Monday, 12 March 2012

Peranan Belia Diiktiraf Yang DiPertuan Agong

TITAH YANG DIPERTUAN AGONG : BELIA ASET PENTING NEGARA


Tuanku Abdul Halim bertitah :

Peranan golongan belia turut disentuh baginda yang menyarankan supaya para belia negara ini menggunakan segala ruang dan peluang yang ada untuk ke peringkat yang lebih tinggi.

Titah baginda golongan belia yang merupakan kira-kira 46 peratus daripada penduduk negara ini adalah aset penting dan pewaris yang akan meneruskan kesinambungan pembangunan negara.

"Yakinlah bahawa belia senantiasa dekat di hati kerajaan beta dan kerajaan tidak akan menyisihkan golongan belia kerana tanpa belia, hilanglah jantung negara," titah baginda


Antara titah  baginda, Sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-12 di Dewan Rakyat.

PS Amat tertarik dengan apa yang dititahkan oleh Yang Di Pertuan Agong, bahawasanya golongan belia merupakan aset penting dan pewaris negara. Belia juga adalah nadi dan jantung negara kita ini. Amat besar dan mendalam makna titah baginda tentang peranan dan tanggungjawab belia.

Oleh itu, bukalah mata hati kita dan janganlah menidakkan realiti sebenar kewujudan serta peranan belia di dalam usaha membangunkan kemajuan negeri ataupun negara dan peranan belia juga melibatkan semua aspek kehidupan seperti Penentu Porla Politik Semasa, Sosio Ekonomi Setempat/Negeri/Negara, Elemen Keagamaan, Kebudayaan dan Sosial serta Perpaduan Nasional yang berteraskan 1Malaysia.

Untuk Belia Negeri Sembilan, ayuh kita berganding bahu, eratkan perpaduan yang sedia ada demi kemajuan belia N.Sembilan untuk hari-hari mendatang. Pelbagai program serta perancangan yang telah dan akan diaturkan, agar denyut nadi belia N.Sembilan dapat dirasai oleh semua peringkat masyarakat sama ada tua, muda, miskin atau pun kaya. Kita harus bergerak mara ke depan agar suara belia menjadi suara keramat.

Ini kerana Belia N.Sembilan lebih kepada "merencana kemajuan" dan bukan "bermain politik demi kepentingan jawatan"

Salam Transformasi Paradigma Belia Alaf Baru
"Suara belia Bersatu, Tidak Dapat Dikalahkan"



Semangat Juang Seorang Wanita

Mengenali Pejuang Wanita Pertama Negara dan Semangat Kepada Anak Muda/Belia.

Sempena Hari Wanita Sedunia tempoh hari, PS rasa terpanggil untuk memaparkan bingkisan serta kisah perjuangan Tokoh Pemimpin Wanita Pertama Negara yang menjadi inspirasi, iaitu  Tun Tan Sri Dr. Fatimah Hashim. Beliau dilahirkan pada 25hb Disember 1924.

Pendidikan.
Beliau dilahirkan di Parit Kurma, Muar, Johor dan menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Lelaki Parit Keroma, Muar kerana ketika itu belum ada sekolah untuk murid perempuan di kampung tersebut. Beliau kemudian menyambung pelajarannya di Sekolah Melayu Perempuan Mersing dan belajar Bahasa Inggeris di sekolah malam dengan salah seorang guru Sekolah Convent Johor Bahru.

Begitulah kegigihan beliau untuk mendapatkan ilmu pendidikan bagi mempersiapkan ilmu didada dalam mendepani hari hari yang mendatang. Tun Fatimah mula menunjukkan minat terhadap kerja-kerja kebajikan sejak di bangku sekolah lagi.

Kerjaya Politik.
Tun Fatimah juga pernah menjadi seorang guru pada ketika dulu sebelum bergiat aktif didalam bidang politik pada tahun 1947 ketika berusia 21 tahun. Beliau menganggotai Pergerakan Kaum Ibu (UMNO) Cawangan Kampung Nong Chik, Johor Bahru dan memegang jawatan Bendahari serta kemudiannya Setiausaha Kaum Ibu Cawangan Johor Bahru. Pergerakan Kaum Ibu UMNO kini dikenali dengan nama Wanita UMNO.

Pada tahun 1956 semasa berpindah ke Perak, Tun Fatimah telah dipilih menjadi Ketua Pergerakan Kaum Ibu Negeri Perak dan dalam masa yang sama, memegang jawatan Ketua Bahagian Ipoh. Dalam tahun itu juga beliau telah dilantik Ketua Pergerakan Kaum Ibu Malaya (11hb September 1956-1972) , menggantikan tempat Khadijah Sidek.

Sebagai Ketua Pergerakan Kaum Ibu UMNO, beliau secara automatik menjadi Naib Yang Dipertua UMNO Malaysia dan menduduki kerusi di Jawatankuasa Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ahli Jawatankuasa Kewangan UMNO dan Ahli Jawatankuasa Politik. Semasa memimpin Pergerakan Kaum Ibu UMNO, beliau berjaya membawa wanita-wanita muda melibatkan diri dalam bidang politik dan sekaligus menyertai UMNO.

Pada tahun 1959, Fatimah sekali lagi berpindah mengikut suaminya ke Kedah. Di dalam masa yang sama, beliau telah dipilih menjadi calon Pilihan Raya bagi kawasan Jitra-Padang Terap. Kemenangan memihak kepadanya dan menjadikan beliau sebagai ahli Parlimen bagi kawasan tersebut tiga kali berturut-turut.

Kejayaan terus dilakarkan lagi dengan perlantikkan sebagai Menteri Kebajikan Am pada 20hb Mei 1969 dan menjadikan beliau sebagai Wanita Malaysia Pertama menjawat jawatan Menteri. Beliau memegang jawatan tersebut selama empat tahun sehingga bersara pada bulan Februari 1973.

Beliau juga merupakan tokoh dan juga pengasas kepada perayaan Hari Wanita di Malaysia yang disambut pada 25 Ogos setiap tahun dan merupakan satu perayaan yang kekal disambut sehingga sekarang.

Selepas pelancaran Hari Wanita, MajlisKebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (National Council of Women’s Organisations, NCWO) ditubuhkan. NCWO merupakan sebuah badan gabungan pertubuhan-pertubuhan wanita yang bertujuan, antara lain untuk dijadikan urusetia perayaan Hari Wanita di samping menangani persoalan-persoalan wanita semasa dan beliau telah menerajui NCWO selama 24 tahun sehingga bersara daripada jawatan pada tahun 1989.

Jasa dan pengorbanan Tun Fatimah amat besar kepada Pembangunan dan Kemajuan serta nasib Wanita di Malaysia. Tun Fatimah meninggal dunia pada 9 Januari 2010 dalam usia 85 tahun kerana sakit tua.

Begitulah kegigihan seorang Pejuang Wanita negara. Ianya menjadi Inspirasi dan Kebanggaan kepada golongan wanita disetiap pelusuk tanah air yang tidak perlu kta lupakan. Perjuangannya juga telah membakar semangat saya dalam memperjuangkan bukan sahaja untuk golongan wanita, malah kepada semua lapisan masyarakat supaya kita akan terus makmur dan menikmati hasil kemakmuran dan pembangunan negara.

Ianya bermula dengan iltizam dan keyakinan kita terhadap UMNO yang sudah pasti mempunyai rekod dan sejarahnya yang tersendiri dalam membela nasib rakyat. Transformasi dan penambahbaikan telah dilakukan. Kepada anak muda/belia, kita seharusnya berpijak dibumi yang nyata, bahawasanya kita adalah penyambung dan penerima faedah pejuang terdahulu. Janganlah pula kita menghancurkannya. Sokongan serta dokongan dari anda semua amat diperlukan. Hanya kita, anak muda sahaja yang dapat mengekalkan apa yang telah diwarisi ini.


Salam Perjuangan Anak Muda Untuk Semua

"Transformasi Paradigma Belia Alaf Baru"

Selamat Bersidang.

Pembukaan Parlimen



Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, hari ini merasmikan pembukaan mesyuarat pertama penggal kelima persidangan Parlimen ke-12.

Upacara perasmian itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri Kabinet serta perwakilan asing.

Dewan Rakyat mula bersidang esok hingga 12 April dan Dewan Negara mulai 23 April hingga 10 Mei.

PS mengucapkan Selamat Bersidang kepada seluruh Ahli Parlimen Malaysia dan agar dapat membahaskan segala usul yang dibawa demi kepentingan rakyat dan Negara. Kecemerlangan dan Kejayaan harus ditingkatkan disamping terus membantu kelangsungan hidup rakyat jelata yang kadang kala terhimpit oleh kos kehidupan yang tinggi dan mendadak.

Tetapi PS penuh yakin dan percaya, kerajaan yang ada sekarang adalah kerajaan berjiwa rakyat dan perihatin serta merasai denyut nadi rakyat sama ada di desa mahu pun dikota.