Thursday 21 March 2013

Haramkan cara pelancaran yang mengundang bahaya kepada orang awam

Assalamualaikum wth.,



Terkejut dengan apa yang berlaku dan satu sahaja terkeluar dari hati nurani saya. 

Adakah semua persiapan itu sudah dimaklumkan kepada bahagian protokol Kerajaan Negeri. Tak kala mendengar beberapa gimik pelancaran di majlis perasmian padang tiruan malam tadi.. hati saya sudah terdetik, adakah selamat pelancaran ini??

Maha suci Allah, Pencipta sekian alam, saya akui, ajal dan maut itu milik Allah, namun kita boleh merancang perkara baik untuk menghindarkan kemalangan yang berkemungkinan berlaku. Namun, jika takdir Allah telah tercatat.. jika Dia berkehendak. maka terjadilah ia.. Jika Dia tidak berkehendak.. jika dirancang bagaimana pun, jika ditakdirkan tidak berlaku.. ia tidak akan berlaku..

Bukan niat di hati untuk mengungkit diri tidak dijemput ke majlis tersebut, tetapi memikirkan dan merenungkan, kemalangan tersebut boleh dielakkan jika perbincangan dan maklumam awal di buat. Mungkin ada beberapa cadangan lain boleh dibuat mengikut kesesuaian.

Memandangkan perkara serupa pernah berlaku tahun lalu, ketika majlis pecah tanah pembinaan banggunan MAINS di Taman Tasik Seremban, mujur sahaja tidak berlaku kemalangan jiwa, tetapi hari ini.. langit tidak selalunya cerah.. adakala mendung, adakala hujan tak berhenti.. telah mengorbankan satu nyawa masih kecil dan Insha Allah, tempatnya pasti di syurga idaman.

Saya mengucapkan takziah kepada keluarga Encik Banee Yamin Idris, 35 tahun kerana terlibat di dalam kemalangan ketika menyaksikan penyempurnaan padang tiruan di Kombes, malam tadi.

Helicopter RC yang digunakan sebagai gimik pelancaran telah terhempas di khalayak ramai dan mengorbankan adik Nur Damia Husnina Banee Yamin, 1 tahun 6 bulan yang tidak berdosa. Semoga roh adik dicucuri rahmat dan mendoakan kehidupan ibu bapa yang masih hidup di dunia ini.

Insha Allah, saya akan menjenguk keluarga adik Nur Damia Husnina, pagi ini untuk memberi sokongan moral tanpa belah bahagi. Sesungguhnya, kejadian yang berlaku amat menyedihkan.

Bukan sikap saya mahu menuding jari menyalahkan sesiapa, namun kepada pihak yang difikirkan perlu bertanggungjawab, tampillah kehadapan dan berilah sokongan moral kepada keluarga mangsa ini. Janganlah mahu dilepaskan tanggungjawab itu kepada pihak yang dijemput hadir.  

Sedangkan tetamu yang dijemput hadir tidak dimaklumkan majlis gimik yang hendak dilakukan. Fikirlah tentang faktor keselamatan dan keselesaan orang awam. Tak perlu untuk nampak gah.. namun akhirnya, ada insan lain menanggung derita.

Nyawa tidak ada galang gantinya. Kegembiraan dirobek sepantas kilat.. amat menyedihkan..


SEREMBAN: Kemeriahan pelancaran padang bola sintetik pertama di Malaysia bertukar tragedi ngeri apabila seorang bayi perempuan berusia 18 bulan maut terkena bilah helikopter kawalan jauh yang diterbangkan sebagai gimik perasmian di Kompleks Belia dan Sukan Paroi dekat sini, malam tadi.

Nur Damia Husnina yang mengalami kecederaan di kepala itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban manakala bapanya berusia 40-an yang turut cedera di kepala dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut. 

Dalam kejadian kira-kira jam 9.55 malam itu, bayi terbabit dikatakan sedang tidur nyenyak di bahu bapanya yang berdiri tidak jauh dari pentas utama ketika majlis perasmian padang rumput tiruan jenis ‘field turf’ bernilai RM2.5 juta yang disempurnakan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah serta diiringi Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan. 

Sebuah helikopter kawalan jauh diterbangkan sebagai sebahagian daripada gimik pelancaran, malangnya pengendali peralatan itu hilang kawalan menyebabkan ia jatuh menimpa penonton.

Difahamkan, selain bayi dan bapanya, tiga lagi mangsa yang belum dipastikan identitinya turut cedera terkena serpihan helikopter berkenaan.