Thursday, 15 November 2012

‘HWMN2012’ Platform Wanita Muda Pamer Keupayaan



KUALA LUMPUR - Himpunan Wanita Muda Negara 2012 (HWMN2012) bakal menjadi platform kepada  golongan wanita muda di negara ini untuk mensinergikan lagi upaya golongan tersebut ke tahap yang lebih baik.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirleen berkata himpunan itu yang menggunakan moto Inspirasi, Dedikasi, Ekspresi dan Aspirasi  selari dengan keperluan wanita muda untuk mengetengahkan bakat dan potensi sebenar mereka.

Menurut beliau pihaknya merasakan perlu ada platform untuk wanita muda dan setelah berbincang dengan rakan-rakan Puteri komponen BN serta NGO, maka pada kali ini ianya dapat direalisasikan.

“Himpunan itu bukan sekadar perhimpunan sebaliknya akan padat dengan pelbagai aktiviti untuk golongan muda meningkat maju ke hadapan. Himpunan ini mensasarkan kehadiran 10,000 wanita muda dari pelbagai latar belakang.

“Dan kita juga akan turut mengiktiraf pencapain wanita muda yang cemerlang melalui penganugerahan Anugerah Kesatria Puteri kepada 12 individu yang telah berjaya menerusi bidang perniagaan, pendidikan, kerjaya, pribumi, sukan, perubatan dan pelbagai bidang lain.

“Anugerah tertinggi iaitu Anugerah Nusa Mahsuri akan diberikan kepada YTM Tunku Puteri Intan Shafinaz Ibni Sultan Abdul Halim Muadzam Shah di atas sumbangan Tunku Puteri dalam bidang kemanusiaan dan kemasyarakatan hingga ke peringkat antarabangsa,” katanya pada sidang media Himpunan Wanita Muda Negara 2012, di Seri Pacific, di sini, hari ini.

Rosnah seterusnya menambah program berkenaan akan dipecahkan kepada tiga segmen utama iaitu himpunan, pameran dan demonstrasi serta seminar berkaitan wanita muda.

“Antara aktiviti menarik pada program ini ialah bual bicara perniagaan yang akna menampilkan ikon pernioagaan terkemuka negara, segmen khas yang akan membincangkan topik ‘ Di sebalik kejayaan seorang lelaki, berdirinya seorang wanita, serta persembahan artis, cabaran pidato wanita muda, cabaran penyelidikan gender dan sebagainya lagi.

“Satu lagi yang menarik pada program ini ialah himpunan sejuta nota kecil yang tertulis impian dan harapan wanita muda yang akan dipamerkan pada hari perhimpunan pada ruangan Sejuta Impian dan pihak penganjur akan merealisasikan salah satu impian yang dipilih pada hari berkenaan.

“Marilah bersama-sama kita mengorak langkah dengan kesatuan ini untuk sama-sama memeriahkannya dan himpunan ini adalah sebagai permulaan ke arah membina semangat dan keberdayaan wanita muda dalam memimpin perubahan melalui inspirasi, ekspresi, dedikasi dan aspirasi berterusan,” katanya.

Himpunan Wanita Muda Negara 2012 akan berlangsung pada 25 November 2012 di Dewan Tun Razak 1, PWTC dan majlis pembukaan akan dihadiri Penaung HWMN2012, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikannya pada pukul 2.00 petang. Himpunan tersebut akan berlangsung dari 8 pagi hingga 7 malam. -MediaUMNO

Himpunan Wanita Muda Negara 2012 Sasar 10,000 Peserta



KUALA LUMPUR, (Bernama) — Kira-kira 10,000 wanita berusia 40 tahun ke bawah dijangka membanjiri Himpunan Wanita Muda Negara 2012 (HWMN2012) di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra itu pada 25 Nov ini.

Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata himpunan yang julung kali diadakan itu bertujuan membina semangat dan keberdayaan wanita muda dalam memimpin perubahan melalui inspirasi, dedikasi, ekspresi dan aspirasi yang berterusan.

Bercakap pada sidang media di sini, Rosnah berkata HWMN2012 akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada jam 2 petang manakala penaung himpunan itu Datin Seri Rosmah Mansor pula dijadual menyampaikan ucaptama pada sebelah pagi.

Himpunan yang dianjurkan Puteri Umno dengan kerjasama parti-parti komponen Barisan Nasional seperti MIC, MCA, PPP dan Gerakan itu turut disertai beberapa badan bukan kerajaan yang lain itu akan dipecahkan kepada tiga segmen utama iaitu himpunan itu sendiri, pameran dan demonstrasi 80 agensi dan syarikat; serta bengkel dan seminar berkaitan wanita muda.

– BERNAMA

Saturday, 10 November 2012

25 November 2012 : Himpunan Wanita Muda Negara 2012

http://www.wanitamuda.my/

Himpunan Wanita Muda 2012 kali pertama diadakan sebagai satu hari bagi wanita muda untuk mengalamai satu ekplorasi tentang peranan wanita muda dalam arus perubahan. 

Himpunan ini bukan sekadar himpunan, sebaliknya dirangka bersifat provokatif bagi membuka minda dan menganjak paradigma wanita-wanita muda tentang peranan dan potensi sebenar mereka dalam mencorakkan kemajuan negara.
 
Maklumat lanjut :
 
laman web : www.wanitamuda.my
facebook : facebook.com/WanitaMudaMY
twitter ; @WanitaMudaMY

Monday, 5 November 2012

Selamat Berjaya Kepada Calon SPM 2012



Assalamualaikum wth,

Esok bermulanya peperiksaan SPM bagi tahun 2012. Sama seperti saya, masih ada lagikah yang bersengkang mata mentelaah pelajaran di saat akhir sekarang ni?? Jika ada, baik adik semua tidur kerana beberapa jam lagi akan bermulalah perang ilmu kita di Dewan Besar atau kelas anda masing-masing.

Ok adik-adik sekelian, Now bukan masa untuk study hard.. but study smart. Dapatkan rehat  yang secukupnya untuk pastikan kesihatan berada dalam keadaan baik bagi menghadapi peperiksaan.

Yakin dan percayalah atas semua usaha, doa dan tawakal.. pasti berjaya.

Kesempatan ini juga, saya kongsikan artikel daripada Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak untuk perangsang semangat bersama..

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan selamat berjaya kepada calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan bermula esok.

Ucapan itu disampaikan Najib melalui laman sosial Twitternya @Najib Razak malam ini.

“Saya berdoa agar calon-calon berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM bermula esok. Kepada guru dan ibu bapa, semoga usaha-usaha pendidikan akan membawa hasil,” katanya yang kini berada di Vientiane, Laos untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asia-Eropah ke-9 (ASEM 9).

Seramai 472,541 calon akan menduduki peperiksaan SPM di 3,590 pusat peperiksaan di seluruh negara mulai esok hingga 6 Dis ini.

Sebanyak 415,530 calon daripada sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan, manakala 7,708 calon daripada sekolah di bawah agensi kerajaan selain kementerian dan 7,946 calon daripada sekolah menengah agama negeri.

Menurut Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pelajaran Malaysia, seramai 11,309 calon sekolah swasta yang berdaftar dengan kementerian, 28,148 calon sekolah menengah agama rakyat dan 1,900 calon persendirian juga akan menduduki peperiksaan tersebut.

Seramai 30,239 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar.




Salam kasih sayang,


Wan Salwati Hj Abdullah

Nurul Izzah pertikai sekatan beragama



SUBANG JAYA: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menegaskan bahawa sebarang peruntukan undang-undang berkaitan kebebasan beragama harus dilaksanakan secara adil tanpa mengira agama termasuk Islam.

Kata beliau, seharusnya tidak wujud sebarang desakan beragama sehingga membezakan antara agama Islam dan agama lain.

“Tiada desakan dalam beragama...mana boleh kita kata ‘maaf ini (kebebasan beragama) hanya untuk bukan Islam sahaja’, ia seharusnya dilaksanakan sama rata,” katanya ketika menjadi panel forum 'Islamic State: Which version; Who’s responsibility?’ anjuran Gereja Full Gospel Tabernacle di Subang hari ini.

Beliau menjawab soalan penonton yang bertanyakan pendapatnya tentang kewajaran kaum Melayu diberikan kebebasan beragama seperti yang dinikmati oleh golongan bukan Islam.

Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada kerajaan negeri atau kerajaaan persekutuan untuk menggubal undang-undang bagi mengawal atau menyekat penganut agama bukan Islam menyebarkan atau mengembangkan ajaran atau kepercayaan mereka kepada orang-orang Islam.

Walau bagaimanapun permohonan orang Islam untuk tukar agama masih tertakluk di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah berdasarkan Seksyen 61(3)(b)(x) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri.

Sementara itu Izzah turut mempertikaikan undang-undang yang digunakan pihak berkuasa di negara ini dalam menangani gejala Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT).

Menurutnya, selain daripada tempat awam, pihak berkuasa tidak wajar untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dengan gejala tersebut.

Menyifatkannya sebagai tidak menghormati privasi seseorang, tindakan tersebut juga katanya tidak membawa  sebarang nilai Islam.

“Dalam Islam terdapat sekatan berhubung isu LGBT ini. Tapi apa yang penting ialah kita tidak menjadikan golongan ini sebagai mangsa. Kita harus terima mereka ini.

“Sebagai seorang Muslim, saya boleh terima (LGBT). Pada saya, sesiapa yang melakukan orientasi seks mereka di tempat peribadi, kita tidak boleh mengambil tindakan (terhadapnya). Sebagai seorang muslim, saya tidak boleh menerima ini.

“Pelaksanaan (undang-undang ketika ini) tidak menghormati (pelaku) dan tidak membawa sebarang makna dari segi Islam dan juga mana-mana agama.Kita (Muslim) ada sekatan-sekatan tertentu, tetapi ia tidak seharusnya menceroboh ruang privasi,” tegas beliau.

Oleh : Antara Pos

Tuesday, 30 October 2012

Persidangan UMNO 2012 jadi tumpuan luar biasa menjelang PRU-13



Perhimpunan Agung Umno 2012 yang akan berlangsung bulan depan dijangka menarik tumpuan luar biasa berikutan bahang politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 yang dijangka tidak lama lagi.

Seramai 2,674 anggota perwakilan akan berkampung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mulai 26 Nov hingga 1 Dis ini, yang antara lain untuk mendengar amanat akhir pucuk pimpinan parti sebelum gendang pilihan raya dipalu.

Setiausaha Kerja Umno Datuk Abdul Rauf Yusoh berkata perhimpunan kali ini dijangka mendapat liputan meluas media massa dengan kira-kira 2,000 pengamal media dari dalam dan luar negara meletakkan fokus pada perhimpunan parti dominan Melayu itu.

"Tahun lepas seramai 1,700 wakil media dari dalam dan luar negara telah membuat liputan sepanjang perhimpunan dan tahun ini kita jangka kira-kira 2,000 orang dari kalangan media akan terlibat," katanya pada Mesyuarat Penyelarasan Media sempena Perhimpunan Agung Umno 2012 di Dewan Tun Hussein Onn, PWTC di sini, Isnin.

Perhimpunan itu akan dimulakan dengan Seminar Penerangan Perdana pada 24 Nov yang akan dirasmikan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak diikuti Forum Antarabangsa Ketiga pada 26 hingga 27 Nov yang bakal dihadiri perwakilan dari 27 negara termasuk dari rantau Asean, Asia, Timur Tengah, Amerika Syarikat dan Palestin. - UMNO Online


Sunday, 28 October 2012

YNS tumpu belia, pendidikan


Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL

 Yayasan Negeri Sembilan (YNS) akan distrukturkan semula bagi memastikan teras perkhidmatannya yang sebelum ini tertumpu kepada pendidikan diperluaskan kepada pembangunan belia.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, peranan Sekretariat Belia di yayasan berkenaan akan dibesarkan skop kerjanya mencakupi segala aspek pengembangan belia dengan aktiviti yang lebih holistik.

"Kita akan menaik taraf perkhidmatan supaya belia diletakkan sama taraf dengan pendidikan yang mana kedua-duanya saling memerlukan," katanya selepas mempengerusikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negeri Sembilan - Sidang Pertama Sesi 2012-2014 di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, dekat sini semalam.

Dalam majlis berkenaan, Mohamad turut menyampaikan watikah pelantikan kepada beberapa ketua jabatan dan individu bagi menganggotai Majlis Perundingan Belia Negeri Sembilan bagi sesi 2012-2014 untuk bersama-sama menyumbang ke arah pembangunan generasi belia di negeri ini.

Katanya, menerusi pendekatan itu peranan Sekretariat Belia akan menjadi lebih meluas termasuk menerusi kewujudan bahagian dalam yayasan tersebut untuk menjadikannya sebagai sekretariat sepenuh masa.

"Dewan Undangan Negeri Belia negeri juga boleh menjadikan bahagian ini sebagai sekretariat mereka yang mana segala peruntukan boleh disalurkan kepada bahagian ini untuk diselaraskan sekali gus memberi nafas baru kepada belia," katanya.

Mengenai Rancangan Pembangunan Belia Negeri Sembilan (RPBNS) 2005-2010, Mohamad berkata, perkara itu telah dirancang dan berjaya mendekatkan belia dengan sekretariat, kerajaan serta Majlis Belia Negeri, Negeri Sembilan.

"Hanya negeri ini sahaja yang ada rancangan lima tahun pembangunan belia.

"Banyak yang telah kita adakan seperti Info Belia bagi menyampaikan maklumat dan komunikasi dua hala dengan mereka, selain diwujudkan Penyelaras Belia Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk merancakkan aktiviti belia," katanya.

Sehubungan itu, kata Mohamad, RPBNS 2011-2015 yang kini memasuki fasa kedua akan memberikan tumpuan kepada pelaksanaan serta melakukan tindakan dan aktiviti.

"Contohnya Dewan Undangan Negeri Belia yang mana mereka boleh menyuarakan pandangan dan pendapat dengan lebih segar, latihan di peringkat industri, pemantapan mengikut sektor serta tumpuan kepada beberapa bidang keberhasilan," ujarnya. 


Terima kasih Saudara Ainol Amriz

Sumber : Utusan Malaysia




Dari Meja Belia Untuk Belia



Wan Salwati Hj Abdullah
Presiden Majlis Belia Negeri, Negeri Sembilan (MBNNS)