Pemimpin Curang/Tamak/Tidak Bermoral Larut Dalam Godaan yang akhirnya membawa bencana.
Eustace Chester, dalam bukunya Love Without Fear
menggunakan istilah "kongres curang" bagi menggantikan perbuatan hubungan
seks. Hubungan seks yang dilihat sebagai curang ialah hubungan yang
berlaku dalam keadaan bertentangan dengan peraturan, moral dan susila.
Ia mungkin hubungan antara kekasih yang masih belum diikatkan dengan
perkahwinan. Atau hubungan sulit dalam istilah sekarang.
Tentunya
hubungan itu berlaku secara sorok-sorok, atau sembunyi-sembunyi. Ia
tidak akan berlaku secara terang-terangan. Ia akan mengakibatkan lebih
banyak tafsiran negatif sehingga boleh menyebabkan kedudukan serta kepimpinan seseorang
akan berubah, jatuh dan rebah.
Dalam sejarah manusia, sudah banyak pemimpin handal dan bijaksana
menjadi "korban kongres" curang. Masyarakat Amerika Syarikat yang terkenal
dengan seks bebas tetap tidak boleh menerima pemimpin mereka terbabit
dengan "kongres curang".
Kes Bill Clinton dan Monica Lewinsky telah
menggugat pengaruh seorang Presiden dan Pemimpin No.1 Dunia sehingga dilihat sebagai seorang
yang tidak lagi boleh dipercayai. Akhirnya siasatan dilakukan, dan
sepanjang tempoh itu jugalah timbulnya pelbagai istilah dalam "kongres
curang" itu, antaranya “Monicagate”, “Lewinskygate”, “Tailgate”,
“Sexgate”, dan “Zippergate”.
Pada tahun 1963, berlaku skandal yang menyebabkan Setiausaha Negara
Britain, John Profuno menghadapi tekanan apabila "kongres curangnya"
dengan seorang wanita pengintip KGB, Christine Keeler terdedah dan tersebar. John
Profuno pada mulanya cuba menafikan penglibatannya dalam skandal ini, sepertimana Bill
Clinton membuat pengakuan bersumpah. Akhirnya mereka rebah juga ke bumi akibat daripada "kongres curangnya".
Selain daripada itu, penglibatan Silvio Berlusconi,
Perdana Menteri Itali yang dikatakan gemar mengadakan parti seks,
melanggan pelacur dan mendampingi wanita seksi walaupun ada di antaranya
masih di bawah umur. Beliau sanggup melakukan apa sahaja demi memuaskan
"kongres curang" sehingga sanggup menipu tarikh lahir dan memberikan wang
yang banyak. Kedudukannya semakin terancam. Masa depan politiknya
juga menjadi semakin suram.
Dari perspektif sejarah, krisis politik atau kepimpinan yang
melibatkan "kongres curang" adalah satu bentuk krisis moral. Krisis moral
berlaku dalam semua masyarakat, termasuk masyarakat beragama. Menurut
seorang ahli sosiologi Islam terkemuka pada abad ke-15, Ibnu Khaldun,
kedudukan seseorang yang berkuasa amat mudah terpengaruh dengan pelbagai
godaan, kemegahan, harta (wang) dan wanita. Makin tinggi kedudukan
kuasa seseorang itu maka makin bertambah kuat godaan yang mengasak
naluri dan minda.
Maka, sejarah banyak mencatatkan bahawa sebab utama
kejatuhan seseorang pemimpin ialah kerana larut dalam godaan sehingga
tidak lagi mampu memenuhi kehendak rakyat.
Kebangkitan kuasa rakyat di Tunisia, Mesir, Yaman dan kini sedang
hebat berlaku di Libya mempunyai kaitan rapat dengan larutnya pemimpin
dengan godaan kemewahan tanpa mempedulikan rakyat. Semakin lama
berkuasa, pemimpin-pemimpin terbabit telah membina kekayaan peribadi dan
menjadi lebih autokratik sehingga tidak lagi memberikan perhatian
kepada rakyat kebanyakan.
Akhirnya rakyat sedar, mereka telah
diperlakukan sebagai alat untuk mendapatkan kuasa, tetapi apabila
berkuasa dilupakan. Lama kelamaan membangkitkan kemarahan, konflik,
pemberontakan dan desakan menyingkirkan pemimpin.
Meskipun pendapat Ibn Khaldun itu mewakili analisis sejarah yang
berlaku sehingga abad ke-15, realitinya masih berlaku hingga kini. Bagi
menghindarkan diri dari terperangkap dengan godaan, Ibnu Khaldun
menasihatkan para pemimpin agar berhati-hati, kerana adakalanya musuh
sengaja melakukan usaha untuk menjatuhkan seseorang. Hukum moral semakin menipis, yang menebal ialah aset, harta benda dan kuasa.
Menurut Ibnu Khaldun godaan juga datangnya dalam bentuk yang lain.
Ia datang dalam bentuk tarikan yang boleh mencairkan iman seseorang.
Bagi seorang lelaki, tarikan yang paling memukau ialah wanita cantik,
seksi, mulus dan manja. Wanita tersebut bukan sahaja menjadi daya
penarik bagi kepentingan dirinya sendiri, malah ada ketikanya membawa
muslihat mengkhianati negara. Kisah Samson dan Delilah dalam zaman kuno
boleh dijadikan contoh. Samson merupakan seorang wira muda, gagah dan perkasa. Samson
tertarik dengan keayuaan Delilah. Hubungan antara kedua negara adalah
saling bermusuh. Delilah dijadikan umpan untuk mengetahui rahsia
kekuatan Samson yang amat sukar untuk ditundukkan. Dalam kelembuat
Delilah, akhirnya Samson mendedahkan faktor utama kekuatan dirinya,
iaitu rambutnya yang tidak pernah dipotong. Akhirnya, semasa terlena di
atas pangkuan Delilah, rambut Samson dipotong. Samson dapat dikalahkan
dan negaranya tergadai.
Bagi menghindari godaan, Ibnu Khaldun meletakkan agama sebagai
pendinding kebal. Agama diberikan nilai yang tinggi dalam membentuk
sesuatu peradaban. Baginya, agama adalah faktor asas terpenting bagi
membentuk sebuah peradaban besar dan hebat. Agama dijadikan acuan
falsafah moral yang dapat meneguhkan sesebuah peradaban.
Nurkilan Pembaca Paradigma Srikandi
No comments:
Post a Comment