
YAB DATUK SERI NAJIB RAZAK
PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN
“MEMAKMUR NEGARA, MENSEJAHTERA RAKYAT: SEBUAH JANJI DITEPATI”
Tuan Yang di-Pertua,
Saya
mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Akta bagi
menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk
perkhidmatan bagi tahun 2013 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk
perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua.
MUQADDIMAH
Saya
mulakan lafaz ucapan Bajet 2013 dengan kalimah mulia
Bismillahirrahmanirrahim dan memetik sepotong ayat dari Surah Al-Baqarah
yang diturunkan di Madinah, bahawa :
“Berlumba-lumbalah
kamu mengerjakan kebaikan, kerana di mana sahaja kamu berada pasti
Allah akan menghimpunkan kamu semua pada hari kiamat untuk menerima
balasan. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
Tuan Yang di-Pertua,
1.
Saya berdiri di dewan yang mulia pada petang Jumaat yang berbahagia,
penghulu segala hari, untuk membentangkan bajet kelima bagi pihak
Kerajaan semenjak mula memegang amanah selaku Menteri Kewangan Malaysia
pada tahun 2008. Syukur ke hadrat Allah SWT kerana di atas limpah
rahmatNya jua, kita telah menyaksikan sepanjang tempoh tersebut, melalui
usaha kolektif rakan-rakan anggota pentadbiran dengan sokongan
ahli-ahli parlimen, penjawat awam dan seluruh rakyat Malaysia, negara
tercinta ini telah berjaya dilindungi daripada kesan terburuk akibat
kegawatan kewangan global. Bahkan, ekonomi negara telah diletakkan di
landasan pertumbuhan mapan ke arah transformasi sebagai sebuah negara
maju berpendapatan tinggi. Manakala kesejahteraan rakyat pula telah
dipertingkatkan secara berterusan.
2.
Sesungguhnya, Bajet 2013 ini sebagai penerus tradisi terbaik Kerajaan
Barisan Nasional memakmurkan negara dan membawa kesejahteraan kepada
semua rakyat. Ia manifestasi sebuah janji yang ditepati. Sejak 55 tahun
lalu, pada setiap peringkat pembangunan negara, rakyat Malaysia telah
meletakkan kepercayaan mereka kepada Kerajaan yang sama. Terima kasih
kita ucapkan atas kepercayaan tersebut. Sekali-kali sepanjang masa dan
musim berguling ia tidak pernah dikhianati, sebaliknya pada setiap
ketika ia telah dibalas dengan laba pada julat berganda.
3.
Kerajaan ini hakikatnya tidak pernah menjanjikan bulan, bintang mahupun
cakerawala. Kita tidak pernah melakar lukisan yang pada hari ini tampak
muluk-muluk dan indah tetapi sebenarnya berupa racun yang berbisa.
Sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, kita tetap menceritakan
kebenaran biarpun kelat. Kita tidak pernah mendodoi rakyat dengan
dogengan lipurlara sebaliknya sentiasa menawarkan penyelesaian serta
kepimpinan bitara terhadap segala permasalahan rakyat.
4.
Telah terbukti tanpa tersanggah lagi bahawa ekonomi Malaysia merupakan
ekonomi berteraskan rakyat. Ia hasil wawasan dan aspirasi rakyat. Ia
merupakan manifestasi kerja keras dan jerih payah rakyat. Ia sumbangan
masyarakat desa dan bandar, golongan profesional serta pekerja kolar
biru, petani, buruh, peladang, pekebun kecil, nelayan, guru, pensyarah
dan karyawan. Didukung pula para penjawat awam dan usahawan. Di atas
segalanya, ia diuruskan secara teliti dan berhemah oleh Kerajaan yang
meletakkan kebajikan rakyat di atas jemalanya. Inilah formula kejayaan
Malaysia.
5.
Sayugia, mengurus sebuah negara majmuk yang kompleks seperti Malaysia
bukan perkara mudah. Ia memerlukan keikhlasan dan kebijaksanaan kerana
rakyat Malaysia amat cerdik menilai yang mana intan dan yang mana kaca.
Hakikat rakyat telah memberi mandat kepada Kerajaan ini sebanyak 12 kali
tanpa putus semenjak 1959 bermakna sesuatu yang betul telah dilakukan
oleh Kerajaan sedia ada.
6.
Sesungguhnya waad yang wujud itu, di antara rakyat dan Kerajaan selama
ini mana mungkin mampu dipunahkan waima sekuat mana pun fitnah dan
mehnah melanda. Sehubungan itu, naskah bajet yang akan saya persembahkan
ini merupakan sebuah penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia
lantaran terus meletakkan kepercayaan kepada kami di sepanjang ketika.
PRESTASI EKONOMI 2012 DAN PROSPEK 2013
Tuan Yang di-Pertua,
7.
Kerajaan komited dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus
berkembang meskipun dalam persekitaran global yang tidak menentu dan
mencabar. Asas ekonomi yang kukuh serta disokong oleh sistem monetari
akomodatif telah membolehkan ekonomi negara berada di landasan teguh.
Dalam tempoh separuh pertama 2012, ekonomi negara tumbuh pada kadar 5.1
peratus didorong, terutamanya oleh kekukuhan aktiviti pelaburan dan
penggunaan swasta. Negara terus menerima kemasukan pelaburan langsung
asing bersih berjumlah 13.6 bilion ringgit selaras dengan peningkatan
keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan
utama.
8.
Bagi keseluruhan tahun 2012, walaupun pertumbuhan ekonomi dan
perdagangan dunia sederhana, pertumbuhan ekonomi negara dijangka
berkembang kukuh pada kadar 4.5 hingga 5 peratus. Pertumbuhan ini dipacu
oleh pelaburan swasta sebanyak 11.7 peratus atau mencapai 127.9 bilion
ringgit. Prestasi ini jauh lebih besar berbanding jumlah pelaburan
sebanyak 81 bilion ringgit pada tahun 2009. Trend ini menunjukkan
aktiviti pelaburan domestik semakin rancak, terutama dengan pelaksanaan
projek-projek di bawah Program Transformasi Ekonomi. Ini mendorong
sektor pembinaan terus melonjak tinggi sebanyak 15.5 peratus berbanding
4.6 peratus pada tahun 2011.
9.
Persekitaran ekonomi domestik yang mantap juga mendorong bursa saham
mencatat prestasi yang menggalakkan. Ini terbukti dengan Indeks Komposit
Bursa Malaysia telah mencecah rekod tertinggi 1,654.11 mata pada 4
September 2012. Nilai modal pasaran telah meningkat sebanyak 44 peratus
daripada 999 bilion ringgit pada akhir tahun 2009 kepada 1.43 trilion
ringgit pada akhir Julai 2012. Pendapatan per kapita pula meningkat
kepada hampir 31 ribu ringgit pada tahun 2012 berbanding 25 ribu ringgit
pada tahun 2009. Rizab antarabangsa pada 14 September 2012 pula kekal
kukuh mencatat 432.2 bilion ringgit, mampu membiayai 9.5 bulan import
tertangguh dan 3.9 kali hutang luar jangka pendek.
10.
Pada tahun 2013, berdasarkan persekitaran ekonomi global yang dijangka
lebih baik, pertumbuhan ekonomi negara diunjur berkembang lebih kukuh
pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus. Julung kalinya, Keluaran Dalam Negeri
Kasar (KDNK) nominal dijangka melepasi paras 1 trilion ringgit.
Pertumbuhan lebih baik ini didorong oleh pelaburan dan penggunaan swasta
sebanyak 13.3 peratus dan 5.7 peratus. Sektor pembinaan dijangka terus
meningkat kukuh 11.2 peratus diikuti oleh sektor perkhidmatan pada kadar
5.6 peratus.
PERUNTUKAN BAJET 2013
Tuan Yang di-Pertua,
11.
Bajet 2013 akan menyediakan peruntukan sejumlah 251.6 bilion ringgit
bagi melaksanakan semua langkah, program dan projek pembangunan,
menumpukan kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara. Daripada
jumlah tersebut, 201.9 bilion ringgit adalah bagi perbelanjaan mengurus
dan 49.7 bilion ringgit bagi peruntukan pembangunan.
12.
Di bawah peruntukan mengurus, sejumlah 58.6 bilion ringgit adalah bagi
Emolumen dan 33.7 bilion ringgit disediakan bagi Perkhidmatan dan
Bekalan. Manakala, 107.3 bilion ringgit diperuntukkan kepada Pemberian
dan Kenaan Bayaran Tetap. Sejumlah 1.1 bilion ringgit disediakan untuk
Pembelian Aset dan baki 1.2 bilion ringgit untuk perbelanjaan lain.
13.
Bagi peruntukan pembangunan pula, sejumlah 30 bilion ringgit disediakan
bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur,
perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar. Sejumlah 11.1
bilion ringgit diperuntukkan bagi sektor sosial, termasuk pendidikan
dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan
masyarakat. Seterusnya, 4.6 bilion ringgit diperuntukkan bagi
pembangunan sektor keselamatan, 2 bilion ringgit bagi pentadbiran am dan
2 bilion ringgit untuk simpanan luar jangka.
14.
Dari segi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2013, jumlahnya
dianggarkan 208.6 bilion ringgit, berbanding 207.2 bilion ringgit pada
tahun 2012. Dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan,
defisit Kerajaan Persekutuan akan terus berkurangan kepada 4.0 peratus
daripada KDNK bagi tahun 2013, berbanding 4.5 peratus pada tahun 2012.
Ini menunjukkan Kerajaan komited untuk terus mengurangkan defisit fiskal
ke paras lebih rendah.
FOKUS BAJET 2013
Tuan Yang di-Pertua,
15.
Bajet 2013 digubal dengan fokus untuk meningkatkan taraf hidup rakyat
di seluruh negara, memastikan pertumbuhan ekonomi mapan, perbelanjaan
berhemah dan mengurangkan defisit fiskal negara dengan matlamat
keseluruhan mengutamakan kesejahteraan rakyat. Kerajaan akan memastikan
rakyat mendapat perkhidmatan terbaik serta manfaat maksimum hasil
daripada pelaksanaan program dan projek pembangunan. Oleh itu, Bajet
2013 dirangka bertemakan “MEMAKMUR NEGARA, MENSEJAHTERA RAKYAT: SEBUAH
JANJI DITEPATI” dengan memberi penekanan kepada lima fokus utama.
FOKUS PERTAMA: MERANGSANG AKTIVITI PELABURAN
Tuan Yang di-Pertua,
16.
Pertumbuhan ekonomi negara akan terus dipacu oleh pelaburan langsung
asing dan domestik. Dalam tempoh separuh pertama 2012, pelaburan swasta
meningkat kepada 75.3 bilion ringgit berbanding 59.8 bilion ringgit bagi
tempoh yang sama tahun 2011. Trend ini dijangka berterusan dalam tahun
2013 dengan pelaburan swasta dijangka meningkat kepada 148.4 bilion
ringgit.
17.
Kerajaan akan terus memperhebatkan pelaksanaan 12 Bidang Utama Ekonomi
Negara. Sejumlah 3 bilion ringgit diperuntukkan bagi pelaksanaan projek
permulaan bagi tahun 2013. Ini termasuk 1.5 bilion ringgit bagi projek
pertanian seperti kelapa sawit, getah, herba bernilai tinggi dan padi.
Sebanyak 500 juta ringgit diperuntukkan untuk projek River of Life bagi
mengindahkan Sungai Klang. Manakala, 300 juta ringgit lagi untuk projek
pemulihan rangkaian paip dan pembentungan bagi perkhidmatan dan
kemudahan air.
Menggalak Pelaburan Domestik
Tuan Yang di-Pertua,
18.
Seterusnya, bagi merangsang pelaburan domestik dan mempercepatkan
penyertaan syarikat Malaysia dalam rantaian bekalan global, Kerajaan
telah menyediakan Dana Strategik Pelaburan Domestik bernilai 1 bilion
ringgit di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia. Dana ini
bertujuan memanfaatkan aktiviti penyumberan luar dan pemerolehan
teknologi oleh syarikat tempatan. Selain itu, Kerajaan juga
memperkenalkan semula insentif pengambilalihan syarikat asing dan kadar
cukai khas bagi menggalakkan penyedia perkhidmatan tempatan bergabung
menjadi entiti lebih besar.
Mempergiat Perusahaan Kecil dan Sederhana
19.
Seperti kita maklum, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memainkan
peranan penting dalam transformasi ekonomi negara. Bagi mempercepatkan
pertumbuhan industri PKS dan perluasan skop kawasan industri di seluruh
negara, dana sebanyak 1 bilion ringgit akan disediakan di bawah Skim
Pembangunan PKS bawah kendalian SME Bank. Langkah ini memudahkan akses
PKS untuk mendapat pembiayaan dan seterusnya memajukan perniagaan
mereka.
20.
Ini selari dengan Pelan Induk PKS (2012 - 2020) yang telah dilancarkan
yang bertindak sebagai ‘game changer’ untuk mempercepatkan pertumbuhan
PKS melalui inovasi dan produktiviti. Pelan induk ini melibatkan
pelaksanaan 32 inisiatif termasuk 6 Program Berimpak Tinggi dengan
peruntukan 30 juta ringgit.
21.
Dalam mempergiatkan Industri Halal, terutamanya membangunkan
produk-produk halal berimpak tinggi untuk tujuan eksport, SME Bank
dengan kerjasama Bank Pembangunan Islam akan menyediakan Dana Industri
Halal sebanyak 200 juta ringgit bagi membiayai modal kerja PKS terlibat.
22.
Pada masa ini, terdapat 1.5 juta penjaja dan peniaga kecil menjalankan
perniagaan secara tradisional dengan struktur perniagaan kecil dan
pendapatan harian tidak menentu. Sehubungan itu, sebagai tanda
keprihatinan dengan kekangan yang dihadapi oleh mereka sekiranya berlaku
kemudaratan diri, hilang upaya serta kematian, Kerajaan mencadangkan
skim perlindungan insurans berkelompok kepada penjaja dan peniaga kecil
yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Skim ini akan
memberi had perlindungan maksimum sehingga 5,000 ringgit. Buat pertama
kalinya, Kerajaan akan membiayai skim ini dengan peruntukan sebanyak 16
juta ringgit setahun.
23.
Di samping itu, Perbadanan Nasional Berhad (PNS) akan memperkenalkan
program Business In Transformation bagi menyokong usaha bersepadu
memodenkan perniagaan golongan penjaja dan peniaga kecil kepada standard
yang lebih tinggi dan berdaya saing dengan menggunakan model licensing
atau franchising. Program ini akan memberi bimbingan dan khidmat nasihat
ke atas konsep perniagaan baru seperti kedai bergerak, kiosk dan
perniagaan atas talian. Untuk ini, PNS akan menyediakan kemudahan kepada
penjaja dan peniaga kecil dengan pinjaman sehingga 25 ribu ringgit bagi
licensee dan 500 ribu ringgit kepada licensor.
Malaysia Sebagai Hab Minyak dan Gas
Tuan Yang di-Pertua,
24.
Kita bersyukur kerana dikurniakan punca galian berharga iaitu minyak
dan gas asli di pesisir pantai. Kerajaan bermatlamat menjadikan Malaysia
daripada sekadar pengeluar, kepada salah satu hab dagangan minyak dan
gas bersepadu utama dunia.
25.
Jadi, Kerajaan telah mengambil beberapa langkah strategik meningkatkan
keupayaan negara terutamanya dalam menyediakan ekosistem yang berupaya
menyokong pembangunan rantaian penapisan, penyimpanan dan dagangan. Bagi
mendokong penglibatan pengusaha swasta dalam pembangunan industri
minyak dan gas, pelbagai insentif cukai dan insentif bukan cukai
istimewa telah dirangka. Ini termasuk bantuan kos pengambilalihan tanah
dan bantuan kewangan sebagai tipping point projek perkongsian awam
swasta, pengecualian cukai pendapatan 100 peratus untuk tempoh 10 tahun,
pengecualian cukai pegangan dan pengecualian duti setem.
26.
Bagi pelaburan dalam aktiviti penapisan produk petroleum, Elaun Cukai
Pelaburan sebanyak 100 peratus untuk tempoh 10 tahun diberi kepada yang
layak. Hasil insentif, pelbagai projek pelaburan minyak dan gas bernilai
20 bilion dolar US telah dimulakan termasuk projek Petronas Refinery
and Petrochemical Integrated Development atau Rapid, Terminal Simpanan
Minyak dan Gas di Johor, Loji Regasifikasi di Melaka dan terminal minyak
serta gas di Sipitang, Sabah.
27.
Pada tahun lepas, Kerajaan juga telah melancarkan Program Global
Incentive for Trading atau GIFT dengan galakan cukai pada kadar 3
peratus. Sehubungan dengan permintaan global LNG yang dijangka mencecah
400 juta tan setahun pada tahun 2025, program GIFT ditambah baik dengan
pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun
untuk tempoh 3 tahun pertama operasi bagi syarikat dagangan. Dagangan
komoditi yang diluluskan akan diperluaskan kepada lain-lain komoditi
seperti pertanian, bahan mentah bertapis, logam asas dan kimia.
Merancak Sektor Pelancongan
Tuan Yang di-Pertua,
28.
Industri pelancongan merupakan satu sektor pertumbuhan ekonomi penting
yang menyumbang hampir 12 peratus KDNK. Jumlah pendapatan daripada
sektor pelancongan dianggar akan meningkat kepada 62 bilion ringgit pada
tahun 2012. Sempena Tahun Melawat Malaysia 2013/2014, Kerajaan akan
memperuntukkan sebanyak 358 juta ringgit di bawah perbelanjaan
pembangunan iaitu peningkatan peruntukan sebanyak 42 peratus dengan
sasaran pelancong seramai 26.8 juta orang. Kerajaan juga mencadangkan
lanjutan pengecualian cukai pendapatan selama 3 tahun bagi pengusaha
pelancongan yang mengendalikan sekurang-kurangnya 750 pelancong asing
atau 1,500 pelancong tempatan setahun.
Meningkat Aktiviti Pertanian
29.
Di sudut lain, Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada sektor
pertanian dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan negara dan
memastikan kelestarian jaminan bekalan makanan. Diperuntukkan sebanyak
5.8 bilion ringgit, kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
30.
Kerajaan menyediakan sebanyak 30 juta ringgit bagi pembangunan program
pertanian merangkumi aplikasi penggunaan teknologi tinggi dalam
pengeluaran buah dan sayuran, peningkatan pembekalan benih berkualiti,
penstabilan harga melalui jualan terus dari ladang, pewujudan pasar ikan
rakyat serta penambahbaikan institusi latihan pertanian. Kerajaan juga
mempersiapkan sebanyak 75 juta ringgit bagi meningkatkan pengeluaran
produk makanan dan kesihatan.
31.
Bagi sektor perladangan pula, di bawah NKEA, sebanyak 432 juta ringgit
disediakan untuk program penanaman semula pokok kelapa sawit. Langkah
ini akan meningkatkan tuaian hasil buah sawit setahun pada kadar 26.2
tan sehektar pada tahun 2020 berbanding 21 tan sehektar pada masa ini.
Di samping itu, sebanyak 127 juta ringgit disediakan untuk pembangunan
bahan terbitan oleo bernilai tinggi yang dapat mengubah komposisi
industri hiliran ke arah pengeluaran lebih banyak bahan terbitan.
Kelestarian Jaminan Bekalan Makanan
Tuan Yang di-Pertua,
32.
Berkaitan kelestarian jaminan bekalan makanan pada masa akan datang,
kawasan jelapang padi sedia ada akan ditambahbaik dengan sistem
pengurusan tanamannya secara sistematik. Sebagai tambahan, 4 kawasan
jelapang padi baru akan dibuka dan diperluas iaitu di Kota Belud, Batang
Lupar, Rompin dan Pekan. Pada masa ini, kawasan jelapang padi bertanam
adalah seluas 389 ribu hektar yang mampu menghasilkan sebanyak 1.8 juta
tan metrik. Pertambahan 4 lagi kawasan jelapang padi baru seluas 19 ribu
hektar dengan penyertaan seramai 12,237 pesawah dijangka menghasilkan
104 ribu tan metrik dengan perbelanjaan sebanyak 140 juta ringgit.
Membela Nasib Petani dan Nelayan
33.
Kerajaan amat menghargai sumbangan para nelayan dan sentiasa memastikan
kedudukan sosioekonomi golongan ini bertambah baik dan pendapatan
mereka meningkat. Pada masa ini, Kerajaan memberi elaun bantuan sara
hidup 200 ringgit sebulan yang dapat memanfaatkan 55 ribu nelayan
berdaftar. Kerajaan juga menyediakan insentif pada kadar 10 sen hingga
20 sen sekilo bagi menggalakkan nelayan mendaratkan hasil tangkapan di
jeti-jeti berdaftar seluruh negara.
34.
Kerajaan juga telah memperkenalkan skim perlindungan insurans nelayan
dengan perlindungan maksimum 100 ribu ringgit. Meneruskan hasrat ini,
bagi tahun 2013, Kerajaan akan memperuntukkan 230 juta ringgit sebagai
insentif tangkapan ikan dan bayaran elaun bantuan sara hidup nelayan. Di
samping itu, berdasarkan peruntukan 300 juta ringgit pada Bajet 2012,
program pembangunan dan pembaikan rumah nelayan sedang giat dijalankan.
35.
Bagi membantu para petani mengurangkan kos pengeluaran pula, Kerajaan
akan meneruskan pemberian subsidi dan insentif pertanian sedia ada
berjumlah 2.4 bilion ringgit. Bantuan ini termasuk subsidi dan insentif
untuk sektor padi yang merangkumi Pemberian Subsidi Harga Padi - 480
juta ringgit, Pemberian Subsidi Baja Padi - 465 juta ringgit, Insentif
Peningkatan Hasil Padi - 80 juta ringgit, Insentif Pengeluaran Padi -
563 juta ringgit, Subsidi Harga Beras - 528 juta ringgit dan Subsidi
Benih Padi Sah - 85 juta ringgit.
36.
Selaras dengan komitmen untuk menjaga kebajikan rakyat, terutama
pengusaha sawah, buat julung kalinya, Kerajaan akan memperkenalkan Skim
Perlindungan Takaful Padi. Skim ini memberi kemudahan perlindungan
kepada pengusaha sawah di bawah 10 hektar dan dijangka dapat
memanfaatkan 172 ribu pesawah. Jumlah pampasan yang dapat diterima
dianggarkan bernilai 13 ribu ringgit setiap pesawah. Buat permulaan,
Kerajaan akan memperuntukkan 50 juta ringgit.
37.
Selain itu, Kerajaan akan meneruskan Projek Azam Tani yang
diperkenalkan pada tahun 2011. Program ini telah berjaya mengeluarkan
seramai 1,234 keluarga daripada garis kemiskinan dengan purata
pendapatan meningkat di antara 200 hingga 2,000 ringgit sebulan malah
beberapa peserta telah berjaya mendapat pendapatan melebihi 10 ribu
ringgit sebulan. Untuk memperkasakan lagi usaha ini, sebanyak 41 juta
ringgit akan diperuntukkan bagi memberi manfaat kepada 6,730 peserta.
Mencergaskan Pasaran Modal dan Kewangan
Tuan Yang di-Pertua,
38.
Pasaran modal negara berkembang pesat walaupun terdapat ketidaktentuan
dalam ekonomi global. Malaysia terus menerajui terbitan sukuk dengan
menyumbang 71 peratus atau 171 bilion ringgit daripada jumlah terbitan
sukuk global dalam tempoh tujuh bulan pertama 2012. Ini terbukti dengan
terbitan sukuk tunggal terbesar di dunia oleh PLUS Berhad bernilai 30.6
bilion ringgit.
39.
Di samping itu, industri pengurusan dana dan amanah saham menunjukkan
pertumbuhan kukuh dalam tempoh pertama 2012 dengan aset yang diuruskan
meningkat kepada 451.9 bilion ringgit dan nilai aset bersih sebanyak
277.8 bilion ringgit.
Tuan Yang di-Pertua,
40.
Pada tahun 2012, pasaran ekuiti negara telah mencatat peningkatan yang
monumental dengan menyaksikan tawaran awam awal atau IPO yang bernilai
17.4 bilion ringgit. Ia merupakan peningkatan 162 peratus berbanding
2011. Sejarah tercipta apabila dua daripada tiga IPO terbesar di dunia
iaitu Felda Global Ventures Holdings (FGVH) dengan nilai 9.9 bilion
ringgit dan IHH Healthcare Berhad dengan nilai 6.3 bilion ringgit telah
diterbitkan. Terkini, Astro akan disenaraikan pada bulan Oktober 2012
dengan jangkaan nilai terbitan yang besar.
41.
Untuk terus mencergaskan pasaran modal dan ekuiti negara, Suruhanjaya
Sekuriti akan menyediakan rangka kerja bagi terbitan AgroSukuk untuk
syarikat yang terlibat dalam sektor pertanian, terutamanya dengan
kejayaan penyenaraian FGVH. Dengan terdapatnya instrumen seperti
AgroSukuk, ia dapat mengumpulkan modal bagi membiayai syarikat-syarikat
pertanian dan industri asas tani. Justeru, untuk menggalakkan terbitan
AgroSukuk, Kerajaan mencadangkan perbelanjaan bagi menerbitkan sukuk
tersebut diberi potongan cukai dua kali bagi tempoh 4 tahun mulai tahun
taksiran 2012 hingga 2015.
42.
Selain daripada pelabur institusi, buat pertama kalinya, Kerajaan
menggalakkan pelabur runcit menyertai pasaran modal. Bagi tujuan ini, SC
telah menyediakan satu rangka kerja terbitan bon dan sukuk runcit untuk
membolehkan pelabur-pelabur runcit memiliki pegangan dalam pasaran bon
dan sukuk. Sebagai permulaan, DanaInfra Nasional Berhad akan menerbitkan
bon runcit bernilai 300 juta pada akhir tahun 2012 untuk membiayai
pembangunan projek MRT.
43.
Bagi mendorong syarikat menerbitkan bon dan sukuk runcit, Kerajaan
mencadangkan perbelanjaan tambahan menerbitkan bon dan sukuk runcit
tersebut diberi potongan cukai dua kali mulai tahun taksiran 2012 hingga
2015. Pada masa yang sama, pelabur individu pula, diberi pengecualian
duti setem ke atas surat cara yang terlibat dalam urus niaga bon dan
sukuk runcit.
44.
Suruhanjaya Sekuriti akan menubuhkan Pusat Promosi Pasaran Modal bagi
memastikan keberkesanan dan promosi secara holistik pasaran modal
Malaysia di peringkat antarabangsa. Pusat ini akan memastikan pendekatan
bersepadu dengan menyediakan inisiatif yang konsisten untuk menempatkan
Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan pendanaan.
45.
Bagi meningkatkan penawaran golongan profesional untuk menyokong
pertumbuhan pasaran modal, SC akan memperkenalkan inisiatif Graduate
Representative Program. Program ini akan dilaksanakan dengan kerjasama
sektor swasta bagi melatih 1,000 graduan supaya dapat memenuhi keperluan
industri sekuriti dan derivatif.
Menggalakkan Amanah Perniagaan (Business Trust)
Tuan Yang di-Pertua,
46.
Pengendalian perniagaan melalui suatu entiti amanah mempunyai kelebihan
tertentu, terutamanya dari segi meningkatkan keupayaan untuk memperoleh
sumber kewangan berdasarkan aset yang dimiliki. Dengan itu, Kerajaan
telah meminda Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 untuk menyediakan
pilihan pengendalian perniagaan melalui struktur baru iaitu amanah
perniagaan (business trust).
47.
Selaras dengan ini, Kerajaan mencadangkan amanah perniagaan diberi
layanan cukai sama seperti sesebuah syarikat. Seterusnya, bagi
menggalakkan pembangunan amanah perniagaan, adalah dicadangkan pindah
milik perniagaan, aset dan hartanah milik syarikat kepada amanah
perniagaan diberi pengecualian duti setem dan pengecualian cukai
keuntungan harta tanah di peringkat awal penubuhan amanah perniagaan.
48.
Kerajaan telah menubuhkan Danajamin Nasional Berhad agar syarikat yang
berdaya maju mendapat dana melalui pasaran bon pada kos yang munasabah.
Danajamin telah meluluskan jaminan berjumlah 9.3 bilion ringgit nilai
terbitan bon kepada 30 syarikat dengan 4.2 bilion ringgit bon dan sukuk
telah diterbitkan. Langkah ini telah membolehkan syarikat menjana
aktiviti ekonomi dalam pelbagai sektor termasuk hartanah, infrastruktur,
perladangan, minyak dan gas, pembinaan, perkilangan serta penerbangan.
49.
Bagi merancakkan lagi akses syarikat ke pasaran modal, Kerajaan akan
menambah peruntukan modal Danajamin sebanyak 400 juta ringgit dalam
tempoh 2 tahun. Suntikan ini dapat melipatgandakan nilai terbitan antara
4 hingga 6 bilion ringgit.
50.
Kerajaan turut mengumumkan penubuhan Yayasan Pasaran Modal sebagai
usaha bersepadu meningkatkan kompetensi dan keupayaan untuk bersaing
dalam landskap pasaran modal yang lebih dinamik. Yayasan ini akan
memberi fokus kepada 3 aspek utama iaitu pembangunan PKS; menggalak dan
menyokong produk inovasi dan pembangunan modal insan. Sehubungan dengan
itu, sejumlah 100 juta ringgit akan disediakan kepada Yayasan ini
melalui Tabung Pembangunan Pasaran Modal di bawah kawal selia SC.
51.
Sebagai salah satu inisiatif untuk menjadikan Malaysia sebagai hab
kewangan antarabangsa serta menarik FDI, Kerajaan telah melancarkan Tun
Razak Exchange atau TRX pada 30 Julai 2012 dengan nilai pembangunan
kasar sebanyak 26 bilion ringgit. TRX akan memberi peluang pelaburan
baru dengan menghubungkan komuniti perniagaan dan pasaran global. TRX
dijangkakan menarik 250 syarikat perkhidmatan kewangan antarabangsa dan
menawarkan 40 ribu peluang pekerjaan mahir dan berpengetahuan.
52.
Untuk mengalakkan institusi kewangan antarabangsa utama menjadikan
Kuala Lumpur sebagai pilihan pelaburan, pengecualian cukai pendapatan
bagi tempoh 10 tahun kepada syarikat berstatus TRX, pengecualian duti
setem, elaun bangunan industri, elaun modal dipercepatkan kepada
syarikat berstatus TRX Marquee dan pengecualian cukai bagi pemaju
hartanah telah diberikan. Kerja pembinaan awal TRX berjalan lancar
mengikut jadual. Manakala, pengalihan kemudahan utiliti sedia ada di
tapak TRX pula sedang giat dijalankan dan dijangka selesai pada Oktober
2012.
Wakaf Korporat
Tuan Yang di-Pertua,
53.
Kerajaan mengambil maklum bahawa Majlis Agama Islam Negeri merupakan
pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf dan dana wakaf dalam sesebuah
negeri. Institusi wakaf di Malaysia tidak hanya tertumpu pada
pembangunan tanah semata-mata tetapi juga merangkumi wakaf dalam bentuk
tunai, saham dan instrumen kewangan lain yang dikategorikan sebagai
wakaf korporat. Selaras dengan itu, Yayasan Wakaf Malaysia di bawah
Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) akan diberi tanggungjawab untuk
merangka pelan induk Wakaf Korporat mengambil kira struktur perundangan
Agama Islam Negeri. Pelan induk ini bakal menjadi platform pembangunan
wakaf korporat di Malaysia.
Pembangunan Usahawan Bumiputera
Tuan Yang di-Pertua,
54.
Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan syarikat Bumiputera dapat
bersaing secara seimbang dalam pemilikan syarikat besar, pekerjaan
berpendapatan tinggi serta pelaburan dalam sektor utama ekonomi. Pada
tahun 2010, ekuiti Bumiputera telah meningkat kepada 23 peratus
berbanding 22 peratus pada tahun 2008. Salah satu usaha ialah
meningkatkan penglibatan syarikat Bumiputera dalam pelaksanaan jajaran
pertama projek MRT. Sesungguhnya, penglibatan syarikat Bumiputera dalam
projek berimpak tinggi seperti MRT akan meningkatkan keupayaan dan
kemahiran syarikat Bumiputera tempatan. Justeru, sebanyak 9 bilion
ringgit atau 43 peratus daripada nilai kos infrastruktur projek MRT
diperuntukkan kepada syarikat Bumiputera.
55.
Usaha juga akan diambil bagi membantu syarikat PKS Bumiputera untuk
berkembang dan mempertingkatkan pegangan ekuiti dalam sektor ekonomi.
Sehubungan ini, Dana Pembiayaan Bumiputera berjumlah 1 bilion ringgit
akan disediakan oleh SME Bank. Dana ini dijangka dapat membantu PKS
tempatan bagi tujuan membiayai pengambilalihan anak syarikat milik GLC
yang menjalankan aktiviti bukan teras dan telah dikenal pasti untuk
dijual. Setakat ini, 2 GLC telah mengenal pasti anak-anak syarikat yang
berpotensi untuk dijual kepada pelabur-pelabur Bumiputera.
56.
Kerajaan telah memperkenalkan Skim Jaminan Modal Kerja dengan dana
sebanyak 10 bilion ringgit bagi membantu syarikat PKS mendapatkan akses
pembiayaan modal kerja. Skim ini memberi jaminan maksimum sehingga 2.5
juta ringgit bagi setiap syarikat yang layak. Pada masa ini, dana Skim
ini yang dikhaskan kepada syarikat Bumiputera masih berbaki 900 juta
ringgit. Bagi menarik lebih banyak syarikat bumiputera menikmati
kemudahan Skim ini, Kerajaan akan melanjutkan tempoh tamat program skim
ini sehingga 31 Disember 2013, memperluas skim ini kepada syarikat
Bumiputera Berprestasi Tinggi dan meningkatkan kelayakan dana pemegang
saham syarikat daripada 10 juta ringgit kepada tidak melebihi 20 juta
ringgit.
57.
Kemudahan pinjaman secara mudah dan cepat sering kali menjadi kekangan
kepada usahawan kecil terutama Bumiputera. Dengan tertubuhnya Tabung
Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), usahawan kecil kini mampu
memulakan dan memajukan lagi perniagaan mereka. Sehingga kini, TEKUN
telah menyalurkan pinjaman sebanyak 2.24 bilion ringgit kepada 224,175
usahawan kecil di seluruh negara termasuk sejumlah 34.5 juta ringgit
kepada 4,212 usahawan masyarakat India di bawah Skim Pembangunan
Usahawan Masyarakat India. Bagi tahun 2013, Kerajaan menyediakan
peruntukan sebanyak 350 juta ringgit, termasuk daripadanya 50 juta
ringgit kepada masyarakat India.
FOKUS KEDUA: MEMPERKASA PENDIDIKAN DAN LATIHAN
Tuan Yang di-Pertua,
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025
58.
Sememangnya sejak merdeka, Kerajaan telah menjadikan bidang pendidikan
sebagai agenda utama negara. Kerajaan juga menyedari pelaburan dalam
bidang ini adalah prasyarat kepada sebuah negara yang makmur dan
pembangunan rakyat yang sejahtera. Lalu, setiap tahun menyaksikan
peruntukan besar dan kali ini 21 peratus daripada keseluruhan bajet.
Namun, didapati hasil yang diperolehi tidak setara dengan pelaburan yang
telah dibuat. Maka, pada 11 September lepas, Kerajaan melalui
Kementerian Pelajaran telah melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia 2013-2025 bagi memastikan sistem pendidikan negara
akan mampu mengoptimumkan potensi setiap anak Malaysia.
59.
Bagi Bajet 2013, sebanyak 38.7 bilion ringgit telah diperuntukkan
kepada Kementerian Pelajaran meliputi peruntukan mengurus dan
pembangunan.
60.
Berbicara tentang itu, langkah meningkat upaya kompetensi dan kualiti
guru merupakan prasyarat kritikal yang menunjang kejayaan sistem
pendidikan negara. Oleh itu, bagi menjana mula prakarsa ini, di samping
38.7 bilion ringgit peruntukan kepada Kementerian Pelajaran bagi
perbelanjaan mengurus dan pembangunan, Kerajaan akan menyediakan
peruntukan tambahan sebanyak 500 juta ringgit bagi meningkatkan
kemahiran guru dalam pengajaran subjek-subjek teras, yakni Bahasa
Kebangsaan, bahasa Inggeris, sains dan matematik melalui pendekatan
Higher Order Thinking Skills. Peruntukan ini juga merangkumi penubuhan
Unit Pelaksanaan Pendidikan atau Education Delivery Unit bagi memantau
dan menilai keberkesanan pelaksanaan transformasi pelan tersebut.
Tuan Yang di-Pertua,
61.
Pada pembentangan Bajet 2012, Kerajaan telah menyediakan sebanyak 1
bilion ringgit di bawah Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan
Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk
membaik-pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan
pembinaan blok tambahan. Untuk meneruskan komitmen Kerajaan, sukacita
saya mengumumkan tambahan 1 bilion ringgit lagi kepada Tabung khas ini.
Daripada jumlah ini, 400 juta ringgit akan disalurkan kepada Sekolah
Kebangsaan, 100 juta ringgit kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, 100
juta ringgit Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, 100 juta ringgit Sekolah
Mubaligh, 100 juta ringgit Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, 100 juta
ringgit Sekolah Berasrama Penuh dan 100 juta ringgit kepada Maktab
Rendah Sains MARA.
Memperkukuh Pendidikan Awal Kanak-Kanak
Tuan Yang di-Pertua,
62.
Melangkah ke ruang pendidikan awal kanak-kanak, kualiti pendidikan
prasekolah amat penting sebagai platform melengkapkan kanak-kanak dengan
pendidikan asas. Untuk ini, sebanyak 1.2 bilion ringgit disediakan bagi
tujuan pendidikan prasekolah termasuk kepada Jabatan Kemajuan
Masyarakat, Kementerian Pelajaran, PERMATA dan Jabatan Perpaduan dan
Integrasi Nasional. Sebagai tambahan, sebanyak 380 juta ringgit
disediakan di bawah Kementerian Pelajaran untuk penempatan guru
prasekolah.
63.
Berhubung perkhidmatan taska dan pusat jagaan kanak-kanak yang
berkualiti pula, demi memastikan kanak-kanak mendapat penjagaan sempurna
di samping membangunkan perkembangan minda yang positif, Kerajaan
mencadangkan insentif-insentif berikut:
Pertama:
Geran pelancaran 10 ribu ringgit kepada penyedia Pusat Pendidikan Awal
Kanak-kanak (ECCE) swasta untuk membantu mereka membuka taska baru yang
berkualiti. Dianggarkan 1,000 ECCE swasta baru akan mendapat manfaat;
Kedua:
Potongan cukai 2 kali ke atas elaun atau subsidi yang diberi kepada
pekerja dan perbelanjaan penyelenggaraan kemudahan taska dan pusat
jagaan kanak-kanak akan diberi kepada majikan;
Ketiga:
Pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh 5 tahun dan elaun bangunan
industri pada kadar 10 peratus setahun diberi kepada pengusaha taska dan
pusat jagaan kanak-kanak swasta; dan
Keempat
: Pengecualian cukai pendapatan untuk tempoh 5 tahun dan elaun bangunan
industri pada kadar 10 peratus setahun kepada pengusaha pra-sekolah
swasta.
64.
Pada masa ini, kita dapati ramai kanak-kanak kurang upaya dari keluarga
berpendapatan rendah yang tidak mendapat pendidikan awal kerana
kekurangan taska OKU. Untuk ini Kerajaan akan melaksanakan projek
perintis taska OKU bagi 6 kategori kanak-kanak OKU yang merangkumi down
syndrome, autisme, penglihatan, pekak dan bisu, fizikal dan OKU masalah
pembelajaran.
Latihan dan Kemahiran
65.
Berganjak kepada soal modal insan, yang berpengetahuan, kreatif dan
inovatif, program latihan akan dibentuk untuk mengasah kemahiran baru
selaras dengan keperluan industri masa depan ke arah ekonomi
berpendapatan tinggi dan maju. Bagi tujuan ini, pada tahun 2013,
sejumlah 3.7 bilion ringgit akan disediakan untuk melatih pelajar dalam
bidang teknikal dan vokasional.
66.
Setiap tahun hampir 180 ribu graduan berkelulusan diploma dan sarjana
muda menamatkan pengajian daripada institusi pengajian tinggi. Untuk
membantu mereka yang masih menganggur, maka Kerajaan akan melancarkan
Graduate Employability Blueprint pada penghujung tahun 2012. Rangka
kerja ini akan memberi tumpuan untuk memperkukuh kebolehpasaran graduan.
Dalam hal ini, Kerajaan akan menubuhkan Graduate Employability
Taskforce dengan peruntukan 200 juta ringgit.
67.
Kerajaan telah melaksanakan Program Skim Latihan 1Malaysia atau
dikenali sebagai SL1M yang bertujuan untuk meningkatkan tahap
kebolehpasaran graduan melalui latihan soft-skills dan on-job-training
di syarikat swasta melalui galakan potongan cukai dua kali ke atas
perbelanjaan oleh pihak syarikat. Galakan ini telah diberi mulai 1 Jun
2012 sehingga tahun 2016.
68.
Kerajaan juga memperuntukkan 440 juta ringgit kepada Perbadanan Tabung
Pembangunan Kemahiran bagi memberi pinjaman kepada pelatih untuk
menjalani latihan kemahiran. Langkah ini akan dapat memanfaatkan hampir
40 ribu pelatih di peringkat Sijil Kemahiran Malaysia tahap 1 hingga 5.
Kerajaan juga memperuntukkan 366 juta ringgit bagi menaik taraf serta
pembelian peralatan Institut Latihan Perindustrian dan Institut
Kemahiran Belia Negara.
69.
Pelbagai program latihan kemahiran akan dilaksanakan selaras dengan
matlamat mentransformasikan industri utama negara berteras kepada
teknologi tinggi, berinovatif serta berpendapatan tinggi. Ke arah ini,
tumpuan akan diberi bagi melahirkan tenaga kerja profesional dan
berbakat di dalam industri terpilih termasuk industri minyak dan gas,
perkapalan, ICT, kreatif serta bioteknologi. Bagi tahun 2013, dijangka
seramai 5,000 pelatih akan menyertainya. Di samping itu, Petronas akan
menggunakan kemudahan Institut Kemahiran Belia Negara di Pengerang,
Johor untuk melatih seramai 300 orang belia menjelang akhir tahun ini
dalam bidang minyak dan gas bagi memenuhi keperluan projek RAPID.
70.
Kerajaan sedar tentang pelajar miskin masyarakat India, terutamanya
dari estet-estet yang tidak memperolehi keputusan yang baik dalam
peperiksaan dan tidak berpeluang untuk mendapat pekerjaan. Selaras
dengan itu, Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak 50 juta
ringgit untuk melatih 3,200 pelajar masyarakat India bagi
memperlengkapkan mereka dengan kemahiran, selaras permintaan pasaran.
Latihan ini akan dikendalikan oleh Institut Latihan Perindustrian dan
kolej-kolej di bawah Skim Latihan Dual Nasional.
71.
Bagi memastikan golongan pekerja swasta adalah sentiasa sihat dan
produktif dalam menyumbang kepada pembangunan syarikat dan ekonomi
negara, aspek kesihatan mesti diberi keutamaan. Untuk ini, PERKESO akan
menyediakan peruntukan sebanyak 200 juta ringgit bagi membolehkan
ahlinya seramai 1.4 juta orang menjalani pemeriksaan kesihatan secara
percuma di hospital Kerajaan atau klinik panel PERKESO. Pemeriksaan
kesihatan ini bertujuan untuk mengesan penyakit tidak berjangkit, kepada
semua pekerja yang berumur antara 40 hingga 55 tahun.
FOKUS KETIGA: MEMBUDAYA INOVASI, MENINGKAT PRODUKTIVITI
Tuan Yang di-Pertua,
Harta Intelek (IP) Sebagai Cagaran
72.
Bagi membolehkan PKS menggunakan harta intelek sebagai nilai komersial
dan instrumen untuk mendapatkan pembiayaan memajukan perniagaan, satu
model penilaian harta intelek akan diwujudkan bagi membenarkan ia
dinilai secara komersial dan seterusnya digunakan sebagai cagaran
memperoleh pembiayaan dari institusi kewangan. Bagi maksud ini,
langkah-langkah berikut akan dilaksanakan:
Pertama:
Mewujudkan skim Dana Pembiayaan Harta Intelek berjumlah 200 juta
ringgit. Skim ini akan ditawarkan oleh Malaysia Debt Ventures. Kerajaan
akan memberi subsidi kadar faedah sebanyak 2 peratus dan jaminan
sebanyak 50 peratus melalui Credit Guarantee Corporation; dan
Kedua:
Menyediakan peruntukan sebanyak 19 juta ringgit bagi program latihan
penilai harta intelek tempatan kendalian Perbadanan Harta Intelek serta
mewujudkan platform pasaran harta intelek.
Penyelidikan dan Pembangunan
Tuan Yang di-Pertua,
73.
Aktiviti R&D pula akan terus diberi penekanan. Pelbagai penemuan
dan hasil R&D institusi penyelidikan awam berpotensi untuk
dikomersialkan. Maka, Kerajaan memperuntukkan sebanyak 600 juta ringgit
kepada 5 buah universiti penyelidikan bagi menjalankan penyelidikan
berimpak tinggi dalam bidang strategik seperti nano teknologi,
automatif, bio-teknologi serta aero-angkasa.
74.
Untuk merancakkan aktiviti pengkomersialan penemuan R&D institusi
penyelidikan awam, Kerajaan mencadangkan galakan cukai sedia ada bagi
pengkomersialan penemuan R&D berasaskan aktiviti sumber diperluaskan
kepada aktiviti berasaskan bukan sumber yang digalakkan di bawah Akta
Penggalakan Pelaburan 1986. Galakan cukai tersebut adalah:
Pertama:
Syarikat yang melabur dalam syarikat subsidiarinya yang menjalankan
aktiviti mengkomersialkan penemuan R&D diberi potongan cukai
bersamaan dengan jumlah pelaburan yang dibuat dalam syarikat subsidiari
tersebut; dan
Kedua:
Syarikat subsidiari yang menjalankan aktiviti mengkomersialkan penemuan
R&D diberi pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus ke
atas pendapatan berkanun untuk tempoh 10 tahun.
Mempergiat Pelaburan Modal Teroka oleh Pelabur Individu
75.
Merujuk usahawan muda tempatan, sememangnya didapati mereka mempunyai
idea dan produk inovatif yang boleh diketengahkan ke peringkat
antarabangsa namun berhadapan sumber pembiayaan terhad. Oleh itu,
sebagai sumber pembiayaan alternatif, penglibatan secara langsung
pelabur pemangkin atau angel investors di peringkat awal perniagaan
adalah amat penting bagi merealisasikan pelaburan dan daya saing
syarikat teroka. Sehubungan itu, Kerajaan mencadangkan potongan cukai
bersamaan jumlah pelaburan oleh pelabur pemangkin dalam syarikat teroka
dibenarkan ditolak daripada semua jenis pendapatannya.
Menyemarak Inovasi Inklusif
Tuan Yang di-Pertua,
76.
Bagi memastikan pembangunan inklusif, Kerajaan akan terus merancang dan
melaksanakan program serta aktiviti berintensifkan pengetahuan,
kreativiti dan inovasi. Menuju ke tahun 2020, menjadi sebuah negara maju
berpendapatan tinggi, inovasi akan terus diperkukuh dan
diarusperdanakan dalam semua sektor dan segenap lapisan masyarakat.
Melalui Bajet 2013, inisiatif ini akan diambil oleh Kementerian Sains,
Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama agensi Agensi Inovasi Malaysia
dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Pembangunan Teknologi Hijau
77.
Dalam Bajet 2010, Kerajaan telah mewujudkan Skim Pembiayaan Teknologi
Hijau (SPTH) dengan dana berjumlah 1.5 bilion ringgit untuk tempoh 3
tahun, yang akan berakhir pada 31 Disember 2012. Dana ini membolehkan
syarikat pengeluar dan syarikat pengguna teknologi hijau membuat
pinjaman mudah dengan Kerajaan menanggung subsidi 2 peratus daripada
jumlah kadar faedah dan jaminan Kerajaan 60 peratus. Sehingga kini,
hampir 800 juta ringgit telah diluluskan kepada 50 syarikat tempatan.
Bagi merancakkan lagi pengeluaran dan penggunaan produk berasaskan
teknologi hijau, dana skim ini akan ditambah sebanyak 2 bilion ringgit
dan tempoh permohonan skim SPTH ini dilanjutkan untuk tempoh 3 tahun
lagi iaitu sehingga 31 Disember 2015.
FOKUS KEEMPAT: KONSOLIDASI FISKAL DAN MEMPERCEKAP PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN AWAM
Tuan Yang di-Pertua,
78.
Sesungguhnya, Kerajaan komited dalam memastikan defisit fiskal terus
berkurangan dan negara berada pada landasan yang betul bagi mencapai
bajet berimbang. Dalam hal ini, semua kementerian dan agensi perlu
memastikan peruntukan mengurus dan pembangunan dibelanjakan bagi perkara
yang benar-benar perlu dan penting dalam menyokong pelaksanaan dasar
dan program negara.
79.
Kerajaan akan memastikan hutang Kerajaan Persekutuan tidak melebihi
paras 55 peratus kepada KDNK dan defisit fiskal terus berkurangan kepada
3 peratus menjelang 2015. Antara langkah yang akan dan telah diambil
termasuk memastikan kutipan hasil ditingkatkan dengan mengukuhkan sistem
percukaian dan memastikan semua perolehan dan pembelian Kerajaan adalah
berdasarkan prinsip value for money.
80.
Selain daripada peralihan sistem subsidi pukal kepada subsidi bersasar,
kajian semula sistem percukaian kebangsaan akan diteruskan bagi
memastikan sistem cukai negara akan lebih menggambarkan kedudukan
kewangan setiap isi rumah. Peralihan daripada sistem cukai berasaskan
pendapatan kepada sistem cukai yang lebih menyeluruh serta saksama akan
pada analisa akhirnya memanfaatkan semua rakyat Malaysia.
81.
Langkah ini tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa mahupun semberono
tetapi setelah kajian teliti dan pelaksanaan penuh tertib. Ia tidak akan
mengesankan rakyat terbanyak khususnya golongan berpendapatan rendah
serta sederhana kerana perkara-perkara asas sama ada makanan, perumahan
mahupun pengangkutan awam akan terus dilindungi.
82.
Pelaksanaan struktur baru cukai ini sudah menjadi sebagai satu
imperatif nasional bagi memastikan kelestarian sistem kewangan negara
terus utuh untuk generasi masa depan Malaysia. Kerajaan tidak akan
mengelak dari mengambil tindakan yang betul walaupun ianya penuh liku.
83.
Walau bagaimanapun, ruang masa yang mencukupi akan tetap disediakan
oleh Kerajaan agar semua pihak dapat membuat persiapan yang sewajarnya.
Penerimaan rakyat ke atas inisiatif baru ini akan diperoleh dengan
program penerangan, pendidikan serta rundingan secara ekstensif.
Tuan Yang di-Pertua,
84.
Dalam memberi perkhidmatan terbaik, penjawat awam mesti menerapkan
budaya produktiviti, kreativiti dan inovasi. Amalan kerja pula mestilah
cepat, tepat dan berintegriti. Langkah ini akan mencetuskan paradigma
baru dan seterusnya meningkatkan keyakinan rakyat terhadap prestasi
perkhidmatan awam lebih efisien dan efektif serta lebih responsif.
85.
Kerajaan tidak lupa akan jasa pesara yang pernah mencurahkan khidmat
bakti dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada negara. Sehubungan itu,
Kerajaan akan menyelaras semula pencen pesara Kerajaan yang telah
berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun dengan menaikkan pencen minimum
daripada 720 ringgit kepada 820 ringgit. Pelarasan pencen ini akan
mengambil kira bayaran pencen bermula 1 Januari 2012. Langkah ini
melibatkan seramai 50,371 pesara, termasuk penerima pencen terbitan,
dengan peruntukan tambahan sebanyak 60 juta ringgit setahun.
86.
Sebagai pengiktirafan kepada golongan warga emas, Kerajaan mencadangkan
caj bayaran pemprosesan pasport dikurangkan sebanyak 50 peratus iaitu
daripada 300 ringgit kepada 150 ringgit untuk tempoh sah laku 5 tahun.
Manakala, bagi caj bayaran pengurusan pasport untuk tempoh dua tahun
dikurangkan kepada 80 ringgit. Pengurangan caj bayaran pasport ini juga
diperluaskan kepada kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah. Kadar
bayaran baru ini akan berkuat kuasa pada Januari 2013.
Penambahbaikan Skim Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia
Tuan Yang di-Pertua,
87.
Bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia mempunyai modal insan
berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, serta merealisasikan visi dan
hala tuju strategik ATM sesuai dengan keperluan semasa, Kerajaan
bersetuju untuk menambah baik skim perkhidmatan ATM. Sehubungan itu,
syarat lantikan bagi skim perkhidmatan ATM telah ditambah baik dengan
kelayakan masuk bagi pegawai ditingkatkan kepada Ijazah Sarjana Muda
Kepujian dan bagi askar laskar kelayakan masuk minimum ditingkatkan ke
peringkat SPM dan Diploma berdasarkan skop tugas.
88.
Mengambil kira keunikan perkhidmatan ATM, Kerajaan bersetuju untuk
meningkatkan peluang kenaikan pangkat anggota ATM melalui kaedah
kenaikan secara time-based anggota berpangkat prebet ke Lans Koperal dan
Lans Koperal ke Koperal dalam tempoh 8 tahun dengan memenuhi
syarat-syarat serta prestasi yang memuaskan. Ini adalah bagi
meningkatkan peluang kemajuan kerjaya serta motivasi anggota ATM. Usaha
ini akan memberi faedah kepada seramai 78,123 anggota dan melibatkan
peruntukan sebanyak 107 juta ringgit.
89.
Di samping itu, Kerajaan juga bersetuju memberikan bayaran insentif
khas dengan kadar 200 ringgit sebulan kepada semua pegawai dan anggota
ATM seramai 125,708 orang berkuat kuasa 1 Januari 2013. Langkah ini akan
melibatkan implikasi kewangan sebanyak 301 juta ringgit.
90.
Kerajaan menghargai peranan pasukan simpanan angkatan tentera sebagai
pelengkap dan sokongan kepada angkatan tetap ATM. Bagi menghargai
sumbangan mereka, Kerajaan bersetuju untuk menyelaras elaun khidmat
bertugas daripada 4 ringgit sejam bagi anggota biasa kepada 6 ringgit
sejam dan bagi pegawai, RM5.80 sejam kepada RM7.80 sejam melibatkan 65
ribu anggota simpanan angkatan tentera merangkumi Askar Wataniah serta
Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut dan Udara di seluruh negara.
Kadar baru ini telah pun dikuatkuasakan untuk RELA, JPAM dan PVR sebelum
ini.
91.
Kerajaan juga tidak lupa jasa bakti pahlawan negara. Untuk membantu
bekas tentera yang bersara awal kerana berkhidmat kurang daripada 21
tahun serta tidak berpencen, Kerajaan bersetuju untuk memberi sumbangan
sebanyak 1 ribu ringgit secara one-off kepada mereka. Peruntukan
sebanyak 224 juta ringgit yang melibatkan 224 ribu bekas tentera ini
akan dikongsi bersama oleh Kerajaan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.
92.
Kerajaan juga akan memperkenalkan Skim Perlindungan Insurans
Berkelompok kepada anggota tentera dan polis yang sedang berkhidmat
dengan peruntukan 12 juta ringgit. Skim ini akan memberi had
perlindungan maksimum sehingga 15 ribu ringgit kepada hampir 242 ribu
anggota tentera dan polis.
Tuan Yang di-Pertua,
93.
Pada masa ini, Kerajaan meminjam sebanyak 6 bilion ringgit setahun
untuk membiayai keperluan pinjaman perumahan penjawat awam yang
diuruskan oleh Bahagian Pinjaman Perumahan, Kementerian Kewangan.
Sebagai sebahagian daripada usaha konsolidasi fiskal dan mengurangkan
beban tanggungan kewangan Kerajaan, BPP akan disusun semula di mana
Kerajaan akan melantik panel bank komersial untuk menguruskan pinjaman
perumahan Kerajaan yang baru berkuat kuasa Januari 2013. Segala manfaat
dan bantuan sedia ada yang dinikmati oleh penjawat awam akan tetap
dikekalkan malah ditambah baik. Penjawat awam masih tetap membayar 4
peratus kadar faedah ke atas pinjaman perumahan.
94.
Selain itu, pada masa ini, wang proses yang dikenakan bagi setiap
permohonan pinjaman perumahan penjawat awam adalah sebanyak 1 ringgit
bagi setiap 1,000 ringgit pinjaman yang dipohon bagi pinjaman kali
pertama dan 2 ringgit bagi pinjaman kali kedua. Bagi mengurangkan beban
kewangan dan memudahkan proses kelulusan pinjaman, Kerajaan bersetuju
untuk menetapkan wang proses ini pada kadar 100 ringgit bagi setiap
permohonan tanpa mengambil kira jumlah pinjaman yang dipohon.
95.
Kerajaan turut memberi perhatian untuk meringankan beban kos sara hidup
bagi pelatih-pelatih yang mengikuti kursus pra perkhidmatan di
peringkat ijazah, diploma dan sijil. Dengan ini, Kerajaan bersetuju
menaikkan kadar elaun pra perkhidmatan yang melibatkan 31,135 pelatih.
Skim perkhidmatan yang terlibat adalah Pegawai Perkhidmatan Pendidikan
Siswazah, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Penolong Pegawai
Perubatan, Penolong Pegawai Farmasi, Juru X-Ray, Jururawat, Jururawat
Pergigian, Jurupulih Perubatan, Juruteknologi Makmal Perubatan,
Juruteknologi Pergigian, Jururawat Masyarakat, Pembantu Kesihatan Awam
dan Pembantu Pembedahan Pergigian. Untuk ini, sebanyak 84.2 juta ringgit
akan disediakan.
FOKUS KELIMA: MENSEJAHTERAKAN RAKYAT
Tuan Yang di-Pertua,
96.
Kerajaan juga akan menyediakan 6 bilion ringgit pada tahun 2013 di
bawah Insentif Pembiayaan Swasta yakni PFI 2 untuk melaksanakan pelbagai
projek dan program untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan memacu
pertumbuhan ekonomi negara. Antara projek yang telah dikenal pasti
termasuk membaik pulih dan menyelenggara sekolah serta klinik kesihatan,
projek perumahan, projek tangki air, rancangan tebatan banjir dan
penyediaan kemudahan sukan.
Mewujud Kejiranan Yang Selamat dan Harmoni
Tuan Yang di-Pertua,
97.
Kerajaan telah memperkenalkan langkah mengurangkan kadar jenayah
sebagai salah satu inisiatif di bawah NKRA. Usaha mengurangkan kadar
jenayah akan terus dipertingkatkan. Untuk tujuan ini, peruntukan
sejumlah 591 juta ringgit akan disediakan bagi tahun 2013 untuk
melaksanakan langkah-langkah berikut:
Pertama
: Menambah bilangan perjawatan baru Polis DiRaja Malaysia pada 2013
untuk melaksanakan tugas-tugas rondaan dan pencegahan jenayah serta
menaik taraf infrastruktur dan menyediakan peralatan moden;
Kedua:
Menubuhkan Unit Rondaan Bermotosikal memantau kawasan perumahan. Untuk
ini, Kerajaan akan menyediakan 1,000 buah motosikal dengan peruntukan
sebanyak 20 juta ringgit;
Ketiga:
Menambah bilangan ahli Pasukan Sukarelawan Polis seramai 10,000 orang
dengan peruntukan 70 juta ringgit bagi membantu polis membanteras
jenayah; dan
Keempat
: Menambah pemasangan Sistem Kamera Litar Tertutup atau CCTV sebanyak
496 unit di 25 buah Pihak Berkuasa Tempatan di Semenanjung, Sabah dan
Sarawak.
Tuan Yang di-Pertua,
98.
Kerajaan sedar akan tugas dan tanggungjawab berat pegawai dan anggota
Polis DiRaja Malaysia. Kepada warga PDRM saya mendengar rintahan saudari
dan saudari sekelian tentang beberapa anomali yang wujud terutamanya
dalam perjawatan untuk para pegawai. Kerajaan mendengar dan mengambil
maklum kita tidak sekali-kali mengambil mudah tentang soal ini. Kerajaan
telahpun mengarahkan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam agar kajian
komprehensif dilakukan untuk menambahbaik laluan kerjaya warga PDRM.
kajian dan segala cadangan yang dibuat hendaklah merundingi semua
“stakeholder” dan hendaklah diselesaikan dalam masa secepat mungkin.
99.
Kerajaan komited memastikan setiap rakyat yang dituduh di mahkamah
mempunyai pembelaan sesuai dengan hak mereka yang dijamin oleh
Perlembagaan dan telah memberi geran pelancaran sebanyak 14 juta ringgit
kepada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. Kerajaan dengan ini menambah
20 juta ringgit lagi peruntukan untuk tahun 2013.
Tuan Yang di-Pertua,
100.
Penglibatan swasta dan komuniti setempat secara menyeluruh bersama
Kerajaan adalah penting bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara
yang selamat. Sehubungan itu, Kerajaan akan melaksanakan
inisiatif-inisiatif berikut:
Pertama
: Menyokong peranan persatuan penduduk bagi tujuan menggalakkan
aktiviti rondaan di kawasan kejiranan. Untuk ini, Kerajaan bercadang
memberi geran berjumlah 10,000 ringgit kepada 4,025 persatuan penduduk
yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, dengan
kos sebanyak 40 juta ringgit;
Kedua
: Mempertingkatkan peranan rukun tetangga dalam membantu menjaga
keselamatan kawasan perumahan. Untuk ini, Kerajaan mensasarkan 6,500
penubuhan kawasan rukun tetangga menjelang tahun 2013. Kerajaan akan
memperuntukkan 39 juta ringgit bagi membiayai aktiviti KRT;
Ketiga
: Menyediakan sepasang pakaian seragam untuk 300,00 anggota RELA yang
aktif dengan peruntukan sebanyak 90 juta ringgit; dan
Keempat
: Tolakan sepenuhnya perbelanjaan pemasangan alat kawalan keselamatan
bagi syarikat-syarikat dalam tahun yang sama ia dibelanjakan, berbanding
dengan tolakan semasa iaitu 8 tahun, di bawah galakan Elaun Modal
Dipercepatkan. Kerajaan juga bersetuju galakan yang menarik ini turut
diberi kepada syarikat pemaju perumahan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Tuan Yang di-Pertua,
101.
Pastinya, Kerajaan terus komited untuk membasmi gejala rasuah. Bagi
tahun 2013, sebanyak 276 juta ringgit akan diperuntukkan kepada SPRM
bagi membanteras rasuah. Untuk ini, Kerajaan bersetuju menambah sebanyak
150 perjawatan tambahan setiap tahun sehingga mencapai 5,000 anggota.
Langkah ini diharap akan dapat menyokong usaha Kerajaan memperbaiki
kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah.
Memacu Transformasi Komuniti
Tuan Yang di-Pertua,
102.
Kerajaan telah melancarkan Program Transformasi Luar Bandar atau RTP
bagi mengukuhkan pembangunan kawasan luar bandar. Untuk komuniti di
bandar pula, sukacita saya mengumumkan Program Transformasi Bandar atau
UTP. Sejumlah 200 juta ringgit akan disediakan bagi maksud ini. Bagi
memastikan penyelarasan strategik di antara RTP dan UTP, National
Strategic Coordination Unit akan diwujudkan di bawah Kementerian
Kewangan.
103.
Urban Transformation Program adalah inisiatif Kerajaan dalam
pembangunan komuniti bandar bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan
Kerajaan dan swasta yang efisien, cepat dan mudah diakses. UTC
dilaksanakan dengan mengubahsuai bangunan Kerajaan sedia ada yang kosong
atau mengoptimumkan penggunaan bangunan dengan kos yang minimum.
Sebagai contoh, di UTC, rakyat boleh membuat pasport dalam tempoh satu
jam sahaja, membayar zakat, bil utiliti, cukai pintu, membeli kain dan
buku serta menjalankan aktiviti riadah seperti futsal dan gim. Keunikan
UTC ini, ia beroperasi bermula dari 8.30 pagi hingga 10 malam, 7 hari
seminggu.
104.
Di bawah UTP, Kerajaan telah melancarkan 2 Pusat Transformasi Bandar
atau UTC iaitu di Melaka dan Kuala Lumpur. Terkini, UTC KL telah
menerima purata seramai 4,000 orang sehari. Pelaksanaan UTC akan
diperhebatkan dan dilaksanakan secara berperingkat di 6 bandar utama,
iaitu Alor Setar, Kuantan, Ipoh, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching.
Program Transformasi Luar Bandar
105.
Di luar bandar, Kerajaan telah membuka pula Pusat Transformasi Luar
Bandar atau RTC di Gopeng, Perak dan Wakaf Che Yeh, Kelantan bagi
menyediakan sebuah pusat integrasi perkhidmatan meliputi pengumpulan,
pemprosesan dan pengedaran hasil pengeluaran pertanian, perbankan dan
insurans, khidmat nasihat perniagaan, latihan dan kemahiran, klinik
serta ruang niaga. Berdasarkan manfaat yang diterima, Kerajaan akan
terus memperluaskan RTC ke Melaka, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak.
Selain itu, Kerajaan juga akan menaik taraf Medan Info Desa seluruh
negara sebagai Mini-RTC.
Pembangunan Luar Bandar dan Masyarakat Orang Asli
106.
Kawasan luar bandar akan terus dibangunkan bagi mengurangkan jurang
pembangunan bandar dan luar bandar. 4.5 bilion ringgit akan disediakan
bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan pada tahun 2013 termasuk:
Pertama
: Sebanyak 1.2 bilion ringgit disediakan untuk melaksanakan 441
kilometer projek jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa yang
memanfaatkan 220 ribu penduduk;
Kedua
: Sebanyak 1.6 bilion ringgit diperuntukkan untuk projek infrastruktur
utiliti luar bandar bagi projek bekalan air kepada 24 ribu buah rumah
dan projek penyambungan bekalan elektrik kepada 19 ribu buah rumah;
Ketiga
: Sebanyak 137 juta ringgit diperuntukkan bagi membiayai Program Desa
Lestari melibatkan 29 buah kampung di seluruh negara dan memanfaatkan 38
ribu penduduk. Program utama termasuk menaik taraf kilang pemprosesan
hasil laut dan makanan, pembinaan jeti baru, pembinaan pusat pemasaran
serta menambah baik pakej dan aktiviti homestay serta rekreasi;
Keempat
: Sebanyak 88 juta ringgit diperuntukkan bagi melaksanakan program
pembangunan ekonomi dan projek bekalan air bagi masyarakat Orang Asli;
dan
Kelima
: Sebanyak 100 juta ringgit bagi membekal 40 ribu tangki air
menggunakan kaedah tadahan air hujan khususnya di kawasan pedalaman di
Sabah dan Sarawak.
Kesihatan Asas Kesejahteraan
Tuan Yang di-Pertua,
107.
Kerajaan akan terus memastikan rakyat dapat menikmati perkhidmatan
kesihatan yang memuaskan. Bagi tahun 2013, Kerajaan memperuntukkan
sebanyak 19.3 bilion ringgit untuk perkhidmatan mengurus dan
pembangunan.
108.
Pembukaan Klinik 1Malaysia telah mendapat sambutan baik dan memberi
manfaat dalam meringankan kos rawatan selain memudahkan akses bagi
mendapatkan rawatan. Justeru, Kerajaan akan memperuntukkan 20 juta
ringgit bagi membuka tambahan 70 klinik pada tahun 2013. Klinik
1Malaysia juga akan mula menyediakan perkhidmatan ujian kolesterol dan
glukosa serta ujian urin kepada mereka yang memerlukan. Selain itu,
sebanyak 100 juta ringgit akan diperuntukkan untuk membaik pulih 350
klinik di seluruh negara, di samping menambah 150 buah mesin dialisis di
pusat hemodialisis Kerajaan seluruh negara.
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Tuan Yang di-Pertua,
109.
Memang benar, wanita bukan sahaja penting dalam pembentukan keluarga
bahagia malah turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Untuk
itu, Kerajaan memperuntukkan 50 juta ringgit bagi menyokong dwi peranan
wanita ini dengan melaksanakan langkah-langkah berikut:
Pertama
: Seramai 500 wanita akan dilatih di bawah Program Pengarah Wanita
untuk diketengahkan sebagai ahli lembaga pengarah syarikat;
Kedua
: Program Inkubator Keusahawanan Ibu Tunggal (I-KIT) akan
dipertingkatkan untuk memberi khidmat nasihat dan latihan kepada ibu
tunggal dalam bidang keusahawanan; dan
Ketiga
: Program Get Malaysian Business Online (GMBO) bagi membantu 50 ribu
usahawan kecil, terutamanya wanita melonjakkan perniagaan dengan
meningkatkan jualan secara atas talian dengan geran seribu ringgit
melalui peruntukan 50 juta ringgit oleh SKMM.
Keempat
: Peruntukan sebanyak 25 juta ringgit untuk kemudahan pemeriksaan
percuma ujian Mamogram. Langkah ini dijangka dapat memanfaatkan seramai
100 ribu wanita berumur 40 tahun dan ke atas.
110.
Sesungguhnya Kerajaan amat menitikberatkan golongan yang kurang
bernasib baik dan berpendapatan rendah dalam memastikan mereka ini tidak
ketinggalan dalam arus pembangunan negara. Justeru, program Kebajikan
Rakyat 1Malaysia atau KAR1SMA di bawah Kementerian Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat akan diperuntukkan sebanyak 1.2 bilion ringgit
meliputi program bantuan warga emas, bantuan kanak-kanak, elaun pekerja
orang kurang upaya serta bantuan penyakit kronik.
111.
Kerajaan telah melancarkan program 1AZAM atau Akhiri Zaman Miskin yang
bertujuan menyediakan peluang menjana pendapatan kepada golongan
berpendapatan rendah. Antara program di bawah inisiatif ini adalah Azam
Kerja, Azam Tani, Azam Niaga dan Azam Khidmat. Untuk ini, Kerajaan
memperuntukkan sejumlah 400 juta ringgit yang dijangka dapat
memanfaatkan sebanyak 58,330 peserta.
112.
Selain itu, Kerajaan telah menyediakan 2 pusat Anjung Singgah bertujuan
untuk menempatkan warga emas, kanak-kanak jalanan dan mereka yang
memerlukan tempat tinggal sementara sebelum mereka mendapat pekerjaan
atau kemudahan tempat tinggal yang tetap. Seterusnya, Kerajaan menambah
lagi 6 pusat Anjung Singgah. Kerajaan juga akan mewujudkan 5 Anjung
Kasih di Hospital Sibu, Miri, Temerloh, Seremban dan Ipoh bagi
menyediakan tempat penginapan sementara dan selesa kepada pesakit miskin
atau ahli keluarga yang mengiringi pesakit yang sedang menerima rawatan
di hospital Kerajaan.
Belia dan Sukan
Tuan Yang di-Pertua,
113.
Sukan adalah pemangkin perpaduan nasional yang terbaik kerana
melibatkan semua golongan masyarakat. Nama-nama seperti Lee Chong Wei,
Nicol Anne David, Pandelela Rinong, Azizulhasni Awang dan Muhamad Ziyad
adalah antara hero dan heroin sukan yang dikagumi. Kejayaan dan
pencapaian mereka di peringkat antarabangsa cukup membanggakan. Kerajaan
sentiasa memberi penekanan dalam memastikan pembangunan sukan
dilaksanakan secara berterusan. Untuk itu, bagi tahun 2013 sebanyak 738
juta ringgit diperuntukkan bagi pembangunan belia dan sukan.
114.
Kerajaan akan memperuntukkan 15 juta ringgit bagi mempersiapkan para
atlet ke kejohanan sukan antarabangsa termasuk Sukan SEA 2013, Sukan
Para ASEAN 2013, Sukan Komanwel serta Sukan Asia tahun 2014. Sebagai
tambahan juga, 50 juta ringgit lagi diperuntukkan untuk tempoh 4 tahun
khusus bagi persiapan Sukan Olimpik Rio 2016 di bawah program Road to
Rio.
115.
Bagi menggalakkan perkembangan sukan lumba basikal dan badminton,
Kerajaan akan membina sebuah velodrom tertutup di Seremban dan Akademi
Badminton di Bukit Kiara dengan peruntukan sebanyak 80 juta ringgit.
Tuan Yang di-Pertua,
116.
Dalam usaha melahirkan generasi belia yang berpersonaliti tinggi,
berintegriti, kreatif dan berinovasi serta berdaya saing, Kerajaan
melancarkan program Y-Creative yang melibatkan persatuan belia di
seluruh negara. Kerajaan juga akan menganjurkan Festival Belia Putrajaya
yang merupakan perhimpunan belia terbesar negara bersempena dengan
perisytiharan tahun 2013 sebagai tahun kesukarelaan nasional.
117.
Bagi membantu usahawan muda dalam bidang ICT, sebuah yayasan dengan
nama New Enterpreneur Foundation akan ditubuhkan dengan peruntukan
permulaan sebanyak 50 juta ringgit. NEF akan menjadi platform bagi
program latihan dan bimbingan.
118.
Selain itu, Young Entrepreneur Fund juga diwujudkan dengan peruntukan
sebanyak 50 juta ringgit akan disediakan oleh SME Bank. Dana pinjaman
mudah ini adalah untuk belia berumur 30 tahun ke bawah dengan subsidi
kadar faedah pinjaman sebanyak 2 peratus dan had maksimum pinjaman
sebanyak 100 ribu ringgit serta tempoh bayaran balik selama 7 tahun.
119.
Kerajaan mengiktiraf peranan belia dalam mengaspirasikan pembangunan
negara. Untuk itu, Kerajaan akan melancarkan Pertandingan Lautan Biru
1Malaysia For Youth atau 1M4U untuk mereka mempersembahkan idea-idea
kreatif dan inovatif menerusi pertandingan di peringkat tempatan, negeri
dan kebangsaan. 3 idea terbaik akan diberikan peruntukan daripada Dana
Sukarelawan 1Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua,
120.
Sebahagian besar daripada 22 peratus rakyat Malaysia yang menggunakan
telefon pintar untuk melayari internet adalah golongan belia. Oleh itu,
bagi membuka akses golongan muda kepada lebuhraya maklumat, satu pakej
khas akan diperkenalkan oleh kerajaan melalui kerjasama antara
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta syarikat
telekomunikasi. Melalui Pakej Komunikasi Belia, rebat 200 ringgit akan
diberi secara one-off bagi pembelian satu unit telefon mudah alih pintar
3G melalui pengedar-pengedar rasmi. Ia terbuka kepada belia yang
berumur 21 hingga 30 tahun berpendapatan bulanan 3,000 ringgit dan ke
bawah. Sebanyak 300 juta ringgit telah disediakan dan akan memanfaatkan
1.5 juta belia.
Mengiktiraf Karyawan dan Seniman
Tuan Yang di-Pertua,
121.
Menjengah peranan karyawan, budayawan dan seniman dalam proses
pembangunan negara, kita maklum bahawa kemajuan Malaysia tidak diukur
semata-mata pada pendapatan perkapita dan pertumbuhan ekonomi. Ia turut
diukur menggunakan pelbagai dimensi. Para karyawan memainkan peranan
penting dalam meningkatkan peradaban nasional. Sebagai menghargai
peranan mereka ini, Kerajaan bersetuju memperuntukkan sejumlah 6 juta
ringgit sebagai bantuan pentadbiran dan kegiatan kepada semua persatuan
yang berdaftar.
Memperluas Jaringan Pengangkutan Awam Bandar
Tuan Yang di-Pertua,
122.
Bercakap pula ehwal perkhidmatan pengangkutan awam yang baik, ia adalah
nadi kepada pembangunan sesebuah komuniti. Lanjutan daripada kejayaan
pengenalan RapidKL dan RapidPenang, Kerajaan akan melancarkan
RapidKuantan mulai 1 Disember 2012 bagi menyediakan perkhidmatan
pengangkutan bas berkualiti di Kuantan yang dapat memanfaatkan rakyat
teramai. Syarikat Prasarana juga dalam proses untuk memperluaskan
perkhidmatan ini di bandar lain seperti Ipoh, Seremban, Kuching dan Kota
Kinabalu.
123.
Kerajaan memandang serius kepentingan pengangkutan bagi orang ramai
terutamanya mereka yang tinggal dan bekerja di bandar besar. Pada masa
ini, golongan OKU, pesara dan pelajar telah menikmati diskaun 50 peratus
kadar tambang apabila menggunakan perkhidmatan komuter KTMB. Sebagai
lanjutan, suka saya mengumumkan, bahawa Kerajaan bersetuju untuk
memperluaskan diskaun 50 peratus kadar tambang ini, kepada semua
warganegara Malaysia yang berpendapatan 3,000 ringgit dan ke bawah.
Perumahan untuk Rakyat
Tuan Yang di-Pertua,
124.
Kerajaan sedar, perumahan selesa dan mampu milik adalah keperluan asas
paling utama kepada rakyat. Kerajaan komited untuk memastikan setiap
rakyat Malaysia berpeluang untuk memiliki rumah mereka sendiri. Ini
bukan sahaja satu imperatif yang bersifat ekonomi, malahan ia adalah
imperatif moral bagi sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab. Oleh itu,
Kerajaan akan menjadikan hasrat ini sebagai prioriti berterusan. Bagi
tahun 2013 sahaja, suka saya umumkan, Kerajaan akan memperuntukkan 1.9
bilion ringgit bagi membina 123 ribu unit rumah dengan harga berpatutan
di kawasan-kawasan strategik. Inisiatif ini akan dilaksanakan oleh
PR1MA, Syarikat Perumahan Nasional Berhad dan Jabatan Perumahan Negara.
125.
Sebanyak 500 juta ringgit akan dibelanjakan oleh PR1MA untuk membina 50
ribu unit rumah di bandar-bandar utama di seluruh negara dengan harga
jualan antara 100 hingga 400 ribu ringgit seunit. Antara bandar-bandar
utama tersebut adalah Kuala Lumpur, Shah Alam, Johor Bharu, Seremban dan
Kuantan.
126.
Di samping itu, PR1MA juga akan menyediakan Dana Pemudah Cara Perumahan
berjumlah 500 juta ringgit untuk membina 30 ribu unit rumah secara
usaha sama dengan pemaju perumahan swasta. Harga rumah yang ditawarkan
di bawah program ini adalah 20 peratus lebih rendah berbanding dengan
harga di pasaran dan proses pengagihan rumah akan dilaksanakan secara
sistem pengundian terbuka.
127.
Manakala sebanyak 320 juta ringgit diperuntukkan melalui SPNB untuk
membina sebanyak 22,855 unit kediaman termasuk apartmen kos rendah dan
sederhana, rumah mesra rakyat serta rumah mampu milik. Projek perumahan
SPNB yang akan dilaksanakan segera termasuk membina sebanyak 1,855 unit
apartmen kos sederhana dengan keluasan 850 kaki persegi di Shah Alam dan
Sungai Buloh. Unit kediaman ini akan dijual pada harga sekitar 120 ribu
hingga 220 ribu ringgit seunit.
128.
Bagi program Rumah Mesra Rakyat pula, SPNB akan membina sebanyak 21,000
unit rumah untuk tahun 2013. Di bawah program ini, SPNB akan membina
rumah berharga 65 ribu ringgit dengan subsidi sebanyak 20 ribu ringgit
serta subsidi kadar faedah ke atas pinjaman sebanyak 2 peratus.
129.
Selain itu, peruntukan sejumlah 543 juta ringgit akan disediakan bagi
Jabatan Perumahan Negara melaksanakan 45 projek di bawah Program
Perumahan Rakyat melibatkan 20,454 unit rumah yang akan dibina
menggunakan kaedah Industrialised Building System. Kesemua unit kediaman
ini akan dijual antara 30 hingga 40 ribu ringgit seunit berbanding
harga pasaran sekitar 120 ribu ringgit seunit. 20 peratus daripada
keseluruhan unit rumah PPR kepada penjawat awam dan sebahagian kepada
golongan OKU.
130.
Bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah yang
pertama, Skim Rumah Pertamaku yang telah dilancarkan melalui bajet yang
lalu, akan ditambah baik dengan meningkatkan had pendapatan peminjam
perseorangan daripada 3,000 ringgit kepada 5,000 ringgit sebulan atau
10,000 ringgit sebulan bagi pinjaman bersama suami isteri. Di samping
itu, syarat keperluan simpanan 3 bulan deposit serta tempoh minimum
bekerja 6 bulan juga akan dimansuhkan.
Tuan Yang di-Pertua,
131.
Dalam Bajet 2009, Kerajaan telah pun memberi pengecualian duti setem 50
peratus ke atas surat cara perjanjian pindah milik dan pinjaman sebuah
rumah kediaman pertama yang berharga sehingga 350 ribu ringgit. Kerajaan
bercadang melanjutkan pengecualian duti setem sedia ada sehingga 31
Disember 2014 dengan had kelayakan harga rumah dinaikkan sehingga 400
ribu ringgit.
Kajian Semula Cukai Keuntungan Hartanah
132.
Menyangkut hal penawaran hartanah yang terhad terutamanya di kawasan
bandar, ia membuka ruang kepada aktiviti spekulasi. Dengan itu, Kerajaan
mencadangkan cukai keuntungan harta tanah (CKHT) ke atas keuntungan
pelupusan hartanah yang dibuat dalam tempoh tidak melebihi dua tahun
dari tarikh perolehan hartanah berkenaan, dikenakan pada kadar 15
peratus dan 10 peratus bagi pelupusan hartanah dalam tempoh 2 hingga 5
tahun. Bagi hartanah yang dilupuskan selepas tempoh 5 tahun daripada
tarikh perolehannya, CKHT tidak dikenakan. Sementelahan itu, keuntungan
daripada pelupusan sebuah rumah kediaman sekali dalam seumur hidup dan
pelupusan hartanah atas dasar kasih sayang antara suami dan isteri, ibu
bapa dan anak, datuk atau nenek dan cucu dikecualikan daripada CKHT.
Galakan Cukai untuk Memulih Projek Perumahan Terbengkalai
133.
Selanjutnya, bagi tahun 2013, Kerajaan memperuntukkan 100 juta ringgit
kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dijangka dapat
memulihkan 30 projek rumah terbengkalai. Sebagai tambahan untuk
menggalakkan penyertaan sektor swasta, Kerajaan akan menyediakan
insentif cukai seperti berikut:
Pertama: Institusi perbankan diberi pengecualian cukai ke atas pendapatan faedah yang diterima daripada kontraktor penyelamat;
Kedua
: Kontraktor penyelamat diberi potongan cukai 2 kali ke atas bayaran
faedah dan semua kos langsung dalam mendapatkan pinjaman;
Ketiga
: Kontraktor penyelamat diberi pengecualian duti setem ke atas semua
jenis surat cara yang disempurnakan bagi tujuan pindah milik tanah atau
rumah dan surat cara pinjaman bagi membiayai kos pemulihan; dan
Keempat
: Pembeli asal rumah terbengkalai diberi pengecualian duti setem ke
atas semua jenis surat cara yang disempurnakan bagi tujuan mendapat
pembiayaan tambahan dan pindah milik rumah.
Bantuan dan Insentif Rakyat
Tuan Yang di-Pertua,
Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)
134.
Sesungguhnya, Kerajaan ini adalah Kerajaan rakyat, dari rakyat untuk
rakyat. Kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat adalah objektif
tertinggi. Kerajaan ini tidak akan sekali-kali melakukan sebarang
tindakan yang akan membahayakan masa depan orang ramai. Bukan seperti
sesetengah pihak, yang sanggup mengatakan apa sahaja, ini percuma,
itupun percuma, hutang tak perlu bayar, hatta menjanjikan syurga
semata-mata untuk berkuasa. Namun, saya selaku Menteri Kewangan, tidak
akan menyembunyikan kebenaran, sekalipun ia pahit. Pendek kata, Kerajaan
ini tidak akan mengaburi mata rakyat.
135.
Menyedari hakikat inilah, Kerajaan sedang melaksanakan inisiatif
rasionalisasi subsidi dan mengalih secara berperingkat kaedah pemberian
subsidi daripada subsidi pukal yang membawa kepada banyak ketirisan dan
sehingga orang yang berada pun memperoleh, kepada subsidi yang bersasar.
Di bawah prinsip ini, subsidi akan diteruskan tetapi akan diberi hanya
kepada kelompok yang betul-betul memerlukannya. Hakikatnya, jika
Kerajaan terus memberi subsidi secara pukal, ia akan menghancurkan
kedudukan kewangan negara sehingga akhirnya rakyat menanggung akibat,
seperti mana yang berlaku di sesetengah negara di dunia. Sebagai sebuah
Kerajaan yang bertanggungjawab, kita tidak rela perkara tersebut
berlaku.
136.
Bersesuaian dengan peralihan kepada dasar pelaksanaan subsidi bersasar,
Kerajaan komited bagi memastikan setiap segmen rakyat Malaysia dapat
mengongsi kemakmuran negara. Ini hanya akan berlaku, sekiranya ekonomi
nasional terus tumbuh secara mapan dan kekayaan negara dapat terus
dijana. Sukacita saya mengumumkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia
atau BR1M 2.0. Kriteria penerima tetap sama iaitu ketua isi rumah yang
berpendapatan 3,000 ringgit dan ke bawah. Sebagai tambahan, sukacita
juga saya mengumumkan pemberian BR1M 2.0 ini diperluaskan kepada
individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak
melebihi 2 ribu ringgit sebulan. Pemberian bantuan kepada individu
bujang ini adalah sebanyak 250 ringgit.
137.
Hakikatnya, bantuan kepada isi rumah dan individu bujang ini bukanlah
satu langkah populis malah manifestasi sebuah Kerajaan bertanggungjawab
dan mampu mengurus kewangan negara dengan berhemah. Ia memanfaatkan 4.3
juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang melibatkan peruntukan 3
bilion ringgit. Ia akan dibayar mulai awal tahun 2013. Bagi memudahkan
pelaksanaan, penerima BR1M sedia ada tidak lagi perlu mendaftar untuk
kali kedua manakala pemohon baru boleh mula mendaftar mulai November
2012 secara atas talian atau melalui kaunter di Pejabat Pembangunan
Negeri, Pejabat Daerah dan pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri seluruh
negara.
Tuan Yang di-Pertua,
138.
Gula yang diambil secara berpatutan adalah baik, namun sekiranya
diambil secara berlebihan ia mampu menjadi racun. Setakat ini, sekitar
2.6 juta rakyat Malaysia mengidap diabetes. Oleh itu, Kerajaan bercadang
mengurangkan subsidi gula sebanyak 20 sen sekilogram mulai 29 September
2012. Kerajaan menyeru kepada para peniaga bahawa janganlah membebankan
saudara se-Malaysia dengan kenaikan harga. Sebaliknya kurangkanlah
kandungan gula.
139.
Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan masih lagi menanggung subsidi
gula sebanyak 34 sen satu kg yang melibatkan perbelanjaan sebanyak 278
juta ringgit. Malah pengurangan subsidi ini disokong oleh
persatuan-persatuan pengguna dan pengamal kesihatan.
140.
Selanjutnya, untuk menampung perbezaan harga dan kuota penggunaan
minyak masak yang semakin meningkat, Kerajaan akan menyediakan
peruntukan sebanyak 1.5 bilion ringgit bagi menstabilkan harga minyak
masak di pasaran.
Penyeragaman Harga
Tuan Yang di-Pertua,
141.
Secara umumnya, harga barangan keperluan di Sabah dan Sarawak adalah
lebih mahal berbanding di Semenanjung Malaysia disebabkan kos
penghantaran dan pengagihan yang lebih tinggi. Bagi memastikan kos dan
harga barangan dapat dikurangkan, Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai
inisiatif termasuk Program Penyeragaman Harga, pemberian subsidi
pengangkutan serta pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia. Untuk ini, Kerajaan
akan memperuntukkan sebanyak 386 juta ringgit bagi memastikan harga
barangan keperluan di Sabah dan Sarawak serta Labuan dijual pada harga
yang lebih rendah dan lebih seragam dengan membuka sebanyak 57 buah KR1M
dan menanggung kos penghantaran produk dari Semenanjung Malaysia ke
Sabah, Sarawak serta Labuan termasuk penghantaran ke kawasan pedalaman.
Sebagai contoh di Ba’kalalan, Sarawak, harga gas memasak 14 kg setong
dijual pada harga RM70. Dengan program penyeragaman harga, gas memasak
tersebut boleh dibeli hanya dengan RM26.60 setong.
142.
Sebagai tambahan, bagi meringankan beban rakyat yang berulang alik
menggunakan perkhidmatan feri dari Labuan ke Sabah dan Sarawak, Kerajaan
akan memberi diskaun tambang kepada semua penumpang sebanyak 50
peratus. Di samping itu, diskaun sebanyak 50 peratus turut diberi ke
atas tambang feri untuk kenderaan komersial yang mengangkut barang
keperluan asas dan binaan ke Labuan.
Mempermudah Ibadah Haji
143.
Sekali lagi kita memasuki musim panggilan Haji menuju Baitullah. Dalam
Bajet 2012, saya telah mengumumkan pencarum KWSP boleh membuat
pendaftaran awal menunaikan rukun ke 5 ini melalui penghadangan Akaun 2
sebanyak 1,300 ringgit. Alhamdulillah, setakat ini, seramai 51,528
pencarum telah menggunakan inisiatif ini. Sebagai langkah tambahan untuk
membantu bakal-bakal haji, saya ingin mengumumkan bahawa bakal-bakal
haji yang mencarum di KWSP, kini dibenarkan mengeluarkan simpanan dari
Akaun 2 mereka bagi menampung kekurangan kos tambang. Inisiatif ini
terhad kepada jemaah muassasah dengan maksimum pengeluaran sehingga 3
ribu ringgit.
Kajian Semula Cukai Pendapatan Individu dan Koperasi
144.
Kerajaan prihatin ke atas peningkatan kos sara hidup rakyat serta
tanggungan cukai pendapatan mereka. Kerajaan telah pun menyediakan
sebanyak 20 jenis pelepasan cukai individu dan 2 rebat cukai. Berikutan
pelepasan dan rebat cukai ini, hanya 1.7 juta orang sahaja yang perlu
membayar cukai berbanding keseluruhan guna tenaga iaitu seramai 12 juta
orang.
145.
Dalam proses peralihan daripada sistem cukai sedia ada yang berasaskan
pendapatan kepada sistem cukai yang lebih adil dan saksama, Kerajaan
mencadangkan kadar cukai pendapatan individu diturunkan 1 mata peratusan
bagi setiap kumpulan pendapatan bercukai tahunan melebihi 2,500 ringgit
sehingga 50 ribu ringgit. Langkah ini akan mengeluarkan seramai 170
ribu pembayar cukai daripada membayar cukai serta pembayar cukai
pendapatan sedia ada juga menikmati penjimatan bayaran cukai mereka.
Sebagai contoh, golongan profesional muda yang belum berkahwin dengan
pendapatan bulanan 5 ribu ringgit, akan menikmati penjimatan cukai
pendapatan sehingga 425 ringgit seorang.
146.
Pada masa yang sama, bagi terus memacu transformasi gerakan koperasi,
Kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan koperasi juga dikurangkan
antara 1 hingga 7 mata peratusan di semua kumpulan pendapatan bercukai.
Dengan ini, seramai 7 juta ahli koperasi akan menikmati manfaat sebagai
galakan untuk meningkatkan keupayaan keusahawanan dalam bidang
perniagaan.
Meringankan Beban Pengusaha Bas Sekolah
Tuan Yang di-Pertua,
147.
Kerajaan mengambil berat akan keselamatan anak-anak yang menaiki bas ke
sekolah dan pemandu-pemandu bas berikutan kualiti segelintir bas
sekolah yang kurang memuaskan. Keadaan ini disebabkan pengusaha bas
sekolah tidak dapat menampung beban kos penyelenggaraan yang semakin
meningkat sedangkan sebahagian besar bas yang dimiliki telah melebihi
jangka hayat ekonomi. Untuk itu, Kerajaan mencadangkan pengusaha bas
sekolah diberi pertamanya, pemberian rebat tunai 10 ribu ringgit dan
subsidi kadar faedah 2 peratus ke atas pinjaman penuh untuk menggantikan
bas sekolah lama berusia melebihi 25 tahun kepada bas baru yang
berkapasiti 12 hingga 18 tempat duduk. Skim pinjaman ini diuruskan oleh
BSN ditawarkan untuk tempoh permohonan 2 tahun bermula 1 Januari 2013.
148.
Keduanya, penyediaan Skim Perlindungan Insurans Kemalangan Diri, hilang
upaya kekal dan kematian kepada semua murid sekolah yang menggunakan
perkhidmatan bas sekolah berpermit. Usaha ini akan memanfaatkan seramai 2
juta pelajar dengan perlindungan maksimum sebanyak 100 ribu ringgit dan
kos premium sebanyak 40 juta ringgit untuk tempoh 2 tahun yang akan
diselia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat.
Mengurangkan Kos Pembelajaran Pelajar
149.
Kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan pelajar terutama mereka yang
datang daripada keluarga berpendapatan rendah. Kerajaan sentiasa
menyediakan peruntukan khusus kepada pelajar sekolah rendah dan menengah
yang merangkumi bantuan geran per kapita, bantuan makanan asrama,
Rancangan Makanan Tambahan, pembelian buku teks dan bantuan bayaran
tambahan persekolahan. Untuk ini, sebanyak 2.6 bilion ringgit
diperuntukkan pada tahun 2013.
150.
Pada pembentangan Bajet 2012, saya telah mengumumkan bantuan
persekolahan 100 ringgit kepada semua pelajar sekolah rendah dan
menengah. Bagi meringankan beban persekolahan keluarga berpendapatan
rendah dan sederhana, Kerajaan sekali lagi akan meneruskan pemberian
bantuan persekolahan 100 ringgit kepada pelajar sekolah rendah dan
menengah. Bantuan ini akan dibayar mulai Januari 2013 dan bermanfaat
kepada 5.4 juta pelajar melibatkan peruntukan sebanyak 540 juta ringgit.
151.
Kerajaan akan meneruskan program Baucar Buku 1Malaysia kepada setiap
pelajar IPT dan pra-universiti. Suka saya mengumumkan, bahawa nilai
baucar akan ditingkatkan daripada 200 ringgit kepada 250 ringgit.
Langkah ini melibatkan peruntukan 325 juta ringgit dan akan memanfaatkan
seramai 1.3 juta pelajar di seluruh negara.
152.
Kerajaan juga amat prihatin akan bebanan kos pendidikan tinggi
anak-anak. Bagi membantu meringankan tanggungan kewangan ibu bapa,
Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai sedia ada bagi pendidikan tinggi
anak-anak sebanyak 4,000 ringgit seorang sekarang ini, dinaikkan kepada
6,000 ringgit mulai tahun taksiran 2013. Langkah ini menunjukkan
komitmen dan tumpuan Kerajaan ke atas pelaburan bagi meningkatkan tahap
pendidikan generasi muda yang akan memberi manfaat kepada negara pada
masa hadapan.
153.
Bagi menggalakkan sikap menabung untuk pendidikan, sukacita juga saya
mengumumkan di sini bahawa pelepasan cukai yang telah pun diberi
sehingga 3,000 ringgit bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional dinaikkan
kepada 6,000 ringgit.
154.
Menurut hukum, hutang wajib dibayar. Pinjaman PTPTN satu amanah. Ia
adalah satu keistimewaan, bukan satu hak. Jika hutang PTPTN tidak
dibayar, ia akan menafikan hak-hak pelajar masa depan. Oleh itu, bagi
memudahkan proses pembayaran balik, Kerajaan akan memperkenalkan
beberapa insentif. Pertama, bagi peminjam yang menyelesaikan hutang
sekali gus dalam tempoh setahun selepas pengumuman ini, bermula 1
Oktober 2012 hingga 30 September 2013, diskaun 20 peratus akan diberikan
ke atas jumlah pinjaman mereka.
155.
Manakala, bagi mereka yang membayar pinjaman secara konsisten mengikut
jadual mulai 1 Oktober 2012, diskaun 10 peratus setahun akan diberikan.
Kita tahu Tuan Yang di-Pertua, ada pihak yang mencadangkan supaya hutang
keseluruhan hutang PTPTN dimansuhkan. Ini adalah satu perbuatan yang
amat tidak bertanggungjawab kerana jika dimansuhkan, siapa yang akan
menanggung lebih 30 bilion ringgit hutang PTPTN. Bukankah yang akan
terbeban adalah rakyat Malaysia? Bertanggungjawabkah jika kita yang
berhutang masyarakat yang menanggung. Itulah persoalannya.
Program Jalur Lebar untuk Rakyat Termiskin di Bandar
Tuan Yang di-Pertua,
156.
Kerajaan akan menubuhkan 100 Pusat Internet 1Malaysia bagi Tahun 2013
hingga 2015 di dalam bandar seperti di kawasan perumahan rakyat. Pusat
ini dilengkapi dengan kemudahan komputer dan perkhidmatan jalur lebar
bagi kegunaan harian dan meningkatkan kegiatan sosioekonomi mereka.
Untuk itu, SKMM akan menyediakan peruntukan sebanyak 150 juta ringgit.
Menggalakkan Aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR)
Tuan Yang di-Pertua,
157.
Kerajaan berharap pihak swasta, badan korporat serta syarikat berkaitan
Kerajaan dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan dan
kesejahteraan rakyat melalui Tanggungjawab Sosial Korporat atau
‘Corporate Social Responsibility’. Bagi menyokong usaha Kerajaan untuk
merancakkan aktiviti CSR, program yang akan dilaksanakan oleh GLC dan
agensi termasuklah:
Pertama:
Felda akan melaksana dan menyiapkan projek perumahan generasi baru
sebanyak 20,000 unit untuk tempoh lima tahun di atas 5,000 ekar tanah
dalam kawasan Felda. Projek ini akan menelan belanja sebanyak 1.5
billion ringgit dalam tempoh tersebut. Di samping itu, Felda telah
memperuntukkan sebanyak 60 juta ringgit bagi membaiki rumah-rumah
kampung tradisi di sekitar rancangan. Felda juga akan berbelanja
sebanyak 100 juta ringgit setahun untuk program pendidikan dan latihan
kemahiran serta biasiswa kepada 5000 anak generasi baru, 30 peratus atau
2,000 orang dari jumlah ini adalah terdiri dari anak-anak dari luar
Felda;
Kedua:
Yayasan 1MDB akan menyediakan 300 juta ringgit bagi pemberian geran
pendidikan, bantuan kewangan, pembinaan rumah arau untuk pelajar
pra-sekolah di pedalaman Sarawak, Klinik Bergerak 1Malaysia dan program
membaiki rumah bagi golongan miskin dan daif; dan
Ketiga:
Syarikat-syarikat GLIC dan GLC akan memperuntukkan hampir 500 juta
ringgit untuk menjalankan CSR dalam bidang pembangunan komuniti,
biasiswa, pendidikan, sukan dan alam persekitaran.
Tuan Yang di-Pertua,
158.
Sebaik manapun dasar yang telah digubal pihak Kerajaan tidak akan
bermakna tanpa pelaksanaan yang cekap serta berkesan. Kerajaan
mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam negara yang
merupakan jentera pelaksanaan dasar negara sama ada yang berada di
peringkat daerah, pihak berkuasa tempatan, negeri mahupun pusat.
159.
Kerajaan juga ingin mengambil peluang ini untuk mengiktiraf peranan
yang dimainkan Kementerian Kewangan sebagai pelaksana dasar fiskal
negara, Bank Negara Malaysia yang bertanggungjawab terhadap dasar
monetari negara dan Suruhanjaya Sekuriti yang mengawal keutuhan pasaran
modal kebangsaan.
160.
Makanya, sebagai Kerajaan yang mengenang budi, suka saya mengumumkan
pemberian bonus sebanyak satu setengah bulan gaji. Seperti kita tahu,
dari jumlah ini, setengah bulan telahpun diberikan menjelang perayaan
Aidilfitri yang lepas, sejumlah setengah bulan gaji lagi akan diberikan
pada bulan Disember kelak manakala setengah bulan lagi akan diberikan
pada bulan Januari nanti. Diharapkan pemberian bonus ini akan
mengurangkan beban para penjawat awam terutamanya yang berkeluarga
sempena musim awal persekolahan.
PENUTUP
Tuan Yang di-Pertua,
161.
Bajet yang baru saya bentangkan untuk tahun 2013 ini adalah bajet
terakhir sebelum pilihanraya umum ke-13. Ia merupakan antara siri-siri
bajet yang akan mendorong negara tercinta ke arah pencapaian wawasan
nasional.
162.
Dengan izin Allah SWT dan dengan sokongan serta dukungan rakyat
Malaysia, InsyaAllah kita akan menyaksikan enam lagi bajet yang akan
dibentangkan oleh Kerajaan Barisan Nasional sebelum Malaysia berubah
status daripada sebuah negara membangun berpendapatan sederhana tinggi
menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi.
163.
Sebagai parti yang telah dimandatkan, kami menyeru agar rakyat menilai
secara kritikal dan rasional akan titipan rekod kejayaan yang dimiliki
oleh Barisan Nasional. Kerajaan BN dan sebelum itu perikatan telah
selama 55 tahun mencipta kehidupan yang lebih baik untuk rakyat
Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua,
164.
Kita tahu ada pihak yang menyeru supaya mereka diberi peluang untuk
membentuk kerajaan. Secara berlapang dada, dalam sebuah negara yang
demokratik, kita faham tidak salah menawarkan diri, kerana mereka juga
ada hak namun pada akhirnya, rakyatlah yang akan menentukan siapa akan
mendapat mandat melalui peti undi.
165.
Kini, masanya hampir tiba apabila rakyat Malaysia akan membuat pilihan
bagi menentukan masa depan mereka dan anak-anak mereka. Persoalan yang
perlu ditanya semasa membuat keputusan ialah, sama ada kehidupan mereka
hari ini lebih baik berbanding semalam dan adakah hari esok menjanjikan
harapan yang sarat dengan peluang serta potensi. Jika jawapannya ya,
maka tanpa ragu-ragu berilah mandat kepada kerajaan yang ada untuk
meneruskan dan menambahbaik apa yang ada.
Tuan Yang di-Pertua,
166.
Pujangga bermadah, bumi mana tak ditimpa hujan, gading mana yang tidak
retak. Kita akur, Kerajaan BN tidak bebas dari kekhilafan tetapi yang
membezakan kami dan mereka ialah mereka tidak mempunyai ketawadu’an
untuk mengakui kesilapan sebaliknya mencipta alasan demi alasan dengan
penuh gempita menyalahkan orang lain.
Tuan Yang di-Pertua,
167.
Pucuk pangkalnya, pihak yang menawarkan alternatif ini juga perlu
dinilai catatan rekod mereka. Kerana mereka bukannya tidak dikenali
rakyat Malaysia. Malah, ada di kalangan mereka pernah diamanahkan
sebagai kepimpinan tertinggi yang mengurus khazanah negara. Tidak cukup
dengan itu, hari ini di beberapa negeri mereka juga mengepalai Kerajaan.
168.
Kalau hari ini mereka menjanji itu dan ini, rakyat Malaysia harus
bertanya, apabila pemimpin berkenaan, ketika masih berjawatan dulu,
kenapa tidak melaksanakan apa yang dikokokkan. Hakikatnya, jika ketika
berpeluang, tidak melaksanakan segala yang dijanji, apatah pula jaminan
mereka akan melunaskannya jika diberi kuasa sekarang.
Tuan Yang di-Pertua,
169.
Bukankah apabila berhadapan dengan krisis kewangan Asia, hampir ranap
negara ini dibuatnya? Jika kini, di negeri-negeri yang ditadbir mereka,
apa yang terkandung dalam manifesto mereka sendiri pun masih tinggal
janji, mana mungkin mereka boleh dipercayai dengan amanah dan kuasa.
170.
Ini berbeza dengan kerajaan BN. Apabila berjanji, ditepati. Bahkan
sebelum berjanji pun lagi, kita bersikap bertanggungjawab, dengan
menentukan sama ada janji itu boleh ditunaikan atau tidak. Bukannya
mengambil sikap asal menang, segalanya-galanya sanggup dipertaruhkan.
Sebaliknya bila menang, janji hilang entah ke mana.
Tuan Yang di-Pertua,
171.
Kata Plato “The measure of a man is what he does with power”. Justeru,
hari ini, kita dapati, untuk berkuasa, ada sesetengah pihak sanggup
mengadu domba antara agama dan bangsa, sanggup menggadai segala-galanya
hatta prinsip sekalipun demi kerakusan kuasa. Kerajaan BN, dibimbing
prinsip “fastabiqul khairat” sepertimana terkandung di dalam ayat
al-Quran yang saya baca pada awal ucapan tadi, iaitu berlumba-lumba
melakukan kebaikan. Sedangkan pegangan puak sana tampaknya “fastabiqul
fasad”, iaitu berlumba-lumba membuat onar kerosakan.
172.
Kalau kita lihat lagi, hakikatnya Kerajaan BN adalah perintis kepada
perpaduan kaum yang menjadi teras kestabilan nasional tetapi pihak lain
yang ingin menjadi Kerajaan merintis kekuatan melalui konflik dan
kebencian. Kerajaan difitnah dan dituduh semahunya.
173.
Maka, saya menyeru rakyat Malaysia supaya menghakimi Kerajaan BN dengan
amal perbuatan bukannya retorik. Marilah bersama-sama saya dan
rakan-rakan untuk kita melepas bebaskan segala potensi yang ada bagi
membina sebuah negara yang boleh kita banggakan. Sebuah negara yang mana
yang susah dibantu, yang lemah dilindungi, yang berada membantu, yang
kuat melindungi, yang muda kasihi, yang tua dihargai, yang memerlukan
dikhidmati dan yang berbakat digilap.
174.
Sesungguhnya, kita mahukan Malaysia yang tersanjung di persada
antarabangsa. Malaysia yang makmur dan aman. Malaysia yang menjadi
cahaya dan oasis di tengah-tengah ketidaktentuan global. Mudah-mudahan
dengan izin-Nya dan sokongan padu rakyat, kita bakal membina sebuah
realiti dari impian. Kepada Allah kita berserah.
Tuan Yang di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan.