Friday, 2 March 2012

MBNNS Melangkah Setapak Lagi

BENGKEL PENGURUSAN PERSATUAN BELIA 2012
 

Tidak sampai 2 minggu selepas Karnival Belia Negeri Sembilan, kini Majlis Belia Negeri, Negeri Sembilan sedang mengadakan satu Bengkel Pengurusan Persatuan Belia 2012 dengan kerjasama Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPBBM) di Hotel Seri Malaysia Genting Higlands, Pahang bermula pada hari ini 02hb.Mac hingga 04hb.Mac 2012.(Jumaat-Ahad).

Kursus yang diadakan ini adalah bertujuan untuk meningkatkan lagi Pengukuhan, Kesedaran Pengurusan Organisasi Belia di semua peringkat disamping mengenalpasti Permasalahan Dalam Pengurusan Belia masa kini.

Jumlah peserta yang menyertai program ini adalah seramai 88 orang yang terdiri daripada kepimpinan disetiap daerah serta pucuk kepimpinan Majlis Belia Negeri itu sendiri.
 
Syabas dan Tahniah kepada MBNNS dibawah kepimpinan yang baru dan juga kepada peserta yang menyertai bengkel ini diharap dapat mengambil pengetahuan dan bimbingan sepenuhnya agar "Transformasi Paradigma Belia Alaf Baru" dapat dijiwai dan diselami oleh setiap pimpinan belia.






 "ANAK MUDA BANGKIT UNTUK MENCARI KEBENARAN"
 “Berikan aku 1000 orang tua, niscaya akan kucabut semeru dari akarnya, berikan aku 1 pemuda, niscaya akan kuguncangkan dunia” . (Bung Karno)


 

Kadar Tol Diturunkan

PM Umum

Potongan 50 Peratus Kadar Tol Lebuh Raya Cheras – Kajang


Perdana Menteri berkata keputusan kerajaan itu akan mengurangkan beban pengguna yang kerap menggunakan Lebuh Raya Cheras-Kajang sebanyak 50 peratus, atau pengurangan bayaran tol daripada RM3.80 kepada RM1.90 untuk dua hala.

PS mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dibawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang benar-benar menjiwai sanubari rakyat Malaysia. Tradisi Membela Rakyat diteruskan lagi.

Politk Semasa

Puteri UMNO

Hairan Pas Lebih Suka Lihat Perpecahan Orang Melayu

Puteri UMNO tidak setuju dengan kenyataan anggota Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad bahawa perpecahan undi dalam kalangan orang Melayu adalah baik kepada rakyat negara ini.

Ketuanya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata Puteri UMNO hairan dengan tindak-tanduk pemimpin Pas yang gemar kepada perpecahan dan permusuhan malah dalam banyak keadaan mereka lebih rela bekerjasama dengan bukan Islam sehingga mengetepikan penyatuan orang Melayu beragama Islam di negara ini.

Semalam, Dzulkefly berkata perpecahan undi dalam kalangan orang Melayu harus dilihat sebagai satu kebaikan dan hikmah, malah mampu menjadikan rakyat Negara ini matang dalam membuat pemilihan terbaik pada pilihan raya umum.

Menurutnya perpecahan itu akan menyebabkan tiada pihak yang terlalu berkuasa dan berpeluang mengumpul kekayaan.

Rosnah berkata kenyataan itu menggambarkan Dzulkefly bangga dengan perpecahan undi Melayu di negara ini hingga menyebabkan ada negeri jatuh serta dikuasai parti bukan Melayu dan nasib Melayu terpinggir dan tidak terbela.

“Sudah tiba masanya orang Melayu bermuhasabah diri dan merenung secara mendalam setiap kenyataan yang dibuat pemimpin beragama Islam, berbangsa Melayu tetapi lebih suka melihat Melayu berpecah sedangkan Barisan Nasional bersusah payah mahu menyatukan Melayu bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara,” katanya

Nota : Puteri UMNO Online.

Thursday, 1 March 2012

Berita Terbaru !!!!

JEMPUTAN BERDISKUSI OLEH PRESIDEN MBNNS KEPADA BLOGGER PANEH MIANG

Di atas Kenyataan yang tidak berasas dan tidak bertanggungjawab oleh Blogger Paneh Miang, selaku Presiden MBNNS Wan Salwati Bt.Hj Abdullah telah membuat Kenyataan Rasmi menjemput pemilik/penulis Blogger Paneh Miang untuk Berdiskusi secara Ilmiah dan Interlektual demi kecemerlangan Belia Negeri Sembilan dan juga difahamkan tarikh tutup untuk memberi jawapan diatas pelawaan ini adalah sehingga 10hb.Mac 2012.

Berikut Kenyataan Rasmi Presiden MBN.N,Sembilan.(01hb-Mac-2012)


Assalamualaikum....kepada sahabat Paneh Miang, saya selaku Presiden MBNNS rasa terpanggil untuk memberi kenyataan yang diutarakan sepertimana yang dipaparkan dilaman blog ini.

Tidak pernah terlintas dihati saya untuk menyatakan sebarang kenyataan di blog ini tetapi diatas kepentingan Belia N.Sembilan, saya ingin menyatakan bahawa, golongan belia di N.Sembilan perlu diberi ruang / peluang untuk bersama-sama dalam program yang diadakan demi menarik minat seluruh golongan belia yang ada.

Sebagai seorang pemimpin, saya perlu terus mendampingi mereka agar mereka dapat dihargai dan diperlukan bersama-sama dengan yang lain agar tiada golongan belia tercicir atau tertinggal.

Adakah menjadi kesalahan utk seorang pemimpin berpoco-poco? Adakah menjadi kesalahan untuk menyesuaikan diri dengan setiap program belia yang pelbagai? Kenapa kita harus membataskan / menghadkan kepimpinan yang ada selagi ianya melibatkan kepentingan golongan Belia dan tiada siapa pun pemimpin Negeri / Negara dan Dunia yang sanggup membataskan / menghadkan kepimpinannya? Sesungguhnya dunia mengakui bahawa kepimpinan yg besar kelompok sasarannya dengan pelbagai idealisma adalah dari kepimpinan Belia.

Adakah isu ini dibangkitkan kerana MBNNS dipimpin oleh seorang wanita? Saya tampil sebagai seorang Presiden MBNNS adalah secara demokrasi yang dipilih oleh perwakilan.

Tentang program yang diadakan semasa karnival,ianya perlu dilihat secara menyeluruh. Ini kerana BELIA dibadani atau ditunjangi dengan pelbagai latar belakang persatuan.

Adakah hanya program skima atau formal sahaja yang perlu ditampilkan? Bagaimana pula mereka yang Tidak Berpersatuan, Mat Rempit dan sebagainya?

Jadi, janganlah kita sempitkan pemikiran dan membataskan untuk kepentingan belia. Inilah sebenarnya GENERASI MUDA PENYAMBUNG WARISAN yang harus kita dekati.

Memang saya akui, beberapa kelemahan dan kekurangan terdapat semasa Karnival ini berlangsung, tetapi tidak menjadi halangan bagi MBN untuk terus melangkah. Ini kerana ianya adalah kali pertama MBN menganjurkan program besar seperti itu dan seharusnya Paneh Miang memberi galakkan dan sokongan kepada MBN untuk terus dan terus maju kedepan. Bukannya kritikan dan cemuhan seperti yang dilakukan.

Oleh yang demikan, saya selaku Presiden MBNNS ingin membuat Jemputan Rasmi kepada Pemilik Paneh Miang dan sahabatnya untuk Berdiskusi secara Ilmiah dan Intelektual demi kepentingan serta kemajuan Belia N.Sembilan.

Jemputan Rasmi ini juga diberikan kepada YB.Dato'Abd. Samad Ibrahim selaku Exco yang menjaga hal ehwal belia.

Diharap Paneh Miang dapat menberikan jawapan sebelum 10hb Mac 2012.

Kepada seluruh sahabat-sahabat warga Paneh Miang, semoga kita ditemukan dalam Diskusi ilmu itu nanti.

Terima Kasih untuk seluruh sahabat.

"Transformasi Paradigma Belia Alaf Baru"

Yang Benar.

Wan Salwati Bt Hj.Abdullah
Presiden
Majlis Belia N.Sembilan

s/k: YB.Dato'Abd.Samad Ibrahim
 

Surat Mantan Perdana Menteri Malaysia Kepada 3 Perdana Menteri Israel

Baca dan Bukakan Minda Anda

Ps ingin mengajak para pembaca untuk memahami, menghayati dan menilai  isikandungan surat mantan Perdana Menteri kita Y.Bhg Tun Dr.Mahathir kepada 3 Perdana Menteri Israel. berkaitan rakyat Palestin serta Perjanjian Damai demi kesejahteraan bumi Palestin.

Oleh itu, kita sebagai anak Malaysia seharusnya bersyukur dan bertuah kerana berada didalam sebuah negara yang aman dan makmur tanpa ada sebarang kekacauan dan keganasan. Jadi janganlah kita menjadi penyebab kepada kehancuran diatas nikmat yang telah diberikan.

Kepada Belia dan Anak Muda, seruan PS agar kita menghargai nilai erti sebenar kemerdekaan. Ini kerana kemerdekaan yang dimiliki pada hari ini adalah pengorbanan yang besar dari kita yang terdahulu.  Kekalkan apa yang kita miliki hari ini agar kita tidak mengemis di kemudian hari kelak.

Selamat membaca......

Surat Dr Mahathir Kepada Yitzhak Rabin (Surat Pertama)

Berikut ialah surat yang ditulis bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Perdana Menteri Israel Yitzhak Rabin pada 1993, seperti yang dikeluarkan Kementerian Luar di sini, Rabu.

PERDANA MENTERI MALAYSIA 21 Disember 1993

Tuan Yang Terutama
Tuan Yitzhak Rabin
Perdana Menteri Israel
JERUSALEM

Saya ingin mengucapkan terima kasih atas surat tuan bertarikh 17 Oktober memaklumkan saya mengenai Perjanjian Prinsip dan Pengiktirafan Bersama antara Israel dan PLO.

Kerajaan saya menyokong perkembangan positif ini dan menganggapnya sebagai satu langkah awal ke arah merealisasikan satu penyelesaian yang komprehensif kepada masalah Timur Tengah. Sebagai tanda sokongan Malaysia terhadap perkembangan ini, negara saya telah diwakili pada Persidangan Penderma bagi menyokong proses damai Timur Tengah yang diadakan di Washington dan seterusnya berjanji untuk memberi sumbangan kewangan yang sederhana kepada rakyat Palestin bagi membantu dalam tugas-tugas baru mereka.

Kerajaan saya juga menawarkan bantuan teknikal kepada rakyat Palestin di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia.Demi prinsip umum, Malaysia bersedia untuk membina hubungan dengan Israel pada masa yang sesuai.

Sementara itu, saya ingin melihat kemajuan ketara dalam pelaksanaan perjanjian damai. Masalah Timur Tengah terutamanya isu Palestin telah menjadi punca ketidakstabilan di rantau itu dan saya berharap perjanjian baru-baru ini antara Israel dan PLO akan menyumbang kepada keamanan yang berpanjangan di kawasan itu.

Saya berharap kepada hubungan yang biasa dengan Israel (ayat yang terakhir ini bertulis tangan)

DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD


Surat Dr Mahathir Kepada Benjamin Netanyahu (Surat Kedua)

Berikut adalah surat yang ditulis oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel pada 1997, seperti yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar di sini.

PERDANA MENTERI MALAYSIA 14 Mac 1997

Tuan Yang Terutama
Tuan Benjamin Netanyahu
Perdana Menteri Israel
Jerusalem

Surat tuan bertarikh 23 Januari hanya sampai kepada saya semalam. Saya amat menghargai susah payah tuan untuk memaklumkan kepada saya situasi di Palestin dan rantau berkenaan. Malangnya sebahagian besar daripada perkara yang tuan nyatakan itu telahpun berubah dengan begitu pantas.

Malaysia percaya kepada keamanan dan penyelesaian masalah antara negara berjiran menerusi rundingan. Sebagai jalan keluar terakhir, kami beralih kepada pihak ketiga. Dalam pertikaian berhubung wilayah antara Malaysia dan Singapura dan Malaysia dan Indonesia kami bersetuju menyerahkan kepada Mahkamah Dunia untuk memutuskannya. Pertikaian antara Malaysia dan Thailand berhubung wilayah perairan diselesaikan dengan persetujuan untuk berkongsi sumber bukan marin dengan saksama.

Di dalam negara, ketidaksamaan dalam pengagihan kekayaan antara penduduk pribumi dan kalangan yang asalnya pendatang diselesaikan menerusi tindakan afirmatif di mana golongan miskin akan memperoleh perkongsian yang lebih besar daripada kek ekonomi yang semakin berkembang tetapi tidak ada tindakan merampas dan mengagihkan semula apa yang telahpun menjadi kepunyaan keturunan kalangan pendatang. Setiap orang menikmati pembahagian yang agak adil sekarang dan setiap orang agak berpuas hati. Hubungan antara kaum yang berbeza di Malaysia adalah baik dan tidak porak-peranda.

Perkara penting yang ingin saya tekankan ialah untuk tidak mengambil apa yang telahpun menjadi kepunyaan orang lain sungguhpun daripada segi sejarah, ia mungkin kepunyaan tuan. Akhir-akhir ini Israel telah merobohkan penempatan Arab dalam usaha mendirikan rumah bagi rakyat Israel. Seluruh dunia, termasuk sekutu tuan, Amerika Syarikat, mengutuk tindakan ini. Namun Israel tetap meneruskan juga.

Tuan mengutuk Syria kerana membuat ancaman. Bagaimanapun ancaman mereka adalah respons kepada tindakan tuan sendiri. Jika tuan secara paksa merampas tanah dan harta benda kepunyaan penduduk Palestin, satu-satunya respons sekiranya mereka tidak bertindak secara ganas terhadap tuan, adalah dengan mengancam untuk bertindak menentang tuan. Jika mereka tidak boleh bertinda balas dan mereka tidak boleh menyuarakan tindak balas yang dihasratkan itu, maka mereka terpaksa tunduk kepada semua tindakan tuan tidak kira bagaimana salah sekalipun. Apa yang tuan lakukan sekarang bertentangan dengan semangat dan surat proses perdamaian yang dipersetujui oleh pendahulu tuan. Bagaimanakah kami boleh mempercayai Israel jika sesuatu perubahan dalam kerajaan menyangkal jaminan yang diberi dengan rasminya oleh sebuah Kerajaan Israel. Tolong pertimbangkan semula keputusan tuan untuk membina penempatan baru Yahudi di tanah Arab.

Belia-belia Israel ada di sini. Hasrat kami ialah untuk menunjukkan kepada mereka bahawa umat Islam adalah manusia rasional biasa yang mahu hidup dalam keamanan dan kebebasan. Kami berharap mereka akan mempunyai tanggapan baru terhadap umat Islam dan Islam. Akan berlaku penyimpangan dalam kalangan umat Islam tetapi penyimpangan turut berlaku dalam kalangan Yahudi dan Kristian serta penganut setiap agama. Tiada agama yang seharusnya dihakimi berdasarkan penyimpangan ini. Kami berharap kalangan belia ini akan memahami umat Islam dengan lebih baik dan akan mahu berbaik-baik dengan mereka. Untuk mengecap keamanan tuan perlu melakukan pengorbanan. Penduduk Palestin tidak lagi mendesak penyingkiran Israel. Mereka malah bersedia untuk berkongsi Jerusalem dengan tuan. Mereka telah melakukan pengorbanan.

Kita harus ingat apabila Yahudi diperlakukan dengan kejam di Eropah, mereka seringkali menemui perlindungan dalam kalangan umat Islam di negara-negara Islam. Kami tidak menganggap rakyat Israel sebagai seteru abadi. Namun kami tidak boleh menahan rasa simpati terhadap penduduk Palestin kerana tanah air mereka dirampas daripada mereka sekarang. Ia mungkin menjadi kepunyaan Yahudi tiga ribu tahun yang lalu. Banyak tanah tradisional Melayu yang telah menjadi sebahagian daripada Thailand. Tetapi kami tidak menuntut Selatan Thailand untuk menjadi sebahagian daripada Malaysia. Jika kita pergi terlalu jauh ke masa lampau, kita tidak boleh hidup bersama jiran-jiran kita.

Kami bersedia untuk mengadakan kerjasama ekonomi dan teknologi dengan Israel tetapi kami masih belum boleh berbuat demikian kerana tuan belum memenuhi komitmen yang dibuat oleh Kerajaan Israel yang sah. Kami ingin memikirkan bahawa sebaik sahaja kami mewujudkan hubungan dengan tuan, ia akan hubungan yang menjadi tetap.

DR MAHATHIR BIN MOHAMAD


Surat Dr Mahathir Kepada Ehud Barak (Surat Ketiga)

Berikut ialah surat yang ditulis bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Perdana Menteri Israel Ehud Barak yang baru dipilih pada 1999, seperti yang dikeluarkan Kementerian Luar di sini.

PERDANA MENTERI MALAYSIA 8 Jun 1999

Tuan Yang Terutama
Encik Ehud Barak
Perdana Menteri Israel
TEL AVIV

Tuan Yang Terutama,

Saya ingin menyampaikan ucapan tahniah atas kemenangan tuan dalam pilihan raya baru-baru ini. Dengan mandat yang cukup meyakinkan, saya berharap tuan dan rakan gabungan tuan akan dapat memimpin masa depan rakyat Israel di ambang Abad baru.

Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengulangi pendirian Malaysia yang sentiasa memperjuangkan keamanan dan penyelesaian masalah antara jiran menerusi rundingan. Oleh itu menjadi harapan kami untuk melihat pelaksanaan bersama perjanjian yang ditandatangani antara PLO dan Israel. Kami juga percaya jika proses perdamaian hendak diselamatkan, langkah-langkah berkesan mesti diambil untuk memenuhi komitmen.

Sebagai rakan penting dalam proses damai adalah mustahak bagi Israel lebih bersedia bertolak ansor. Rakyat Palestin telah membuat pengorbanan besar. Mereka tidak lagi menuntut penghapusan negara Israel. Mereka malah sedia berkongsi Baitulmaqdis dengan anda. Oleh itu kini masanya bagi Israel memberi respons positif demi mempertahankan harapan rakyat di Palestin dan Israel. Komitmen mulia yang dibuat oleh Kerajaan sebelumnyua mesti dihormati. Jika tidak saya bimbang, akan wujud suasana konflik dan ketidakstabilan serantau yang berkekalan menjangkau ke Abad akan datang. Ini adalah prospek yang mesti dielakkan.

Pokok masalah ialah bahawa tiada pihak yang harus kembali kepada cara lama merundingkan apa yang dimiliki pihak lain, di satu nada dan menghasut kebencian dan keganasan, pada nada lain. Malaysia tidak dapat membiarkan keganasan oleh mana-mana pihak, sama ada rakan atau musuh. Mana-mana negara yang merampas tanah dan harta orang lain, atau menghapus tempat tinggal orang lain untuk mendirikan penempatan mereka sendiri tidak boleh dianggap bersikap jujur mahukan perdamaian.

Malaysia yakin penuh bahawa keselamatan semua negara di Asia Barat dapat dijamin dengan kewujudan perdamaian yang adil, berkekalan, dan komprehensif di rantau berkenaan. Ini mestilah berdasarkan pada prinsip “pertukaran tanah untuk perdamaian” dan penubuhan sebuah negara Palestin merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

Dunia berharap Israel di bawah kepimpinan tuan, mengetengahkan proses damai dengan iltizam yang tulen. Saya sesungguhnya berharap pencapaian penyelesaian komprehensif di rantau tersebut akan membolehkan Malaysia melihat dengan realistik langkah positif ke arah penubuhan hubungan biasa dengan Israel.

Yang Ikhlas

Dr Mahathir Bin Mohamad

Wednesday, 29 February 2012

Perangi gejala judi siber haram | N9 Kini - Portal Berita Negeri Sembilan

Perangi gejala judi siber haram.....

RASUAH WAJIB DIHAPUSKAN

BELIA DAN ANAK MUDA MEMBENCI GEJALA RASUAH.






 PS amat tertarik dengan kesungguhan pucuk pimpinan negara yang diterajui oleh YAB.Datuk Seri Mohd Najib Bin Abd.Razak untuk membenteras musuh no 1 negara ketika ini adalah Rasuah. Iltizam dan pendekatan yang diambil oleh pemerintah negara perlukan sokongan dan dokongan semua agar gejala rasuah ini dapat dihapuskan terus bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan negara.

PS juga menyeru kepada golongan Belia dan Anak Muda yang terdiri pelbagai Bangsa dan Agama agar memandang serius gejala ini.Tidak keterlaluan budaya ini adalah budaya sejak dari dulu lagi dan sudah tiba masanya, semua generasi belia dan anak muda menolak budaya ini. Kita akan bersama-sama melakukan transformasi total yang berbudaya baru.
Kepada golongan belia, anak muda dan masyarakat sekalian, marilah kita membaca dan selami intipati ucapan YAB Perdana Menteri berkaitan gejala rasuah dan peranan kerajaan untuk mengatasinya.
 
Intipati Ucapan YAB.Perdana Menteri Malaysia....Sempena Perasmian Program Pegawai Intergriti Bertauliah.
1.            Alhamdulillah, saya memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan kurnia-Nya maka saya dapat berada di Majlis Perasmian Program Pegawai Integriti Bertauliah pada petang yang amat bermakna ini.
2.            Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana sudi menjemput saya untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan Program Pegawai Integriti Bertauliah ini.
3.            Sesungguhnya kehadiran tuan-tuan dan puan-puan di majlis ini menggambarkan kesungguhan dan keazaman kita semua untuk bersama-sama Kerajaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam memerangi gejala rasuah ini. Ada kalanya, kesungguhan dan keazaman ini tidak hanya berputik daripada kata-kata tetapi memerlukan suatu tindakan untuk memastikan ianya benar-benar berjaya dikekang dan diperangi secara serius. Syukur alhamdulillah, usaha-usaha kita sejak sekian lama jelas telah membuahkan hasil, walaupun kita akui masih ada ruang untuk peningkatan dan penambahbaikan.
4.            Walau apa pun, yang perlu ditegaskan ialah komitment bahawa memerangi jenayah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan merupakan agenda utama kerajaan. Saya sedar bahawa memerangi rasuah ini merupakan cabaran yang besar dan ranjau yang berliku, yang memungkinkan tindak balas oleh pihak-pihak tertentu yang selama ini begitu selesa dalam aktiviti tidak beretika lagi bersifat jenayah yang mereka fikirkan tersembunyi dari mata penguatkuasa undang-undang. Tapi kata orang sepandai-pandai tupai melompat akhirnya pasti jatuh ke tanah. Kepada golongan-golongan ini, saya ingin berpesan bahawa saat penentuan semakin hampir, kerana pihak berkuasa tidak akan berhenti dari usaha-usaha mereka membenteras jenayah dan salah laku, dan akhirnya yang melakukan kesalahan pastinya akan dibawa ke muka pengadilan.
5.            Kerajaan terus memandang rasuah sebagai musuh nombor 1 Negara dan kita akan bersama-sama akan memeranginya habis-habisan. Rasuah memusnahkan niat murni kerajaan membantu rakyat dan menggagalkan perlaksanaan dasar yang telah dirancang rapi. Justeru, demi rakyat dan masa depan negara, kita tidak boleh kompromi dalam membasmi rasuah. Ini menjadi kewajiban setiap dari kita yang berada di dalam kerajaan dan perkhidmatan awam, dan inilah sebenarnya jua kehendak rakyat. Rakyat menginginkan sebuah Kerajaan yang amanah, bersih dan berintegriti. Jauh sekali sekadar ungkapan kosong, bersih, beramanah dan berintegriti perlu diterjemahkan dan terserlah dalam segenap ruang perlaksanaan tugas dan tanggungjawab. Kita sedar bahawa rakyat pada hari ini mempunyai tahap pemikiran yang kritis dan tajam untuk menilai prestasi kerajaan dan pihak berkuasa. Dan tututan utama mereka ialah perubahan yang ketara dalam urus tadbir negara, termasuklah proses yang lebih telus dalam perlaksanaan dasar-dasar yang jelas meletakkan kesenangan dan kebajikan rakyat sebagai prioriti. Bertolak dari kesedaran tentang kehendak rakyat itulah, Kerajaan telah pun melaksanakan proses perubahan atau”transformasi” dalam dua bidang utama iaitu ekonomi menerusi Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) dan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP).
6.            Proses transformasi ini amat penting dan signifikan memandangkan perubahan-perubahan dari segi dasar dan program-program yang diperkenalkan akan membawa negara ini mencapai status negara maju mengikut acuan kita sendiri iaitu rakyatnya hidup dalam penuh kemakmuran, keharmonian, bersatu padu dan berpegang kepada ajaran agama serta moral yang tinggi.
7.            Bagi mencapai matlamat itu, di bawah Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) sebanyak 6 Bidang Keberhasilan Negara atau (NKRA) telah diperkenalkan meliputi bidang-bidang kritikal yang perlu dititikberatkan kerana membabitkan banyak pihak terutama rakyat selain mengukuhkan jentera kerajaan menuju status berpendapatan tinggi, maju dan dinamik.
INISIATIF DI BAWAH NKRA RASUAH
8.            NKRA Membanteras Rasuah telah dikenal pasti sebagai salah satu bidang kritikal dan penting untuk diperhalus dan ditambah baik. Sebanyak 27 inisiatif telah pun diperkenalkan oleh Kerajaan bagi memperkukuhkan aspek pencegahan jenayah rasuah
9.            Pelbagai pencapaian inisiatif dapat dilihat sejak tahun 2010, antaranya Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dikuatkuasakan sejak 15 Disember 2010, 14 buah Mahkamah Sesyen Rasuah telah ditubuhkan dan mula beroperasi pada 16 Februari 2011, akses rakyat kepada perwujudan pangkalan Data Pesalah Rasuah di laman web SPRM dan setakat ini telah memaparkan lebih 793 nama pesalah rasuah dan inisiatif-inisiatif lain yang masih dalam pelaksanaan. Ini termasuk proses pusingan kerja bagi individu dan jawatan-jawatan yang dianggap sebagai "hot spot" dilaksanakan untuk mengurangkan perhubungan dan mengelakkan wujudnya ruang dan peluang untuk melakukan perlakuan rasuah.
10.          Seterusnya, bagi memastikan setiap undang-undang di Malaysia telus dan mengambil kira pandangan setiap pihak sebelum ia di kuatkuasakan, Kerajaan menerusi Kementerian-Kementerian bercadang memaparkan setiap draf rang undang-undang di laman web Kementerian masing-masing bagi mendapatkan pandangan umum dan pihak yang terlibat bagi suatu tempoh yang ditetapkan kelak sebelum ia dimuktamadkan. Ini akan menangkis persepsi umum dan antarabangsa bahawa kononnya terdapat undang-undang yang hanya mengambil kira kepentingan sesetengah pihak sahaja.
Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin yang saya hormati sekalian,
11.          Asas kepada semua tindakan membenteras rasuah ini ialah kebebasan SPRM sebagai sebuah agensi penguat kuasa yang diberi kuasa penuh oleh undang-undang bagi membanteras rasuah di Malaysia.
12.          SPRM bergerak ‘without fear or favour’, tanpa gangguan dari mana-mana pihak sekali pun. Tidak ada sesiapa pun yang boleh mengarahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk menyiasat atau menghentikan siasatan ke atas mana-mana individu. SPRM bebas menjalankan siasatan tanpa sebarang bentuk campur tangan atau halangan daripada mana-mana pihak. Justeru itu, tohmahan yang mengatakan SPRM mengikut telunjuk dan tunduk kepada Kerajaan adalah tidak benar sama sekali.
13.          Ini dibuktikan menerusi proses transformasi yang dilalui oleh SPRM. Perubahan dari Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada Suruhanjaya pada tahun 2009 sebenarnya merupakan proses perubahan yang amat radikal. Kenapa saya katakan radikal? Ini kerana menerusi kewujudan SPRM, struktur dan budaya kerjanya telah sama sekali berubah. Kewujudan lima entiti bebas yang dianggotai oleh seramai 42 orang tokoh daripada pelbagai latar belakang bidang termasuk ahli-ahli politik daripada pelbagai parti (termasuk Parti Kerajaan mahupun Pembangkang), bekas-bekas Hakim, ahli-ahli akademik, ahli-ahli NGO, peguam, tokoh-tokoh korporat dan bekas-bekas pegawai tinggi kerajaan seperti bekas Ketua Audit Negara dan bekas Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam memperlihatkan bahawa SPRM pada hari ini sebenar-benarnya adalah sebuah Suruhanjaya yang benar-benar bebas. Sehubungan itu Kerajaan menerima teguran, nasihat dan pandangan-pandangan ini secara serius dengan hati terbuka kerana kita yakin bahawa yang dicadangkan oleh SPRM adalah untuk kebaikan masyarakat dan negara.
14.          Sepanjang tempoh penubuhan Suruhanjaya ini, saya telah pun menerima dua laporan tahunan daripada Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah yang mengandungi pelbagai cadangan, pandangan dan perakuan yang melibatkan isu-isu berkaitan rasuah, keperluan dan proses penambahbaikan SPRM secara keseluruhannya. Kesemua pandangan, cadangan dan perakuan ini telah dibentangkan dalam Parlimen serta dibincangkan secara telus dan serius dalam mesyuarat-mesyuarat Jemaah Menteri.
15.          Saya amat menghargai sumbangan yang telah diberikan oleh ahli-ahli dalam kelima-lima entiti pemantau ini dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan Kerajaan di atas sumbangan dan kesungguhan yang ditunjukkan.
16.          Tanggungjawab memerangi rasuah bukan tanggungjawab SPRM semata-mata. Untuk memastikan rasuah berjaya dihapuskan, sokongan dan penglibatan segenap lapisan masyarakat baik dari segi pimpinan politik, tokoh-tokoh korporat, NGO, ketua-ketua kampung, para Pendakwah, guru-guru, pelajar-pelajar dan seluruh masyarakat harus bersama-sama berganding bahu. Rasuah adalah jenayah dan rasuah hukumnya haram dan salah di sisi undang-undang dan agama. Justeru itu, usaha memerangi rasuah adalah jihad menentang kebatilan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
17.          Rasuah tiada kaitan dengan fahaman politik, kepartian, status, kedudukan mahupun bangsa seseorang. Ia merupakan suatu kesalahan yang amat serius, melanggar undang-undang negara dan hukum agama. Sesiapa yang terlibat dengan rasuah dan terbukti bersalah, wajar menerima hukuman. It’s as simple as that. Sebaliknya jika seseorang itu dituduh rasuah tanpa sebarang asas, malah tuduhan liar itu digunakan untuk character assassination tanpa sebarang bukti, itu juga kesalahan besar. Justeru itu, janganlah kita menggunakan rasuah sebagai senjata untuk menjatuhkan seseorang. Jika rasuah dipolitikkan, jika tindakan SPRM dipolitikkan ia akan membawa kepada natijah yang amat besar dan buruk. Agensi penguatkuasaan akan menjadi lemah kesan dek tekanan yang diberikan oleh pihak yang mempolitikkan isu rasuah. Janganlah kita babitkan SPRM ke dalam kancah politik. Agensi ini bukan parti politik. Mereka bertindak berlandaskan undang-undang dan bebas dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab. Apa yang penting kita harus memerangi perasuah dan bukannya agensi yang membanteras rasuah.
18.          Pada petang yang bersejarah ini, kita bersama-sama meraikan perasmian satu lagi inisiatif penting pencegahan rasuah di mana satu program yang dinamakan Program Pegawai Berintegriti Bertauliah atau Certified Integriti Officer (CeIO) telah diperkenalkan hasil usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Syabas dan tahniah kepada SPRM di atas inisiatif ini.
19.          Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) melalui Pusat Pembangunan Integriti Korporat pada tahun 2008 telah berjaya membangunkan satu program khas untuk melahirkan pegawai integriti bertauliah yang berperanan merancang, melaksana dan memantau keberkesanan program integriti dan pencegahan rasuah di sektor awam dan swasta. Ia amat penting bagi meningkatkan kecekapan dan integriti agensi kerajaan termasuk pihak swasta. Pegawai CeIO ini mampu menangani isu membabitkan integriti di sesebuah organisasi sehingga ke peringkat akar umbi.
20.          Saya difahamkan setakat hari ini, sebanyak lima buah agensi penguatkuasaan telah pun menubuhkan Unit Pematuhan yang diketuai oleh Pegawai Integriti Bertauliah ini iaitu Polis Di Raja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan SPRM. Saya yakin dan percaya, bahawa semua agensi Kerajaan termasuk GLC akan membentuk dan mewujudkan unit pematuhan ini di agensi masing-masing dan kesemua Ketua Jabatan harus memandang serius akan program ini.
21.          Bagi Syarikat-Syarikat Kepentingan Kerajaan (GLCs), Pihak Khazanah telah pun menjalinkan persefahaman dan kerjasama erat dengan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia untuk membangunkan Program CEiO ini bagi melatih dan membentuk pegawai-pegawai CEiO di semua GLCs dan KLCs.
Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin yang saya hormati sekalian,
22.          Salah satu daripada pandangan dan saranan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Mencegah Rasuah dan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM adalah berkaitan isu Dana Politik.
23.          Bagi pihak Kerajaan, saya menganggap isu ini amat penting kerana jika tiada suatu dasar yang tepat, telus dan jelas mengenainya maka ia boleh membuka ruang dan peluang kepada perlakuan rasuah.
24.          Sebagai langkah proaktif, demi meningkatkan ketelusan dan keyakinan rakyat terhadap pertubuhan-pertubuhan politik di negara ini, Kerajaan akan memperkenalkan satu lagi inisiatif di bawah GTP yang bagi tujuan mengawal “Political Financing”. Inisiatif ini akan memberi penekanan bahawa setiap sumbangan yang ingin diberikan kepada mana-mana parti politik sama ada di peringkat pusat mahupun negeri hendaklah disalurkan melalui akuan rasmi parti. Ini bagi mengelakkan ahli-ahli politik menyalahgunakan nama parti untuk meminta atau menerima apa-apa sumbangan yang kemudiannya diselewengkan untuk kepentingan persendirian.
25.          Setiap sumbangan yang dihulurkan perlulah dikemukakan resit penerimaan dan dimasukkan ke dalam akaun parti. Menerusi rekod penerimaan yang teratur ia boleh diaudit pada tiap-tiap akhir tahun kewangan. Kerajaan percaya inisiatif seumpama ini akan mengelakkan sebarang bentuk perbuatan rasuah dan penyelewengan di peringkat akar umbi dan manfaat kepada sumbangan dapat disampaikan kepada segenap peringkat parti dan seterusnya rakyat.  
Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin yang saya hormati sekalian,
26.          Kerajaan juga memandang serius kekangan dan kekurangan yang dihadapi oleh SPRM, khususnya dalam aspek keanggotaan dan bajet. Perkara ini sebenarnya telah dibangkitkan oleh Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah dan Lembaga Penasihat SPRM dalam pertemuan dengan saya.
27.          Saya difahamkan bahawa pada tahun 2008, jumlah keanggotaan pegawai BPR adalah seramai 1,840. Bagaimanapun apabila SPRM ditubuhkan keanggotaan pegawai SPRM tidak banyak berubah, malah mencatatkan penurunan dengan rekod keanggotaan pada Julai 2011 yang menunjukkan hanya 1,805 pegawai yang berkhidmat. Perkara ini amat membimbangkan dan menimbulkan persoalan. Bagaimana mungkin dengan jumlah keanggotaan yang terhad, SPRM boleh menjalankan tugas secara berkesan, tambahan pula bidang kuasa yang diperuntukkan mengikut Akta SPRM 2009 adalah lebih luas berbanding Akta sebelumnya iaitu Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang digunapakai sebelum penubuhan SPRM.
28.          Atas justifikasi inilah, saya bersetuju supaya pertambahan sebanyak 150 perjawatan diwujudkan setiap tahun sehingga jumlahnya mencecah kepada seramai 5,000 orang. Jumlah 150 orang setahun ini dibuat memandangkan proses pelantikan pegawai-pegawai SPRM bukan sebagaimana pegawai-pegawai kerajaan yang lain. Mereka memerlukan latihan dan kepakaran tertentu. Justeru itu, mereka perlu dilatih selama tempoh beberapa bulan untuk memastikan pengetahuan berhubung undang-undang dapat diperlengkap. 
29.          Selain itu, pola jenayah rasuah kini sudah semakin kompleks dan semakin global dan merentasi sempadan. Justeru itu, SPRM sangat memerlukan kakitangan profesional dan pakar pelbagai bidang bagi membanteras rasuah sebegini. Antara bidang yang dikenal pasti memerlukan kepakaran profesional seperti forensik akaun, kejuruteraan, komunikasi, teknologi maklumat, undang-undang dan sebagainya.
30.          Saya bersetuju dengan pandangan Lembaga Penasihat SPRM bahawa bagi memperlihatkan kebebasan SPRM, maka satu Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah wajar diwujudkan. Suruhanjaya ini kelak akan diberikan kuasa untuk melantik dan memecat anggota SPRM. Buat masa ini, semua proses pelantikan dan pemecatan pegawai-pegawai SPRM dibuat menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam atau SPA. Sekiranya Suruhanjaya Perkhidmatannya terbentuk sebagaimana Suruhanjaya Polis dan Suruhanjaya Pendidikan maka SPRM boleh menapis, memilih, menemu duga, melantik dan memecat anggota-anggotanya sendiri. SPRM amat memerlukan badan khusus dalam pemilihan berdasarkan kualiti dan kredibiliti calon bagi melaksanakan tugas yang memerlukan kepakaran tertentu.
31.          Tetapi perkara ini memerlukan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan. InshaAllah sekiranya Barisan Nasional diberikan mandat 2/3 dalam PRU 13 akan datang, pindaan Perlembagaan sewajarnya akan dibuat dan Suruhanjaya Perkhidmatan ini akan dibentuk. Jika ia dapat dilaksanakan, maka ramai golongan profesional negara yang ingin berkhidmat dengan SPRM akan dapat berbuat demikian secara lebih mudah dan efisyen.
32.          Ini adalah antara perkara-perkara yang sedang kita kaji, dan ini juga termasuk status jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang mungkin dicadangkan sebagai sebuah jawatan berdasarkan Perlembagaan Malaysia sebagaimana pelantikan jawatan Peguam Negara, Ketua Audit Negara dan Hakim-Hakim, bagi memastikan kebebasan dan ketelusan.
Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin yang saya hormati sekalian,
33.          Berhubung langkah pengisytiharan harta yang dicadangkan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, ingin saya perjelaskan bahawa Kerajaan Barisan Nasional telah mengamalkan proses pengisytiharan harta tersebut jauh lebih awal berbanding yang lain. Setiap Anggota Pentadbiran diwajibkan mengisytiharkan harta diri dan keluarga terdekat kepada Perdana Menteri. Setiap tambahan atau pelupusan harta wajib diisytiharkan. Tambahan lagi kesemua pengisytiharan harta yang berkenaan dibuat secara berkanun (statutory declaration). Pada hari ini, saya menyahut seruan Lembaga Penasihat SPRM, dan bersetuju agar Ketua Pesuruhjaya SPRM mempunyai akses penuh kepada dokumen-dokumen pengisytiharan harta mana-mana anggota pentadbiran.
Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin yang saya hormati sekalian,
34.          Saya menaruh harapan yang tinggi kepada Pegawai –pegawai Integriti Bertauliah ini untuk memberikan komitmen yang tidak berbelah dan bertindak sebagai Rangkaian Pegawai Integriti Bertauliah, yang pakar dalam bidang pencegahan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa; pembangunan integriti; dan menjadi pemangkin dalam organisasi-organisasi berkaitan bagi memupuk budaya kerja berintegriti dalam sektor awam dan swasta.
35         Di sini, saya ingin mengucapkan tahniah sekali lagi kepada SPRM dan seterusnya mengiktiraf Pusat Pembangunan Integriti Korporat [CIDC] di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia sebagaibadan tunggal yang melaksanakan program Pegawai Integriti Bertauliah
36          Dengan itu , dan dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya dengan ini secara rasminya melancarkan Program Pegawai Integriti Bertauliah 2012 dan dengan sukacitanya juga saya mengumumkan bahawa CeIO merupakan program tunggal yang diiktiraf bagi melahirkan Pegawai Integriti Bertauliah di Malaysia.
Sekian,Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.