Saturday, 22 December 2012

Persatuan Belia digesa fokus mengisi ruang pekerjaan dalam sektor perindustrian


Seremban, – Di Negeri Sembilan, sektor perindustrian dan perkilangan merupakan faktor utama perkembangan ekonomi negeri ini.

Kerajaan Negeri telah membuka pintu pelaburan kepada perindustrian dan perkilangan yang hendak beroperasi di negeri ini sejak beberapa tahun lalu.

Sektor ini turut menyumbang peningkatan GTP negeri sebanyak 5.9% berbanding GTP negara 5.1% pada tahun lalu.

Namun, sejak kebelakangan ini berlaku kekurangan pekerja di sektor ini dan masalah ini sering dibincangkan dalam mesyuarat pelaburan negeri setiap tiga bulan sekali.

Menurut Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan di sidang media ringkas selepas mesyuarat mingguan EXCO di Wisma Negeri semalam, Kerajaan Negeri mengeluarkan arahan dan syarat kepada perindustrian agar mengurangkan pengambilan pekerja asing sehingga 50% kerana peningkatan pekerja asing di negeri ini pernah mencapai sehingga 80-85% dan amat mengusarkan penduduk tempatan.

“apabila kita mengeluarkan arahan sejak dua tahun lalu pula, masalah kekurangan pekerja dihadapi oleh sektor perindustrian ini pula sehingga Kerajaan Negeri turut memandang masalah ini secara serius.”

“Ia turut dibangkitkan dalam mesyuarat pelaburan, kilang-kilang Malaysia telah mengemukakan masalah kesukaran mendapat pekerja. Jika ada yang bekerja, tidak tahan lama, mungkin ini perangai pemuda tempatan di sini.”

Tambah Menteri Besar lagi, “jika sektor ini terjejas dan menghadapi masalah ia akan menjejaskan ekonomi kita dalam masa yang sama, dalam dialog bersama Majlis Pembangunan Belia Negeri (MPBN), mereka melontarkan tak ada peluang pekerjaan.”

“tetapi dalam masa yang sama, kita turut hairan, belia tempatan umpama nenek kebayan, siang tidur, malam berjaga. Semua perlu melihat, kewajipan dan keutamaan yang diberikan kerajaan sehingga kepada peluang pekerjaan, tetapi mereka sendiri tak pernah mahu merebut peluang ini.” tambah beliau lagi.

“Ini merupakan dilema dan Persatuan Belia perlu sahut cabaran ini. Dulu minta jangan diutamakan orang luar..

“Kerajaan Negeri tidak akan bertolak ansur dengan beberapa kumpulan yang menuntut perkara ini sekiranya ia tidak mencapai apa yang pernah mereka minta, apa yang penting sektor perindustrian negeri ini berkembang pesat yang telah menjadi faktor utama negeri ini.” tambahnya lagi.

“Jika ini terus-terusan berlaku, Kerajaan Negeri tidak teragak-agak untuk membuat keputusan yang tidak popular.. apa yang penting bukan populariti.. tetapi ini merupakan langkah terbaik bagi memastikan ekonomi negeri ini akan terus berkembang dan menjadi penyumbang utama.

Sambung beliau, “Kerajaan Negeri mengeluarkan arahan secara pentadbiran kerana dasar perindustrian dikeluarkan melalui Kerajaan Pusat. Tetapi sekiranya masalah ini tidak ditangani, kita tidak teragak-agak untuk membenarkan pekilang mengambil pekerja asing lebih dari 50%.”

Sumber : n9kini.com

No comments:

Post a Comment