BELIA DAN ANAK MUDA MEMBENCI GEJALA RASUAH. | ||||||||
PS amat tertarik dengan kesungguhan pucuk pimpinan negara yang diterajui oleh YAB.Datuk Seri Mohd Najib Bin Abd.Razak untuk membenteras musuh no 1 negara ketika ini adalah Rasuah. Iltizam dan pendekatan yang diambil oleh pemerintah negara perlukan sokongan dan dokongan semua agar gejala rasuah ini dapat dihapuskan terus bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan negara.
PS juga menyeru kepada golongan Belia dan Anak Muda yang terdiri pelbagai Bangsa dan Agama agar memandang serius gejala ini.Tidak keterlaluan budaya ini adalah budaya sejak dari dulu lagi dan sudah tiba masanya, semua generasi belia dan anak muda menolak budaya ini. Kita akan bersama-sama melakukan transformasi total yang berbudaya baru.
Kepada golongan belia, anak muda dan masyarakat sekalian, marilah kita membaca dan selami intipati ucapan YAB Perdana Menteri berkaitan gejala rasuah dan peranan kerajaan untuk mengatasinya.
Intipati Ucapan YAB.Perdana Menteri Malaysia....Sempena Perasmian Program Pegawai Intergriti Bertauliah.
1. Alhamdulillah, saya memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan kurnia-Nya maka saya dapat berada di Majlis Perasmian Program Pegawai Integriti Bertauliah pada petang yang amat bermakna ini.
2. Saya
ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak
penganjur Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana sudi
menjemput saya untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan
Program Pegawai Integriti Bertauliah ini.
3. Sesungguhnya
kehadiran tuan-tuan dan puan-puan di majlis ini
menggambarkan kesungguhan dan keazaman kita semua untuk bersama-sama
Kerajaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam memerangi
gejala rasuah ini. Ada kalanya, kesungguhan dan keazaman ini tidak hanya
berputik daripada kata-kata tetapi memerlukan suatu tindakan untuk
memastikan ianya benar-benar berjaya dikekang dan diperangi secara
serius. Syukur alhamdulillah, usaha-usaha kita sejak sekian lama jelas
telah membuahkan hasil, walaupun kita akui masih ada ruang untuk
peningkatan dan penambahbaikan.
4. Walau
apa pun, yang perlu ditegaskan ialah komitment bahawa memerangi jenayah
rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan merupakan agenda utama
kerajaan. Saya sedar bahawa memerangi rasuah ini merupakan cabaran yang
besar dan ranjau yang berliku, yang memungkinkan tindak balas oleh
pihak-pihak tertentu yang selama ini begitu selesa dalam aktiviti tidak
beretika lagi bersifat jenayah yang mereka fikirkan tersembunyi dari
mata penguatkuasa undang-undang. Tapi kata orang sepandai-pandai tupai
melompat akhirnya pasti jatuh ke tanah. Kepada golongan-golongan ini,
saya ingin berpesan bahawa saat penentuan semakin hampir, kerana pihak
berkuasa tidak akan berhenti dari usaha-usaha mereka membenteras jenayah
dan salah laku, dan akhirnya yang melakukan kesalahan pastinya akan
dibawa ke muka pengadilan.
5. Kerajaan terus memandang rasuah sebagai musuh nombor 1 Negara
dan kita akan bersama-sama akan memeranginya habis-habisan. Rasuah
memusnahkan niat murni kerajaan membantu rakyat dan menggagalkan
perlaksanaan dasar yang telah dirancang rapi. Justeru, demi rakyat dan
masa depan negara, kita tidak boleh kompromi dalam membasmi rasuah. Ini
menjadi kewajiban setiap dari kita yang berada di dalam kerajaan dan
perkhidmatan awam, dan inilah sebenarnya jua kehendak rakyat. Rakyat
menginginkan sebuah Kerajaan yang amanah, bersih dan berintegriti. Jauh
sekali sekadar ungkapan kosong, bersih, beramanah dan berintegriti perlu
diterjemahkan dan terserlah dalam segenap ruang perlaksanaan tugas dan
tanggungjawab. Kita sedar bahawa rakyat pada hari ini mempunyai tahap
pemikiran yang kritis dan tajam untuk menilai prestasi kerajaan dan
pihak berkuasa. Dan tututan utama mereka ialah perubahan yang ketara
dalam urus tadbir negara, termasuklah proses yang lebih telus dalam
perlaksanaan dasar-dasar yang jelas meletakkan kesenangan dan kebajikan
rakyat sebagai prioriti. Bertolak dari kesedaran tentang kehendak rakyat
itulah, Kerajaan telah pun melaksanakan proses perubahan
atau”transformasi” dalam dua bidang utama iaitu ekonomi menerusi Pelan
Transformasi Ekonomi (ETP) dan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP).
6. Proses
transformasi ini amat penting dan signifikan memandangkan
perubahan-perubahan dari segi dasar dan program-program yang
diperkenalkan akan membawa negara ini mencapai status negara maju
mengikut acuan kita sendiri iaitu rakyatnya hidup dalam penuh
kemakmuran, keharmonian, bersatu padu dan berpegang kepada ajaran agama
serta moral yang tinggi.
7. Bagi
mencapai matlamat itu, di bawah Pelan Transformasi Kerajaan (GTP)
sebanyak 6 Bidang Keberhasilan Negara atau (NKRA) telah diperkenalkan
meliputi bidang-bidang kritikal yang perlu dititikberatkan kerana
membabitkan banyak pihak terutama rakyat selain mengukuhkan jentera
kerajaan menuju status berpendapatan tinggi, maju dan dinamik.
INISIATIF DI BAWAH NKRA RASUAH
8. NKRA
Membanteras Rasuah telah dikenal pasti sebagai salah satu bidang
kritikal dan penting untuk diperhalus dan ditambah baik. Sebanyak 27
inisiatif telah pun diperkenalkan oleh Kerajaan bagi memperkukuhkan
aspek pencegahan jenayah rasuah
9. Pelbagai
pencapaian inisiatif dapat dilihat sejak tahun 2010, antaranya Akta
Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dikuatkuasakan sejak 15 Disember
2010, 14 buah Mahkamah Sesyen Rasuah telah ditubuhkan dan mula
beroperasi pada 16 Februari 2011, akses rakyat kepada perwujudan
pangkalan Data Pesalah Rasuah di laman web SPRM dan setakat ini telah
memaparkan lebih 793 nama pesalah rasuah dan inisiatif-inisiatif lain
yang masih dalam pelaksanaan. Ini termasuk proses pusingan kerja bagi
individu dan jawatan-jawatan yang dianggap sebagai "hot spot"
dilaksanakan untuk mengurangkan perhubungan dan mengelakkan wujudnya
ruang dan peluang untuk melakukan perlakuan rasuah.
10. Seterusnya,
bagi memastikan setiap undang-undang di Malaysia telus dan mengambil
kira pandangan setiap pihak sebelum ia di kuatkuasakan, Kerajaan
menerusi Kementerian-Kementerian bercadang memaparkan setiap draf rang
undang-undang di laman web Kementerian masing-masing bagi mendapatkan
pandangan umum dan pihak yang terlibat bagi suatu tempoh yang ditetapkan
kelak sebelum ia dimuktamadkan. Ini akan menangkis persepsi umum dan
antarabangsa bahawa kononnya terdapat undang-undang yang hanya mengambil
kira kepentingan sesetengah pihak sahaja.
Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin yang saya hormati sekalian,
11. Asas
kepada semua tindakan membenteras rasuah ini ialah kebebasan SPRM
sebagai sebuah agensi penguat kuasa yang diberi kuasa penuh oleh
undang-undang bagi membanteras rasuah di Malaysia.
12. SPRM
bergerak ‘without fear or favour’, tanpa gangguan dari mana-mana pihak
sekali pun. Tidak ada sesiapa pun yang boleh mengarahkan Ketua
Pesuruhjaya SPRM untuk menyiasat atau menghentikan siasatan ke atas
mana-mana individu. SPRM bebas menjalankan siasatan tanpa sebarang
bentuk campur tangan atau halangan daripada mana-mana pihak. Justeru
itu, tohmahan yang mengatakan SPRM mengikut telunjuk dan tunduk kepada
Kerajaan adalah tidak benar sama sekali.
13. Ini
dibuktikan menerusi proses transformasi yang dilalui oleh SPRM.
Perubahan dari Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada Suruhanjaya pada tahun
2009 sebenarnya merupakan proses perubahan yang amat radikal. Kenapa
saya katakan radikal? Ini kerana menerusi kewujudan SPRM, struktur dan
budaya kerjanya telah sama sekali berubah. Kewujudan lima entiti bebas
yang dianggotai oleh seramai 42 orang tokoh daripada pelbagai latar
belakang bidang termasuk ahli-ahli politik daripada pelbagai parti
(termasuk Parti Kerajaan mahupun Pembangkang), bekas-bekas Hakim,
ahli-ahli akademik, ahli-ahli NGO, peguam, tokoh-tokoh korporat dan
bekas-bekas pegawai tinggi kerajaan seperti bekas Ketua Audit Negara dan
bekas Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam memperlihatkan bahawa SPRM
pada hari ini sebenar-benarnya adalah sebuah Suruhanjaya yang benar-benar bebas.
Sehubungan itu Kerajaan menerima teguran, nasihat dan
pandangan-pandangan ini secara serius dengan hati terbuka kerana kita
yakin bahawa yang dicadangkan oleh SPRM adalah untuk kebaikan masyarakat
dan negara.
14. Sepanjang
tempoh penubuhan Suruhanjaya ini, saya telah pun menerima dua laporan
tahunan daripada Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah yang mengandungi
pelbagai cadangan, pandangan dan perakuan yang melibatkan isu-isu
berkaitan rasuah, keperluan dan proses penambahbaikan SPRM secara
keseluruhannya. Kesemua pandangan, cadangan dan perakuan ini telah
dibentangkan dalam Parlimen serta dibincangkan secara telus dan serius
dalam mesyuarat-mesyuarat Jemaah Menteri.
15. Saya
amat menghargai sumbangan yang telah diberikan oleh ahli-ahli dalam
kelima-lima entiti pemantau ini dan merakamkan setinggi-tinggi
penghargaan Kerajaan di atas sumbangan dan kesungguhan yang ditunjukkan.
16. Tanggungjawab
memerangi rasuah bukan tanggungjawab SPRM semata-mata. Untuk memastikan
rasuah berjaya dihapuskan, sokongan dan penglibatan segenap lapisan
masyarakat baik dari segi pimpinan politik, tokoh-tokoh korporat, NGO,
ketua-ketua kampung, para Pendakwah, guru-guru, pelajar-pelajar dan
seluruh masyarakat harus bersama-sama berganding bahu. Rasuah adalah
jenayah dan rasuah hukumnya haram dan salah di sisi undang-undang dan
agama. Justeru itu, usaha memerangi rasuah adalah jihad menentang
kebatilan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
17. Rasuah
tiada kaitan dengan fahaman politik, kepartian, status, kedudukan
mahupun bangsa seseorang. Ia merupakan suatu kesalahan yang amat serius,
melanggar undang-undang negara dan hukum agama. Sesiapa yang terlibat
dengan rasuah dan terbukti bersalah, wajar menerima hukuman. It’s as simple as that. Sebaliknya jika seseorang itu dituduh rasuah tanpa sebarang asas, malah tuduhan liar itu digunakan untuk character assassination tanpa
sebarang bukti, itu juga kesalahan besar. Justeru itu, janganlah kita
menggunakan rasuah sebagai senjata untuk menjatuhkan seseorang. Jika
rasuah dipolitikkan, jika tindakan SPRM dipolitikkan ia akan membawa
kepada natijah yang amat besar dan buruk. Agensi penguatkuasaan akan
menjadi lemah kesan dek tekanan yang diberikan oleh pihak yang
mempolitikkan isu rasuah. Janganlah kita babitkan SPRM ke dalam kancah
politik. Agensi ini bukan parti politik. Mereka bertindak berlandaskan
undang-undang dan bebas dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab. Apa
yang penting kita harus memerangi perasuah dan bukannya agensi yang
membanteras rasuah.
18. Pada
petang yang bersejarah ini, kita bersama-sama meraikan perasmian satu
lagi inisiatif penting pencegahan rasuah di mana satu program yang
dinamakan Program Pegawai Berintegriti Bertauliah atau Certified Integriti Officer
(CeIO) telah diperkenalkan hasil usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia. Syabas dan tahniah kepada SPRM di atas inisiatif ini.
19. Akademi
Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) melalui Pusat Pembangunan Integriti
Korporat pada tahun 2008 telah berjaya membangunkan satu program khas
untuk melahirkan pegawai integriti bertauliah yang berperanan merancang,
melaksana dan memantau keberkesanan program integriti dan pencegahan
rasuah di sektor awam dan swasta. Ia amat penting bagi meningkatkan
kecekapan dan integriti agensi kerajaan termasuk pihak swasta. Pegawai
CeIO ini mampu menangani isu membabitkan integriti di sesebuah
organisasi sehingga ke peringkat akar umbi.
20. Saya
difahamkan setakat hari ini, sebanyak lima buah agensi penguatkuasaan
telah pun menubuhkan Unit Pematuhan yang diketuai oleh Pegawai Integriti
Bertauliah ini iaitu Polis Di Raja Malaysia, Jabatan Imigresen
Malaysia, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia, Jabatan
Pengangkutan Jalan dan SPRM. Saya yakin dan percaya, bahawa semua agensi
Kerajaan termasuk GLC akan membentuk dan mewujudkan unit pematuhan ini
di agensi masing-masing dan kesemua Ketua Jabatan harus memandang serius
akan program ini.
21. Bagi
Syarikat-Syarikat Kepentingan Kerajaan (GLCs), Pihak Khazanah telah pun
menjalinkan persefahaman dan kerjasama erat dengan Akademi Pencegahan
Rasuah Malaysia untuk membangunkan Program CEiO ini bagi melatih dan
membentuk pegawai-pegawai CEiO di semua GLCs dan KLCs.
Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin yang saya hormati sekalian,
22. Salah
satu daripada pandangan dan saranan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa
Mencegah Rasuah dan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM adalah
berkaitan isu Dana Politik.
23. Bagi
pihak Kerajaan, saya menganggap isu ini amat penting kerana jika tiada
suatu dasar yang tepat, telus dan jelas mengenainya maka ia boleh
membuka ruang dan peluang kepada perlakuan rasuah.
24. Sebagai
langkah proaktif, demi meningkatkan ketelusan dan keyakinan rakyat
terhadap pertubuhan-pertubuhan politik di negara ini, Kerajaan akan
memperkenalkan satu lagi inisiatif di bawah GTP yang bagi tujuan
mengawal “Political Financing”. Inisiatif ini akan memberi penekanan
bahawa setiap sumbangan yang ingin diberikan kepada mana-mana parti
politik sama ada di peringkat pusat mahupun negeri hendaklah disalurkan
melalui akuan rasmi parti. Ini bagi mengelakkan ahli-ahli politik
menyalahgunakan nama parti untuk meminta atau menerima apa-apa sumbangan
yang kemudiannya diselewengkan untuk kepentingan persendirian.
25. Setiap
sumbangan yang dihulurkan perlulah dikemukakan resit penerimaan dan
dimasukkan ke dalam akaun parti. Menerusi rekod penerimaan yang teratur
ia boleh diaudit pada tiap-tiap akhir tahun kewangan. Kerajaan percaya
inisiatif seumpama ini akan mengelakkan sebarang bentuk perbuatan rasuah
dan penyelewengan di peringkat akar umbi dan manfaat kepada sumbangan
dapat disampaikan kepada segenap peringkat parti dan seterusnya rakyat.
Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin yang saya hormati sekalian,
26. Kerajaan
juga memandang serius kekangan dan kekurangan yang dihadapi oleh SPRM,
khususnya dalam aspek keanggotaan dan bajet. Perkara ini sebenarnya
telah dibangkitkan oleh Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah dan Lembaga
Penasihat SPRM dalam pertemuan dengan saya.
27. Saya
difahamkan bahawa pada tahun 2008, jumlah keanggotaan pegawai BPR
adalah seramai 1,840. Bagaimanapun apabila SPRM ditubuhkan keanggotaan
pegawai SPRM tidak banyak berubah, malah mencatatkan penurunan dengan
rekod keanggotaan pada Julai 2011 yang menunjukkan hanya 1,805 pegawai
yang berkhidmat. Perkara ini amat membimbangkan dan menimbulkan
persoalan. Bagaimana mungkin dengan jumlah keanggotaan yang terhad, SPRM
boleh menjalankan tugas secara berkesan, tambahan pula bidang kuasa
yang diperuntukkan mengikut Akta SPRM 2009 adalah lebih luas berbanding
Akta sebelumnya iaitu Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang digunapakai
sebelum penubuhan SPRM.
28. Atas
justifikasi inilah, saya bersetuju supaya pertambahan sebanyak 150
perjawatan diwujudkan setiap tahun sehingga jumlahnya mencecah kepada
seramai 5,000 orang. Jumlah 150 orang setahun ini dibuat memandangkan
proses pelantikan pegawai-pegawai SPRM bukan sebagaimana pegawai-pegawai
kerajaan yang lain. Mereka memerlukan latihan dan kepakaran tertentu.
Justeru itu, mereka perlu dilatih selama tempoh beberapa bulan untuk
memastikan pengetahuan berhubung undang-undang dapat diperlengkap.
29. Selain
itu, pola jenayah rasuah kini sudah semakin kompleks dan semakin global
dan merentasi sempadan. Justeru itu, SPRM sangat memerlukan kakitangan
profesional dan pakar pelbagai bidang bagi membanteras rasuah sebegini.
Antara bidang yang dikenal pasti memerlukan kepakaran profesional
seperti forensik akaun, kejuruteraan, komunikasi, teknologi maklumat,
undang-undang dan sebagainya.
30. Saya
bersetuju dengan pandangan Lembaga Penasihat SPRM bahawa bagi
memperlihatkan kebebasan SPRM, maka satu Suruhanjaya Perkhidmatan
Pencegahan Rasuah wajar diwujudkan. Suruhanjaya ini kelak akan diberikan
kuasa untuk melantik dan memecat anggota SPRM. Buat masa ini, semua
proses pelantikan dan pemecatan pegawai-pegawai SPRM dibuat menerusi
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam atau SPA. Sekiranya Suruhanjaya
Perkhidmatannya terbentuk sebagaimana Suruhanjaya Polis dan Suruhanjaya
Pendidikan maka SPRM boleh menapis, memilih, menemu duga, melantik dan
memecat anggota-anggotanya sendiri. SPRM amat memerlukan badan khusus
dalam pemilihan berdasarkan kualiti dan kredibiliti calon bagi
melaksanakan tugas yang memerlukan kepakaran tertentu.
31. Tetapi
perkara ini memerlukan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan.
InshaAllah sekiranya Barisan Nasional diberikan mandat 2/3 dalam PRU 13
akan datang, pindaan Perlembagaan sewajarnya akan dibuat dan Suruhanjaya
Perkhidmatan ini akan dibentuk. Jika ia dapat dilaksanakan, maka ramai
golongan profesional negara yang ingin berkhidmat dengan SPRM akan dapat
berbuat demikian secara lebih mudah dan efisyen.
32. Ini
adalah antara perkara-perkara yang sedang kita kaji, dan ini juga
termasuk status jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang mungkin dicadangkan
sebagai sebuah jawatan berdasarkan Perlembagaan Malaysia sebagaimana
pelantikan jawatan Peguam Negara, Ketua Audit Negara dan Hakim-Hakim,
bagi memastikan kebebasan dan ketelusan.
Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin yang saya hormati sekalian,
33. Berhubung
langkah pengisytiharan harta yang dicadangkan Pengerusi Lembaga
Penasihat Pencegahan Rasuah, ingin saya perjelaskan bahawa Kerajaan
Barisan Nasional telah mengamalkan proses pengisytiharan harta tersebut
jauh lebih awal berbanding yang lain. Setiap Anggota Pentadbiran
diwajibkan mengisytiharkan harta diri dan keluarga terdekat kepada
Perdana Menteri. Setiap tambahan atau pelupusan harta wajib
diisytiharkan. Tambahan lagi kesemua pengisytiharan harta yang berkenaan
dibuat secara berkanun (statutory declaration).
Pada hari ini, saya menyahut seruan Lembaga Penasihat SPRM, dan
bersetuju agar Ketua Pesuruhjaya SPRM mempunyai akses penuh kepada
dokumen-dokumen pengisytiharan harta mana-mana anggota pentadbiran.
Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin yang saya hormati sekalian,
34. Saya
menaruh harapan yang tinggi kepada Pegawai –pegawai Integriti
Bertauliah ini untuk memberikan komitmen yang tidak berbelah dan
bertindak sebagai Rangkaian Pegawai Integriti Bertauliah, yang pakar
dalam bidang pencegahan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan
kuasa; pembangunan integriti; dan menjadi pemangkin dalam
organisasi-organisasi berkaitan bagi memupuk budaya kerja
berintegriti dalam sektor awam dan swasta.
35 Di
sini, saya ingin mengucapkan tahniah sekali lagi kepada SPRM dan
seterusnya mengiktiraf Pusat Pembangunan Integriti Korporat [CIDC] di
Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia sebagaibadan tunggal yang
melaksanakan program Pegawai Integriti Bertauliah
36 Dengan itu , dan dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim,
saya dengan ini secara rasminya melancarkan Program Pegawai Integriti
Bertauliah 2012 dan dengan sukacitanya juga saya mengumumkan bahawa CeIO
merupakan program tunggal yang diiktiraf bagi melahirkan Pegawai
Integriti Bertauliah di Malaysia.
Sekian,Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
|
Wednesday, 29 February 2012
RASUAH WAJIB DIHAPUSKAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment