“BENARKAH Mahasiswa Melayu gemar berpolitik?”
Bukan prejudis atau sinikal, namun kebangkitan ketara mahasiswa
Melayu dalam gelanggang politik sejak kebelakangan ini sukar menepis
andaian itu.
Pelbagai pihak pening melayan kerenah dan mencari jawapan paling
konkrit mengapa golongan terbabit bertindak demikian meskipun banyak
tolak ansur diberikan. Sukar mencari jawapan mengapa hanya mahasiswa Melayu lantang bersuara dan mahu menegakkan pendirian? Mengapa bukan mahasiswa bangsa lain?
Walaupun kurang menyenangkan, mahasiswa Melayu masih
mendominasi tempat di institusi pengajian tinggi (IPT). Pembabitan dalam politik tidak terhad kepada bangsa, namun
mahasiswa Melayu lebih menguasai keadaan bertitik tolak sejarah
perjuangan terdahulu.
Justeru, mereka kelihatan lebih ‘garang’
dan terkehadapan dalam hal ini, apatah lagi jumlahnya ramai, mempunyai
banyak kelebihan selain senario politik sendiri yang memerlukan sokongan
mereka.
Penonjolan
mahasiswa Melayu dalam politik menimbulkan reaksi berbeza dengan
sebahagian besar beranggapan mereka masih mentah hingga dianggap mudah
dipergunakan pihak yang mempunyai kepentingan.
Selain itu,
pembabitan secara aktif atau keterlaluan dibimbangi mengganggu proses
pengajian sedangkan bangsa lain bersikap ‘berdiam diri’ dan lebih
menumpukan perhatian pada pelajaran.
Jika dilihat kepada sejarah lama
banyak mempengaruhi jiwa dan perjalanan politik mahasiswa Melayu dan perlu diakui kerana budaya serta kekuatan golongan terbabit terbina atas
dasar memperjuangkan kebenaran.
Kita menelusuri sejarah
dulu, mahasiswa Melayu sinonim dengan perjuangan politik. Mereka ada
paksi kukuh untuk menyalurkan perjuangan.
Justeru, apa yang
berlaku kini hanyalah kerana mereka meneruskan kesinambungan perjuangan
dan tradisi dulu. Bukankah masyarakat Melayu memang terkenal dengan
perjuangan politiknya? Mahasiswa bukan Melayu pun terbabit dalam politik kampus, cuma bilangan mereka kecil berbanding pelajar Melayu.
Politik
tidak terhad kepada satu bangsa dan politik bukan
pentas membawa bencana selagi ia menggunakan saluran yang betul. Apa
dikesalkan, ramai suka melabelkan politik sebagai pentas
‘menghancurkan’ mahasiswa Melayu sedangkan mereka tidak mengkaji
kelebihannya. Ibarat seperti menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa.
Politik
juga pentas untuk belajar, membina kemahiran diri dan sebagainya. Jadi kenapa politik sering kali digembar-gemburkan sebagai
platform kotor.
Seharusnya mereka beri ruang kepada golongan ini untuk mempraktikkan ilmu masing-masing. Ini kerana
politik juga boleh diibaratkan sebagai karya seni yang mampu melahirkan insan patriotik selain peka pada kehendak semasa. Ramai
melihat politik dengan gambaran mata kasar bagaimana mahasiswa bersuara
lantang, saling memprovokasi sehingga melahirkan golongan kurang
bermoral. Tapi adakah mereka sedar pentas itu juga berjaya melahirkan ramai pemimpin?
Mahasiswa
bukan saja memerlukan suntikan akademik untuk berjaya, malah mekanisme
lain sebagai sokongan. Cuma dalam hal ini (politik), mahasiswa Melayu
lebih menguasainya. Mahasiswa Melayu memang memerlukan satu pendekatan baru untuk membantu
mereka melihat perspektif persekitaran dalam konteks berbeza.
Selama
ini, mereka disogokkan dengan pendidikan berasaskan akademik
semata-mata sedangkan ilmu boleh datang dengan pelbagai cara. Dalam
politik, mereka boleh merasai pelbagai situasi dan dimensi.
Bukankah ini
satu pembelajaran yang baik, praktikal dan unik? Kita mahu lahirkan
graduan serba boleh dan mantap, jadi berikanlah peluang itu.
PS merasakan mahasiswa
Melayu suka berpolitik adalah pandangan kurang tepat dan berat sebelah.
Seharusnya masyarakat perlu melihat dalam kaca mata menyeluruh mengapa mahasiswa Melayu begitu proaktif dalam konteks ini.
Adalah tidak
adil mengatakan hanya mahasiswa Melayu suka berpolitik sedangkan bangsa
lain tidak kisah. Pandangan itu terlalu skeptikal dan serkap jarang. Kebangkitan dalam politik ada sebabnya seperti mahu memperjuangkan hak dan pandangan tapi tidak juga melupakan pelajaran.
Jangan pandang prejudis pada mahasiswa yang ingin bersuara atau berpolitik. Ini juga akan menyebabkan pergolakkan yang besar dan tidak secara langsung menghakis minat serta sokongan dari golongan mahasiawa sendiri yang ingin mencari ruang dan peluang agar suara dan pandangan mereka didengari. Oleh itu, PS menyarankan agar keterbukaan perlu ada dalam mewarnai senario politik yang global.
Adalah menjadi kepastian bahawasanya Mahasiswa yang ada di Malaysia pada hari ini terdiri daripada Golongan BELIA dan ANAK MUDA.
Salam Transformasi Paradigma Belia Alaf Baru
"Suara Belia Bersatu Tidak Dapat Dikalahkan"