Baca dan Bukakan Minda Anda
Ps ingin mengajak para pembaca untuk memahami, menghayati dan menilai isikandungan surat mantan Perdana Menteri kita Y.Bhg Tun Dr.Mahathir kepada 3 Perdana Menteri Israel. berkaitan rakyat Palestin serta Perjanjian Damai demi kesejahteraan bumi Palestin.
Oleh itu, kita sebagai anak Malaysia seharusnya bersyukur dan bertuah kerana berada didalam sebuah negara yang aman dan makmur tanpa ada sebarang kekacauan dan keganasan. Jadi janganlah kita menjadi penyebab kepada kehancuran diatas nikmat yang telah diberikan.
Kepada Belia dan Anak Muda, seruan PS agar kita menghargai nilai erti sebenar kemerdekaan. Ini kerana kemerdekaan yang dimiliki pada hari ini adalah pengorbanan yang besar dari kita yang terdahulu. Kekalkan apa yang kita miliki hari ini agar kita tidak mengemis di kemudian hari kelak.
Selamat membaca......
Surat Dr Mahathir Kepada Yitzhak Rabin (Surat Pertama)
Berikut ialah surat yang ditulis bekas Perdana Menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad kepada Perdana Menteri Israel Yitzhak Rabin pada 1993,
seperti yang dikeluarkan Kementerian Luar di sini, Rabu.
PERDANA MENTERI MALAYSIA 21 Disember 1993
Tuan Yang Terutama
Tuan Yitzhak Rabin
Perdana Menteri Israel
JERUSALEM
Saya ingin mengucapkan terima kasih atas surat tuan bertarikh 17
Oktober memaklumkan saya mengenai Perjanjian Prinsip dan Pengiktirafan
Bersama antara Israel dan PLO.
Kerajaan saya menyokong perkembangan positif ini dan menganggapnya
sebagai satu langkah awal ke arah merealisasikan satu penyelesaian yang
komprehensif kepada masalah Timur Tengah. Sebagai tanda sokongan
Malaysia terhadap perkembangan ini, negara saya telah diwakili pada
Persidangan Penderma bagi menyokong proses damai Timur Tengah yang
diadakan di Washington dan seterusnya berjanji untuk memberi sumbangan
kewangan yang sederhana kepada rakyat Palestin bagi membantu dalam
tugas-tugas baru mereka.
Kerajaan saya juga menawarkan bantuan teknikal
kepada rakyat Palestin di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia.Demi prinsip umum, Malaysia bersedia untuk membina hubungan dengan
Israel pada masa yang sesuai.
Sementara itu, saya ingin melihat kemajuan
ketara dalam pelaksanaan perjanjian damai. Masalah Timur Tengah terutamanya isu Palestin telah menjadi punca
ketidakstabilan di rantau itu dan saya berharap perjanjian baru-baru ini
antara Israel dan PLO akan menyumbang kepada keamanan yang berpanjangan
di kawasan itu.
Saya berharap kepada hubungan yang biasa dengan Israel (ayat yang terakhir ini bertulis tangan)
DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Surat Dr Mahathir Kepada Benjamin Netanyahu (Surat Kedua)
Berikut adalah surat yang ditulis oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad kepada Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel pada
1997, seperti yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar di sini.
PERDANA MENTERI MALAYSIA 14 Mac 1997
Tuan Yang Terutama
Tuan Benjamin Netanyahu
Perdana Menteri Israel
Jerusalem
Surat tuan bertarikh 23 Januari hanya sampai kepada saya semalam.
Saya amat menghargai susah payah tuan untuk memaklumkan kepada saya
situasi di Palestin dan rantau berkenaan. Malangnya sebahagian besar
daripada perkara yang tuan nyatakan itu telahpun berubah dengan begitu
pantas.
Malaysia percaya kepada keamanan dan penyelesaian masalah antara
negara berjiran menerusi rundingan. Sebagai jalan keluar terakhir, kami
beralih kepada pihak ketiga. Dalam pertikaian berhubung wilayah antara
Malaysia dan Singapura dan Malaysia dan Indonesia kami bersetuju
menyerahkan kepada Mahkamah Dunia untuk memutuskannya. Pertikaian antara
Malaysia dan Thailand berhubung wilayah perairan diselesaikan dengan
persetujuan untuk berkongsi sumber bukan marin dengan saksama.
Di dalam negara, ketidaksamaan dalam pengagihan kekayaan antara
penduduk pribumi dan kalangan yang asalnya pendatang diselesaikan
menerusi tindakan afirmatif di mana golongan miskin akan memperoleh
perkongsian yang lebih besar daripada kek ekonomi yang semakin
berkembang tetapi tidak ada tindakan merampas dan mengagihkan semula apa
yang telahpun menjadi kepunyaan keturunan kalangan pendatang. Setiap
orang menikmati pembahagian yang agak adil sekarang dan setiap orang
agak berpuas hati. Hubungan antara kaum yang berbeza di Malaysia adalah
baik dan tidak porak-peranda.
Perkara penting yang ingin saya tekankan ialah untuk tidak mengambil
apa yang telahpun menjadi kepunyaan orang lain sungguhpun daripada segi
sejarah, ia mungkin kepunyaan tuan. Akhir-akhir ini Israel telah
merobohkan penempatan Arab dalam usaha mendirikan rumah bagi rakyat
Israel. Seluruh dunia, termasuk sekutu tuan, Amerika Syarikat, mengutuk
tindakan ini. Namun Israel tetap meneruskan juga.
Tuan mengutuk Syria kerana membuat ancaman. Bagaimanapun ancaman
mereka adalah respons kepada tindakan tuan sendiri. Jika tuan secara
paksa merampas tanah dan harta benda kepunyaan penduduk Palestin,
satu-satunya respons sekiranya mereka tidak bertindak secara ganas
terhadap tuan, adalah dengan mengancam untuk bertindak menentang tuan.
Jika mereka tidak boleh bertinda balas dan mereka tidak boleh
menyuarakan tindak balas yang dihasratkan itu, maka mereka terpaksa
tunduk kepada semua tindakan tuan tidak kira bagaimana salah sekalipun.
Apa yang tuan lakukan sekarang bertentangan dengan semangat dan surat
proses perdamaian yang dipersetujui oleh pendahulu tuan. Bagaimanakah
kami boleh mempercayai Israel jika sesuatu perubahan dalam kerajaan
menyangkal jaminan yang diberi dengan rasminya oleh sebuah Kerajaan
Israel. Tolong pertimbangkan semula keputusan tuan untuk membina
penempatan baru Yahudi di tanah Arab.
Belia-belia Israel ada di sini. Hasrat kami ialah untuk menunjukkan
kepada mereka bahawa umat Islam adalah manusia rasional biasa yang mahu
hidup dalam keamanan dan kebebasan. Kami berharap mereka akan mempunyai
tanggapan baru terhadap umat Islam dan Islam. Akan berlaku penyimpangan
dalam kalangan umat Islam tetapi penyimpangan turut berlaku dalam
kalangan Yahudi dan Kristian serta penganut setiap agama. Tiada agama
yang seharusnya dihakimi berdasarkan penyimpangan ini. Kami berharap
kalangan belia ini akan memahami umat Islam dengan lebih baik dan akan
mahu berbaik-baik dengan mereka. Untuk mengecap keamanan tuan perlu
melakukan pengorbanan. Penduduk Palestin tidak lagi mendesak
penyingkiran Israel. Mereka malah bersedia untuk berkongsi Jerusalem
dengan tuan. Mereka telah melakukan pengorbanan.
Kita harus ingat apabila Yahudi diperlakukan dengan kejam di Eropah,
mereka seringkali menemui perlindungan dalam kalangan umat Islam di
negara-negara Islam. Kami tidak menganggap rakyat Israel sebagai seteru
abadi. Namun kami tidak boleh menahan rasa simpati terhadap penduduk
Palestin kerana tanah air mereka dirampas daripada mereka sekarang. Ia
mungkin menjadi kepunyaan Yahudi tiga ribu tahun yang lalu. Banyak tanah
tradisional Melayu yang telah menjadi sebahagian daripada Thailand.
Tetapi kami tidak menuntut Selatan Thailand untuk menjadi sebahagian
daripada Malaysia. Jika kita pergi terlalu jauh ke masa lampau, kita
tidak boleh hidup bersama jiran-jiran kita.
Kami bersedia untuk mengadakan kerjasama ekonomi dan teknologi dengan
Israel tetapi kami masih belum boleh berbuat demikian kerana tuan belum
memenuhi komitmen yang dibuat oleh Kerajaan Israel yang sah. Kami ingin
memikirkan bahawa sebaik sahaja kami mewujudkan hubungan dengan tuan,
ia akan hubungan yang menjadi tetap.
DR MAHATHIR BIN MOHAMAD