BACAAN
KHUTBAH JUMAAT
daripada
“ BENTENG
KEAMANAN ”
(23 Mac 2012 / 30 Rabiul Akhir
1433H)
Sidang
Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan
menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita
meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan penuh keyakinan dan keikhlasan
dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga ketaqwaan yang ditambah nilai itu, membentuk kita
menjadi insan soleh dan mulia di dunia dan di akhirat. Oleh itu, sempena Hari Ulang Tahun Polis di Raja Malaysia (PDRM)
yang ke 205 pada 25 Mac ini, mimbar akan membincangkan khutbah bertajuk: “ BENTENG KEAMANAN ”.
Sidang
Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Perubahan suasana politik dunia global masa kini dan tekanan
serta penghinaan yang dihadapi oleh sebahagian umat manusia menuntut kita
menguasai kekuatan ketenteraan, kepolisan, dan keupayaan mempertahankan negara.
Oleh itu sebagai sebuah negara yang berdaulat perlulah diperlengkapkan dengan
rancangan serta program jangka panjang untuk menyemai rasa hak dan
tanggungjawab membela kemuliaan maruah diri, bangsa dan negara. Alhamdulillah,
sejak tahun 1807 hingga sekarang kita mempunyai pasukan polis yang berkemampuan
menjaga keselamatan agama, rakyat, dan negara daripada segala ancaman dan
pencerobohan musuh yang boleh menggugat keamanan dan kedaulatan negara.
Sebagai orang Islam, kita berbangga kerana
mengetahui bahawa institusi sepenting itu telah pun wujud sejak zaman Khulafa’ ar-Rashidin
lagi. Saidina Umar al-Khattab umpamanya, telah menjalankan penyusunan
pentadbiran bagi memastikan kelicinan jentera pemerintahannya dan antara
perkara yang dilakukannya ialah mewujudkan sebuah pasukan bagi menjaga keamanan
orang awam. Saidina Umar sendiri telah turut serta menjalankan tugas tersebut
apabila menjalankan rondaan pada waktu malam untuk melihat keadaan rakyatnya
dan menjaga keselamatan dan kebajikan mereka.
Pada zaman Kerajaan Umayyah dan Kerajaan
Abbasiah, wujud jawatan ketua polis iaitu Sahib al-Shurtah. Di Andalusia
pula digelar Sahib-al-Madinah, dengan pasukan polisnya Shurtah al-Kubra
dan Shurtah al-Sughra. Ketika Zaman Kerajaan Melayu Melaka,
Temenggung menjalankan tugas-tugas sebagai ketua polis dengan dibantu oleh para
hulubalang. Mimbar ingin menegaskan bahawa tugas dan tanggungjawab mempertahankan agama dan negara amat
besar ganjarannya di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa
ayat 95:
Maksudnya:
“Tidaklah
sama keadaan orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang yang
beriman selain daripada orang yang keuzuran dengan orang yang berjihad
(berjuang) di jalan Allah dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang yang
berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang yang tinggal duduk
dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu Allah menjanjikan dengan
balasan yang baik (Syurga), dan dilebihkan Allah akan orang yang berjuang atas
orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu
uzur) dengan pahala yang amat besar.”
Sidang
Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Betapa pentingnya fungsi pasukan keselamatan di dalam Islam tidak
dapat dinafikan, terutamanya apabila kita melihat kepada Maqassid syariah, iaitu
memelihara agama, akal, keturunan, nyawa dan harta benda. Anggota keselamatan
kita pada waktu ini sedikit sebanyak membantu umat Islam untuk mencapai
kelima-lima matlamat tersebut. Dalam masa yang sama, haruslah diingatkan bahawa
kita perlu sentiasa memelihara hubungan kita dengan Allah SWT, iaitu مِنَ الله حَبْلٌ (Hablun
min Allah), dan hubungan kita dengan manusia, iaitu مِنَ النَّاسِ حَبْلٌ (Hablun
min al-nas). Maka, bagi memastikan kedua-dua bentuk hubungan itu
terpelihara dan dapat dilaksanakan dengan baik, keamanan dan kedamaian adalah
diperlukan. Di sinilah peranan yang dimainkan oleh mereka.Sabda Rasulullah SAW:
Bermaksud: “ Apabila orang ramai
melihat seorang zalim, tetapi tidak merubah kemungkaran yang dilakukanya,
hampir-hampir Allah SWT menimpakan mereka dengan balasan dari sisinya.” (Riwayat al-Tirmizi)
Sebagai umat Islam yang beriman, kita telah
disaran oleh Rasulullah SAW agar tidak berdiam diri apabila kemungkaran
berlaku. Sesuatu perlu dilakukan untuk mencegah kemungkaran tersebut daripada
terus merebak dan mengganggu ketenteraman kita, keluarga dan masyarakat. Dengan
kuasa yang diberikan oleh undang-undang negara melalui Akta Polis 1967,
pastinya masyarakat melalui pasukan polis yang bertugas sepanjang masa, akan
dapat mencegah dan menghentikan kemungkaran dengan lebih berkesan.
Namun demikian, itu tidak bermaksud kita boleh
menyerahkan tugas tersebut secara bulat-bulat kepada pasukan keselamatan semata-mata.
Tanggungjawab mencegah kemungkaran tersebut masih berada di bahu kita dan kita
perlu memberikan kerjasama dan bantuan yang sewajarnya, berdasarkan Firman
Allah SWT di dalam Surah al-Maidah, ayat 2:
Bermaksud: “Dan hendaklah
kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah
kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah
kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa
Yang melanggar perintahNya).”
Sidang
Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Bangsa
yang maju memerlukan umat yang dapat mempertahankan diri dan negara daripada
dicerobohi. Justeru, kekuatan menjaga negara, bukan hanya terletak kepada
ramainya anggota polis atau tentera dan kecanggihan peralatan. Yang lebih
penting daripada itu ialah semangat juang, kekuatan mental, jiwa, dan rohani.
Jika sifat ini dimiliki, maka insya Allah akan melahirkan anggota keselamatan yang
berkualiti, berdisplin dan berintergriti.
Pahatan sejarah Islam membuktikan, kekuatan tentera Islam adalah
berpunca dari kekuatan iman dan ikhlas berjuang kerana Allah SWT serta ketaatan
kepada kepimpinan mereka. Dengan itu, mereka mampu bertahan dalam apa juga
keadaan, tidak mudah mengaku kalah walau ditawarkan pelbagai habuan sebagai
balasan mempertaruhkan tanah air kepada kuasa luar. Justeru , sifat taat dapat membentuk seseorang itu
bertanggungjawab dan rela berkorban. Hal ini amat penting kerana tanpanya ia boleh
memecah belahkan perpaduan, persefahaman, dan imej anggota keselamatan. Jika dibiarkan,
organisasi dan sistem keselamatan menjadi lemah.
Mimbar ingin mengingatkan kepada para jemaah sekalian bahawa
peristiwa keingkaran tentera pemanah Islam di peperangan Uhud mestilah menjadi
iktibar buat kita semua sebagai umat Islam. Akibat melanggar perintah
Rasulullah SAW agar bertahan di lereng Bukit Uhud walaupun apa yang terjadi, menyebabkan
pertahanan tentera Islam kucar-kacir sehingga mengorbankan ramai jiwa.
Sidang
Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Keselamatan negara boleh tergugat
melalui berbagai ancaman, sama ada berbentuk dalaman mahupun luaran. Di antara ancaman
dalaman itu ialah gerakan golongan pelampau agama, sensitiviti perkauman,
taasub politik kepartian, gejala sosial yang menggugat kestabilan masyarakat dan ajaran pemikiran sesat yang menimbulkan
permusuhan sesama Islam. Manakala ancaman yang berbentuk luaran pula ialah isu
persempadanan antara negara, bersekongkol dengan kuasa asing, persepsi negatif terhadap
negara-negara Islam, dan perang saraf daripada musuh-musuh Islam. Berdasarkan
ancaman ini, maka pertahanan negara perlu diperkukuhkan agar dapat menjamin
keselamatan dan keamanan negara.
Mengakhiri
khutbah, mimbar ingin berpesan kepada semua anggota keselamatan dan umat Islam
sekalian, sempena sambutan Hari Ulang
Tahun PDRM ini, agar berusaha mempertingkatkan keimanan dan memperbanyakkan
tawakal kepada Allah SWT serta berkhidmat dengan amanah mengikut ajaran Islam. Insya-Allah,
agama, kedaulatan bangsa dan negara akan terpelihara serta mendapat
perlindungan Allah SWT.
Ingatlah kekuatan
pasukan keselamatan dan rakyat merupakan pemangkin kepada benteng keselamatan
dan keamanan negara. Tanpa sokongan padu semua pihak, kesejahteraan dan
kemakmuran negara tidak akan tercapai. Marilah sama-sama kita merenung firman
Allah SWT di dalam surah al-Anfaal ayat 45:
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Apabila kamu
bertemu dengan satu pasukan maka teguhkanlah hatimu, dan ingatilah Allah banyak-banyak,
supaya kamu berjaya .”
KHUTBAH JUMAAT - 23HB.MAC.2012
Sumbangan daripada :
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
No comments:
Post a Comment