanjang penulisannya Za’ba salah seorang penulis yang serius dan peka tentang perkara tersebut.

Antara istilah yang sering diguna pakai ialah kemunduran, kejatuhan dan kelemahan. Mulai tahun 1927 (al-ikhwab terbitan bulan Mac-Mei) beliau menggunakan istilah kemiskinan dan ungkapan sengsara, kepapaan bagi mengantikan istilah kemunduran yang sering digunakannya sebelum ini.

Definasi kemiskinan Za’ba meliputu aspek kebendaan dan kerohanian. Pada pandangan Za’ba, berbanding kedua-dua aspek tersebut kemiskinan orang Melayu yang utama adalah ‘kemiskinan perangai’. Menurut beliau, ‘kemiskinan perangai’ ini perlu diubati terlebih dahulu. Seandainya penyakit ini tidak sembuh nescaya orang Melayu akan terus kekal dalam keadaan sedemikian iaitu tidak mempunyai kekuatan ekonomi.

Berhubung dengan kekuatan ekonomi, beliau menyatakan bahawa kekuatan ekonomi amat penting untuk mendapat kejayaan dan jkebebasan bangsa yang sebenarnya. (Al-ikhwan, 1927)

KEAGAMAAN

Pada zama kecilnya, Za’ba mendapat pendidikan agama yang sempurna walaupun pengajiannya bersifat tradisional. Beliau juga Berjaya menguasai asas-asas bahasa Arab. Pengetahuannya tentang agama sejajar dengan kehendak ayahnya dan keperluan adat Linggi. 

Pada pandangan Za’ba masalah terbesar dalam kalangan orang Melayu walaupun sudah 600 tahun memeluk agama Islam tetapi mencampuradukkan ajaran Islam dengan kepercayaan zaman sebelum Islam  iaitu animism dan agama Hindu.

Orang Melayu masih mengamalkan ilmu guna-guna, tangkal, upacara korban dan adakalanya perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Kesemua ini berlaku kerana menurut Za’ba orang Melayu tidak memahami konsep iman dan ajaran Islam yang sebenarnya. Akibatnya keyakinan serta amalan mereka terpesong. Orang Melayu menerima ajaran al-Quan dan Hadis Rasul Allah hanya sebagai ajaran ibadat semata-mata, bukan mencakupi aspek-aspek kesejahteraan hidup manusia di dunia ddan di akhirat.

Tegasnya, ajaran agama ddalam kalangan orang Melayu hanya terbatas kepada membaca al-Quran, sembahyang dan puasa.

Menurut Za’ba kegagalan orang Melayu membela nasib sendiri bukan kerana mereka tidak berzikir, bertasbih atau tidak takut akan seksa kubur atau seksa dalam neraka, tetapi tidak mahu mengubah nasib mereka daripada jahat kepadda baik. Dengan iktikad yang betul, beserta memiliki ilmu pengetahuan yang baik, Za’ba yakin orang Islam khususnya orang Melayu akan bangkit kembali ke zaman kegemilangan mereka seperti yang berlaku di Timur Tengah dalam abad ketujuh tahun Masehi.

Za’ba memberi penekanan yang kuat kepada peranan akal dan kepentingan ilmu serta pengetahuan. Hal ini menyebabkan beliau sering menyeru masyarakat Melayu supaya berjihad dan salah satu jihad itu mengamalkan ijtihad dan menolak amalan taklik.

Menurut Za’ba. Masyarakat Islam mestilah berijtihad kerana itu suatu tuntutan adil dan berfaedah bagi keselamatan dan kemajuan manusia dalam dunia yang serba maju dalam serba serbinya.

Sebaliknya, jika pintu ijtihad ditutup, bererti masyarakat Melayu menutuo pintu kemajuan dan memaksa manusai Melayu bersifat mati.

POLITIK

Pendirian Za’ba dalam perjuangan mencapai kebebasan orang Melayu harus memiliki ilmu dan pengetahuan yang tinggi serta kemajuan dan kekuatan dalam pelbagai bidang. Dengan ilmu dan pengetahuan yang sesuai dengan kehendak Islam dan tuntutan perkembangan semasa, oranng Melayu akan Berjaya membebaskan diri dan Negara ini daripada cengkaman penjajah.

Untuk mencapai perpaduan masyarakat Melayu harus memperkuatkan sifat rela korban dan semangat kemajuan umum. Namun pada pandangan Za’ba sifat ini masih belum mencukupi. Beliau juga mahu orang Melayu mengintergrasikan dalam diri mereka sifat habb’l wathan yang bermaksud cinta tanahair atau mempunyai sikap patriotism (Abdullah Hussain dan Khalid M. Hussain, 2000:239)

Za’ba telah memulakan pelaksanaa idea penyatuan bangsa Melayu ini dalam tahun 1921. Dalam tahun tersebut, sebagai usaha awal penyatuan orang Melayu tertumpu kepadda pelajar-pelajar daan bekas pelajar-pelajar MCKK. Dalam tahun tersebut, sebagai usaha awal penyatuan orang Melayu tertumpu kepada pelajar-pelajar dan bekas pelajar-pelajar MCKK.

Dalam tahun 1923, beliau menubuhkan The Malay Literary Association Kuala Lumpur. Persatuan ini gagal bergerak cergas kerana kegiatannya disekat oleh pihak Inggeris.

Tetapi dengan wujudnya persatuan tersebut satu proses penyatuan dalam kalangan anak Melayu berpendidikan Inggeris telah dimulakan.

Golongan sama akhirnya melahirkan persatuan guru-guru Melayu. Persatuan guru-guru Melayu melalui Majalah Guru (1924) memainkan peranan dalam kesinambungan perjuangan Za’ba menentang Inggeris.

Dalam tahun 1945, Za’ba telah dilantik menjadi Yang DiPertua PErsatuan Melayu Selangor. Sebulan selepas perlantikan itu, timbul persoalan kerajaan Inggeris hendak menubuhkan Malayan Union. Persatuan Melayu Selangor di bawah pimpinan Za’ba telah mengemparkan Tanah Melayu dan mengkagumkan dunia kerana keberaniannya menghantar sepucuk telegram bantahan penubuhan Malayan Union kepada Setiausaha Negeri British di London.

Berikutnya, Persatuan Melayu Selangor juga terlibat dengan aktif untuk mengadakan Kongres Melayu Se-Tanah Melayu bagi membincangkan masalah politik bangsa Melayu. Untuk tujuan ini Za’ba telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penganjur. Akhirnya kongres tersebut Berjaya diadakan selama empat hari iaitu 1-4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur.

Sebaik sahaja kongres bermula pada 1 Mac, Za’ba mencadangkan nama Datuk Onn untuk mempengerusikannya. Cadangan ini disokong oleh Haji Abdul Wabah (Datuk Panglima Gantang). Dalam kongres ini juga tertubuhnya UMNO. Datuk Onn mencadangkan nama United Malay Nasional Organisation (UMNO). Nama itu berkekalan hingga hari ini.

Za’ba telah menyediakan nama terjemahan rasmi dalam bahasa Melayu iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang dikenali pada ketika itu sebagai PEKEMBAR. Pada hari kedua Za’ba dilantik sebagai anggota Jawatankuasa Penggubal Rang Piagam UMNO.

Keterlibatan Za’ba dalam mewujudkan UMNO ini dapat dianggap sebagai puncak perjuangannya dalam memaartabatkan bangsa Melayu dan Negara. Perjuanagn Za’ba tidak berakhir di sini sahaja. EBlaiu terus berjuang terutama dalam bidang pendikan sehingga tertubuhnya Jabatan Persuratan Melayu di Universiti Malaya di Singapura. Belaiu bertanggungjawab bersama Ungku Abdul Aziz menubuhkan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya pada bulan Januari 1955.

Pada bulan September 1956 Za’ba diberi kepercayaan untuk mengetuai Jawatankuasa Pusat Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga. Kongres ini kemudian melantik beliau sebagai Pengerusi Lembaga Tetap Kongres.

Walaupun telah bersara dalam tahun 1958, Za’ba tetap terus member sumbangan kepada masyarakat sebagai ahli jawatankuassa beberapa badan yang dianggotainya. Disamping itu beliau turut memberikan syarahan ke serata di Persekutuan Tanah Melayu.

Gelaran Pendeta

Sebelum penganugerahan gelaran ‘Pendeta’ dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Malaya Ketiga, 21 September 1956, Za’ba pada hakikatnya telah pernah dua kali diberikan gelaran tersebut;
1.       Mulai 9 Ogos 1935, pengarang Warta Malaya menyatakan: Seorang muda Pendeta Melayu yang termasyur, bijaksana dan terpuji… dan karangannya itu menandai seorang anak Melayu yang berjasa mengharumkan bangsa dan bahasa Melayu.
Mulai tarikh itu pengarang Warta Malaysa berterusan memberi gelaran Pendeta kepada Za’ba.

2.       Pada tahun 1936, Johor  Society Malay Literature juga ingin memberi gelaran Pendeta kepada  Za’ba tetapi cadangannya ditolak oleh beliau kerana perjuangan beliau bukan untuk mencari gelaran seumpama itu. Perjuangannya adalah untuk mengubah pemikiran manusia juga mencapai pembangunan dan kebaikan manusia terutamanya orang Melayu.

ANUGERAH
Atas segala khidmat Za’ba telah diberikan beberapa anugerah (ada yang ditolaknya) dan 
Ijazah Kehormat

Ijazah Kehormat
1.       Doktor Persuratan oleh Universiti Malaya, 1959
2.       Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia, 1973.

PINGAT
1.       Pingat Mangku Negara (PMN), 1958 yang membawa gelaran Dato’ tetapi ditolak oleh Za’ba.
2.       Bintang Kebesaran Brunei, 1960, tetapi di tolak oleh Za’ba.
3.       Pingat Mangku Negara, 1962, yang membawa gelaran Tan Sri. Za’ba terpaksa menerimanya kerana pada beliau tidak manis menolak buat kali kedua.

PENUTUP

Anak kelahiran Negeri Sembilan ini merupakan seorang tokoh yang tidak ada gantinya. Za’ba adalah seorang wira tanah air. Keperwiraan Za’ba bukan kehebatannya menggunakan senjata atau keunggulannya dalam dunia persilatan tetapi kerana intelektualnya. Idea dan warisan intelek Za’ba hingga hari ini masih diperjuangkan walaupun melalui cara yang berbeza.

Sepanjang hidupnya Za’ba sentiasa memikirkan bahasa dan bangsanya tanpa mengenal letih dan tidak menghiraukan kesihatan diri dalam memperjuangkan nasib dan masa haddapan manusia Melayu termasuk aspek-aspek agama, kepercayaan, budaya, social, ekonomi dan politik.

Telah wujud satu mercu tanda – Teratak Za’ba di kampong kelahirannya di Bukit Kerdas. Teratak Za’ba ini adalah satu tugu yang harus dibanggakan di samping menjadi dorongan, galakan dan inspirasi untuk mencapai kemajuan dan jati diri orang Melayu Malaysia amnya dan Negeri Sembilan khasnya. Justeru, semua pihak, semua lapisan masyarakat Malaysia, tanpa mengira keturunan, agama dan isme harus memanfaatkan terakak ini untuk kemajuan Negara dan bangsa.

Oleh itu sesiapa sahaja yang mempunyai apa sahaja yang berkaitan dengan Za’ba harus member sumbangan dan bantuan baik dari segi material sama ada merupakan bahan yang bercetak atau belum dan bantuan moral agar teratak ini dapat diisi sepenuhnya dan selengkapnya tentang siapa Za’ba.

Nota kaki,

Hal ini tidak bermakna bahawa masyarakt adat Perpatih tidak kuat beragama. Dalam adat Perpatih, agama dan adat itu tidak dapat dipisahkan seperti yang terkanun dalam perbilangan adat;

Adat bersendikan syarak.
Syarak bersendikan kitabullah.

Adat Linggi pula disusun berdasarkan hokum Islam dan sunnah nabi yang meliputi 100 perkara iaitu;

  1.  Wajib pada Allah                              (10)
  2.  Mustahil pada Allah `                      (20)
  3. Jaiz pada Allah                                   (01)
  4.  Lawannya                                          (01)
  5. Wajib pada Rasul                              (04)
  6. Mustahil pada Rasul                        (04)
  7. Jaiz pada Rasul                                  (01)
  8.  Lawannya                                          (01)
  9. Rukun iman                                        (06)
  10. Syaratnya                                            (10)
  11. Tandanya                                            (04)
  12. Yang membinasakan                        (10)
  13. Rukun Islam                                       (05)
  14.  Syaratnya                                           (04)
  15. Tandanya                                            (04)
  16. Yang membinasakan                       (04)
  17. Rukun Insan                                       (01)


        Jumlah                                                  (100)

Kira-kira 5,000 buah buku milik pribadi dan naskah persuratan yang diilhamkan dan ditulis oleh Pendeta Za’ba kebanyakannya telah diwakafkan sendiri oleh beliau ketika hidupnya di Universiti Malaya. Khazanah dan hasil penulisannya boleh dicari di sana.

Manakala apa yang terdapat di Teratak Za’ba ketika ini ialah bahan artifak dan sumber terbitan yang diperolehi dari naskah di Universiti Malaya.

Namun terdapat juga alat dan medium yang digunakan oleh Za’ba ketika menjadi tenaga pengajar di UPSI, namun peralatan tersebut tiada penjelasan dan butiran lengkap.

Malah, buku hasil tulisannya juga tak banyak di Dewan Bahasa dan Pustaka dan Arkib Negara.  Hanya sekitar 95 naskah persuratan sedangkan penulisannya lebih dari jumlah tersebut.

Menjadi keazaman dan cita-cita penjawat awam yang bertugas menjaga dan memelihara artifak di Teratak Za’ba ini agar surat asal dan bahan-bahan asal berkaitan Pendeta Za’ba dikumpulkan di teratak ini. Bukan sahaja ianya memberi kemudahan kepada penganalis memahami pemikiran Pendeta Za’ba, tetapi turut menjimatkan masa contohnya, teratak terletak di Negeri Sembilan, medium yang digunakan dan naskah ilham Za’ba berada di Perak, Selangor dan Johor.

Malah menurut sumber yang bekerja di teratak ini, agar sumber ini disatukan di bawah satu bumbung. Usaha ini yang diperjuangkan oleh mereka adalah semata-mata mahu semangat Pendeta Za’ba dapat ditiupkan kepada generasi pada hari ini umpama yang selalu dilafazkan oleh Dato’ Seri Utama Dr. Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan.

Sumber  Lisan
1.       Encik Rahim Surip, 51 tahun
Jawatan : Pekerja Am
Berkhidmat selama 11 tahun sejak teratak dibuka pada tahun 2001.

2.       Mohd Zain Sait, 32 tahun
3.       Jawatan : Pekerja Am
4.       Berkhidmat selama 9 tahun. Mula bertugas 2003.




Wan Salwati Hj Abdullah
Generasi Pewaris Semangat Pendeta Za'ba































Petikan Gambar : Di ambil dengan izin kakitangan Teratak Za'ba.

No comments:

Post a Comment