Tuesday, 13 March 2012

Fikir-Fikirkan....

“BENARKAH Mahasiswa Melayu gemar berpolitik?”

Bukan prejudis atau sinikal, namun kebangkitan ketara mahasiswa Melayu dalam gelanggang politik sejak kebelakangan ini sukar menepis andaian itu.   


 Pelbagai pihak pening melayan kerenah dan mencari jawapan paling konkrit mengapa golongan terbabit bertindak demikian meskipun banyak tolak ansur diberikan. Sukar mencari jawapan mengapa hanya mahasiswa Melayu lantang bersuara dan mahu menegakkan pendirian? Mengapa bukan mahasiswa bangsa lain?

Walaupun kurang menyenangkan, mahasiswa Melayu masih mendominasi tempat di institusi pengajian tinggi (IPT). Pembabitan dalam politik tidak terhad kepada bangsa, namun mahasiswa Melayu lebih menguasai keadaan bertitik tolak sejarah perjuangan terdahulu.

Justeru, mereka kelihatan lebih ‘garang’ dan terkehadapan dalam hal ini, apatah lagi jumlahnya ramai, mempunyai banyak kelebihan selain senario politik sendiri yang memerlukan sokongan mereka.

Penonjolan mahasiswa Melayu dalam politik menimbulkan reaksi berbeza dengan sebahagian besar beranggapan mereka masih mentah hingga dianggap mudah dipergunakan pihak yang mempunyai kepentingan.

Selain itu, pembabitan secara aktif atau keterlaluan dibimbangi mengganggu proses pengajian sedangkan bangsa lain bersikap ‘berdiam diri’ dan lebih menumpukan perhatian pada pelajaran.

Jika dilihat kepada sejarah lama banyak mempengaruhi jiwa dan perjalanan politik mahasiswa Melayu dan perlu diakui kerana budaya serta kekuatan golongan terbabit terbina atas dasar memperjuangkan kebenaran.
Kita menelusuri sejarah dulu, mahasiswa Melayu sinonim dengan perjuangan politik. Mereka ada paksi kukuh untuk menyalurkan perjuangan.

Justeru, apa yang berlaku kini hanyalah kerana mereka meneruskan kesinambungan perjuangan dan tradisi dulu. Bukankah masyarakat Melayu memang terkenal dengan perjuangan politiknya? Mahasiswa bukan Melayu pun terbabit dalam politik kampus, cuma bilangan mereka kecil berbanding pelajar Melayu.

Politik tidak terhad kepada satu bangsa dan politik bukan pentas membawa bencana selagi ia menggunakan saluran yang betul. Apa dikesalkan, ramai suka melabelkan politik sebagai pentas ‘menghancurkan’ mahasiswa Melayu sedangkan mereka tidak mengkaji kelebihannya. Ibarat seperti menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa.

Politik juga pentas untuk belajar, membina kemahiran diri dan sebagainya. Jadi kenapa politik sering kali digembar-gemburkan sebagai platform kotor.

Seharusnya mereka beri ruang kepada golongan ini untuk mempraktikkan ilmu masing-masing. Ini kerana
politik juga boleh diibaratkan sebagai karya seni yang mampu melahirkan insan patriotik selain peka pada kehendak semasa. Ramai melihat politik dengan gambaran mata kasar bagaimana mahasiswa bersuara lantang, saling memprovokasi sehingga melahirkan golongan kurang bermoral. Tapi adakah mereka sedar pentas itu juga berjaya melahirkan ramai pemimpin?

Mahasiswa bukan saja memerlukan suntikan akademik untuk berjaya, malah mekanisme lain sebagai sokongan. Cuma dalam hal ini (politik), mahasiswa Melayu lebih menguasainya. Mahasiswa Melayu memang memerlukan satu pendekatan baru untuk membantu mereka melihat perspektif persekitaran dalam konteks berbeza.

Selama ini, mereka disogokkan dengan pendidikan berasaskan akademik semata-mata sedangkan ilmu boleh datang dengan pelbagai cara. Dalam politik, mereka boleh merasai pelbagai situasi dan dimensi.

Bukankah ini satu pembelajaran yang baik, praktikal dan unik? Kita mahu lahirkan graduan serba boleh dan mantap, jadi berikanlah peluang itu.

PS merasakan mahasiswa Melayu suka berpolitik adalah pandangan kurang tepat dan berat sebelah.
Seharusnya masyarakat perlu melihat dalam kaca mata menyeluruh mengapa mahasiswa Melayu begitu proaktif dalam konteks ini.

Adalah tidak adil mengatakan hanya mahasiswa Melayu suka berpolitik sedangkan bangsa lain tidak kisah. Pandangan itu terlalu skeptikal dan serkap jarang. Kebangkitan dalam politik ada sebabnya seperti mahu memperjuangkan hak dan pandangan tapi tidak juga melupakan pelajaran.

Jangan pandang prejudis pada mahasiswa yang ingin bersuara atau berpolitik. Ini juga akan menyebabkan pergolakkan yang besar dan tidak secara langsung menghakis minat serta sokongan dari golongan mahasiawa sendiri yang ingin mencari ruang dan peluang agar suara dan pandangan mereka didengari. Oleh itu, PS menyarankan agar keterbukaan perlu ada dalam mewarnai senario politik yang global.

Adalah menjadi kepastian bahawasanya Mahasiswa yang ada di Malaysia pada hari ini terdiri daripada Golongan BELIA dan ANAK MUDA.


Salam Transformasi Paradigma Belia Alaf Baru
"Suara Belia Bersatu Tidak Dapat Dikalahkan" 

Suara Belia


Ucapan Presiden Majlis Belia Negeri, Negeri Sembilan Wan Salwati Hj Abdullah
di Majlis Penutupan Bengkel Pengurusan Persatuan Belia 2012

Monday, 12 March 2012

Peranan Belia Diiktiraf Yang DiPertuan Agong

TITAH YANG DIPERTUAN AGONG : BELIA ASET PENTING NEGARA


Tuanku Abdul Halim bertitah :

Peranan golongan belia turut disentuh baginda yang menyarankan supaya para belia negara ini menggunakan segala ruang dan peluang yang ada untuk ke peringkat yang lebih tinggi.

Titah baginda golongan belia yang merupakan kira-kira 46 peratus daripada penduduk negara ini adalah aset penting dan pewaris yang akan meneruskan kesinambungan pembangunan negara.

"Yakinlah bahawa belia senantiasa dekat di hati kerajaan beta dan kerajaan tidak akan menyisihkan golongan belia kerana tanpa belia, hilanglah jantung negara," titah baginda


Antara titah  baginda, Sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-12 di Dewan Rakyat.

PS Amat tertarik dengan apa yang dititahkan oleh Yang Di Pertuan Agong, bahawasanya golongan belia merupakan aset penting dan pewaris negara. Belia juga adalah nadi dan jantung negara kita ini. Amat besar dan mendalam makna titah baginda tentang peranan dan tanggungjawab belia.

Oleh itu, bukalah mata hati kita dan janganlah menidakkan realiti sebenar kewujudan serta peranan belia di dalam usaha membangunkan kemajuan negeri ataupun negara dan peranan belia juga melibatkan semua aspek kehidupan seperti Penentu Porla Politik Semasa, Sosio Ekonomi Setempat/Negeri/Negara, Elemen Keagamaan, Kebudayaan dan Sosial serta Perpaduan Nasional yang berteraskan 1Malaysia.

Untuk Belia Negeri Sembilan, ayuh kita berganding bahu, eratkan perpaduan yang sedia ada demi kemajuan belia N.Sembilan untuk hari-hari mendatang. Pelbagai program serta perancangan yang telah dan akan diaturkan, agar denyut nadi belia N.Sembilan dapat dirasai oleh semua peringkat masyarakat sama ada tua, muda, miskin atau pun kaya. Kita harus bergerak mara ke depan agar suara belia menjadi suara keramat.

Ini kerana Belia N.Sembilan lebih kepada "merencana kemajuan" dan bukan "bermain politik demi kepentingan jawatan"

Salam Transformasi Paradigma Belia Alaf Baru
"Suara belia Bersatu, Tidak Dapat Dikalahkan"



Semangat Juang Seorang Wanita

Mengenali Pejuang Wanita Pertama Negara dan Semangat Kepada Anak Muda/Belia.

Sempena Hari Wanita Sedunia tempoh hari, PS rasa terpanggil untuk memaparkan bingkisan serta kisah perjuangan Tokoh Pemimpin Wanita Pertama Negara yang menjadi inspirasi, iaitu  Tun Tan Sri Dr. Fatimah Hashim. Beliau dilahirkan pada 25hb Disember 1924.

Pendidikan.
Beliau dilahirkan di Parit Kurma, Muar, Johor dan menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Lelaki Parit Keroma, Muar kerana ketika itu belum ada sekolah untuk murid perempuan di kampung tersebut. Beliau kemudian menyambung pelajarannya di Sekolah Melayu Perempuan Mersing dan belajar Bahasa Inggeris di sekolah malam dengan salah seorang guru Sekolah Convent Johor Bahru.

Begitulah kegigihan beliau untuk mendapatkan ilmu pendidikan bagi mempersiapkan ilmu didada dalam mendepani hari hari yang mendatang. Tun Fatimah mula menunjukkan minat terhadap kerja-kerja kebajikan sejak di bangku sekolah lagi.

Kerjaya Politik.
Tun Fatimah juga pernah menjadi seorang guru pada ketika dulu sebelum bergiat aktif didalam bidang politik pada tahun 1947 ketika berusia 21 tahun. Beliau menganggotai Pergerakan Kaum Ibu (UMNO) Cawangan Kampung Nong Chik, Johor Bahru dan memegang jawatan Bendahari serta kemudiannya Setiausaha Kaum Ibu Cawangan Johor Bahru. Pergerakan Kaum Ibu UMNO kini dikenali dengan nama Wanita UMNO.

Pada tahun 1956 semasa berpindah ke Perak, Tun Fatimah telah dipilih menjadi Ketua Pergerakan Kaum Ibu Negeri Perak dan dalam masa yang sama, memegang jawatan Ketua Bahagian Ipoh. Dalam tahun itu juga beliau telah dilantik Ketua Pergerakan Kaum Ibu Malaya (11hb September 1956-1972) , menggantikan tempat Khadijah Sidek.

Sebagai Ketua Pergerakan Kaum Ibu UMNO, beliau secara automatik menjadi Naib Yang Dipertua UMNO Malaysia dan menduduki kerusi di Jawatankuasa Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ahli Jawatankuasa Kewangan UMNO dan Ahli Jawatankuasa Politik. Semasa memimpin Pergerakan Kaum Ibu UMNO, beliau berjaya membawa wanita-wanita muda melibatkan diri dalam bidang politik dan sekaligus menyertai UMNO.

Pada tahun 1959, Fatimah sekali lagi berpindah mengikut suaminya ke Kedah. Di dalam masa yang sama, beliau telah dipilih menjadi calon Pilihan Raya bagi kawasan Jitra-Padang Terap. Kemenangan memihak kepadanya dan menjadikan beliau sebagai ahli Parlimen bagi kawasan tersebut tiga kali berturut-turut.

Kejayaan terus dilakarkan lagi dengan perlantikkan sebagai Menteri Kebajikan Am pada 20hb Mei 1969 dan menjadikan beliau sebagai Wanita Malaysia Pertama menjawat jawatan Menteri. Beliau memegang jawatan tersebut selama empat tahun sehingga bersara pada bulan Februari 1973.

Beliau juga merupakan tokoh dan juga pengasas kepada perayaan Hari Wanita di Malaysia yang disambut pada 25 Ogos setiap tahun dan merupakan satu perayaan yang kekal disambut sehingga sekarang.

Selepas pelancaran Hari Wanita, MajlisKebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (National Council of Women’s Organisations, NCWO) ditubuhkan. NCWO merupakan sebuah badan gabungan pertubuhan-pertubuhan wanita yang bertujuan, antara lain untuk dijadikan urusetia perayaan Hari Wanita di samping menangani persoalan-persoalan wanita semasa dan beliau telah menerajui NCWO selama 24 tahun sehingga bersara daripada jawatan pada tahun 1989.

Jasa dan pengorbanan Tun Fatimah amat besar kepada Pembangunan dan Kemajuan serta nasib Wanita di Malaysia. Tun Fatimah meninggal dunia pada 9 Januari 2010 dalam usia 85 tahun kerana sakit tua.

Begitulah kegigihan seorang Pejuang Wanita negara. Ianya menjadi Inspirasi dan Kebanggaan kepada golongan wanita disetiap pelusuk tanah air yang tidak perlu kta lupakan. Perjuangannya juga telah membakar semangat saya dalam memperjuangkan bukan sahaja untuk golongan wanita, malah kepada semua lapisan masyarakat supaya kita akan terus makmur dan menikmati hasil kemakmuran dan pembangunan negara.

Ianya bermula dengan iltizam dan keyakinan kita terhadap UMNO yang sudah pasti mempunyai rekod dan sejarahnya yang tersendiri dalam membela nasib rakyat. Transformasi dan penambahbaikan telah dilakukan. Kepada anak muda/belia, kita seharusnya berpijak dibumi yang nyata, bahawasanya kita adalah penyambung dan penerima faedah pejuang terdahulu. Janganlah pula kita menghancurkannya. Sokongan serta dokongan dari anda semua amat diperlukan. Hanya kita, anak muda sahaja yang dapat mengekalkan apa yang telah diwarisi ini.


Salam Perjuangan Anak Muda Untuk Semua

"Transformasi Paradigma Belia Alaf Baru"

Selamat Bersidang.

Pembukaan Parlimen



Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, hari ini merasmikan pembukaan mesyuarat pertama penggal kelima persidangan Parlimen ke-12.

Upacara perasmian itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri Kabinet serta perwakilan asing.

Dewan Rakyat mula bersidang esok hingga 12 April dan Dewan Negara mulai 23 April hingga 10 Mei.

PS mengucapkan Selamat Bersidang kepada seluruh Ahli Parlimen Malaysia dan agar dapat membahaskan segala usul yang dibawa demi kepentingan rakyat dan Negara. Kecemerlangan dan Kejayaan harus ditingkatkan disamping terus membantu kelangsungan hidup rakyat jelata yang kadang kala terhimpit oleh kos kehidupan yang tinggi dan mendadak.

Tetapi PS penuh yakin dan percaya, kerajaan yang ada sekarang adalah kerajaan berjiwa rakyat dan perihatin serta merasai denyut nadi rakyat sama ada di desa mahu pun dikota.  
 

Sunday, 11 March 2012

Sokongan rakyat kepada BN semakin utuh.



Sudah tiba masa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembubaran Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) mengambil tempat berikutan sokongan rakyat yang semakin meningkat hasil pelbagai program transformasi. Sehubungan itu beberapa penganalisis berpendapat waktu terbaik untuk mengadakan PRU-13 penghujung Mei atau awal Jun depan dengan mengambil kira pelbagai faktor semasa termasuk keselesaan petugas pilihan raya membuat persiapan di sekolah yang dijadikan pusat mengundi.

Kaji selidik terbaru Merdeka Center mendapati kadar sokongan rakyat terhadap pentadbiran Najib meningkat 10 peratus kepada 69 peratus selepas berjaya memulihkan prestasi ekonomi negara dan pelaksanaan pemberian wang bantuan kepada golongan berpendapatan rendah di bawah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Kajian mendapati Perdana Menteri mendapat sokongan kuat di kalangan rakyat yang berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan, dengan empat per lima komuniti India dan 74 peratus masyarakat Melayu turut memberikan Najib sokongan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri tidak seharus menunggu lebih lama untuk merasai peningkatan sokongan yang lebih tinggi kerana ia akan mendedahkan kerajaan kepada risiko.

Dalam konteks politik Malaysia, bukannya ideologi parti yang penting tetapi parti mana yang boleh memberikan manfaat kepada rakyat dalam bentuk praktikal dan mampu dirasai dalam masa terdekat.

PS berharap, jika berlakunya PRU-13 nanti, janganlah ada sebotaj sesama kita dalam menyatakan ketidak puasan hati jika si A tidak menjadi calon atau pun sebaliknya. Kuatkan tekad dan penyatuan dikalangan kita, jangan ada ruang atau peluang bagi pihak pembangkang untuk memecah belahkan keutuhan yang telah dibina.
Utamakan Parti bukannya Peribadi.

Politik Terkini !!!

PENGUNDURAN SHAHRIZAT KEPUTUSAN YANG TEPAT.

Pemimpin UMNO menyambut baik tindakan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat seperti yang diumumkannya hari ini.
Naib Presiden UMNO,

Datuk Seri Mohd. Shafiee Apdal berkata, langkah yang diambil oleh Ketua Wanita itu baik dan tepat pada masanya demi menjaga kepentingan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan juga parti.

"Kita sangat menghargai keputusan yang telah dibuat oleh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Ianya adalah baik dan tepat pada masanya untuk pastikan kejayan kerajaan dan Barisan Nasional (BN).
"Ini juga tidak ada kaitan dengan dia bersalah atau tidak, tapi semuanya dilakukan adalah demi kepentingan kerajaan dan juga parti,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ketika dihubungi.
Shahrizat mengumumkan pengundurannya apabila tempoh pelantikannya sebagai Anggota Dewan Negara tamat 8 April depan.

Bagaimanapun, katanya beliau akan kekal sebagai Ketua Wanita UMNO dan Ketua Wanita BN), selepas berfikir dengan panjang lebar bagi meneruskan tugas dan amanah yang telah diberikan kepadanya.
Dalam pada itu, Mohd. Shafiee meminta agar golongan wanita tidak berasa terjejas dengan pengunduran Shahrizat selaku menteri kerana kerajaan memberi jaminan tidak akan mengabaikan kepentingan dan sumbangan wanita kepada pembangunan negara

PS tetap akan menyokong apa sahaja kemajuan yang ingin dibawa oleh kerajaan dan parti untuk kepentingan wanita supaya terbela. Peminpin datang dan pergi. PS juga berkeyakinan penuh bahawa UMNO dan Barisan Nasional tidak ketandusan pemimpin bagi mengepalai kementerian yang menjaga hal ehwal wanita tidak kira dibandar, luar bandar, kota mahu desa.

Walau bagaimanapun ucapan tahniah dan terima kasih PS kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil diatas jasa serta sumbangan beliau dalam membangunkan pembangunan wanita Malaysia.