KUALA LUMPUR - Himpunan Wanita Muda Negara 2012 (HWMN2012) bakal menjadi platform kepada golongan wanita muda di negara ini untuk mensinergikan lagi upaya golongan tersebut ke tahap yang lebih baik.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirleen berkata himpunan itu yang menggunakan moto Inspirasi, Dedikasi, Ekspresi dan Aspirasi selari dengan keperluan wanita muda untuk mengetengahkan bakat dan potensi sebenar mereka.
Menurut beliau pihaknya merasakan perlu ada platform untuk wanita muda dan setelah berbincang dengan rakan-rakan Puteri komponen BN serta NGO, maka pada kali ini ianya dapat direalisasikan.
“Himpunan itu bukan sekadar perhimpunan sebaliknya akan padat dengan pelbagai aktiviti untuk golongan muda meningkat maju ke hadapan. Himpunan ini mensasarkan kehadiran 10,000 wanita muda dari pelbagai latar belakang.
“Dan kita juga akan turut mengiktiraf pencapain wanita muda yang cemerlang melalui penganugerahan Anugerah Kesatria Puteri kepada 12 individu yang telah berjaya menerusi bidang perniagaan, pendidikan, kerjaya, pribumi, sukan, perubatan dan pelbagai bidang lain.
“Anugerah tertinggi iaitu Anugerah Nusa Mahsuri akan diberikan kepada YTM Tunku Puteri Intan Shafinaz Ibni Sultan Abdul Halim Muadzam Shah di atas sumbangan Tunku Puteri dalam bidang kemanusiaan dan kemasyarakatan hingga ke peringkat antarabangsa,” katanya pada sidang media Himpunan Wanita Muda Negara 2012, di Seri Pacific, di sini, hari ini.
Rosnah seterusnya menambah program berkenaan akan dipecahkan kepada tiga segmen utama iaitu himpunan, pameran dan demonstrasi serta seminar berkaitan wanita muda.
“Antara aktiviti menarik pada program ini ialah bual bicara perniagaan yang akna menampilkan ikon pernioagaan terkemuka negara, segmen khas yang akan membincangkan topik ‘ Di sebalik kejayaan seorang lelaki, berdirinya seorang wanita, serta persembahan artis, cabaran pidato wanita muda, cabaran penyelidikan gender dan sebagainya lagi.
“Satu lagi yang menarik pada program ini ialah himpunan sejuta nota kecil yang tertulis impian dan harapan wanita muda yang akan dipamerkan pada hari perhimpunan pada ruangan Sejuta Impian dan pihak penganjur akan merealisasikan salah satu impian yang dipilih pada hari berkenaan.
“Marilah bersama-sama kita mengorak langkah dengan kesatuan ini untuk sama-sama memeriahkannya dan himpunan ini adalah sebagai permulaan ke arah membina semangat dan keberdayaan wanita muda dalam memimpin perubahan melalui inspirasi, ekspresi, dedikasi dan aspirasi berterusan,” katanya.
Himpunan Wanita Muda Negara 2012 akan berlangsung pada 25 November 2012 di Dewan Tun Razak 1, PWTC dan majlis pembukaan akan dihadiri Penaung HWMN2012, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikannya pada pukul 2.00 petang. Himpunan tersebut akan berlangsung dari 8 pagi hingga 7 malam. -MediaUMNO
No comments:
Post a Comment