Monday, 6 August 2012

Masih Belum Terlewat : Selamat Ulangtahun Puteri UMNO ke-11 tahun

SEJARAH PUTERI UMNO


Penubuhan Puteri UMNO dipersetujui secara prinsip oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti pada 10 Julai 2000 bertujuan untuk menarik lebih ramai golongan wanita muda menyertai UMNO. Bagaimanapun tarikh 16 Oktober 2000 mencatat satu lagi sejarah bagi UMNO kerana Majlis Kerja Tertinggi bersetuju secara rasmi menubuhkan Puteri UMNO – satu lagi gerakan penting dalam parti.

Cadangan penubuhan Puteri UMNO ini diputuskan oleh Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada Julai 2000. Majlis Tertinggi bersetuju secara prinsipnya menubuhkan Puteri UMNO bagi memenuhi keperluan golongan wanita muda yang berminat menyertai parti itu.

Justeru, pada 9 April 2001 hari Isnin, Puteri UMNO dengan rasminya diperkenalkan kepada umum. Bagi merealisasikan Puteri UMNO sebagai barisan yang mampu bertindak secara profesional dalam parti di kalangan wanita muda, YB Datuk Azalina telah dilantik menjadi Ketua Penaja Puteri UMNO. Bersama beliau juga dilantik beberapa barisan Exco yang mampu mendukung cita-cita parti mengekalkan kedaulatan Melayu.

Pada 3 Ogos 2001 tercatat satu lagi sejarah dalam kamus parti UMNO apabila sayapnya, Puteri dilancarkan oleh YAB Presiden UMNO, Tun Mahathir Mohamad di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Selepas berusia 55 tahun, akhirnya UMNO mengambil keputusan untuk ‘melahirkan’ seorang puteri bagi memantapkan barisan perjuangan yang sedia ada sejak 1946. Puteri UMNO yang diilhamkan sendiri oleh Presiden UMNO, adalah pelengkap kepada Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita UMNO yang sedia ada.

Puteri UMNO dicadangkan kepada wanita Bumiputera yang berusia 18 hingga 40 tahun tetapi setelah dibahaskan di dalam MKT, had umur yang dipersetujui ialah 18 hingga 35 tahun. Oleh yang demikian, setiap wanita warganegara Malaysia berstatus Bumiputera berusia 18 hingga 35 tahun boleh menjadi ahli Puteri UMNO.

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO

Pada 20 hingga 23 Jun 2001 adalah julung kali Perhimpunan Agung UMNO menerima ‘tetamu baru’ apabila 25 pemimpin PUteri menyertai perhimpunan tersebut. Biarpun bertaraf pemerhati, delegasi Puteri yang menyertai perhimpunan itu mendapat perhatian banyak pihak terutamanya media dan pemimpin tertinggi parti. Paling membanggakan apabila Ketua Puteri , Azalina Othman Said berucap pada hari kedua perhimpunan tersebut iaitu 22 jun 2001. 

Dengan suara lantang penuh sopan, beliau menyuarakan segala cita-cita Puteri dan arah tuju Puteri dalam usaha berjuang bersama pemimpin lain. Beliau juga menjelaskan bahawa perjuangan Puteri adalah selari dengan sayap UMNO yang lain cuma pendekatan yang sedikit berbeza dilakukan bagi disesuaikan dengan sasaran. 

Perhimpunan ini juga adalah kesempatan kepada pemimpin Puteri untuk beramah mesra dan mengenali sekian ramai ahli UMNO yang menyertai perhimpunan tersebut sama ada sebagai perwakilan atau pemerhati. Sewaktu berlangsungnya perhimpunan ini dua pemimpin Puteri telah ditemuramah oleh RTM dan disiarkan secara langsung oleh RTM. 

Ketua Penerangan Puteri, Mastina Abdul Hamid diundang bagi membincangkan isu politik dan generasi muda bagi membincangkan isu politik dan generasi muda bersama Exco Pergerakan Wanita UMNO Dr. Noraesah Mohamad dan Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Adham Baba. 

Manakala, Exco Perhubungan Media, Siti Rohayah Attan juga ditemuramah secara langsung oleh RTM bersama Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Azimi Daim bagi membincangkan soal globalisasi.

03 Ogos 2012

Masih muda tidak bererti tidak matang.. kerana UMNO selalu mengharungi dugaan yang terlalu hebat, maka Pergerakan Puteri UMNO segera melalui tempoh matang. Sepak terajang di dalam politik bukan lagi perkara baru. Ianya satu lumrah dan hari ini pencapaian mengharungi dugaan itu sama-sama ditempuhi. 

Tahniah buat semua pemimpin muda. Perubahan iklim perjuangan telah menjadikan diri kita terus kuat dan perkasa.


No comments:

Post a Comment