Monday 30 April 2012

Ulang Tahun UMNO ke-66 : Larian Bendera Bermula Esok



Seperti yang diwar-warkan, Larian Bendera akan membuka tirai sambutan besar-besaran Ulang Tahun UMNO ke-66 pada 11 Mei nanti. Sebagai simbolik memulakan ‘Larian Bendera’ ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah menyerahkan bendera kepada setiap wakil negeri di perkarangan lobi Menara Dato Onn di sini.

 
‘Larian Bendera’ ini akan berjalan serentak di empat zon iaitu Utara, Pantai Timur, Selatan dan Sabah pada 1 Mei ini dan akan berakhir di Stadium Bukit Jalil pada 11 Mei nanti.


Untuk Zon utara, ‘Larian Bendera’ ini akan melalui empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak serta Selangor, manakala Zon Pantai Timur akan bermula di Kelantan dan akan melalui Terengganu dan Pahang.


Untuk Zon Selatan pula ianya akan bermula di Johor dan akan menjelajah Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor manakala untuk Zon Sabah akan bermula di Negeri Bawah Bayu seterusnya diterbangkan ke KLIA, melalui Selangor dan Wilayah Persekutuan.


Dalam masa yang sama, ‘Larian Bendera’ ini akan mengumpulkan sejuta tandatangan di atas kain rentang sepanjang perjalanan untuk dibawa ke Stadium Bukit Jalil di mana acara kemuncak bakal berlangsung. Tandatangan ini adalah bukti sokongan padu rakyat kepada pucuk pimpinan parti dalam mentadbir negara.


Sambutan pada kali ini juga menjanjikan kelainan dan pelbagai program telah diatur bermula 1 Mei sehinggalah 13 Mei ini dan karnival selama tiga hari berlangsung di Stadium Bukit Jalil.
Untuk melihat acara lebih jelas dan program yang diatur, layari www.umno-online.com.


Kepada anak muda pendukung dan pencinta parti, marilah kita bersama-sama melibatkan diri dan mengambil bahagian dalam apa jua yang dianjurkan oleh parti dalam usaha menyambut ulang tahun UMNO ke 66 tahun ini. Ianya adalah satu sejarah bagi kita umat bangsa Melayu yang dapat memegang tampuk pemerintahan negara sejak Merdeka sehingga kini.



Bukan setakat itu sahaja, UMNO lah yang menjadi platform bagi pejuang-pejuang bangsa Melayu dalam usaha menentang penubuhan Malayan Union di Tanah Melayu pada satu ketika dahulu.


UMNO dan bangsa Melayu tidak dapat dipisahkan kerana ianya amat sinonim dengan perjuangan kemerdekaan. Janganlah kita lupa akan catatan sejarah ini. Janganlah kita leka, lalai serta tidak mengenang budi diatas apa yang telah dilakukan oleh pejuang-pejuang UMNO dan bangsa Melayu.



Sebagai anak muda, yang merupakan pewaris kepada kesinambungan perjuangan UMNO yang akan datang, seharusnya kita mensyukuri serta menginsafi akan pahit getir pejuang yang terdahulu. Apa yang perlu kita galas dan pikul pada hari ini adalah bagaimana usaha dan tindakan kita untuk mengekalkan kuasa UMNO dalam pentadbiran kerajaan dan negara daripada dirampas oleh pihak pembangkang.? Janganlah kita menjadi seperti kacang lupakan kulit.....


Salam Perjuangan


" Suara Belia/Anak Muda Bersatu, Tidak Dapat Dikalahkan "



Wan Salwati Hj.Abdullah
Pegawai Khas YB.Menteri Belia & Sukan Malaysia
Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Seremban
Ahli Majlis Kerja Tertinggi 4B Malaysia
Ahli Lembaga Penasihat IKRAR Malaysia
Presiden Majlis Belia Negeri. Negeri Sembilan.