Monday 17 September 2012

EKSKLUSIF : Dari BTN ke jenjang pelamin


KISAH bahagia pasangan Presiden Majlis Belia Negeri, Negeri Sembilan, Wan Salwati Abdullah, 38 bersama suaminya, pensyarah Institut Perguruan Raja Melewar (IPRM) Seremban, Ahmad Ridzwan Basri, 48 bermula di Kem Bina Negara, Biro Tata Negara (BTN) Ulu Sepri, Rembau.

Apa tidaknya, pandangan mata buat kali pertama semasa Wan Salwati yang pada ketika itu berkhidmat sebagai pembantu pegawai di BTN pada tahun 1994 membuka pagar untuk seorang fasilitator, Ahmad Ridzwan melapor diri bagi mengendalikan kursus di situ, telah membawa kepada bibit cinta awal.

”Semasa itu, saya panggil suami saya cikgu sebab dia fasilitator BTN di Ulu Sepri. Saya memang tidak kenal pun dan dalam diam rupanya, dia (Ahmad Ridzwan) ada hati dengan saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seremban Jaya, Seremban.

Wan Salwati yang merupakan Exco Pergerakan Puteri UMNO dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Seremban berkata, selepas peristiwa itu, kebetulan borang yang diisi suaminya semasa menjadi fasilitator di BTN itu tidak lengkap dan kesempatan itu diambilnya untuk menghubunginya di Serdang.

”Ketika itu, suami saya menyambung pelajarannya di Universiti Putra Malaysia (UPM). Bayangkan pada malam itu, saya boleh berbual dengannya dari pukul 12 malam sehinggalah ke azan subuh,” katanya tersenyum mengenangkan detik awal percintaannya itu.

Katanya, perbualan itu seperti ‘hikayat 1001 malam’ dan ketika itulah Wan Salwati memberanikan diri bertanya kepada suaminya, ‘sudah kahwin ke belum’.

”Dia (Ahmad) menjawab, Wan Salwati bila kamu hendak kahwin,” ujarnya yang juga Ahli Lembaga Pengarah Pemegang Amanah Yayasan Negeri Sembilan (YNS).

Selepas panggilan telefon itu, keesokan harinya Ahmad Ridzwan mengajak Wan Salwati untuk keluar dating ke Kuala Lumpur dan di situ segala latar belakang mereka berdua dikisahkan panjang lebar sebelum Ahmad Ridzwan menghantarnya pulang ke rumahnya di Seremban dan bertemu dengan ibu dan bapanya.

”Saya berkenalan dengan suami saya lebih kurang sebulan dan selepas itu dia masuk merisik dan kami bertunang pada 11 Disember 1994. Dia (Ahmad) telah bertemu dengan ibu dan ayah saya, membuatkan saya rasa senang dan lega,” katanya merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Belia 4B Malaysia.

Wan Salwati yang kini merupakan Pegawai Khas kepada Menteri Belia dan Sukan berkata, dia berkahwin dengan Ahmad Ridzwan pada 6 Januari 1996.

”Kalau sudah jodoh tak ke mana. Kadang kala kita berkenalan dengan orang lain begitu lama, tetapi tiada jodoh. Perkenalan singkat dengan suami saya ini, membawa kepada perkahwinan dan kami bahagia,” katanya.

Sepanjang tempoh perkahwinan ini, pelbagai cabaran dihadapi mereka dan pernah pasangan suami isteri ini berniaga di pasar malam Kuala Pilah, membuka taska dan tadika di Selangor, berniaga di bazar Ramadan serta menyewa rumah dengan harga RM150 sebulan yang cuma ada satu bilik untuk dikongsi dengan anak-anak yang masih kecil.

”Harga sebuah percintaan itu adalah satu pengorbanan. Susah senang, kami lalui bersama dan hari ini, saya dan suami menghormati antara satu sama lain termasuklah memahami tugas dan kerjaya saya. Terima kasih sayang.

”Saya memang dilahirkan dalam keluarga yang aktif dengan aktiviti sukarela dan masyarakat. Ayah saya, Abdullah Awang Embun, 64 merupakan Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Baling di Kedah, manakala semasa hayat ibu saya, Allahyarham Nohiati Abd. Rahman, beliau merupakan Timbalan Pengerusi Tetap Wanita UMNO Bahagian Seremban.

”Ramai yang bertanya, tak takut suami ke sebab asyik sibuk memanjang dan saya katakan, takut saya pada suami ialah dengan menghormatinya,” katanya.

Ahmad Ridzwan ketika ditemui berkata, dia memanggil isterinya ‘ayang’ kerana percaya wanita yang dikahwininya ini mampu memberikan kebahagiaan dunia dan akhirat.

”Dia (Wan) seorang yang peramah, pandai mendidik dan seorang yang berkarisma dalam kerjayanya. Dia seorang yang profesional dan mampu melakukan kerja yang diberikan dengan baik,” katanya.

Katanya, apabila dia berkenalan dengan isterinya, apa yang terdetik di hatinya ialah sudah sampai masa dia mendirikan rumah tangga dan Wan Salwati adalah pasangan hidupnya.

”Saya terus jumpa keluarganya dan alhamdulillah saya diterima dan kami terus mengikat pertunangan dan berkahwin. Harapan saya, semoga perkahwinan ini berkekalan dan menyerahkan segala urusan itu kepada Allah SWT,” katanya.

Pasangan itu kini mempunyai lima orang anak perempuan hasil perkahwinan selama 16 tahun dan mereka ialah Anis Amira Ahmad Ridzwan, 15; Adlin Amira, 13; Aza Syarlina Amira, 11; Ain Haryati Amira, 7 dan Alma Qaisara Amira, satu tahun 6 bulan.

”Saya adalah seorang pendidik, manakala isteri saya mempunyai tanggungjawab dengan masyarakat dan politik. Saya menghormati kerjayanya, begitu juga harapan saya agar isteri juga menghormati kerjaya yang saya lakukan ini.

”Kami saling memahami antara satu sama lain. Saya tidak mencampuri urusan kerja isteri saya, bagaimana pun saya menyokong apa yang dilakukan demi kebaikan keluarga, masyarakat dan agama,” ujarnya.

Sumber : Utusan Malaysia (Terima kasih kepada wartawan Ainol Amriz Ismail)