Friday, 21 September 2012

Tidak gentar melawan musuh Islam dan yang menghina Rasulullah, Nabi Mohammad SAW.

Saya dan rakan-rakan EXCO Pergerakan Puteri UMNO Malaysia dan barisan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri, Bahagian dan ahli-ahli Puteri UMNO yang hadir berkesempatan meluangkan masa bersama-sama Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Rosnah Rashid Shirlin di Perhimpunan Aman Bantahan ke atas Innocence of Muslims, filem yang diterbitkan di dalam bentuk youtube yang membangkitkan kemarahan umat Islam dunia.

Youtube yang membangkitkan kemarahan umat Islam seluruh dunia, bukan sahaja berkisarkan berkaitan penghinaan ke atas Nabi Mohammad SAW, malah ianya turut menghina agama Islam.

Keangkuhan penerbit filem yang menerbitkan filem dengan kos yang sedikit ini bukan sahaja menimbulkan kemarahan umat Islam dunia, malah artis yang terlibat menjayakan filem tersebut berasa tertipu dan dipergunakan.

Berikut di atas merupakan mukadimah ringkas terhadap punca yang berlaku. Mari teruskan membaca..

Di kesempatan ini juga, saya berasa terpanggil dan dukacita kenyataan twitter yang dibuat oleh Ngeh Koo Ham yang memperlekehkan usaha umat Islam di negara ini bersatu padu dalam sama-sama menunjukkan bantahan ke atas 'Innocence of Muslims'.

Negara hari ini telah bersatu padu dengan melupakan sejenak perselisihan faham politik antara UMNO dan PAS. Kami ahli UMNO dan PAS serta pertubuhan NGO yang lain sama-sama berganding bahu di bawah langit Allah, bahawasanya, umat Islam di bumi Malaysia ini mampu berganding bahu dan bersatu padu agar agama dan nabi kami tidak diperlekehkan.

Saya turut bersetuju dengan tindakan dan desakan yang dilakukan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, YB Tn Hj Khairy Jamaluddin Abu Bakar di atas kelantangan beliau dalam menangani isu bantahan ini. 

Malah saya turut bersetuju agar, PAS keluar dari Pakatan Rakyat dan membina hala tuju sendiri bagi memastikan perjuangan Islam selama ini dapat dilaksanakan dengan acuan sendiri tanpa di kawal oleh alat kawalan jauh dari DAP terutamanya Karpal Singh mahupun Lim Kit Siang atau pun Lim Guan Eng. Sehingga mereka membenarkan EXCO mereka menyindir usaha yang dilakukan oleh perjuangan Islam seperti Tn Hj Khairy Jamaluddin dan Pemuda PAS serta pertubuhan NGO Islam yang lain.

PAS perlu keluar dari Pakatan Rakyat bagi membentuk halatuju baru di dalam mempertahan Islam. Jika selama-lamanya bersekongkol dengan DAPig, selama itu jiwa PAS akan terus merana dan sengsara.

Kita ikuti laporan yang dipetik dalam akhbar Sinar Harian di bawah :

 Jangan hina Nabi Junjungan kami, Nabi Mohammad SAW, dan jangan mencabar maruah agama Islam yang kami anuti..

Turut bersama di dalam Himpunan Aman Bantah 'Innocence of Muslims', Datuk Rosnah Rashid Shirlin.

Turut bersama-sama rakan-rakan EXCO Pergerakan Puteri UMNO Malaysia dan Ketua Pergerakan Puteri Negeri-Negeri di Himpunan Aman Bantah 'Innocence of Muslims'

          
KUALA LUMPUR - Pemuda Umno mendesak Pas keluar dari gabungan pembangkang, Pakatan Rakyat (PR) berikutan tindakan salah satu parti dalam perikatan tersebut yang disifatkan menghina agama Islam.
 
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, Pas gagal mendapat sokongan daripada sekutunya walaupun hanya dalam perkara asas iaitu agama.
 
"Saya amat amat kesal. Di mana pada satu keadaan agama kita dikecam, Nabi Muhammad dihina tetapi mereka (Pas) tidak mendapat sokongan daripada parti yang katanya rakan seperjuangan.
 
"Apa lagi nak tunggu? Bagi saya, itu adalah isyarat yang cukup jelas bahawa mereka (Pas) perlu tinggalkan parti pembangkang," tegas Khairy yang ditemui pemberita selepas selesai mengetuai perhimpunan aman yang mengecam filem dan karikatur yang menghina Islam di Kampung Baru, petang ini.
 
Menurutnya, jika perkara asas seperti agama ini parti DAP tidak menunjukkan rasa saling menghormati,sudah tiba masa bagi Pas untuk keluar dari PR.
 
"Ini perkara asas, bukan soal hudud atau soal yang sukar. Jadi, kalau DAP tidak dapat memahami atau menghormati tujuan kita berhimpun, saya rasa inilah masanya Pas keluar dari PR," katanya.
 
Tambahnya, "kita nak berhimpun bukan untuk ganggu orang, juga bukan untuk bertindak 
ganas."
 
"Ia untuk nyatakan bantahan terhadap penghinaan agama kita. Tetapi nampaknya DAP tak faham," katanya.
 
Sebelum ini, Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham menggemparkan negara dengan kenyataan yang dikeluarkan di laman Twitter miliknya yang dikatakan tidak menghormati agama Islam.
 
Paparan yang dibuat pada 17 September jam 1.43 tengah hari itu telah mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pemimpin parti Barisan Nasional (BN) dan pembangkang terutama Pas yang menyifatkan Koo Ham tidak sensitif terhadap perasaan orang Islam.
 
Di Ipoh sendiri, sehingga jam 3 petang tadi, empat laporan polis dibuat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak 18 september lalu.
 
Semalam, Koo Ham meminta maaf kepada umat Islam berhubung kenyataannya itu.

Sumber : Berita Harian


















Wednesday, 19 September 2012

Budaya kita mangsa globalisasi



Muzik video Gangnam Style oleh penyanyi rap Korea Selatan dikatakan mencapai lebih 130 juta tontonan di YouTube sejak dimuat naik pada 15 Julai lalu. Malah lagu itu dikatakan menjadi satu kejutan apabila berupaya menembusi pasaran dunia termasuk negara Barat yang selama ini menjadi tumpuan dalam segala bentuk budaya hiburan dunia.

Selama ini kita percaya bahawa budaya Barat adalah segala-galanya dalam hidup kita walaupun dalam banyak keadaan ada yang marah dan membencinya. Budaya Barat sering dilabelkan sebagai mengancam budaya murni dan merosakkan nilai tradisional dalam kehidupan. Apabila media melalui proses globalisasi dan langit terbuka, budaya Barat sering dipersalahkan dalam apa juga permasalahan. 

Malah apa saja yang datang dari Barat dianggap budaya hedonisme yang merosakkan akidah. Malangnya seperti kata seorang penganalisis, marah macam mana pun kita kepada Barat, tarikan masih sentiasa kepada budaya, universiti, wayang, makanan, pakaian dan teknologi mereka. 

Ini amat benar kerana kita cepat saja menerima sesuatu apabila mendapat pujian dan pengiktirafan daripada Barat. Sebahagian besar negara di dunia, terutama negara Islam dan dunia ketiga, mengiktiraf apa juga yang datang dari Barat dan sekutunya sebagai kebanggaan dan pengiktirafan terhadap apa yang dilakukan.

Sanjung nilai Barat

Lihat saja apabila umat Islam dibuli dan dipandang serong Barat, kita akan marah tetapi pada masa sama kita tetap menganggap ia sebagai rujukan utama. Nilai budaya, ilmu, hiburan, makanan dan teknologinya dipandang tinggi, dibanggakan dan menjadi satu cara hidup walau pun kita tahu sesetengahnya boleh dipertikaikan.

Kita tahu dan sedar bahawa sesetengah ilmu dan teknologi terdapat di negara lain yang kurang kita terokai. Malah negara yang disisihkan dan dikatakan terasing daripada pembangunan ekonomi dalam konteks Barat, mempunyai institusi ilmu yang cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk penghasilan vaksin untuk faedah umat manusia seluruhnya.

Penjajahan bentuk baru yang amat kuat menguasai minda dan persepsi kita terhadap budaya ini payah ditembusi kerana ia ditanam amat kukuh. Sebarang cubaan yang berpandangan sebaliknya dianggap sebagai anti kemajuan dan pembangunan serta tidak realistik. Dalam banyak hal, apa yang dikatakan hebat dan baik oleh Barat dianggap sebagai kayu ukur dalam menentukan kedudukan kebanyakan institusi kita walau pun sebahagiannya mengancam jati diri dan kelangsungan geopolitik sesuatu negara.

Gangnam Style, satu citra baru dari satu daerah di Korea Selatan mengajar bahawa jika caranya betul, persepsi itu mampu berubah bukan saja dalam seni dan budaya tetapi juga aspek lain. Tentunya bukan daripada aspek moral ada pandangan mengatakan Gangnam Style satu lagi budaya hampas yang berasaskan pergerakan kuda yang boleh merosakkan ummah.

Cari kekuatan seni budaya


Namun, jika kita kurangkan bertelingkah dalam hal remeh temeh dan hanya mencari salah dan kekurangan, kita mempunyai banyak masa untuk bermuhasabah diri dan mencari kekuatan dalam seni budaya serta akar umbi ilmu dan tamadun yang sudah lama berada di kalangan kita.

Pelbagai kearifan tempatan yang ada perlu diteliti semula bagi mendorong kreativiti dan penambahbaikan untuk disesuaikan dengan nilai masa hadapan. Banyak yang boleh kita ketengahkan untuk dikongsi dengan dunia. Bahasa dan budaya bukanlah halangan.

Raihan misalnya pernah menjadi satu fenomena dalam mengetengahkan nasyid sebagai satu budaya alternatif bukan saja di kalangan orang Melayu dan umat Islam tetapi juga masyarakat keseluruhannya. Ia berlaku dengan cemerlang dan beberapa ikon lain turut menyumbang ke arah pembentukan fenomena baru.

Kebijaksanaan inilah yang harus dijadikan cabaran dalam mengetengahkan kekuatan dan kearifan dimiliki dalam kepelbagaian dunia. Globalisasi termasuk media sosial dan YouTube membuka laluan dan peluang yang sangat besar dan berguna untuk dimanfaatkan kita.

Ketengah ilmu, budaya tempatan


Sama ada untuk mengetengahkan dalam konteks agama dan moral mahu pun keilmuan lain-lainnya, ia harus dilakukan sebaik mungkin. Selagi kita tidak berupaya membina persepsi dan model baru dalam pelbagai perkara, selama itulah kita hanya akan marah dan menuding jadi menyalahkan semua orang kecuali diri sendiri. 

Gangnam Style barangkali bukan contoh terbaik tetapi ia menunjukkan bagaimana globalisasi budaya boleh berlaku dengan pantas dan menembusi dunia tanpa sempadan. Mampukah kita memanfaatkan dan menghadapinya atau kita hanya mampu menjadi pemerhati walaupun kita mempunyai kekuatan jika bersungguh-sungguh untuk melakukannya?

Masalahnya bukanlah Barat atau Timur tetapi nilai yang boleh mengancam tamadun ummah yang perlu dihadapi bukan dengan membenci tetapi kebijaksanaan.


Mesyuarat Khas Lawatan YAB PM ke NS - 'Jelajah Janji Ditepati'


Mesyuarat bagi menyambut kehadiran YAB PM ke Negeri Sembilan


Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abd Razak akan hadir ke Negeri Sembilan dalam siri Jelajah Merdeka Ditepati pada 29 September 2012, sehari selepas pembentangan bajet 2013.

Beberapa program akan dirangka bagi membolehkan rakyat Negeri Sembilan beramah mesra dengan pemimpin tertinggi negara termasuklah bersarapan pagi bersama penduduk di kawasan yang terpilih.

Perdana Menteri juga akan hadir  untuk pengundian plot tanah sekolah antara Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Sekolah Jenis China dalam program pelancaran Bandar Baru Sendayan.

Dasar 1 Malaysia

Pelbagai dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk mensejahterakan rakyat. Dasar-dasar ini diwujudkan bukan semata-mata untuk pilihanraya, tetapi ianya untuk rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Amat merbahaya kepada rakyat jika menyokong kepada pemimpin yang terdesak. Generasi muda hari ini jangan menggadaikan maruah dan negara hanya kerana janji-janji yang belum pasti.

Sumber : N9kini

p/s : Semoga persiapan menyambut PM pada 29 September 2012 berjalan mengikut seperti yang diperbincagkan. Terima kasih semua.



Ikhlas,

Wan Salwati Hj Abdullah

Protes video anti Islam makin ganas


Muslim Thailand mendatangi kedubes AS untuk protes film anti-Islam

Kaherah: Bantahan terhadap video hina Islam semakin ganas selepas 12 orang, lapan daripadanya orang asing terbunuh dalam serangan bunuh diri di Kabul, Afghanistan, semalam. 

Selain itu, beberapa lagi menjadi korban dalam protes di Pakistan dan Kashmir manakala beratus-ratus orang lagi mengadakan tunjuk perasaan di Indonesia dan Thailand. 

Sementara itu, Liga Islam Sedunia mengutuk sekeras-kerasnya filem anti-Islam dan menggesa umat Islam mengelak menggunakan keganasan menanganinya. 
Setiausaha Agung liga itu, Profesor Dr Abdullah Al-Turky, berkata filem sedemikian tidak seharusnya dibuat atas nama kebebasan bersuara kerana menjejaskan keharmonian sejagat. 

Di KABUL, seorang penyerang bunuh diri wanita memandu kereta penuh bahan letupan merempuh sebuah bas mini membawa pekerja penerbangan Afrika Selatan ke lapangan terbang. 

Balas dendam 

Gambar hiasan

Pergerakan Hizb-i-Islami yang mendakwa bertanggungjawab menyatakan ia sebagai membalas dendam terhadap penyiaran filem Innocence of Muslims yang dihasilkan seorang warga Amerika Syarikat keturunan Mesir. 

Terbaru, pergerakan al-Qaeda di Afrika Utara pula menggesa serangan dilakukan terhadap diplomat Amerika selain memperhebat protes yang sudah meletus di Asia Barat dan Asia Tenggara. 

Dalam kenyataannya, pergerakan al-Qaeda di Rantau Islam memuji pembunuhan duta Amerika ke Libya, Chris Stevens, dalam serangan di konsulat Amerika di Benghazi pada 11 September. 

Ia mengutuk Amerika kerana menipu orang Islam lebih 10 tahun lalu dengan memberi alasan kempen perangnya adalah terhadap keganasan dan bukan Islam. Ia juga mengancam mahu melancarkan serangan di Algeria, Tunisia, Maghribi dan Mauritania. 

Bertempur dengan polis 

protes terhadap filem anti-Islamdi luar Kedutaan AS di Sanaa, Yemen.

Di PAKISTAN, beratus-ratus penunjuk perasaan merempuh hadangan di luar konsulat Amerika di bandar Peshawar yang mencetuskan pertempuran dengan polis menyebabkan beberapa orang cedera, kata pegawai polis, Arif Khan. 

Penunjuk perasaan membaling batu bata dan ketulan kain dibakar ke arah polis yang melepaskan gas pemedih mata serta peluru getah selain menyerbu mereka dengan cotar. 

Protes itu ditaja kumpulan pemuda Jamaat-e-Islami. 

Di bandar Srinagar, Kashmir, mogok menyebabkan tempat perniagaan ditutup dengan penunjuk perasaan membakar bendera Amerika dan patung Presiden Barack Obama. 

Apabila mereka cuba masuk ke kawasan perniagaan utama, polis melepaskan gas pemedih mata dan menyuraikan mereka, kata seorang pegawai. Ada juga penunjuk perasaan membaling batu ke arah anggota keselamatan. 

Bakar bendera Amerika 

Di INDONESIA, kira-kira 200 anggota beberapa pertubuhan Islam membakar bendera Amerika dan tayar di luar konsular Amerika di bandar ketiga terbesar, Medan. 

Ada yang menunjukkan sepanduk berbunyi Berambus Amerika, manakala orang lain memijak bendera kertas. 

Di MAKASSAR, 100 pelajar Islam menggesa produser filem itu, Nakoula Basseley Nakoula dihukum mati. 


Tuesday, 18 September 2012

Sokong Haramkan 'Innocence of Muslims'

 Tiada lagi akses untuk filem hina Rasulullah di internet
 
KUALA LUMPUR: Filem anti-Islam 'Innocence Of Muslims' yang menghina Nabi Muhammad S.A.W dan agama Islam, didapati tidak lagi boleh diakses melalui saluran YouTube selepas kerajaan bertindak menyekat penyiarannya.

Cubaan Bernama hari ini untuk mengakses kandungan filem itu gagal, menjurus kepada pengamatan bahawa pengguna Internet di negara ini telah dihalang daripada mengakses filem kontroversi itu. Hanya maklumat pemberitahuan meminta maaf tertera pada skrin yang berbunyi: 

"This content is not available in your country due to a legal complaint. Sorry about that" (Kandungan ini tidak boleh ditonton di negara anda berikutan aduan secara perundangan. Maaf mengenai perkara itu).
 
Filem arahan Sam Bacile, 52, dari California, yang disiar dalam laman YouTube mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Dua hari lepas, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, Malaysia akan menyekat penyiaran filem itu yang jelas menghina agama Islam.

Rais dipetik sebagai berkata, beliau meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk berunding terus dengan pihak berkuasa lain supaya tidak membenarkan akses kepada paparan itu sama ada melalui YouTube atau saluran lain. - BERNAMA 

Sumber : Berita Harian

Isu filem hina Islam : Umat Islam diminta solat hajat


Umat Islam di negara ini disaran menunaikan solat hajat, membaca Yasin dan berzikir pada Khamis ini di semua masjid dan surau bagi memohon kesejahteraan umat Islam di seluruh dunia berikutan penerbitan filem ‘Innocence of Muslims’

Sehubungan itu, Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM) dan Majlis Gerakan Badan Bukan Kerajaan Islam Asean meminta Masjid Negara supaya dapat mengetuai bacaan Yasin, Zikir dan solat hajat disusuli khutbah khas mengenai isu serangan dan propanganda jahat pihak tidak bertangungjawab terhadap Islam.

“Sebagai umat Islam, kita seharusnya menunjukan kekuatan dan perpaduan kita dalam menghadapi isu ini bersama iaitu melalui doa yang disifatkan sebagai ‘senjata mukmin’,” kata IKIAM dalam kenyataan di sini, hari ini

Filem itu yang disiar dalam laman Youtube pada 11 Sept lepas mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia kerana ia menghina Islam khususnya Nabi Muhammad SAW

Filem itu turut dikutuk Gereja Kristian Ortodoks Koptik sebagai “sebuah filem yang bersifat menghasut” manakala Majlis Gereja-gereja Sedunia berkata filem itu “satu penghinaan kepada agama Islam” – Bernama

Google Malaysia sekat filem hina Islam

Google Malaysia menyekat akses laman YouTube klip video kontroversi ‘Innocence of Muslims’ sebagai respons kepada aduan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)

Sesiapa yang cuba melayari video itu dari alamat penyedia Internet Malaysia (IP) akan menerima mesej yang berbunyi:’Kandungan video ini tidak didapati di negara anda kerana aduan undang-undang. Maaf mengenai perkara ini’

Pegawai Komunikasi dan Perhubungan Awam Google Malaysia, Zeffri Yusof mengesahkan video tersebut telah disekat di Malaysia.

“Di mana kami telah melancarkan laman Youtube tempatan dan kami diberitahu bahawa sebuah video adalah haram di negara ini, kami akan menyekat akses kepada video tersebut selepas pemeriksaan teliti,” katanya pada Isnin.

Video tersebut turut disekat di beberapa negara termasuk Indonesia, India dan Mesir

MCMC telah menfailkan aduan rasmi kepada Google pada Sabtu berhubung video tersebut

Sumber : Encik Nakal


Pelakon filem hina Islam (Anna Gurji) diperdayakan oleh pengarah


Pelakon wanita,filem yang mencetuskan amarah masyarakat Islam dunia,merasa dikecam dan tidak selamat selepas protes dan pembunuhan berlaku berikutan tersiarnya klip video Innocence of Muslims di YouTube sejak seminggu lalu

Anna Gurji, 21, mendakwa melakonkan watak isteri muda kepada seorang lelaki bernama George, tetapi pengarahnya Nakoula Basseley atau dikenali sebagai Sam Bacile, bertindak menukarnya kepada Muhammad

“Saya tidak tahu George ditukar kepada Muhammad. Kini saya hanya berkurung di rumah. Saya bimbang masyarakat dunia memusuhi saya kerana filem itu

“Saya penganut Kristian Katolik, jadi mereka terfikir saya juga menentang Islam.Saya berasa dikhianati Bacile. Saya telah dikenali seluruh dunia dan jujur saya akui berasa malu apabila menonton watak itu,” katanya kepadaThe Mail Online

Gurji berkata, selain beliau barisan pelakon filem itu turut diperbodohkan Bacile yang kononnya tajuk filem berkenaan adalah Desert Warrior atau Innocence of Bin Laden selain langsung tidak berkaitan dengan isu keagamaan

Gurji bersama Bacile semasa proses rakaman filem itu-Foto DM

“Saya diberi watak sebagai Hilary. Menurut Bacile, filem itu mengisahkan sebuah komet jatuh di kawasan Timur Tengah, dan perebutan komet berlaku sehingga cetus peperangan untuk merebutnya

“Filem itu sepatutnya mempunyai banyak kesan khas kerana kami berlakon di hadapan layar hijau. Kos penggambaran rendah, saya hanya dibayar $75 (RM227.73) sehari

“Saya tidak tahu bagaimana Bacile boleh menukar jalan cerita itu. Mungkin saya bodoh tetapi tiada sesiapa menceritakan hal sebenar

Tiada seorang pun daripada barisan pelakon terfikir filem ini mempunyai agenda rahsia,” katanya mengakui filem itu dirakamkan di California

Sumber : Encik Nakal




Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaludin berkata, pergerakan itu yang kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menerbitkan filem antiIslam ‘Innocence Of Muslims’, bercadang mengadakan bantahan besar-besaran Jumaat depan.

Beliau berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab yang menghina Nabi Muhammad S.A.W dan agama Islam tidak boleh dipandang remeh dan perlu ditentang demi mempertahankan maruah agama Islam sejagat.

Pemuda UMNO akan mengadakan bantahan secara besar-besaran pada Jumaat ini bagi menzahirkan rasa kesal terhadap penerbitan filem antiIslam itu, katanya dan menurutnya lokasi dan cara bantahan itu sedang dibincangkan dan dimaklumkan dalam waktu terdekat.

“Bantahan ini dibuat tanpa mengira fahaman politik dan diharap ia akan menjadi platform kepada umat Islam menyuarakan kepada dunia bahawa perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan tindakan menghina Islam dan Nabi Muhammad S.A.W tidak boleh dipandang remeh.

“Sehubungan dengan itu Pergerakan Pemuda juga mengalu-alukan Dewan Pemuda PAS untuk turut serta mengadakan bantahan, ini adalah masalah sejagat yang perlu ditangani segera,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Permatang Pauh di Dewan Mutiara, Politeknik Permatang Pauh.

Beliau mengulas mengenai filem antiIslam ‘Innocence Of Muslims’ yang menghina Nabi Muhammad S.A.W dan agama Islam, arahan Sam Bacile, 52, dari California yang disiarkan dalam laman YouTube, yang mencetuskan kemarahan orang Islam di seluruh dunia. – BERNAMA

Sumber : Politik N9


Penerbit filem menghina Islam yang mencetuskan bantahan di seluruh dunia Arab dan beberapa negara Islam lain berkata, beliau tidak menyesal menghasilkan filem itu


Bantahan terhadap filem hina Islam di Indonesia

“Tidak, saya tidak menyesal. Saya sedih dengan pembunuhan duta tetapi saya tidak menyesal menghasilkannya,” kata Nakoula Basseley Nakoula, penganut Kristian Koptik Mesir, berusia 55 tahun yang menetap di California, memberitahu Radio Sawa yang berbahasa Arab

Beliau merujuk kepada pembunuhan duta Amerika Syarikat ke Libya, Chris Stevens dan tiga lagi pegawai lain dalam serangan ke atas konsulat Amerika di Benghazi yang dilaporkan dilancarkan penduduk tempatan yang marah dengan penghasilan filem Innocence of Muslims

“Saya yang membocorkan selingan selama 14 minit dan menyiarkannya di internet dan saya memikirkan untuk menerbitkan filem penuh. Tiada siapa dapat memanipulasi filem saya,” katanya

Ditanya jika beliau berasa bersalah dengan keganasan yang disasarkan ke atas warga Amerika, Nakoula berkata: “Ya! saya rasa bersalah. Amerika tiada kena mengena dengan subjek ini dan berdepan akibat filem yang tiada kena mengena dengan mereka”

Sumber : Encik Nakal


KL sekat filem hina Rasulullah

Malaysia menyekat penyiaran filem Innocence of Muslims yang menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia kerana menghina Nabi Muhammad SAW.


PENGHINA NABI DITAHAN…Penerbit filem Innocence of Muslims, Nakoula Basseley Nakoula, menyerah diri kepada pihak berkuasa di Los Angeles, semalam.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata beliau sudah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berunding dengan semua pihak berkuasa supaya tidak membenarkan akses kepada paparan itu sama ada melalui YouTube atau saluran lain.

YouTube tak peduli bantahan

Google menyekat klip video filem itu dalam YouTube di India, Libya dan Mesir, manakala Kerajaan Afghanistan menyekat sepenuhnya seluruh laman YouTube.

Rais berkata, adalah menjadi tanggungjawab YouTube untuk mengeluarkan filem itu daripada arkibnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, YouTube dilihat seolah-olah tidak peduli dengan kekecohan dan bantahan yang berlaku di negara-negara Islam ketika ini.

Video itu yang dimuat naik ke YouTube baru-baru ini, mencetuskan bantahan besar-besaran di negara Islam kerana memberikan gambaran negatif mengenai Islam.

Menyatakan langkah mengeluarkan video itu daripada YouTube tidak termasuk dalam keupayaan teknikal kami, Rais berkata SKMM bertanggungjawab daripada segi undang-undang mengambil langkah sesuai dan pencegahan untuk menyekat kandungan video itu daripada diakses di Malaysia.

Rais berkata, sekatan terhadap filem itu bertujuan memberi amaran kepada mana-mana pihak, sama ada di dalam atau luar negara bahawa kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana elemen negatif yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum.

Impak negatif

Kerajaan tidak mahu penyiaran filem itu mendatangkan impak negatif jangka panjang, katanya kepada pemberita di Bintulu, Sarawak, semalam.

SKMM pula memaklumkan sudah meminta kerjasama pihak luar negara agar kandungan filem itu tidak dapat diakses di Malaysia.

Pengerusinya, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi, berkata pihaknya sudah mengambil tindakan segera apabila filem itu mendapat kecaman dari seluruh umat Islam di dunia.

Kandungan filem itu di luar negara, jadi pihak luar sedang membantu kita… dari segi teknikal ia memerlukan masa, katanya kepada BERNAMA, malam tadi.

Dalam pada itu, penerbit filem Innocence of Muslims, Nakoula Basseley Nakoula, menyerah diri secara sukarela kepada pihak berkuasa di Los Angeles, semalam.

Ketika dibawa keluar dari rumahnya, Nakoula, 55, kelihatan menutup mukanya, selain memakai topi.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pembikinan filem berkenaan jelas berniat jahat untuk menimbulkan provokasi terhadap umat Islam supaya melakukan sesuatu tindak balas untuk memburukkan agama Islam.

Kita di KDN belum menerima permintaan untuk (kelulusan) menayangkan filem ini tetapi jelas kemarahan umat Islam membuak-buak, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Hulu Terengganu, semalam.

Di MEMBAKUT (Sabah), Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata pihak yang bertanggungjawab menghasilkan filem menghina Islam itu perlu melakukan sesuatu bagi membetulkan keadaan demi keamanan sejagat.

Dalam hal ini, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sudah mengeluarkan kenyataan mengutuk sekeras-kerasnya penerbitan filem itu.

Anifah yang juga Ahli Parlimen Kimanis, berkata penerbitan filem itu adalah antara contoh kebebasan bersuara yang kadang kala tidak membawa manfaat kepada rakyat.


Sumber : N9Kini.com

Monday, 17 September 2012

EKSKLUSIF : Dari BTN ke jenjang pelamin


KISAH bahagia pasangan Presiden Majlis Belia Negeri, Negeri Sembilan, Wan Salwati Abdullah, 38 bersama suaminya, pensyarah Institut Perguruan Raja Melewar (IPRM) Seremban, Ahmad Ridzwan Basri, 48 bermula di Kem Bina Negara, Biro Tata Negara (BTN) Ulu Sepri, Rembau.

Apa tidaknya, pandangan mata buat kali pertama semasa Wan Salwati yang pada ketika itu berkhidmat sebagai pembantu pegawai di BTN pada tahun 1994 membuka pagar untuk seorang fasilitator, Ahmad Ridzwan melapor diri bagi mengendalikan kursus di situ, telah membawa kepada bibit cinta awal.

”Semasa itu, saya panggil suami saya cikgu sebab dia fasilitator BTN di Ulu Sepri. Saya memang tidak kenal pun dan dalam diam rupanya, dia (Ahmad Ridzwan) ada hati dengan saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seremban Jaya, Seremban.

Wan Salwati yang merupakan Exco Pergerakan Puteri UMNO dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Seremban berkata, selepas peristiwa itu, kebetulan borang yang diisi suaminya semasa menjadi fasilitator di BTN itu tidak lengkap dan kesempatan itu diambilnya untuk menghubunginya di Serdang.

”Ketika itu, suami saya menyambung pelajarannya di Universiti Putra Malaysia (UPM). Bayangkan pada malam itu, saya boleh berbual dengannya dari pukul 12 malam sehinggalah ke azan subuh,” katanya tersenyum mengenangkan detik awal percintaannya itu.

Katanya, perbualan itu seperti ‘hikayat 1001 malam’ dan ketika itulah Wan Salwati memberanikan diri bertanya kepada suaminya, ‘sudah kahwin ke belum’.

”Dia (Ahmad) menjawab, Wan Salwati bila kamu hendak kahwin,” ujarnya yang juga Ahli Lembaga Pengarah Pemegang Amanah Yayasan Negeri Sembilan (YNS).

Selepas panggilan telefon itu, keesokan harinya Ahmad Ridzwan mengajak Wan Salwati untuk keluar dating ke Kuala Lumpur dan di situ segala latar belakang mereka berdua dikisahkan panjang lebar sebelum Ahmad Ridzwan menghantarnya pulang ke rumahnya di Seremban dan bertemu dengan ibu dan bapanya.

”Saya berkenalan dengan suami saya lebih kurang sebulan dan selepas itu dia masuk merisik dan kami bertunang pada 11 Disember 1994. Dia (Ahmad) telah bertemu dengan ibu dan ayah saya, membuatkan saya rasa senang dan lega,” katanya merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Belia 4B Malaysia.

Wan Salwati yang kini merupakan Pegawai Khas kepada Menteri Belia dan Sukan berkata, dia berkahwin dengan Ahmad Ridzwan pada 6 Januari 1996.

”Kalau sudah jodoh tak ke mana. Kadang kala kita berkenalan dengan orang lain begitu lama, tetapi tiada jodoh. Perkenalan singkat dengan suami saya ini, membawa kepada perkahwinan dan kami bahagia,” katanya.

Sepanjang tempoh perkahwinan ini, pelbagai cabaran dihadapi mereka dan pernah pasangan suami isteri ini berniaga di pasar malam Kuala Pilah, membuka taska dan tadika di Selangor, berniaga di bazar Ramadan serta menyewa rumah dengan harga RM150 sebulan yang cuma ada satu bilik untuk dikongsi dengan anak-anak yang masih kecil.

”Harga sebuah percintaan itu adalah satu pengorbanan. Susah senang, kami lalui bersama dan hari ini, saya dan suami menghormati antara satu sama lain termasuklah memahami tugas dan kerjaya saya. Terima kasih sayang.

”Saya memang dilahirkan dalam keluarga yang aktif dengan aktiviti sukarela dan masyarakat. Ayah saya, Abdullah Awang Embun, 64 merupakan Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Baling di Kedah, manakala semasa hayat ibu saya, Allahyarham Nohiati Abd. Rahman, beliau merupakan Timbalan Pengerusi Tetap Wanita UMNO Bahagian Seremban.

”Ramai yang bertanya, tak takut suami ke sebab asyik sibuk memanjang dan saya katakan, takut saya pada suami ialah dengan menghormatinya,” katanya.

Ahmad Ridzwan ketika ditemui berkata, dia memanggil isterinya ‘ayang’ kerana percaya wanita yang dikahwininya ini mampu memberikan kebahagiaan dunia dan akhirat.

”Dia (Wan) seorang yang peramah, pandai mendidik dan seorang yang berkarisma dalam kerjayanya. Dia seorang yang profesional dan mampu melakukan kerja yang diberikan dengan baik,” katanya.

Katanya, apabila dia berkenalan dengan isterinya, apa yang terdetik di hatinya ialah sudah sampai masa dia mendirikan rumah tangga dan Wan Salwati adalah pasangan hidupnya.

”Saya terus jumpa keluarganya dan alhamdulillah saya diterima dan kami terus mengikat pertunangan dan berkahwin. Harapan saya, semoga perkahwinan ini berkekalan dan menyerahkan segala urusan itu kepada Allah SWT,” katanya.

Pasangan itu kini mempunyai lima orang anak perempuan hasil perkahwinan selama 16 tahun dan mereka ialah Anis Amira Ahmad Ridzwan, 15; Adlin Amira, 13; Aza Syarlina Amira, 11; Ain Haryati Amira, 7 dan Alma Qaisara Amira, satu tahun 6 bulan.

”Saya adalah seorang pendidik, manakala isteri saya mempunyai tanggungjawab dengan masyarakat dan politik. Saya menghormati kerjayanya, begitu juga harapan saya agar isteri juga menghormati kerjaya yang saya lakukan ini.

”Kami saling memahami antara satu sama lain. Saya tidak mencampuri urusan kerja isteri saya, bagaimana pun saya menyokong apa yang dilakukan demi kebaikan keluarga, masyarakat dan agama,” ujarnya.

Sumber : Utusan Malaysia (Terima kasih kepada wartawan Ainol Amriz Ismail)