Sunday 28 October 2012

YNS tumpu belia, pendidikan


Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL

 Yayasan Negeri Sembilan (YNS) akan distrukturkan semula bagi memastikan teras perkhidmatannya yang sebelum ini tertumpu kepada pendidikan diperluaskan kepada pembangunan belia.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, peranan Sekretariat Belia di yayasan berkenaan akan dibesarkan skop kerjanya mencakupi segala aspek pengembangan belia dengan aktiviti yang lebih holistik.

"Kita akan menaik taraf perkhidmatan supaya belia diletakkan sama taraf dengan pendidikan yang mana kedua-duanya saling memerlukan," katanya selepas mempengerusikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negeri Sembilan - Sidang Pertama Sesi 2012-2014 di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, dekat sini semalam.

Dalam majlis berkenaan, Mohamad turut menyampaikan watikah pelantikan kepada beberapa ketua jabatan dan individu bagi menganggotai Majlis Perundingan Belia Negeri Sembilan bagi sesi 2012-2014 untuk bersama-sama menyumbang ke arah pembangunan generasi belia di negeri ini.

Katanya, menerusi pendekatan itu peranan Sekretariat Belia akan menjadi lebih meluas termasuk menerusi kewujudan bahagian dalam yayasan tersebut untuk menjadikannya sebagai sekretariat sepenuh masa.

"Dewan Undangan Negeri Belia negeri juga boleh menjadikan bahagian ini sebagai sekretariat mereka yang mana segala peruntukan boleh disalurkan kepada bahagian ini untuk diselaraskan sekali gus memberi nafas baru kepada belia," katanya.

Mengenai Rancangan Pembangunan Belia Negeri Sembilan (RPBNS) 2005-2010, Mohamad berkata, perkara itu telah dirancang dan berjaya mendekatkan belia dengan sekretariat, kerajaan serta Majlis Belia Negeri, Negeri Sembilan.

"Hanya negeri ini sahaja yang ada rancangan lima tahun pembangunan belia.

"Banyak yang telah kita adakan seperti Info Belia bagi menyampaikan maklumat dan komunikasi dua hala dengan mereka, selain diwujudkan Penyelaras Belia Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk merancakkan aktiviti belia," katanya.

Sehubungan itu, kata Mohamad, RPBNS 2011-2015 yang kini memasuki fasa kedua akan memberikan tumpuan kepada pelaksanaan serta melakukan tindakan dan aktiviti.

"Contohnya Dewan Undangan Negeri Belia yang mana mereka boleh menyuarakan pandangan dan pendapat dengan lebih segar, latihan di peringkat industri, pemantapan mengikut sektor serta tumpuan kepada beberapa bidang keberhasilan," ujarnya. 


Terima kasih Saudara Ainol Amriz

Sumber : Utusan Malaysia




Dari Meja Belia Untuk Belia



Wan Salwati Hj Abdullah
Presiden Majlis Belia Negeri, Negeri Sembilan (MBNNS)