Wednesday 17 October 2012

[Laporan Ketua Audit Negara] Defisit KDNK 2011 catat penurunan RM42.51 bilion


Defisit Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menurun kepada 4.82 peratus atau RM42.51 bilion tahun lalu, berbanding 5.64 peratus tahun sebelumnya.

Pinjaman tampung defisit
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2011, bagi menampung defisit itu, Kerajaan Persekutuan meminjam dari dalam dan luar negara serta bantuan luar.

“Selain membiayai perbelanjaan pembangunan, pinjaman juga digunakan untuk membayar balik hutang,” menurut laporan itu.

Pinjaman dalam negeri terdiri daripada Bil Perbendaharaan, Terbitan Pelaburan Kerajaan, Sekuriti Kerajaan Malaysia, Sukuk dan pinjaman lain daripada institusi kewangan, manakala pinjaman dan bantuan luar adalah daripada pinjaman pasaran, multi lateral dan bilateral.

Perbelanjaan mengurus meningkat

Walaupun hasil meningkat ketara, perbelanjaan mengurus yang dibiayai sepenuhnya daripada hasil Kerajaan Persekutuan meningkat daripada RM151.63 bilion pada 2010 kepada RM182.59 bilion pada tahun lalu.
RM2.83 bilion lebihan hasil dipindahkan

Justeru, tahun lepas hanya RM2.83 bilion lebihan hasil dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembangunan berbanding RM8.02 bilion pada 2010.

Pada tahun lalu, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan menunjukkan peningkatan RM25.77 bilion dengan jumlah keseluruhan kutipan RM185.42 bilion berbanding 2010, sebanyak RM159.65 bilion.

Kerajaan membuat pelbagai bayaran balik pinjaman berjumlah RM65.35 bilion, berbanding RM31.83 bilion pada 2010. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment