Teruskan Perjuangan Untuk Agama, Bangsa dan Tanah Air Bersama Belia / Anak Muda
Imbasan 2011, apa yang dikatakan, apa yang diwar-warkan serta apa yang diperjuangkan tentang Suara Hati Rakyat dan Suara Hati Golongan Belia Generasi Muda.....
“hanya anak muda sahaja yang dapat mengubah dunia kerana dunia akhirnya kepunyaan anak-anak muda.”
TEKS UCAPAN
WAKIL PERGERAKAN PUTERI
UMNO MALAYSIA
MEMBAHASKAN UCAPAN DASAR PRESIDEN 2011
OLEH :
WAN SALWATI BT.HJ ABDULLAH
Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
Assalamualaikum w.b.t .... dan Salam Perjuangan,
YBhg Dato’ Seri Pengerusi Tetap,
- YAB. Dato’ Seri Presiden UMNO Malaysia,
- YAB. Tan Seri Timbalan Presiden,
- YB Dato’ Seri Naib-Naib Presiden,
- YB Lagi Dikasihi Datuk Rosnah Rashid Shirlin –Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia,
- YB Ketua Pergerakan Wanita,
- YB Ketua Pergerakan Pemuda,
- YB Ahli-Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO,
- Para Perwakilan Persidangan UMNO,
- Pemerhati yang dirahmati Allah sekalian.
Saya Wan Salwati Hj.Abdullah, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Seremban mewakili Pergerakan Puteri Umno Malaysia mohon untuk membahaskan usul ucapan Dasar Presiden.
Dato’ Pengerusi Tetap....
Berkilau Sungguh Batu Permata
Permata Bersinar Semangat Membara
Permata Bukan Sebarang Permata
Permata Parti Srikandi Negara
Winnable Candidate jadi taruhan
PRU 13 bukan mainan
Puteri bukan sekadar tempelan
Hujahan Puteri jangan dipelekehkan...
UMNO yang telah ditubuhkan pada tahun 1946 kini telah berusia 65 tahun, suatu tempoh yang panjang dan pernah melalui saat gemilang kejayaan, suka-duka dan suramnya.
Rententan dari perjuangan yang ikhlas serta murni demi untuk kepentingan Agama, Bangsa dan Tanah Air, maka UMNO dapat bertahan dan memiliki kuasa mentadbir Negara dibawah Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional sehingga ke hari ini. Syabas dan Tahniah.
Di atas kejayaan tersebut jua, di dalam UMNO dengan kebijaksanaan pemimpin, maka telah dilihat bahawa satu lagi kelompok generasi muda yang dipandang penting yakni Generasi Wanita Melayu Muda yang perlu diberi ruang bersama-sama dalam arena politik hari ini, kini telah jelas hampir lebih 10 tahun Pergerakan Puteri telah dibawa di alam arus gelombang merasai pahit getir perjuangan yang harus dikekalkan ini. Pusaka perjuangan yang terlalu berharga ini merupakan kuasa yang tiada jual belinya.
Add caption |
PRU 13 Bukan Mainan,
Winnable Candidate jadi sebutan,
Puteri sedia menerima arahan,
Bukan hanya mengejar jawatan.
Dato’ Pengerusi Tetap/Dato’ Seri Presiden.....
Puteri yang menjadi generasi tunggak ke abad 21 menyokong proses transformasi sama ada didalam parti atau kerajaan yang dibawah kepimpinan Dato Seri Presiden bagi memastikan kesinambungan kepimpinan dan pemerintahan BN di Negara ini. Namun apabila bercakap mengenai perkara tersebut, maka kita tidak boleh lari dari memberi focus kepada kumpulan sasaran yang dikatakan kumpulan penerima faedah atau ‘beneficiary’ (dengan izin) kepada proses transformasi iaitu generasi muda.
Oleh yang demikian, didalam merencana salasilah politik yang berbudaya baru ini, UMNO perlu mengambil peluang serta mencipta ruang tersendiri terhadap 2 kunci utama tersebut Perpaduan dan Generasi Muda.
Add caption |
Keutuhan perpaduan sememangnya amat penting dalam perjuangan. Hari ini siapa pun tidak boleh memperlekehkan erti kata perpaduan. Perpaduan yang diolah serta diacu sendiri oleh kita tanpa mengenepikan kepentingan Agama,Bangsa dan Negara walaupun di Malaysia ini mempunyai pelbagai Bangsa, Agama serta Adat Budaya. Perpaduan juga sememangnya merupakan intiti utama kepada perjuangan generasi muda namun hari ini.....
Persoalan yang timbul, yang bermain difikiran sayap Pergerakan Puteri adalah kepada satu golongan pengubah yang amat berkuasa, berilmu tidak lain dan tidak bukan mereka yang terdiri daripada Golongan Generasi Muda. Persoalannya :-
Add caption |
a) Adakah kejayaan / kuasa pemerintahan ini akan berkekalan untuk 50 tahun lagi?
b) Adakah UMNO merupakan wadah perjuangan politik bagi generasi muda?
Untuk mencari jawapan kepada persoalan ini, kita perlu menjawab dengan TINDAKAN bukannya menjawab secara politik tetapi ianya lebih kearah realistik yang sebenar.
Mari kita bertanya dan ajukan soalan kepada rakan seperjuangan disebelah kita :-
- Adakah kita semua mengetahui dengan jelas berapa peratus generasi muda di kawasan kita yang bakal mengundi dan menentukan keputusan pilihanraya ke 13 ini ?
- Adakah kita mengenali mereka ?
- Adakah kita mendampingi mereka sehingga mereka merasakan kehadiran kita (UMNO) dapat membantu kelangsungan kehidupan dan seterusnya membantu mereka dalam memahami serta menangani perkembangan semasa.
- Adakah kita diterima oleh mereka?
- Apakah persepsi generasi muda terhadap sikap dan tingkahlaku kita (Umno)?
- Adakah bentuk pendekatan yang kita pilih untuk mendampingi dan memahami generasi muda ini berkesan?
- Dan bilakah kali terakhir kita bersalam,mengucapkan selamat harijadi kepada mereka serta mengucapkan syabas diatas kejayaan mereka?
Setiap persoalan yang dinyatakan tadi janganlah diambil mudah, tetapi proses pendekatan serta penghayataan untuk generasi muda adalah penting seperti oksigen bagi setiap benda yang hidup. Jika kita alpa dan leka, Gelombang Transformasi dari generasi muda akan berlaku. Ini terbukti, generasi muda melalui media baru dengan kalimah “change” (dengan izin Dato’Pengerusi Tetap) telah meletakkan Barack Obama Hussien sebagai Presiden Amerika dan yang paling penting peranan generasi muda juga telah menukar pola dan lanskap politik di Timur Tengah seperti Mesir, Libya dan kini Syria. Terfikirkah oleh kita United Stated Of Amerika sebuah Negara yang berpengaruh didunia akan ditadbir oleh seorang Presiden dari golongan Berkulit Hitam. Sudah pasti jawapannya tidak, tetapi inilah yang telah dilakukan oleh golongan pengubah dikalangan generasi muda.
Dato’ Pengerusi Tetap ....
Isu terkini yang perlu kita depani adalah golongan muda mahasiswa IPTA/IPTS diseluruh Negara yang telah mencapai umur balighnya 21 tahun untuk berpolitik kepartian selepas AUKU dihapuskan oleh Kerajaan, maka tugas dan tanggungjawab ini perlu dimainkan oleh semua pihak disetiap peringkat.
Pada hakikatnya satu fenomena yang cukup berat kerana ianya melibatkan proses pembelajaran yang dilalui bagi golongan tersebut. Jika dihitungkan, jumlah golongan ini amat besar dan adakah kita sebagai sebuah organisasi benar-benar mampu mendampingi serta menarik minat mereka untuk bersama-sama UMNO.
Kegusaran di sayap Pergerakan Puteri ada asasnya, dengan jumlah hampir 956,000 orang pelajar yang dikenalpasti melepasi had umur 21 tahun bagi tahun ini dan jumlah ini pasti akan meningkat saban tahun yang dianggarkan hampir mencecah 100,000 orang pelajar IPTA /IPTS setiap tahun.
Oleh yang demikian, puteri ingin mengunjurkan didalam perhimpunan kali ini supaya diadakan program khas untuk golongan mahasiswa/mahasiswi dan mengenal pasti mereka dari tempat masing-masing. Ini kerana, UMNO amat memerlukan sokongan serta dokongan dari golongan ini untuk bersama-sama dalam menghadapi senario politik yang akan datang.
Peluang dan ruang untuk mendampingi mereka perlu diperhebatkan dan dilakukan. Jangan kita biarkan penyamun , penyangak pembangkang mendekati apatah lagi merosakkan pemikiran golongan mahasiswa ini Mereka milik kita .
Bersangkutan apa yang dinyatakan tadi, Puteri melihat dari analisa yang dibuat berpandukan daripada SPR (Suruhanjaya Pilihanraya) sehingga suku tahun ke-2 2011 yang telah diwartakan pada 16hb.Ogos yang lalu, Jumlah Keseluruhan Pengundi Di Malaysia adalah 12,497,877 orang, manakala dari jumlah tersebut seramai 5,011,797 orang adalah pengundi muda / belia yang telah berdaftar.
Namun begitu, jumlah keseluruhan generasi muda / belia yang layak mendaftar dan mengundi yakni yang berusia 21-40 tahun sebenarnya adalah seramai 8,152,400. Ini masih terdapat seramai 3,140,603 orang dari kelompok generasi muda yang masih tidak mendaftar sebagai pengundi.
Seandainya semua generasi muda yang berusia 21 tahun keatas melaksanakan hak dan tanggungjawab sebagai warganegara ataupun kerajaan melaksanakan dasar pendaftaran pengundi secara automatik bagi setiap warganegara yang berusia 21 tahun ke atas, maka pada hari ini Malaysia akan mempunyai 8,152,400 pengundi belia yakni golongan generasi muda daripada jumlah keseluruhan pengundi di Malaysia iaitu seramai 15,638,480 orang setelah ditambah dengan pengundi generasi muda seramai 3,140,603 yang dinyatakan tadi. Oleh yang demikian, 52% dari jumlah tersebut adalah pengundi generasi muda.
Peratusan ini membawa makna yang AMAT JELAS dan NYATA, tidak keterlaluan untuk Puteri menyatakan GENERASI MUDA yang dikenali sebagai BELIA adalah penentu pola pembentukan pemerintahan Negara bukan sahaja untuk masa akan datang tetapi didalam Piliharaya ke-13 yang bakal diadakan nanti. (dalam kata lain...bukan kecil anak untuk golongan muda ini)
Dato’ Pengerusi Tetap.....
Dalam konteks senario poltik Malaysia, Puteri ingin mengupas dan membawa perhatian serta minda kita semua ke belakang iaitu 20 tahun dahulu. Sejarah telah membuktikan UMNO didalam pilihanraya umum mahupun pilihanraya kecil amat cemerlang.
Faktor siapa calon ketika itu bukan menjadi perkara asas tetapi atas lambang parti yang menjadi faktornya. Sebagai contoh, Jika parti Umno ini diwakili ‘Tunggul Kayu’ sekali pun, bertanding dalam pilihanraya pasti Umno/Barisan Nasional akan menang jua....itulah senario 20 tahun dahulu, tetapi sekarang lanskap itu telah berubah.
Oleh yang demikian, Peremajaan dan Penjenamaan semula UMNO amat penting dan perlu dibuat dari semua peringkat serta dipromosikan kepada golongan generasi muda kerana generasi muda adalah antara oksigen bagi UMNO meneruskan kehidupan yang penuh mencabar ini. Idea dan pandangan dari generasi muda perlu diambil kira dan diketengahkan.
Untuk memenangi hati generasi muda, UMNO perlu menyusun langkah yang lebih tersusun dan berkesan. Setiap program hendaklah berdasarkan citarasa generasi muda agar mereka bersama dan menyertai kita.
Dalam hal ini Puteri UMNO mencadangkan agar UMNO menggunakan pakai prinsip pengurusan BLUE OCEAN STRATEGY (dengan izin) yang menekankan tindakan secara berkesan dan melaksanakan proses REDUCE, CREATE, RAISE and ELEMINATE (dengan izin)....
Blue Ocean Strategy ini bukan sahaja terpakai kepada pembangunan kporporat, tetapi ianya boleh diterima pakai oleh UMNO. Penggunaan prinsip ini akan membolehkan UMNO menilai apakah perkara-perkara atau program-program yang wajib diperkenalkan. Apakah program yang harus di pergiatkan, ditambah dan dimurnikan. Apakah perkara-perkara atau program atau amalan UMNO yang mesti kurangkan dan Apakah perkara-perkara atau program atau amalan mesti dihapuskan terus dari UMNO.
Dato’ Pengerusi Tetap.....
Zaman menghimpun puluhan ribu hadirin di padang untuk menyambut ketibaan pemimpin sudah berakhir. Zaman sekarang adalah zaman menilai pemimpin dari dekat. Zaman sekarang adalah zaman menghargai pemimpin yang boleh berjabat salam dan berbincang. Zaman sekarang adalah zaman menerima pemimpin yang menjawab tweeter dan facebook. Tapi ingat, kalau bersalam pakai hujung jari dan tak tengok muka macam mana nak rasa denyut nadi RAKYAT!!!!
Zaman sekarang adalah zaman pemimpin yang boleh ditemui di laman-laman blog dan bertukar pandangan serta memberi komen personel. Zaman sekarang adalah zaman menyanjung pemimpin yang dilebelkan “COOL” apabila dapat meluangkan masa bermain futsal dengan generasi muda dan zaman sekarang adalah zaman menerima pemimpin yang dilihat membela generasi muda. Zaman sekarang bukannya zaman terus mengherdik, mencaci apatah lagi menghina apabila generasi muda tidak bersama atau tidak bersetuju dengan tindakan yang dibuat oleh pemimpin, jangan hanya dilihat kesilapan pada golongan muda ini. Inilah luahan hati orang muda.
Jika Dato’ Seri Presiden yang juga merangkap Perdana Menteri boleh meluangkan masa biar pun letih dengan tugasannya tapi masih tersenyum bersama generasi muda menonton perlawanan bola sepak bersama – (walaupun team favourite Dato’ Seri Presiden MU kalah 6-1) apakah kaedah ini direalisasikan bersama oleh semua pemimpin di peringkat negeri, bahagian mahupun cawangan. Janganlah bila Puteri berkata demikian ataupun bersuara, puteri pula dilabelkan sebagai anak kecil yang ingin mengajar orang yang lebih dewasa, namun inilah realiti kenyataan yang harus diterima sekarang.
Pemikiran yang kalut, kuno atau cepat melatah perlulah dihapuskan. Sikap berpuak-puak, cantas mencantas perlu dihentikan. Manakala sikap keterbukaan yang bukan dibuat-buat perlu wujud dan ditonjolkan ini kerana jika ditanya kepada generasi muda yang ada didalam dewan ini sudah pasti akan bersetuju dengan kenyataan saya tadi, bahawasanya kami dari golongan muda kadang kala tidak diberi ruang atau diberi kepercayaan dan jika terlebih langkahnya sudahpasti kami dipancung awal-awal.
Apakah kepimpinan itu hanya untuk pemimpin yang ada sekarang dan tidak perlu penggantinya dan adakah pelapis hanya akan menjadi pelapis sahaja dan yang paling penting apabila insan terpilih yakni ‘Winnable Candidate’ telah diumumkan jangan pula ada yang sabotaj sesama sendiri, ingat pesan Dato’ Seri Presiden sayangkan Parti melebihi kepentingan diri sendiri. Ingatlah Qada’ dan Qadar Allah...
Sesungguhnya UMNO adalah sebuah rumah yang besar. Mempunyai ibu, ayah dan anak-anaknya yang pasti suatu hari nanti anak-anak itu akan membesar dan mewarisi rumah peninggalan dari orang tuanya tetapi bagaimana anak-anak ini dapat mewarisi rumah yang besar ini jika diluarnya nampak cantik dan berseri tetapi kayu kayannya, dindingnya, tiang serinya reput dan rapuh dimakan dek anai-anai.
Oleh demikian, kita sebagai ahli parti janganlah membiarkan UMNO menjadi seperti rumah yang reput dan rapuh itu. Peremajaan, Penjenamaan dan jangan lupa Mempromosi UMNO semula perlulah dibuat secara total. Inilah teori Puteri 2P 1M.(Peremajaan, Penjenamaan & Mempromosi)
Dato’ Pengerusi Tetap / Dato’ Seri Presiden dan seluruh perwakilan...
Hari ini kita didalam UMNO seharusnya bertindak dengan berpandukan maklumbalas yang kini banyak diterima oleh UMNO serta wajib sensitif dan peka kepada maklumbalas dari reaksi generasi muda terhadap sesuatu isu.
Dengan menerima dan mempraktikkan secara menyeluruh apa yang dinyatakan tadi dalam urusan harian kita, dalam merangka program yang hendak kita laksanakan, maka Puteri percaya UMNO akan lebih mudah mendapat tempat di hati generasi muda yang akhirnya menjadikan UMNO dan BN “The ONLY PARTY” yang diterima semua.
Sudah pasti saat itu usah kita gusar kecemerlangan pilihanraya pasti memihak kepada Barisan Nasional. Biarlah pembangkang dengan kacau bilaunya, biarlah pembangkang dengan pemikiran bodohnya, biarlah pembangkang dengan janji yang tak tertunainya namun hari ini kita UMNO harus peka dan cepat mengambil segala ruang dan peluang yang ada bagi mempastikan kuasa kita tidak terjejas kerana UMNO lah satu-satu parti membela bangsa . Saat ini juga puteri telah bersiap siaga untuk menerima arahan perang . Puteri tak gentar hadapi pembangkang .
Puteri tidak akan gerun walau diancam disegenap penjuru. Semalam Puteri pernah sakit dilontar batu. Hari ini Puteri yang ramai menjadi kuat menjadi satu. Kerana itulah hari esok, Puteri tidak takut berhujan peluru. Puteri tidak lut dengan sebarang ancaman. Puteri sudah kebal dengan sebarang serangan. Puteri sudah diasap dengan semangat dan diseru dengan azimat. Tuhan bersama kita. Walau siapa pun musuh didepan. Walau apapun halangan yang datang, kita takkan bacul dan lari dari medan perjuangan. Mari kita gempur , kita perang , kita tempur , kita serangi ...... Perang ini perang kita , perang ini kitalah pemenangnya .
PRU 12 Bagai Tsunami,
PRU 13 Sedia dinanti,
Rampas kembali matlamat kami,
Itulah Perjuangan Puteri sejati.
Takkan berundur terus mara,
Itulah tekad kami semua,
Demi agama, bangsa dan Negara,
Pada Allah dipohon jua...
Akhirnya dengan tekad dan iltizam kita semua, ayuh Para Perwakilan sekalian sama-sama kita laungkan BN THE ONLY PARTY...(3x)
Sekian, saya Wan Salwati Haji Abdullah mewakili Pergerakan Puteri UMNO Malaysia mohon menyokong.
No comments:
Post a Comment