Monday, 22 October 2012

Bukan sahaja Melayu, Cina juga Sudah Muak Dengan DAP – Najib






Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata orang Melayu sudah muak dengan DAP, mencabar parti pembangkang itu yang mendakwa sebagai parti pelbagai kaum untuk bertanding di kawasan Melayu.

“Jika DAP sebuah parti pelbagai kaum, saya cabar mereka bertanding di kawasan Melayu. Anda tahu orang Melayu sudah muak dengan DAP…semuanya karut,” katanya semasa merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-59.

Antara yang hadir ialah Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Timbalan Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai, dua Naib Presiden Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, Senator Datuk Donald Lim Siang Chai dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Najib juga bersetuju dengan Presiden MCA bahawa pemimpin-pemimpin DAP kononnya mengutamakan pelbagai kaum tetapi pada hakikatnya tidak begitu.

“Bersikap demokratik…adakah mereka lebih demokratik daripada kami (BN). Jika anda mahu tahu, tanya Tunku Aziz (bekasl naib pengerusi DAP kebangsaan Tunku Abdul Aziz Ibrahim), beliau akan beritahu anda,” kata Najib sambil menegaskan mesej BN ialah perubahan sebenar dan kemajuan pesat sedang berlaku di Malaysia.

“Reformasi hanya sekadar satu slogan,” katanya.

Najib berkata orang boleh mempersoalkan dasar-dasar dan keadilan kerajaan tetapi tidak harus mempersoalkan asas negara ini yang telah dibina berasaskan Perlembagaan.

Perdana Menteri berkata kerajaan telah membuat banyak keputusan yang berisiko politik hanya untuk memastikan ianya adil kepada semua rakyat di Negara ini.

Atas asas itu, beliau berkata kerajaan tahu mengenai empat keperluan asas yang menjadi teras perjuangan masyarakat Cina di negara ini dan oleh yang demikian kerajaan sentiasa berusaha untuk memenuhi keperluan kumpulan itu, seboleh yang mungkin.

Keperluan itu termasuk mempunyai ekonomi yang stabil dan berdaya maju, negara yang adil dan saksama, tadbir urus baik dan pendidikan.

“Saya percaya orang Cina ada empat perkara yang dia hendak sangat…orang Cina hendak ekonomi, negara maju. Ekonomi negara kita antara yang terbaik di dunia pada masa ini. Ada pelawat luar negara kagum dengan Malaysia. Dia kata banyak kren di Malaysia dan semuanya sedang buat kerja.

“Ekonomi kita berjalan baik dan dan bajet kita yang mesra rakyat dan bertanggungjawab daripada segi fiskal. (Sebaliknya) Bajet PR, populis dan tidak bertanggungjawab daripada segi fiskal…banyak beza,” katanya.

Najib berkata apa yang paling menyedihkan beliau mengenai pembangkang ialah ketamakan mereka untuk berkuasa mungkin akan menjejaskan masa depan negara.

“Kenapa saya begitu marah dengan mereka, bukan kerana mereka mahukan jawatan saya, dalam sistem berParlimen, ok, nak tawan Putrajaya, lepas itu nak lelong, tak apa. Tetapi dia (pembangkang) tidak ada sesuatu yang lebih tinggi daripada (menawan) Putrajaya, menjadi perdana menteri, menjadi menteri besar…tidak ada perancangan lebih dari itu.

“Kami tidak boleh memperjudikan masa depan Malaysia. Kami telah bersusah payah membina negara ini…kami tidak akan mengorbankan apa yang telah kami lakukan,” Katanya sambil mempersoalkan kredibiliti pakatan pembangkang untuk menerajui negara sedangkan mereka tidak mampu memutuskan kabinet bayangan mereka.

Najib berkata untuk itu konsep 1Malaysia dilaksanakan sebagai bukti komitmen kerajaan dan parti untuk menjadi inklusif dan menghulurkan bantuan sebanyak yang boleh kepada semua kaum dan masyarakat di negara ini.

“Ini termasuk 5,000 suku kaum Kelabit di Sarawak dan Iban di Hulu Lacau, mereka juga rakyat Malaysia dan mesti dibantu,” katanya.

Mengenai pembinaan negara bangsa yang adil dan saksama, Najib berkata kerajaan perlu mengambil kira keperluan dan kebimbangan setiap kaum bagi membolehkan kerajaan membina sebuah negara yang aman, makmur dan mempunyai masa depan cerah.

“Kami mahu masa depan yang lebih baik, masa depan lebih terjamin dan sebab itu kenapa saya faham (mengenai keperluan masyarakat Cina)… Saya berjanji kepada anda bagi sebuah kerajaan yang adil dan saksama,” katanya.

Perdana Menteri berkata keperluan bagi  tadbir urus baik dibuktikan oleh kerajaan menerusi pelaksanaan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang antara lain termasuk agenda pencegahan jenayah, pengangkutan awam baik dan memerangi rasuah.

“Kita semua mahukan tadbir urus baik, bukan hanya orang Cina…sebagai sebuah kerajaan, kami perlu sediakan itu,” katanya.

Mengenai pendidikan Cina, Najib mengulangi keputusan kerajaan untuk memastikan sekolah Cina kekal sebagai sebahagian sistem pendidikan negara.

“Bapa-bapa pengasas kita telah memutuskan integrasi adalah cara terbaik. Mereka tidak memutuskan bagi asimilasi. Kita berbeza daripada Indonesia, Thailand, malah kita berbeza daripada Singapura.

“Anda boleh cakap apa yang anda suka, tetapi anda tidak boleh lupa yang negara kita adalah satu-satunya yang mempunyai sistem pendidikan Cina sebagai sebahagian daripada sistem kita,” katanya sambil berharap orang Melayu belajar bahasa Mandarin dan orang Cina lebih fasih berbahasa Melayu.

Najib juga menegaskan bahawa pendidikan Cina tidak sepatutnya dipolitikkan sebaliknya ia perlu dilihat sebagai satu daripada aspek pembinaan negara bangsa.

Sumber - UMNO Online

Jawatankuasa Khas Ditubuh Untuk Tangani Ahli Sabotaj dan Khianat Parti


Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO telah mengambil resolusi untuk mewujudkan satu Jawatankuasa Khas bagi memantau dan mengambil tindakan segera terhadap mana-mana anggota parti yang mengkhiant atau mensabotaj terhadap UMNO dan calon Barisan Nasional (BN).

Presidennya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memaklumkan bahawa Jawatankuasa Khas tersebut akan dianggotai oleh wakil-wakil yang tidak berkepentingan daripada Majlis Tertinggi, Jawatankuasa Pengurusan dan Lembaga Disiplin UMNO.

“MT setuju untuk mewujudkan jawatankuasa ini sebagai cerminan hasrat parti agar tindakan tegas dapat diambil dengan segera terhadap sesiapa yang mengambil sebarang tindakan yang boleh merosakkan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO di Menara Dato’ Onn petang ini.

“Kita juga setuju untuk lantik seorang anggota di tiap-tiap bahagian yang akan memberi laporan kepada jawatankuasa pemantau untuk disalurkan kepada jawatankuasa tersebut, di samping laporan secara terus kepada ibu pejabat dan secara online boleh dihantar.

“Kita juga bersetuju supaya definasi sabotaj dan khianati itu dihuraikan supaya semua orang jelas dan tahu apakah tindakan-tindakan yang boleh disabitkan dengan kesalahan yang boleh dikaitkan dengan fasal tersebut,” katanya lagi.

Jelasnya, keputusan tersebut dibuat selaras dengan Fasal 10.15 dibaca bersama Fasal 20.3 Perlembagaan UMNO, maka majlis tertinggi setuju untuk mewujudkan jawatankuasa khas ini.

Fasal 10.15 menyebut; Mengambil sebarang langkah selain daripada perkara-perkara yang tersebut di atas bagi kesempurnaan perjalanan parti sementara Fasal 20.3 ialah Majlis Tertinggi boleh menurunkan kuasa disiplin kepada mana-mana Jawatankuasa di peringkat Perhubungan Negeri atau Bahagian.

Tambah beliau, Jawatankuasa Khas ini akan dipengerusikan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail.

Dalam masa yang sama, Najib turut memaklumkan berkaitan persiapan Perhimpunan Agung UMNO yang berjalan lancar dengan tiga usul diluluskan iaitu, ucapan dasar Presiden, ekonomi dan ususl agama dan pendidikan.

Perhimpunan Agung UMNO 2012 akan berlangsung selama lima hari bermula 27 November hingga 1 Disember ini.

Menjawab soalan berkaitan termetrainya perjanjian damai Bangsamoro di Selatan Filipina, beliau memberitahu bahawa perjanjian ini adalah hasil sumbangan Malaysia yang secara konsisten telah kita dilakukan sejak 2001dan pasukan fasilitator ditempatkan pada 2004.

“Banyak lagi yang kita telah lakukan untuk membawa kepada rundingan yang telah menghasilkan perjanjian dan ditandatangani di Manila baru-baru ini.” - MediaUMNO


1 undi 1 kemenangan, 1 undi 1 kemenangan, 1 undi 1 kemenangan, banyak undi boleh menang








Assalamualaikum wth,

Saya mulakan dengan Man Jadda Wajadda.. Semoga apa yang diusahakan mendapat keberkatan daripada Allah Taala.

Sejurus selepas program bersama Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Rasah yang diketuai oleh saudari Norasyikin Abdul Rahman, di Hospital Tuanku Jaafar Seremban  pagi tadi, kami ke Bilik Gerakan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Seremban bagi mengemaskini data dan maklumat yang ada.

Saya tidak boleh melakukan dan melaksanakan ini seorang diri.. dan memerlukan bantuan.. bantuan sebagai gerak kerja berpasukan.. kerja berpasukan itu penting bagi memburu kemenangan.

Pilihanraya Umum ke-12, kami kalah bukan bermakna kami lemah.. kami kalah kerana mereka mahu melihat kami kuat. Mereka mahu kami memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan.

Senario yang dapat kita lihat pada hari, sokongan masyarakat telah pulih dan mereka telah nampak apa yang dilakukan oleh pihak pembangkang.

Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab kami untuk memburu kemenangan walaupun dengan 1 undi.. 1 undi 1 kemenangan, 1 undi 1 kemenangan, 1 undi 1 kemenangan.. banyak undi boleh menang.

Itulah usaha dan daya kami perjuangkan demi agama, bangsa dan negara. Mudah-mudahan gerak kerja dan usaha kami memburu kemenangan tercapai akhirnya, amin.


Berjuang atas nama keikhlasan,



Wan Salwati Hj Abdullah
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Seremban
 

Delegasi Puteri Prihatin.. Kami di Sikamat ketika itu..

Bakti Rakyat Bersama MIC DUN Sikamat

Di DUN Sikamat... Bersama Pengerusi MIC Sikamat Mr.RRM Krishnan dan rakan-rakan. 

 Lawatan kali kedua bertemu A.Pubalan A/L Armugam... Pemberian kerusi roda untuk Pubalan.

 Mr.Arumugam A/L Raju..Mantan Pengerusi MIC Taman Jujur kini mengidap lumpuh sebelah badan.

Steady Eijat.. Kuat.. :)

 Uncle ini berusia 76tahun... mengidap athma yg sirius, penglihatan tidak jelas tiada pendapatan tetap. Dia begitu sedih dan terharu menerima kunjungan Puteri yangg membawa sedikit bantuan untuk keluarganya. Dia menunjukkan gambar bagaimana dulu semasa sihat dia seorang pelukis dan pengukir patung2 untuk Kuil yang membuat tempahan.

Di Taman Desa Rhu

Keluarga ini tiada pendapatan tetap..suaminya telah hilang sebelah kaki akibat kemalangan..

Selepas bersama-sama Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Rasah, petangnya kami menyambung aktiviti kami di DUN Sikamat dan bertemu dengan masyarakat India di sana.

Aktiviti masyarakat ini, kami mendapat kerjasama yang amat baik di kalangan MIC DUN Sikamat yang banyak membantu mengenalpasti keluarga-keluarga yang memerlukan keprihatinan dan sentuhan kasih sayang dari kami.

Walaupun ia merupakan satu bentuk bantuan yang amat kecil, dari sudut hati kami, agar ianya memberi sinar dan semangat buat mereka.

Terima kasih kepada semua yang terlibat, jasamu di kenang sepanjang hayat.


Salam dan ikhlas berkhidmat,


Wan Salwati Hj Abdullah
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Seremban

Saturday, 20 October 2012

[Puteri UMNO Bahagian Seremban & Rasah] Delegasi Puteri Prihatin

 Puteri Seremban Dan Puteri Rasah bersama dalam Program Puteri Prihatin di Hospital Tuanku Jaafar Seremban..

Mengunjungi Pesakit Warga Emas Melayu..
Bertanya khabar...semoga cepat sembuh...

 Tq atas kerjasama yang baik...Ketua Jururawat yg bersama dalam lawatan. 
Sebelah kanan, Pn Norashikin Abdul Rahman, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sembilan merangkap Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Rasah

Bersama Krew Jelita.. Bertugas di hari pertama.. Bila Seremban dan Rasah bergabung.. Nilah hasilnya

Tiada ahli keluarga yang datang menjenguk sepanjang berada di hospital... Semoga Auntie cepat sembuh. Bertepatan dengan kempen 'Sayangi Warga Emas' yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, di Negeri Sembilan pada 24 April 2012, perkara seperti ini perlu dipandang berat dan diambil perhatian.. Semoga ramai anak di luar sana tidak melakukan kedua ibu bapa seperti ini.. Mereka insan yang banyak pengorbanan buat kita.. Mohon sayangi warga emas dan mereka yang memerlukan bantuan.. :) 

Wad seterusnya.. Sayang.. :)

Auntie ini gembira menerima kunjungan kasih sayang dari ahli Pteri UMNO Seremban.  Kita kasih pada semua.. 1Malaysia.. semua kaum tidak terpinggir..

 Bersama Naib Ketua Puteri Bhg. sempat singgah di Balairaya Jiboi Baru, Program Salam Sayang Wanita UMNO.

Kami sempat mengunjungi dan melawat Mazwin AJK Puteri Bhg.Sban yang telah melahirkan bayi lelaki baru-baru ini.

Alhamdulillah, akhirnya keadaan mengizinkan saya untuk mengemaskinikan blog Pradigma Srikandi.  Sebentar nanti di kawasan Sikamat pula.. Insya Allah, saya tidak akan berhenti berkhidmat selagi nyawa di kandung badan..

Terima kasih kepada ahli-ahli Puteri dan Belia yang sentiasa bersama aktiviti Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Seremban mahupun aktiviti Majlis Belia Negeri, Negeri Sembilan.

Kita bukan belia 'demo crazy'.. kita belia Nusa dan Bangsa.. Bersatu kita teguh, Bercerai kita roboh.. 




Ikhlas berjuang, 

Wan Salwati Hj Abdullah
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Seremban 
EXCO Pergerakan Puteri UMNO Malaysia 
Presiden Majlis Belia Negeri Negeri Sembilan

Friday, 19 October 2012

Belia Di Malaysia Bukan ‘Demo Crazy’







Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa golongan belia di negara ini bukan ‘demo crazy’ (mabuk berdemonstrasi) tetapi sebaliknya mereka sentiasa menghormati dan menyanjung prinsip demokrasi berparlimen.

Perdana Menteri berkata belia yang berindak liar dengan menyerang, menendang dan membaling batu ke arah anggota polis serta melonjak-lonjak di atas kereta peronda polis bukan contoh belia di negara ini.

Beliau berkata belia telah duduk secara aman tanpa perasaan ketakutan dan orang awam juga tidak berasa cemas.

“Yang boleh menjadi contoh belia negara adalah macam saudara-saudari yang herhimpun secara aman yang menyuarakan bahawa cintakan keamanan.

“Jangan biarkan segelintir belia rampas agenda dan imej negara kita. Jangan biarkan mereka merebut kuasa dalam negara kita,” katanya pada majlis pelancaran Hari Belia 2012 yang lalu.

“Kita mengamalkan prinsip demokrasai berparlimen tetapi ia bukan bererti rusuhan jalanan, membaling batu, menendang anggota polis. Itu bukan demokrasi…itu ‘demo crazy’ namanya,” katanya.

Perdana Menteri menyaran supaya golongan belia  menggunakan kuasa dengan penuh kematangan dan kebijaksanaan bagi memilih pemimpin negara.

“Jangan termakan hasutan dan finah dalam internet serta ucapan-ucapan oleh mereka yang tidak bertanggungjbawab untuk menghasut kita.

“Kita harus tahu untuk memilih antara intan dan permata. Siapa yang boleh menjamin hari esok lebih baik dari hari ini. Siapa boleh menjamin? Siapa?,” katanya.

Najib menggariskan lima ciri penting iaitu cintakan keamanan, beradab, berhemah mulia, tertib dan menghormati undang-undang perlu disemai pada belia di negara ini untuk menjamin masa depan negara.

“Walaupun baju berwarna-warni tetapi hati tetap satu yang sebulat rasa bahawa yakin dengan kerajaan yang ada hari ini. Bukan kita suruh anda sokong kita, tetapi belia sudah matang, sudah masak pemikirannya dan tahu membuat penilaian.

“Perkataan ‘I Love PM’ dan ‘We Love PM’, isteri saya tidak cemburu sebab love ini menggambarkan rasa hormat dan kasih pada pemimpin. Saya ucapkan terima kasih kepada belia,” katanya. 

Thanks PM




[Kisah Suami Mithali] Buang budaya lelaki cuma cari nafkah semata-mata


Abil Fikri tetap berdoa agar isterinya pulih.

IBARAT satu dalam seribu. Begitulah tanggapan masyarakat apabila menggambarkan kewujudan suami mithali yang sanggup berkorban menjaga isteri sakit dan anak tanpa alasan.
Kisah pengorbanan bekas perunding kewangan swasta, Abil Fikir, 43, menjaga isterinya yang terlantar sakit akibat kerosakan otak. Meskipun tugas menjaga isterinya agak sukar, beliau tetap meneruskannya kerana menganggap penyakit dialami isterinya bukan satu bebanan, sebaliknya amanah yang perlu ditunaikan sebagai suami.

    Apabila timbulnya isah suami membantu isteri menguruskan hal rumah tangga kerana isteri sedang sakit, ia menjadi sesuatu yang luar biasa," - Dr Rubiah K Hamzah, Pakar Motivasi Kekeluargaan

Tabah dengan dugaan dan cabaran, Abil tidak terlintas mahu menjaja cerita mengenai pengorbanannya. Namun, ramai memujinya, memberi maklum balas positif dan menganggap beliau suami mithali.

Mana tidaknya, persepsi ini wujud kerana dalam budaya masyarakat kita, tumpuan suami lebih kepada kerjaya dan apabila pulang ke rumah, kebanyakannya membiarkan beban rumah tangga diuruskan isteri.

Alasan mereka ialah letih dan tidak mampu buat kerja selepas berhempas-pulas di pejabat, walhal wanita juga memikul tanggungjawab sama dalam membantu mencari nafkah keluarga.

Pandangan negatif itu terus merebak dalam pemikiran masyarakat yang sering disajikan dengan kisah suami curang, tidak bertanggungjawab dan penderaan seksual.
Ubah budaya
Statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) misalnya, menunjukkan seramai 137,570 atau 21 peratus daripada 651,851 pasangan Melayu Islam berkahwin bagi tempoh 2005 hingga 2010 bercerai selepas lima tahun berkahwin.

Malah, statistik JAKIM pada 2009, menyatakan kadar perceraian dalam kalangan pasangan suami isteri Islam di negara ini berlaku dalam tempoh setiap 15 minit.

Apabila berlaku perceraian, masyarakat mula memandang serong kepada golongan Adam kerana mereka mempunyai kuasa menjatuhkan talak.

Hakikatnya, lelaki adalah insan hebat dipilih Allah untuk menjadi khalifah di muka bumi ini yang mana mereka menjadi tonggak keharmonian keluarga, kesejahteraan dan hala tuju keluarga dalam mencapai matlamat.

Justeru, tidak salah jika suami turun padang membantu isteri. Jika setiap hari isteri bertungkus- lumus memasak, membasuh dan mengemas rumah, suami yang tidak mahir memasak makanan berat seperti lauk-pauk, cukup sekadar menggoreng ikan atau telur. Cuba perhatikan isteri sedang menikmati makanan dimasak itu, tentu berasa gembira.

Dilihat luar biasa
Suami mithali menjadi kebanggaan isteri. Membantu isteri melakukan kerja rumah bukan saja dapat meringankan beban, tetapi turut mengeratkan kasih sayang dan membahagiakan pasangan. Persoalannya, sejauh manakah kebenaran suami mithali semakin pupus.

Bagi Pakar Motivasi Kekeluargaan, Dr Robiah K Hamzah, kewujudan suami mithali dalam institusi kekeluargaan tidak boleh dinafikan, sebaliknya disokong supaya menjadi budaya dalam masyarakat.

Katanya, budaya dalam rumah tangga dan perbezaan pemikiran suami isteri menyebabkan masyarakat menganggap kewujudan suami mithali yang memikul tanggungjawab isteri sebagai sesuatu yang luar biasa.

“Budaya masyarakat kita, suami bertanggungjawab mencari nafkah, manakala isteri bertanggungjawab menguruskan rumah tangga walaupun hakikatnya wanita masa kini turut memikul tugas mencari nafkah bersama suami.

“Jadi, apabila timbulnya kisah suami membantu isteri menguruskan hal rumah tangga kerana isteri sedang sakit, ia menjadi sesuatu yang luar biasa,” katanya.

Tambahnya lagi, budaya itu harus diubah memandangkan kebanyakan isteri turut memikul tanggungjawab suami dengan bekerja di luar.

Robiah berkata, sebagai ketua keluarga, tidak salah sekiranya suami membantu isteri menguruskan rumah tangga, apatah pula apabila isteri sedang sakit dan memerlukan tempat bergantung.

“Namun, menjadi isu besar ialah cara pemikiran berbeza yang mana bagi wanita, jika dia menyayangi suami, hati dan mindanya akan tertutup pada lelaki lain.

“Berlainan lelaki, walaupun mereka sayang kepada isteri, tetapi fikiran mereka tetap boleh dibuka kepada perempuan lain. Inilah perlu dikawal kerana jika tidak, ia akan membawa masalah kepada rumah tangga,” katanya.

Justeru, beliau menyarankan supaya suami isteri mendalami dan memahami peranan masing-masing dalam usaha menjadi pasangan mithali.

Suami ditinggal isteri
Pakar Perunding, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Dr Haslee Sharil Abdullah, berkata masyarakat sering meletakkan kesalahan di bahu suami apabila berlaku perceraian kerana masih terperangkap dengan kisah fantasi dalam novel dan media massa.

Katanya, berdasarkan pengalamannya menguruskan kaunseling perkahwinan dan keluarga, masih ramai suami mithali yang menjalankan tanggungjawab dengan baik, namun masih ditinggalkan si isteri.

“Cuma sebahagian daripada mereka lebih senang menyimpan keaiban isteri kerana bimbang dengan pandangan masyarakat, lalu memilih untuk berpisah cara baik.

“Wanita lebih beremosi dalam hal seperti ini lalu kisah mereka lebih gemar dipaparkan dalam akhbar dan televisyen berbanding lelaki,” katanya.

Ditanya mengenai sebilangan lelaki meninggalkan pasangan selepas isteri menghidap sakit kronik, Dr Haslee berkata, ia adalah normal.

“Ia bukan saja berlaku kepada wanita, malah ada juga kes suaminya menghidap sakit kronik lalu ditinggalkan isteri kerana tidak sanggup menanggung beban.

“Semuanya bergantung kepada individu sama ada hendak kekal menjadi suami isteri mithali kerana kebahagiaan keluarga terletak kepada kedua-duanyanya,” katanya.

Tip suami mithali
Keperluan psikologi
Meningkatkan keyakinan pasangan dengan memberi rasa dimiliki dan kemesraan kepada mereka.
Keperluan kuasa
Menjaga harga diri pasangan dengan mengambil kira pandangan isteri dalam apa juga tindakan.
Kebebasan
Memberi ruang kepada pasangan membuat keputusan bersama dalam rumah tangga.
Keseronokan
Memberi kebahagiaan kepada pasangan dengan mengamalkan kemesraan dalam rumah tangga.

Tip rumah tangga bahagia
Berbicara lemah lembut, memanggil dan memandang dengan kasih sayang antara suami dengan isteri.
Membersihkan diri, penampilan rapi dan bersih. berhias dan memakai wangi-wangian.
Jujur dan amanah, jangan memandang rendah pasangan, saling mengalah dan memaafkan dan paling penting perhatikan kelebihan pasangan, malah sekiranya ada kekurangan, segera tutup daripada pengetahuan orang.
Jangan mencela masakan isteri, berusaha meringankan beban kerja pasangan.
Tidak membandingkannya dengan orang lain
Jauhi hal menimbulkan rasa cemburu.
Selalu berpegangan tangan, bergurau senda, saling membelai kerana dengan cara ini pasangan akan merasai dirinya sentiasa diperlukan.
Jadikan kamar tidur tempat peribadi, bersih, harum dan masa menyenangkan pasangan.
Saling menasihati dan cuba meringankan beban ditanggung pasangan.
Peruntukkan waktu khusus bersama pasangan seperti makan bersama, solat berjemaah pada waktu tertentu seperti Maghrib dan Isyak, bersiar-siar dengan anak di taman.
Saling mendoakan dan merindui apabila berjauhan. 

Sumber : Berita Harian