Abil Fikri tetap berdoa agar isterinya pulih.
IBARAT
satu dalam seribu. Begitulah tanggapan masyarakat apabila menggambarkan
kewujudan suami mithali yang sanggup berkorban menjaga isteri sakit dan
anak tanpa alasan.
Kisah
pengorbanan bekas perunding kewangan swasta, Abil Fikir, 43, menjaga
isterinya yang terlantar sakit akibat kerosakan otak. Meskipun tugas
menjaga isterinya agak sukar, beliau tetap meneruskannya kerana
menganggap penyakit dialami isterinya bukan satu bebanan, sebaliknya
amanah yang perlu ditunaikan sebagai suami.
Apabila timbulnya isah suami membantu isteri menguruskan hal rumah
tangga kerana isteri sedang sakit, ia menjadi sesuatu yang luar biasa," -
Dr Rubiah K Hamzah, Pakar Motivasi Kekeluargaan
Tabah
dengan dugaan dan cabaran, Abil tidak terlintas mahu menjaja cerita
mengenai pengorbanannya. Namun, ramai memujinya, memberi maklum balas
positif dan menganggap beliau suami mithali.
Mana
tidaknya, persepsi ini wujud kerana dalam budaya masyarakat kita,
tumpuan suami lebih kepada kerjaya dan apabila pulang ke rumah,
kebanyakannya membiarkan beban rumah tangga diuruskan isteri.
Alasan
mereka ialah letih dan tidak mampu buat kerja selepas berhempas-pulas
di pejabat, walhal wanita juga memikul tanggungjawab sama dalam membantu
mencari nafkah keluarga.
Pandangan
negatif itu terus merebak dalam pemikiran masyarakat yang sering
disajikan dengan kisah suami curang, tidak bertanggungjawab dan
penderaan seksual.
Ubah budaya
Statistik
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) misalnya, menunjukkan seramai
137,570 atau 21 peratus daripada 651,851 pasangan Melayu Islam berkahwin
bagi tempoh 2005 hingga 2010 bercerai selepas lima tahun berkahwin.
Malah,
statistik JAKIM pada 2009, menyatakan kadar perceraian dalam kalangan
pasangan suami isteri Islam di negara ini berlaku dalam tempoh setiap 15
minit.
Apabila
berlaku perceraian, masyarakat mula memandang serong kepada golongan
Adam kerana mereka mempunyai kuasa menjatuhkan talak.
Hakikatnya,
lelaki adalah insan hebat dipilih Allah untuk menjadi khalifah di muka
bumi ini yang mana mereka menjadi tonggak keharmonian keluarga,
kesejahteraan dan hala tuju keluarga dalam mencapai matlamat.
Justeru,
tidak salah jika suami turun padang membantu isteri. Jika setiap hari
isteri bertungkus- lumus memasak, membasuh dan mengemas rumah, suami
yang tidak mahir memasak makanan berat seperti lauk-pauk, cukup sekadar
menggoreng ikan atau telur. Cuba perhatikan isteri sedang menikmati
makanan dimasak itu, tentu berasa gembira.
Dilihat luar biasa
Suami
mithali menjadi kebanggaan isteri. Membantu isteri melakukan kerja
rumah bukan saja dapat meringankan beban, tetapi turut mengeratkan kasih
sayang dan membahagiakan pasangan. Persoalannya, sejauh manakah
kebenaran suami mithali semakin pupus.
Bagi
Pakar Motivasi Kekeluargaan, Dr Robiah K Hamzah, kewujudan suami
mithali dalam institusi kekeluargaan tidak boleh dinafikan, sebaliknya
disokong supaya menjadi budaya dalam masyarakat.
Katanya,
budaya dalam rumah tangga dan perbezaan pemikiran suami isteri
menyebabkan masyarakat menganggap kewujudan suami mithali yang memikul
tanggungjawab isteri sebagai sesuatu yang luar biasa.
“Budaya
masyarakat kita, suami bertanggungjawab mencari nafkah, manakala isteri
bertanggungjawab menguruskan rumah tangga walaupun hakikatnya wanita
masa kini turut memikul tugas mencari nafkah bersama suami.
“Jadi,
apabila timbulnya kisah suami membantu isteri menguruskan hal rumah
tangga kerana isteri sedang sakit, ia menjadi sesuatu yang luar biasa,”
katanya.
Tambahnya lagi, budaya itu harus diubah memandangkan kebanyakan isteri turut memikul tanggungjawab suami dengan bekerja di luar.
Robiah
berkata, sebagai ketua keluarga, tidak salah sekiranya suami membantu
isteri menguruskan rumah tangga, apatah pula apabila isteri sedang sakit
dan memerlukan tempat bergantung.
“Namun,
menjadi isu besar ialah cara pemikiran berbeza yang mana bagi wanita,
jika dia menyayangi suami, hati dan mindanya akan tertutup pada lelaki
lain.
“Berlainan
lelaki, walaupun mereka sayang kepada isteri, tetapi fikiran mereka
tetap boleh dibuka kepada perempuan lain. Inilah perlu dikawal kerana
jika tidak, ia akan membawa masalah kepada rumah tangga,” katanya.
Justeru,
beliau menyarankan supaya suami isteri mendalami dan memahami peranan
masing-masing dalam usaha menjadi pasangan mithali.
Suami ditinggal isteri
Pakar
Perunding, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti
Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Dr Haslee Sharil Abdullah, berkata
masyarakat sering meletakkan kesalahan di bahu suami apabila berlaku
perceraian kerana masih terperangkap dengan kisah fantasi dalam novel
dan media massa.
Katanya,
berdasarkan pengalamannya menguruskan kaunseling perkahwinan dan
keluarga, masih ramai suami mithali yang menjalankan tanggungjawab
dengan baik, namun masih ditinggalkan si isteri.
“Cuma
sebahagian daripada mereka lebih senang menyimpan keaiban isteri kerana
bimbang dengan pandangan masyarakat, lalu memilih untuk berpisah cara
baik.
“Wanita
lebih beremosi dalam hal seperti ini lalu kisah mereka lebih gemar
dipaparkan dalam akhbar dan televisyen berbanding lelaki,” katanya.
Ditanya
mengenai sebilangan lelaki meninggalkan pasangan selepas isteri
menghidap sakit kronik, Dr Haslee berkata, ia adalah normal.
“Ia
bukan saja berlaku kepada wanita, malah ada juga kes suaminya menghidap
sakit kronik lalu ditinggalkan isteri kerana tidak sanggup menanggung
beban.
“Semuanya
bergantung kepada individu sama ada hendak kekal menjadi suami isteri
mithali kerana kebahagiaan keluarga terletak kepada kedua-duanyanya,”
katanya.
Tip suami mithali
Keperluan psikologi
Meningkatkan keyakinan pasangan dengan memberi rasa dimiliki dan kemesraan kepada mereka.
Keperluan kuasa
Menjaga harga diri pasangan dengan mengambil kira pandangan isteri dalam apa juga tindakan.
Kebebasan
Memberi ruang kepada pasangan membuat keputusan bersama dalam rumah tangga.
Keseronokan
Memberi kebahagiaan kepada pasangan dengan mengamalkan kemesraan dalam rumah tangga.
Tip rumah tangga bahagia
Berbicara lemah lembut, memanggil dan memandang dengan kasih sayang antara suami dengan isteri.
Membersihkan diri, penampilan rapi dan bersih. berhias dan memakai wangi-wangian.
Jujur
dan amanah, jangan memandang rendah pasangan, saling mengalah dan
memaafkan dan paling penting perhatikan kelebihan pasangan, malah
sekiranya ada kekurangan, segera tutup daripada pengetahuan orang.
Jangan mencela masakan isteri, berusaha meringankan beban kerja pasangan.
Tidak membandingkannya dengan orang lain
Jauhi hal menimbulkan rasa cemburu.
Selalu
berpegangan tangan, bergurau senda, saling membelai kerana dengan cara
ini pasangan akan merasai dirinya sentiasa diperlukan.
Jadikan kamar tidur tempat peribadi, bersih, harum dan masa menyenangkan pasangan.
Saling menasihati dan cuba meringankan beban ditanggung pasangan.
Peruntukkan
waktu khusus bersama pasangan seperti makan bersama, solat berjemaah
pada waktu tertentu seperti Maghrib dan Isyak, bersiar-siar dengan anak
di taman.
Saling mendoakan dan merindui apabila berjauhan.
Sumber : Berita Harian