Sunday 22 July 2012

SIRI 1 : Ringkasan Eksekutif Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Negeri Sembilan



Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia kini sering disuarakan oleh Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan di dalam beberapa program bersama Majlis Belia Negeri Negeri Sembilan (MBNNS).

Akhirnya, Majlis Belia Negeri Negeri Sembilan (MBNNS) mengambil cabaran ini  dan bermesyuarat membincangkan halatuju penubuhan DUN Belia secara serius seperti yang dipersetujui oleh Menteri Besar ketika berucap di Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sembilan 2012 pada Mei lalu.

Hasil perbincangan ini, maka Makmal Kajian Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Negeri Sembilan dianjurkan selama 3 hari 2 malam bagi memperhalusi dan memperincikan akta dan perlembagaan DUN Belia Negeri Sembilan yang bakal wujud tidak lama lagi.

Saya sebagai Presiden MBNNS memberanikan diri menyahut cabaran Menteri Besar ini kerana di bawah MBNNS sendiri, terdapat banyak Persatuan Belia Melayu, Cina dan India. Jelas terbukti, ianya platform terbaik anak muda.

Malah pendekatan belia untuk belia seperti dihasrat Menteri Besar, sesuatu yang bakal memberi manfaat kepada belia sepenuhnya. 

Belia terkenal dengan kecenderungan kebebasan beraktiviti dan ada masanya, mereka lupa kebebasan itu boleh membantu dan disalurkan di dalam bentuk aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat. Apa yang penting, mereka perlu disedarkan mengenai halatuju belia sebagai peneraju pembangunan negara dan negeri di masa akan datang.

Selamat datang belia, apabila DUN Belia ini direalisasikan kelak, anda akan jadikan medium ini menjadi hak anda dan hak anda juga ada batas bebasnya seperti mana yang terangkum dalam undang-undang negara.

Hak bebas anda merangkumi menyuarakan idea dan pandangan serta cadangan khidmat anda kepada pembangunan negeri. Hak bebas itu juga merangkumi penglibatan secara langsung dan tidak langsung anda kepada aktiviti-aktiviti berasaskan minat belia dewasa ini.

Boleh jadi, hak bebas anda menghampiri perhubungan anda dengan pemimpin negeri umpama sembang kedai kopi, kenduri rakyat, bersembang di talian, bersms dan berhubung di facebook. Inilah sifat keterbukaan alaf baru yang perlu belia Negeri Sembilan polopori. 

Negeri Sembilan bakal jadi negeri pertama mewujudkan DUN Belia dan ini telah disahkan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Dato’ Ahmad Shabery Chek di Persidangan Parlimen Malaysia ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang bertanya berkaitan penubuhan DUN Belia di negeri-negeri.

Objektif dan peranan




Penubuhan DUN Belia amat signifikan bagi Negeri Sembilan untuk memberikan platform yang sah dan berkesan bagi mendengar suara belia khususnya golongan majority belia yang tidak menyertai mana-mana pertubuhan belia yang perlu didekati dan didengari suara mereka. Kelompok majority belia ini harus diberikan peluang secara langsung untuk menyuarakan pandangan mereka bagi mewakili suara dan aspirasi kelompok-kelompok dan lokaliti mereka dan memberikan ruang untuk memberikan sumbangan yang lebih bermakna dalam aspek pembangunan belia.

DUN Belia diyakini bakal menjadi entity bebas yang benar-benar boleh mewakili suara dan aspirasi keseluruhan generasi muda Negeri Sembilan di semua peringkat sama ada yang menyertai pertubuhan belia atau belia tidak agar wujud kerjasama dan persefahaman yang erat antara Kerajaan Negeri dan para belia bagi sama-sama membangunkan negeri tercinta ini.

Dalam skop dan aspek perwakilan yang lebih meluas, DUN Belia juga akan berperanan melengkapi peranan Majlis Perundingan Belia Negeri (MPBN) Negeri Sembilan yang menaungi pertubuhan-pertubuhan belia melalui Majlis Belia Negeri Negeri Sembilan (MBNNS).

Fungsi DUN Belia




a.       Menyediakan platform pertemuan yang sah dan kekal bagi para belia di peringkat akar umbi menyatakan suara, idea dan pandangan kreatif dan inovatif mereka yang melibatkan kepentingan dan kehendak semasa generasi muda agar disalurkan kepada pihak yang sepatutnya. 

b.      Meningkatkan penglibatan dan proses membuat keputusan serta penyelesaian permasalahn para belia.

c.       Memberikan peluang dan ruang yang luas untuk para belia memberikan sumbangan dari pelbagai segi dan sisi dalam aspek pembangunan belia khususnya dalam negeri amnya.

d.      Menghakupayakan para belia untuk merangka undang-undang yang berkaitan dengan kepentingan generasi muda untuk diangkat dan dipertimbangkan oleh Kerajaan Negeri untuk diluluskan daterima pakai.

e.      Melahirkan dan mengasah bakat-bakat baru kepimpinan negeri sebagai pelapis yang bersedia menggantikan tampuk kepimpinan negeri dari pelbagai peringkat pada bila-bila masa.

f.        Mendidik para belia berkenaan soal kenegaraan dan proses membuat undang-undang serta memupuk semangat patriotism untuk berbakti kepada negeri.

g.       Melibatkan penyertaan golongan muda dan belia yang berada di luar pertubuhan belia dan mewakili pelbagai latar belakang yang menyeluruh serta rencam mengikut sektor-sektor yang berimpak tinggi kepada negeri dan negara.

Bersambung di Siri Kedua

Sila klik Portal Berita Negeri Sembilan untuk liputan berita DUN Belia

Salam perjuangan..

"Suara Belia / Anak Muda Bersatu. Tidak dapat dikalahkan."


Ikhlas,

Wan Salwati Hj Abdullah
Pegawai Khas YB Menteri Belia & Sukan Malaysia
EXCO Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Seremban
Ahli Majlis Tertinggi Belia 4B Malaysia
Ahli Lembaga Penasihat IKRAR Malaysia
Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan