Tuesday 3 July 2012

KIBARKAN JALUR GEMILANG



RAMAI yang mungkin mengambil kiraan mudah bila diajukan soalan ini - Sudah berapa tahun Jalur Gemilang berkibar di tanah air ini?

Lima puluh Lima tahun, tentunya jika berdasarkan sambutan Hari Kebangsaan negara pada 31 Ogos ini.

Sebenarnya Jalur Gemilang dengan 14 jalur merah putih, bulan dan bintang empat belas pecahan berwarna kuning yang berlatar belakang warna biru di satu sudut itu, sudah berkibar tujuh tahun sebelum merdeka.

Empat belas jalur merah dan putih melintang yang sama lebarnya menandakan keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri dan kerajaan persekutuan. Warna biru tua di atas sebelah kiri yang mengandungi anak bulan, ialah lambang agama Islam, agama rasmi negara.

Bintang pecah empat belas pula ialah tanda perpaduan 13 buah negeri dan kerajaan persekutuan.

Warna kuning pada anak bulan dan bintang ialah warna diraja bagi raja-raja Melayu.

Bendera kebangsaan dicipta daripada satu pertandingan pada November 1949.

Enam bulan selepas itu Raja Britain, King George ke-VI mengarahkan bendera itu dikibarkan sebagai bendera baru Persekutuan Tanah Melayu pada 26 Mei 1950.
George VI (Albert Frederick Arthur George; 14 December 1895 – 6 February 1952) 

Beberapa pengubahsuaian dilakukan terhadap corak asal bendera itu sehinggalah secara rasminya ia dinamakan Jalur Gemilang pada 1997, ketika negara berusia 40 tahun.

Jalur Gemilang yang dilihat sekarang sebenarnya wujud beberapa tahun sebelum negara merdeka. Sejarah sepintas lalu, merekodkan Bendera Persekutuan Tanah Melayu diilhamkan menerusi satu pertandingan mereka cipta bendera peringkat kebangsaan. Pertandingan dikelolakan Jawatankuasa Khas dan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Sir Alec Newboult dianjurkan bagi mencari lambang kewujudan kerajaan Persekutuan.

Pada 15 November 1949, Jawatankuasa ini mengemukakan 373 reka bentuk bendera kepada Majlis Perundangan Persekutuan untuk pertimbangan dan pemilihan. Daripada jumlah itu, tiga rekaan disenarai pendekkan membabitkan lambang keris bersilang dikelilingi 11 bintang pecah lima manakala rekaan kedua mempertaruhkan reka bentuk hampir serupa kecuali 11 bintang pecah lima membentuk dua bulatan mengelilingi keris bersilang.



Bagaimanapun, rekaan ketiga ciptaan arkitek Jabatan Kerja Raya Johor, Mohamed Hamzah yang menampilkan sebelas jalur biru-putih dengan bulan bintang berwarna putih di bahagian tepi kiri mendapat pilihan majoriti dan perkenan Mesyuarat Majlis Raja-raja yang berlangsung pada 22 dan 23 Februari 1950.


                                                      Mohamed bin Hamzah (1918 - 1993)

Sebelum kekal dengan rekaan sekarang, beberapa pindaan dibuat termasuk mengikut cadangan Sultan Kedah yang meminta warna putih bulan sabit ditukar kuning bagi mewakili warna Diraja.

Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan menerusi perkenan Majlis Raja-raja Melayu meluluskan usul yang dibentangkan Pemangku Ketua Setiausaha Negara mengenai Bendera Persekutuan Tanah Melayu.



Pada 26 Mei tahun yang sama, bendera itu dikibarkan buat pertama kalinya di Istana Sultan Selangor, Kuala Lumpur. Majlis pengibaran yang berlangsung pada 9.30 pagi itu dihadiri wakil Sultan seluruh tanah Melayu.

Selama 47 tahun digelar Bendera Malaysia, pada kemerdekaan ke-40 pada 1997, namanya ditukar kepada Jalur Gemilang. Nama diusulkan pegawai dari Jabatan Muzium Negara dan Antikuiti, Redzuan Tamin dalam satu peraduan membabitkan pihak tertentu ini berjaya menewaskan 28 cadangan antaranya, Malaysia Raya, N.U.S.A, Mega Sakti, Saga Merah dan sebagainya.



Fakta Jalur Gemilang

Ilham untuk menamakan bendera Malaysia kepada Jalur Gemilang diusulkan DatukHashim Mat Idris. Cadangan berkenaan dikemukakan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pada 11 Julai 1995.
Pada 1 Julai 1996, Urus setia menguruskan nama mengemukakan 75 cadangan berserta ulasan dan huraian. Tiga nama disenarai pendekkan iaitu Setia Perkasa, Seri Setia Perkasa dan Seri Setia Negara.
Tiga nama ini bagaimanapun ditolak Jemaah Menteri ketika mesyuarat pada 11 September 1996.
28 nama lagi dicadangkan dan pada 2 Jun 1997, tiga nama dicalon mengikut keutamaan iaitu Jalur Gemilang, Jalur Nusa Gemilang dan Jalur Sinar Gemilang.
Pengisytiharan Jalur Gemilang dilakukan Tun Dr Mahathir, pada 31 Ogos 1997, jam 11.58 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.


Maksud lambang dan warna;

- Lambang Jalur pada bendera menggambarkan satu laluan lurus, hala tuju dan arah yang sama dianuti rakyat negara ini.
- Gemilang bermaksud bercahaya, terang benderang dan cemerlang. Jalur Gemilang melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam mengharungi suasana kehidupan dengan penuh gigih, taat dan bersatu padu bagi menjaga nama dan menaikkan imej negara.
- Warna merah pada jalur melambangkan kesanggupan, keberanian, kegagahan dan kegigihan rakyat menghadapi segala cabaran. Warna putih melambangkan keluhuran dan keikhlasan, biru melambangkan perpaduan hidup yang rukun dan damai manakala warna kuning melambangkan kesetiaan rakyat kepada Raja dan negara.


Tema Hari Merdeka 2012. “Janji Ditepati” dipilih sebagai tema sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 tahun ini yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 31 Ogos 2012.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, bagi perayaan tahun ini, ia akan melibatkan penyertaan lebih aktif golongan belia dan penyertaan spontan orang ramai.

Perarakan Hari Kemerdekaan akan diadakan di Dataran Merdeka manakala pada sebelah malamnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan bersama rakyat di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyampaikan amanat merdeka dan amanat Hari Malaysia.

“Pada keseluruhannya saya yakin perayaan Hari Merdeka dan Hari Malaysia kali ini akan lebih hebat dari dulu, cuma tinggal lagi pada 16 September kita akan beralih ke Sarawak untuk meraikan Hari Malaysia dan jawatankuasa mencadangkan supaya kita bersama-sama pula ke kawasan luar bandar di Sarawak,” katanya.



Sebagai anak bangsa yang cinta kan tanah air, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang bermula seawal bulan ogos. Kibarkan Jalur Gemilang !!!







Salam Perjuangan

" Suara Belia/Anak Muda Bersatu, Tidak Dapat Dikalahkan "


Wan Salwati Hj.Abdullah
Pegawai Khas YB.Menteri Belia & Sukan Malaysia
Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Seremban
Ahli Majlis Kerja Tertinggi 4B Malaysia
Ahli Lembaga Penasihat IKRAR Malaysia
Presiden Majlis Belia Negeri. Negeri Sembilan.